Ketentuan Baik dan Buruk Hanya Daripada Allah

KUALA LUMPUR, 5 Apr – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai satu keputusan yang baik.  Beliau juga menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengkaji semula ISA sebagai satu lagi keputusan yang baik.   “Saya pasti masanya telah tiba untuk tahanan ISA berkenaan dibebaskan.    “Jadi Perdana Menteri membebaskan mereka dan ia merupakan satu tindakan baik yang diambil oleh beliau. Ini merupakan keputusan yang baik,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia, 05/04/09

Ketentuan Baik dan Buruk Hanya Daripada Allah

Hakikatnya, baik atau buruk sesuatu itu hanya boleh ditentukan oleh syara’. Realiti atau gerak hati tidak layak menjadi asas kepada baik atau buruknya suatu keputusan.  Firman Allah SWT: “kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. [TMQ al-Baqarah(2):216].

Adalah sesuatu yang pelik dan mengejutkan apabila Tun Pak Lah mengatakan tindakan Najib adalah baik. Kenapa pelik? Kenapa satu kejutan? Kerana Tun Pak Lah tidak merebut “kebaikan” tersebut semasa dia berkuasa sedangkan dia sebenarnya ketika itu ada “kuasa” untuk meraih kebaikan, terutamanya “kebaikan” yang disebutkannya seperti di atas. Firman Allah SWT: “berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan” [[TMQ Al-Baqarah(2):148].  

Persoalannya, apakah benar keputusan membebaskan tahanan ISA itu suatu keputusan yang ‘baik’? Dari sudut pandangan Islam, ISA itu sendiri adalah haram. Selagi ISA masih wujud, selagi itulah tidak ada kebaikan padanya. Maka untuk itu pembebasan tahanan itu sebenarnya tidak boleh dilabelkan sebagai baik selagi akta itu sendiri tidak dihapuskan. Hakikatnya, kezaliman dan kekejaman yang berleluasa hari ini sebenarnya lahir dari sistem kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah saat ini. ISA adalah haram disisi Islam. Oleh itu apa sahaja yang muncul darinya adalah manifestasi kezaliman dan bukannya kebaikan.