Saban Hari, HAMAS Semakin Menuruti Jejak Langkah Fatah

Artikel ini merupakan terjemahan daripada nasyrah berbahasa Arab yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir.

 
Sewaktu Pergerakan Fatah ditubuhkan di era pertengahan 60-an, ia telah mengisytiharkan bahawa ia akan membentuk sebuah gerakan penentangan yang akan membebaskan Palestin dari timur ke barat (daripada sungai Jordan di timur sehinggalah ke Laut Mediterranean di barat). Namun slogan kosong ini menghilang begitu sahaja tidak lama kemudian dan Fatah telah gagal merealisasikannya sehingga ke saat ini! Rejim Fatah juga telah mengiktiraf keberadaan negara Yahudi di atas bumi Palestin. Kini mereka pula terdesak di bawah percaturan Amerika untuk berusaha mendirikan negara Palestin di atas tanah seluas sekangkang kera yang masih dimiliki. Para pemimpin rejim ini sentiasa berulang-alik ke Washington apabila mereka berdepan dengan sebarang masalah. Setelah berdekad lamanya rejim Fatah menjalani rundingan demi rundingan dan kompromi yang mengaibkan, akhirnya Fatah langsung tidak mencapai apa-apa dan sehingga ke hari ini Palestin masih lagi dicengkam oleh rejim Zionis. Bahkan tatkala pemimpinnya hendak ke mana-mana sekalipun perlu mendapatkan keizinan daripada negara Yahudi!


Kemudian, Hamas pula ditubuhkan dan dari hari ke hari, Hamas telah menuruti setiap jejak langkah Fatah sedari awal lagi. Hamas juga telah mengisytiharkan bahawa ia akan bangkit memberikan penentangan bagi membebaskan Palestin dari sungai di sebelah timur (Sungai Jordan) sehinggalah ke Laut Mediterranean di sebelah barat. Hamas telah mengkritik keras Fatah atas dasarnya yang mengiktiraf keabsahan negara Yahudi dan tindakannya menerima perjanjian pada tahun 1967. Malangnya Hamas juga mengikut jejak langkah Fatah selang beberapa tahun kemudian dengan mengiktiraf wilayah Palestin berdasarkan perjanjian 1967 dan dalam masa yang sama turut merujuk kepada Amerika dalam mencapainya!

Hamas, semenjak memenangi pilihanraya di bawah penjajahan Yahudi, dan terlibat dalam pembentukan kerajaan dan seterusnya memeterai perisytiharan Makkah, ternyata terang-terangan memperjuangkan kewujudan negara Palestin yang berdiri hanya di atas wilayah yang terbentuk setelah tahun 1967; bersebelahan dengan negara haram Yahudi. Ternyata Hamas telah bermain dengan kata-kata dalam mereka menyikapi seruan resolusi penyelesaian dua-negara yang diusulkan oleh negara-negara Arab dan juga masyarakat antarabangsa. Mereka menyatakan bahawa mereka “menghormati” resolusi tersebut, sedangkan hakikatnya mereka “memperakui” resolusi tersebut. Bukanlah suatu yang menghairankan apabila seseorang itu menghormati sesebuah resolusi, lambat-laun ia akan memperakuinya juga!

Nah, ternyata bahawa akhirnya Hamas telah terbukti memperakuinya melalui pernyataan yang dikeluarkan oleh Khaled Meshal pada tanggal 25 Jun 2009. Beliau menyatakan bahawa Hamas memperjuangkan wilayah Palestin berdasarkan perjanjian pada tahun 1967! Dalam masa yang sama, ia sudi menghulurkan kerjasama dengan Amerika untuk mencapai matlamat tersebut!

Ironisnya, Fatah telah bersetuju mengetepikan tuntutan asal penubuhannya, lalu mengiktiraf sempadan 1967 setelah dua dekad ditubuhkan, iaitu pada Disember 1988 dalam sebuah persidangan di Algeria. Demikian juga Hamas, yang turut mengumumkan perkara yang sama setelah dua dekad penubuhannya. Seolah-olah Hamas mengikut setiap satu jejak Fatah, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta!

Wahai kaum Muslimin!

Kami tidak berhasrat untuk menyatakan secara lebih panjang lebar mengenai sejarah kedua-dua pertubuhan ini dan juga hubungan negara Barat khususnya Amerika serta peranan mereka dalam penubuhan organisasi tersebut. Kerana sesungguhnya kebenaran fakta (dengan izin Allah) tidak memerlukan kata-kata yang begitu panjang berjela.

Kita pernah tersinggung tatkala mendengar hakikat pengiktirafan Fatah terhadap sempadan 1967 dan penerimaan konsep dua-negara: di mana sebahagian besar daripada tanah milik Palestin menjadi milik entiti Yahudi, sedangkan sebahagian kecil sisanya menjadi negara Palestin yang tertakluk kepada syarat dan peraturan yang mencengkam.

Maka kita juga semestinya akan tersinggung apabila Hamas turut memperakui konsep sebegini. Bahkan lebih memilukan kerana Hamas merupakan sebuah gerakan yang menjadikan Islam sebagai dasar penubuhan mereka sedangkan Fatah pula berbuat demikian sekadar sebagai langkah pragmatik serta bukannya atas nama Islam. Fatah tidak pernah mengakui pergerakan itu sebagai sebuah gerakan Islam. Pengiktirafan Hamas terhadap resolusi dua-negara ini pula mendatangkan natijah yang buruk kerana akan ada pihak yang melihatnya sebagai suatu yang Islami. Atas sebab inilah kami menyeru supaya Hamas tidak terjerumus ke dalam jerat ini. Atas dasar ini jugalah kami mengingatkan supaya Hamas tidak terlibat sama dalam pilihanraya di bawah pendudukan Yahudi. Kami juga pernah menasihati supaya mereka tidak terlibat dalam pembentukan kerajaan. Akan tetapi, mereka tidak mengendahkannya. Bahkan mereka cuba mencari justifikasi atas setiap tindak-tanduk mereka itu!

Wahai kaum Muslimin!

Sungguhpun kita terguris dek persetujuan sebuah gerakan Islam terhadap penyelesaian dua-negara ini, namun masih ada sinar menanti di sebalik kegelapan yang menyelubungi. Di tengah-tengah kemelut sebegini, masih ada dalam kalangan umat Islam di Palestin yang menyedari kesilapan yang dilakukan oleh kedua-dua pergerakan ini. Ternyata, pengiktirafan terhadap resolusi dua-negara ini bukanlah bererti pengiktirafan Islam terhadap keabsahan negara Yahudi, sebaliknya ia cumalah kesilapan langkah yang diambil oleh dua kelompok Muslimin ini.

Sesungguhnya bumi Palestin akan tetap kukuh dalam hati dan pemikiran umat Islam, sebagaimana ia dimuliakan oleh Allah SWT dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj seperti yang dinukilkan dalam ayat berikut:

 


 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ [١٧:١]

 

 


Mahasuci Allah Yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat
(TMQ al-Isra’ [17]: 1).

Inilah bumi Palestin yang diberkati. Penyelesaian terhadapnya tidak akan sesekali tercapai melalui kerjasama yang dihulurkan kepada Amerika dan juga rundingan dua-negara dengan negara Yahudi. Andainya mereka berundur kepada sempadan 1967 sekalipun, tanah-tanah yang diduduki pada 1948 masih berada di bawah cengkaman mereka sedangkan Islam tidak menerima penyelesaian sebegini. Islam melihat kedudukan kedua-dua wilayah ini sebagai tanah kaum Muslimin yang wajar dikembalikan. Tanah ini, yang menjadi saksi kepada para syuhada’ semenjak zaman kekhilafahan lagi dalam membuka dan mempertahankannya.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Palestin merupakan amanah yang terpikul di bahu kaum Muslimin. Kaum Muslimin, ketika pemerintahan Saidina Umar ra. telah membuka Palestin dan membawa kemakmuran serta kesejahteraan ke atas bumi ini. Setiap kali musuh berhasrat untuk menguasai dan menjarah Palestin, pasti akan lahir panglima-panglima Muslimin seperti Salahuddin yang membebaskannya daripada kaum Salibiyin, atau Qutuz dan Beybars yang mengembalikannya daripada cengkaman kaum Tartar. Kemudian di penghujung kurun ke-19, Sultan Abdul Hamid tatkala detik-detik kemunduran khilafah, tetap utuh memelihara kesucian Palestin daripada pujuk rayu Hertzl dan kelompok Zionis. Kesinambungannya wajar diteruskan ketika Khilafah tertegak dan bumi ini seharusnya dibersihkan daripada penjajah Yahudi dan akhirnya dikembalikan sebagai sebahagian daripada wilayah Islam

Palestin akan tetap menjadi amanah bagi kaum Muslimin dan tiada seorangpun daripada kaum Muslimin berhak mengkhianati amanah yang tertanggung di bahu mereka, sebagaimana yang termaktub dalam ayat berikut:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad), juga jangan mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepada kalian, sedangkan kalian mengetahui. (TMQ al-Anfâl [8]: 27)

 

Hizbut Tahrir

4 Rejab 1430H

26 Jun 2009