‘Samseng jalanan’ ganti ‘mat rempit’
“Polis tidak mahu mempopularkan istilah mat rempit kerana tidak mahu golongan itu mempunyai identiti sendiri dan bangga dengan istilah tersebut. “Masyarakat, media serta pengeluar filem juga disaran tidak mengagung-agungkan istilah mat rempit,” katanya pada sidang akhbar di Dataran Merdeka di sini hari ini. Menurut Abdul Aziz, penggunaan istilah dan penghasilan filem aktiviti samseng jalanan pada pendapatnya dapat menggalakkan lagi kegiatan tidak bermoral di kalangan belia negara ini. Katanya, langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang berterusan diadakan pihak berkuasa tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak. “Semua pihak termasuklah ibu bapa juga memainkan peranan penting seperti memantau pergerakan anak mereka daripada terjebak dalam sebarang aktiviti tidak bermoral. “Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyedarkan golongan muda bahawa kegiatan terbabit tidak berfaedah dan merugikan diri sendiri serta masa depan,” jelasnya.
[Sumber : Utusan Malaysia: 20/05/09]
Samseng Jalanan = Mat Rempit = Buah Dari Sistem Kapitalisme yang rosak
Tukarlah gelaran kepada apa sekalipun, ianya pasti tidak akan membawa apa-apa makna selagi sistem kehidupan Islam yang menyeluruh tidak diterapkan di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Amat malang dan menyedihkan apabila kita melihat ada golongan yang cuba untuk menyelesaikan isu “Mat Rempit” ini namun langsung tidak pernah cuba melihat kepada Islam sebagai penyelesaian yang sebenar. Ketahuilah bahawa kelahiran golongan Mat Rempit ini adalah hasil dari penerapan sistem Kapitalisme yang telah membarah dan berakar umbi dan masih dipertahankan oleh pemerintah yang ada pada hari ini. Yakin dan percayalah bahawa selagi sistem Kapitalisme ini tidak dicampakkan dan digantikan dengan sistem kehidupan Islam sudah pasti kita akan terus mengutip hasil yang buruk dan rosak ini.
Realitinya, kita melihat hari ini pusat-pusat maksiat terus dibiarkan beroperasi. Arak dan dadah sudah menjadi fenomena yang biasa di kalangan rakyat malahan pemerintah masih terus melindungi kilang-kilang arak yang “menguntungkan” mereka. Aktiviti perjudian dihalalkan dengan lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan. Pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram terus dibiarkan. Hiburan maksiat yang ditaja dan dipromosikan terus mendapat sijil halal dari pihak pemerintah. Inilah realiti yang terpampang di hadapan mata kita.
Yang lebih menyedihkan, sistem sosial Islam dibakul sampahkan dan idea kebebasan yang merupakan idea yang diagung-agungkan oleh idealogi Kapitalisme terus disuburkan. Hakikatnya masih banyak lagi maksiat yang kita boleh senaraikan untuk kita buktikan bahawa pemerintah hari ini bertanggungjawab menjadi penyumbang utama kepada masalah yang berlaku. Apakah pemerintah hari ini sedar akan keadaan ini? Sebagai seorang muslim kita selayaknya menyakini hanya Islamlah satu-satunya penyelesaian kepada seluruh masalah yang kita hadapi saat ini termasuklah isu Mat Rempit ini. Oleh itu, untuk melenyapkan dan menghilangkan gejala dan fenomena Mat Rempit yang merupakan buah yang rosak ini, adalah menjadi kewajiban kepada pemerintah hari ini untuk menebang pokok Kapitalisme yang sudah berusia 52 tahun ini, mencabut akar-akarnya dan menanam pada tempatnya sistem Islam yang mulia. Renungilah firman Allah SWT:
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Tidakkah Engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah Dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?” [TMQ Ibrahim (14) :24-28].