Sebaik-baik bantuan ialah bantuan daripada Allah SWT

Berita:

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) kelmarin menahan dana berjumlah AS$65 juta (RM257 juta) kepada agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu penduduk Palestin, dua minggu selepas Presiden Donald Trump mengugut untuk menyekat peruntukan seumpamanya di masa hadapan.

Beberapa pegawai Jabatan Negara AS berkata, keputusan itu bukan tekanan terhadap pemimpin Palestin. Sebaliknya, kata mereka, Washington mahu negara lain turut membantu menyumbangkan dana kepada Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) tersebut.

Namun, keputusan itu dibuat selepas perbalahan di belakang tabir antara pe­mimpin-pemimpin AS yang mahu memotong semua bantuan kepada Palestin dan pegawai-pegawai yang bimbang tentang impak kemanusiaan dan politik sekiranya ia berlaku.

Berita penuh: kosmo.com.my


Komentar:

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi menunjukkan kepada dunia sikap sebenarnya yang sangat memusuhi umat Islam. Terbaru Washington telah memutuskan untuk menyekat bantuan dana kepada UNRWA yang meyalurkan bantuan kepada Palestin. Bantuan tersebut sebenarnya telah disalurkan sejak dari 70 tahun yang lepas kepada Palestin melalui badan PBB.

Sesungguhnya, bantuan dana ini ialah satu bentuk penghinaan terhadap dunia umat Islam kerana Amerika Syarikat juga dalam masa yang sama merupakan negara pendokong terbesar rejim Zionis Israel laknatullah yang selama ini telah melakukan penjajahan dan pembunuhan ke atas nyawa umat Islam di Palestin selama puluhan tahun. Tidak selayaknya bagi Palestin dan seluruh dunia umat Islam mengiktiraf pemberian dari negara yang turut sama menghulurkan bantuan dan menjadi rakan baik kepada Israel.

Jika negara-negara umat Islam hari ini disatukan, dengan kekuatan sumber daya alam, gas mineral dan lain-lain lagi kekayaan yang tidak terkira banyaknya sudah mencukupi untuk menampung dan membantu negara umat Islam lain yang diperangi. Malah bukan sahaja kekuatan sumber daya alam, bahkan kekuatan ketenteraan yang dapat menandingi kuasa negara-negara besar yang lain jika disatukan.

Namun sayangnya, negara-negara umat Islam pada hari ini tidak bersatu, sebaliknya berpecah belah menjadi lebih dari 50 buah negara bangsa, bahkan kita tahu bahawa sesungguhnya penguasa-penguasa umat Islam yang ada sekarang ini juga tidak lain hanyalah boneka yang telah dipegang tengkuknya agar tidak berdaya melakukan satu langkah pun untuk bangkit dan melawan ‘tuan’ mereka.

Tidak selayaknya umat Islam mengharapkan lagi bantuan dari negara yang menjadi tali barut dan teman baik kepada musuh kita. Tangan yang berdarah membunuh umat Islam juga ialah tangan yang memberikan bantuan seolah-olah kononnya turut sama bersimpati dengan penindasan yang dialami oleh umat Islam di Palestin. Walhal ini semua merupakan tipu daya dan karut belaka!. Inilah bentuk penghinaan yang terang lagi nyata.

Umat Islam perlu kembali sedar bahawa tidak ada bantuan lain lagi yang lebih baik dan mulia di sisi Islam, melainkan bantuan daripada seorang Khalifah yang akan menjadi pelindung dan perisai kepada seluruh umat Islam. Inilah bantuan hakiki, bantuan daripada Allah SWT yang sebenar jika kita sedar dan berusaha untuk mengembalikannya mengikut manhaj kenabian.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka” [TMQ ar-Rad (13): 11].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong [agama] Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47): 7].

Abu Syamil
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia