Satu lagi ajaran sesat?

Bangun Madinah Baru

SHAH ALAM: Satu gerakan sulit didalangi golongan terpelajar dan pegawai kanan syarikat, termasuk bertaraf ketua pegawai eksekutif giat menjalankan usaha bagi mengukuhkan kota suci ‘Madinah Baru’ yang ditubuhkan mereka di sebuah lokasi di Sumatera, Indonesia.

Kumpulan itu yang bergerak aktif di sekitar Lembah Klang juga menganggap Malaysia bukan negara Islam, malah mengibaratkan negara ini seperti keadaan Makkah sebelum kedatangan Islam.

Anggota mereka berpegang kepada prinsip mahu menjalankan usaha menegakkan Islam secara sulit dengan menjadikan gerakan mencari pengikut seramai mungkin di negara ini, sebelum melakukan hijrah ke Madinah Baru di Sumatera dan tidak lagi di Arab Saudi.

Kegiatan kumpulan terbabit didedahkan selepas pihak berkuasa menyerbu markas mereka di Ampang, dekat sini, baru-baru ini.

Seramai sembilan pengikut dan lima ‘ketua’ mereka ditahan.

Malah, ketika serbuan, pengikut kumpulan itu berusia 30 hingga 40 tahun mendakwa mereka menghadiri kelas insurans bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Sebelum itu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengekori pergerakan anggota kumpulan terbabit dari jam 5 pagi sebelum melakukan serbuan kira-kira jam 2 petang.

Pergerakan bagi membawa pengikut baru ke premis terbabit dilakukan secara terancang dengan mengambil mereka di tempat ditetapkan sebelum dipindahkan ke kenderaan lain.

Pengikut juga dipercayai dibawa sebelum Subuh ke markas berkenaan bagi memastikan mereka tidak mengetahui lokasi itu sebelum diberikan tarbiyah songsang secara berterusan.

Kumpulan itu mensasarkan golongan kaya dan terpelajar yang ditemui di kedai kopi dan tepi jalan oleh anggota yang digelar penyilah.

Penyilah yang kononnya memiliki ilmu agama ‘memasukkan jarum’ menceritakan perkara berkaitan Islam sambil merujuk ayat al-Quran yang dihafal dipercayai diselewengkan maksud keseluruhannya.

Perjumpaan di kedai kopi itu akan berterusan beberapa kali sebelum pengikut baru dibawa ke markas terbabit pada waktu Subuh dalam keadaan mata ditutup sebelum dihantar pulang pada waktu malam.

Antara pengikut mereka ialah pegawai kanan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan institusi kewangan tempatan serta pakar teknologi maklumat.

Operasi kumpulan itu lebih bertumpu di Ampang, Klang, Petaling Jaya dan Sentul yang menjalankan kegiatan itu lebih 10 tahun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, yang mendedahkan kegiatan kumpulan itu, berkata mata pengikut ditutup dengan alasan bagi menunjukkan keikhlasan dibawa ke markas itu selain menyedarkan mereka perjuangan tidak boleh dilakukan secara terbuka.

Menurutnya, asas ajaran anggota kumpulan itu lebih menekankan kepada kewujudan manusia, bumi dan al-Quran (MBA) yang diambil pengertiannya dalam surah tertentu al-Quran.

“Apa saja hujah kepada pengikut dan mereka yang diperangkap tidak menyimpang daripada tiga perkara itu.

“Pengikut akan ditarbiah supaya lebih memahami MBA dan mereka diwajibkan membayar RM3,000 kononnya sebagai wang taubat atau wang tebus,” katanya.

Sesi di markas itu dibahagikan lima bahagian dan mereka diajar mengibaratkan rakyat di negara ini seperti labah-labah sering melabuhkan jaring yang tidak kukuh, manakala mereka sendiri dianggap lebah yang hidup bersatu padu.

Antara kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan kumpulan itu ialah menafsir al-Quran secara lompat-lompat tanpa mengikut keseluruhan ayat yang sepatutnya.

Mereka memegang istilah solat yang membawa dua pengertian iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

“Jadi, apabila kita tanya mereka melakukan solat, mereka mengakui solat menjurus kepada dua pengertian itu,” katanya, semalam.

Mohammed Khusrin berkata, pengikut yang selesai sesi motivasi akan dibawa melawat ‘Madinah Baru’ di Sumatera.

“Pemergian mereka dilakukan secara sulit dari Lembah Klang sebelum dibawa menaiki kenderaan khas ke Johor,” katanya.

Menurutnya, mereka ke Singapura untuk menaiki penerbangan ke Sumatera.

Apa yang menghairankan, mereka tidak menggunakan lapangan terbang di negara ini.

“Saya dimaklum, ‘Madinah Baru’ dalam lokasi begitu luas dilengkapi hotel, ladang pertanian dan sekolah. Apa yang menarik, mereka hanya memakan sumber asli tanpa sebarang bahan kimia. Ia lebih kepada lawatan untuk memperkenalkan diri di situ dan penduduknya,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Wednesday/Setempat/20080618095349/Article/index_html

Ulasan :
 
Dalam pada umat Islam tercari-cari Negara Islam, ada sebahagian dari gerakan Islam yang menyeleweng mengkhususkan suatu tempat sebagai Darul Islam (Madinah Baru dan sebagainya), yang mana kawasan ini didakwa oleh mereka adalah Negara Islam yang mungkin radiusnya tidak sampai 2-3 kilometer persegi. Jika betullah sebagaimana yang dilaporkan, maka akidah dan fahaman gerakan ini perlu dibetulkan semula. Antara fakta yang menarik di sini adalah “Negara Islam” versi mereka ini adalah dihuni oleh pengikut gerakan mereka sahaja dan ia bersifat eksklusif. Negara Islam versi mereka ini juga dirahsiakan dari orang lain, dan setiap orang yang ingin bertaubat perlu membayar RM3,000. Mungkin juga jumlah wang ini digunakan untuk menyeberang ke Sumatera di tempat Negara Islam mereka berada. Banyak lagi perkara lain yang boleh dibincangkan dari segi akidah dan fahaman kumpulan ini sebagaimana dipaparkan, namun kami cuba ketengahkan persoalan Negara Islam, kerana persoalan “Negara Islam” ini kebanyakannya menjadi agenda perjuangan yang sama bagi sesetengah gerakan Islam. Tambahan pula, gerakan ini nampaknya cuba menyelewengkan akidah orang yang diajaknya dengan tujuan akhir untuk di bawa ke “Negara Islam” mereka.

Amat malang bagi umat Islam yang terperangkap dalam penyelewengan akidah seperti ini. Sebagai seorang yang berfikiran sederhana sekalipun, setiap orang akan memahami bahawa Negara Islam yang dibina oleh Rasulullah di Madinah dahulu adalah sebuah negara yang didiami oleh orang Islam dan orang kafir. Orang Islam diajak untuk berhijrah ke sini dan orang kafir sekalipun dibenarkan masuk ke Negara Islam Madinah ini, tanpa perlu menutup mata. Orang kafir dan orang Islam boleh hidup dalam satu negara, dan kerana inilah munculnya istilah kafir zimmi (kafir yang hidup dalam Negara Islam). Inilah yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Dari segi hijrah pula, kerajaan kufur dan setiap orang kafir yang tinggal di Mekah waktu itu mengetahui bahawa ramai orang Islam telah berhijrah ke Madinah. Saidina Umar al-Khattab, dengan terang-terang membuat perisytiharan bahawa beliau akan berhijrah ke Madinah dan hal ini didiamkan sahaja oleh Rasulullah. Justeru, amat pelik kenapa ‘perjalanan’ ke “Negara Islam” yang di bawa oleh gerakan ini perlu disembunyikan, malah “Negara Islam” itu sendiri pun tersembunyi. Tidak pernah kita temukan dalam nas yang Rasulullah memerintahkan agar Negara Islam disembunyikan. Dan tidak ada juga perintah dari Allah untuk menyembunyikan Negara Islam, sehingga hanya orang-orang tertentu dari kalangan manusia sahaja yang boleh “berada” di Negara Islam ini. Nas manakah yang mereka gunakan?

Jika kita melihat perbincangan imam-imam mazhab sekalipun, ‘Darul Islam’ telah didefinisikan oleh ahli sains politik (ulama) bermazhab Hanafi sebagai,

“Darul Islam adalah negeri yang di dalamnya dilaksanakan hukum-hakam Islam dan keamanan itu berada di tangan orang Islam (autoriti), tanpa melihat apakah penduduknya beragama Islam, zimmi atau campuran. Tidak disyaratkan bahawa penduduk Islam itu adalah Islam kesemuanya” [Sarkhasi, Al-Masbut X/144; Kisai, Badai’Shana’i VII/ 131; Muhd Hassan Syarh Siyar al-kabir, V/ 2165]

Syarat utama dikatakan Negara Islam adalah berorientasikan ‘autoriti’ dan ‘perundangan’ di mana:-

1) Hukum-hakam (law/legal rulings) Islam diterapkan di dalam negara;
2) Keamanan (political authority) berada di tangan orang Islam

Darul Islam boleh menjadi Darul Kufur apabila telah zahir di dalamnya hukum-hakam kafir [Al-Masbut X/114; Badai’Shana’i VII/131].

Imam Al Buijarimi As Syafi’i menyebutkan bahawa,

“Darul Islam adalah negeri yang ditempati kaum Muslimin sekalipun di dalamnya ada orang Kafir Dzimmi (ahlu dzimmah), atau negeri yang dibebaskan dan ditundukkan oleh kaum Muslimin, atau dulu pernah dihuni kaum Muslimin kemudian dikuasai oleh kaum kafir” [lihat Hasyiyah Al Buijarimi Juz IV/220, Nihayatul Muhtaj IIX/184].

Syarat Negara Islam berasaskan pandangan negarawan mazhab Syafie, mendefinisikan Negara Islam berorientasikan hak milik tanah;

1) Negeri yang dihuni oleh kaum Muslimin; atau
2) Negeri yang dibuka oleh kaum Muslimin; atau
3) Pernah dihuni oleh kaum Muslimin tapi dirampas oleh kafir. (eg sekarang Singapore, India, Andalusia dsb).
 
Mazhab Hanafi sebenarnya membincangkan definisi Negara Islam sebagai sebuah autoriti Negara yang kita fahami hari ini, iaitu undang-undang dan jaminan keamanan, manakala Mazhab Syafie membincangkan Negara dalam konteks ‘bilad’ (negeri/tanah air). Malaysia, Singapura, Sumatera dan Indonesia yang mencakupi Nusantara adalah negeri/tanah air umat Islam, tetapi dari konteks ‘negara’, kesemuanya sekarang adalah negara kufur kerana tidak memenuhi dua kriteria utama iaitu hukum-hakam Islam dan keamanan (kuasa politik) di tangan umat Islam.

Justeru, konsep Madinah Baru yang diperkenalkan di Sumatera itu adalah satu konsep Negara yang menyeleweng dari pandangan Fikih Islam. Negara Islam Madinah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, adalah bersifat terbuka yang mana warga-negaranya terdiri dari kaum Muslimin, non-Muslim, Ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani dan terdapat juga kafir musyrik di dalamnya, tidak sebagaimana Negara Islam Madinah Baru yang ada di Sumatera sekarang. Negara Islam yang sebenar adalah Daulah Khliafah, sebuah entiti politik umat Islam yang diwariskan oleh Rasulullah kepada para Khulafa’ Rasyidin dan Daulah Khilafah ini pernah memerintah hampir dua per tiga dunia, tanpa di sembunyikan oleh mana-mana Khalifah di mana-mana zaman sekalipun, dan tanpa perlu masuk ke dalamnya dengan bertutup mata.