Salahnya bukan pada pilihan raya, tapi pada orangnya?
Persoalan 5
Mengapa perlu boikot pilihan raya? Padahal bukannya pilihan raya atau sistem demokrasi itu yang bermasalah, sebaliknya orang yang menggunakan sistem itu yang korup, merekalah yang menyalahgunakan sistem itu untuk kepentingan mereka.
Jawapan:
Ya benar orang yang menggunakan sistem demokrasi itu yang korup, dan “menyalahgunakan” sistem demokrasi untuk kepentingan mereka. Namun dalam masa yang sama kita perlu sedar bahawa sistem demokrasi itu sendiri bukan merupakan sistem Islam, dan pilihan raya dalam sistem demokrasi juga bukan bertujuan untuk menerapkan Islam. Demokrasi adalah sistem kufur, dan pilihan raya dalam demokrasi menjadi alat untuk mengekalkan lagi sistem kufur demokrasi tinggalan penjajah ini.
Demokrasi berasal daripada ideologi kapitalisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Ideologi ini haram untuk dianuti oleh umat Islam, sebagaimana haramnya umat Islam haram menganut ideologi komunisme. Kedua-duanya ialah ideologi kufur yang berasal dari akal manusia. Manakala demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan yang berasal dari ideologi kapitalisme.
Walaupun terdapat orang-orang yang baik, termasuklah alim-ulama yang mengambil sistem demokrasi, ia tetap haram. Walaupun terdapat orang yang menggunakan sistem ini dengan sebaiknya, atau dengan kata lain tidak menyalahgunakannya, namun ia tidak akan merubah status keharaman demokrasi. Demokrasi adalah sistem kufur yang terhasil dari akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Demokrasi meletakkan kedaulatan (as-siyadah) di tangan rakyat, sedangkan di dalam Islam as-siyadah itu berada di tangan syarak. Dilihat dari sudut mana sekalipun, demokrasi adalah bertentangan dengan Islam. Justeru, apa jua yang bertentangan dengan Islam sudah pasti tidak ada kebaikan di dalamnya.
Sama sebagaimana sistem perbankan ribawi yang diamalkan pada hari ini, walaupun terdapat ramai orang yang “baik” termasuklah alim ulama yang terlibat dengan pinjaman ribawi, ia tetap tidak akan merubah status keharaman riba. Bolehkah kita menganggap seorang itu baik jika ia tidak pernah ketinggalan membayar pinjaman riba pada waktunya? Bolehkah kita menganggap baik seseorang yang mempertahankan sistem ribawi? Sudah tentu tidak! Samalah juga kita tidak akan menganggap baik orang yang mengamalkan demokrasi atau mempertahankan sistem demokrasi sesuai dengan lunas-lunasnya. Sesungguhnya tidak ada kebaikan sedikit pun dalam melakukan keharaman.
Sistem demokrasi merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat yang memberikan hak kepada manusia untuk membuat hukum, memindanya dan menghapuskannya. Sistem ini telah menjadikan manusia mengambil tempat Allah (swt) sebagai Musyarri’ (Pembuat hukum), sebuah kedudukan yang jelas lagi nyata haramnya. Manakala pilihan raya dalam sistem demokrasi merupakan wasilah (sarana) untuk ke arah melakukan keharaman tersebut. Atas dasar itu, dan berdasarkan kaedah fiqh al-wasilatu ila al-haram haram (sarana menuju kepada yang haram adalah haram), maka terlibat dalam pilihan raya sistem demokrasi juga adalah haram.
Selain haram, demokrasi sudah terbukti merupakan sebuah sistem yang rosak dan merosakkan. Demokrasi bukan soal pilihan raya semata-mata, tetapi merupakan way of life (cara hidup) yang datangnya dari Barat yang mengandungi pelbagai keburukan. Dengan idea kebebasannya, demokrasi telah meletakkan darjat manusia lebih rendah daripada haiwan. Idea kebebasan telah menyuburkan segala kebejatan moral dalam masyarakat dan telah memporak-perandakan masyarakat serta institusi keluarga. Lihat sahaja kerosakan dan keburukan yang berlaku di negara pengamal demokrasi seperti Amerika dan Eropah, dan tidak terkecuali di dunia Islam.
Kerana itulah umat Islam wajib menolak demokrasi, mencampakannya ke dalam bakul sampah dan membenamkan segala ideanya ke lembah hitam peradaban manusia. Ia bukan sahaja tidak layak digunapakai oleh umat Islam, malah oleh manusia mana pun yang berakal dan bertamadun.
Ya benar demokrasi sering dipergunakan oleh pemerintah untuk kepentingan diri mereka sendiri serta untuk menindas rakyat. Kerana itulah dalam sistem demokrasi, kedua-duanya adalah sama-sama buruk, baik pemerintah mahu pun sistem itu sendiri. Justeru, memboikot pilihan raya atas dasar keburukan dan keharamannya adalah pilihan sebenar yang seharusnya diambil oleh umat Islam, yang bukan sahaja untuk menyampaikan mesej kepada pemerintah dan ahli-ahli politik yang korup, tetapi juga untuk menyampaikan mesej bahawa sistem demokrasi itu sendiri adalah korup.