Sebuah Keluarga Bermula Dengan Pernikahan

Oleh: Hidayah Muhammad

Muqadimah

Allah SWT menciptakan manusia di dunia ini dengan tujuan murni, sebagai ladang untuk menuai hasil di akhirat kelak. Memakmurkan dunia ini pasti dengan sejumlah manusia yang mana Rasulullah saw berbangga dengan umatnya yang ramai. Proses bermula dengan pemenuhan naluri yang dianugerahkan oleh Allah swt kepada setiap manusia iaitu Gharizah An-Nau (naluri melestarikan keturunan). Naluri ini menimbulkan kecenderungan kepada lawan jenis. Allah SWT juga telah memberikan aturan tentang bagaimana untuk mengatur naluri ini iaitu dengan memiliki pasangan yang sah iaitu dengan pernikahan.

Pernikahan di dalam Islam adalah suatu ikatan suci, yang menghalalkan yang haram dengan menyatukan lelaki dan wanita agar dapat hidup bersama. Firman Allah SWT:

 “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawa); dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan wanita yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah dengan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” [TMQ: An-Nisa (4): 1]

Tujuan Pernikahan

Penikahan merupakan fitrah yang Allah SWT anugerahkan kepada manusia, baik lelaki mahupun wanita. Menurut Islam pernikahan bukanlah atas tuntutan nafsu semata, tetapi atas tuntutan agama supaya naluri melestarikan keturunan disalurkan dengan cara yang dibenarkan syarak dan dapat mengelak dari melakukan maksiat dan keharaman.

Oleh itu bermula dengan akad nikah sehingga menjalani kehidupan berumah tangga, hendaklah sentiasa berusaha untuk menjaga segala peraturan Allah SWT berjalan dalam kehidupan rumah tangga mereka. Inilah pentingnya pasangan suami isteri untuk memahami hakikat kehidupan dalam berumah tangga iaitu kehidupan persahabatan antara suami isteri, memahami tujuan perkahwinan dan memahami peranan dan tugas masing-masing dalam kehidupan berumah tangga.

Dan dalam kehidupan berumah tangga setiap pasangan saling memberikan ketenangan antara satu dengan lain. Inilah anugerah yang Allah SWT berikan kepada setiap pasangan sehingga kedua-duannya saling memberikan ketenteraman, ketenangan dan kasih sayang (sakinah, mawaddah, warahmah) dan inilah impian bagi setiap pasangan yang berumah tangga. Firman Allah SWT,

 “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram, dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TMQ: Ar-Rum (30):21]

Persediaan Menuju Gerbang Pernikahan

“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia.” [HR: Bukhari dan Muslim]

Daripada hadis ini, dinyatakan kriteria utama pemilihan wanita untuk dinikahi adalah kerana agamanya. Demi memastikan pendidikan dan ilmu agama yang mantap, sudah pasti seorang wanita perlu mempersiapkan diri sebelum melangkah ke dalam kehidupan berumah tangga.

Antara perkara yang dilakukan oleh seorang wanita sebelum masuk ke gerbang pernikahan adalah memahami tujuan bernikah, berusaha untuk menjadi wanita solehah dengan menjaga kesucian dan kehormatan diri (iffah wa izzah). Persediaan dengan ilmu agama iaitu membekali diri dengan pemahaman Islam dengan belajar dan mengkaji, maka pemahaman tentang Islam dapat mendorong seseorang untuk terikat dengan hukum syarak. Inilah keperibadian yang unik yang muncul ketika seseorang menjadikan pola fikir dan pola sikap sesuai dengan landasan Islam dengan menjadikan hukum syarak sebagai tolok ukur (miqyas) dalam berfikir dan bertindak.

Kewajipan Dan Tanggungjawab Suami Kepada Isteri

Dalam kehidupan berumah tangga seorang suami wajib memahami tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Selain kewajipan memberikan nafkah (makan, pakai, tempat tinggal) terdapat kewajipan yang sangat penting iaitu mengajarkan dan mendidik isteri tentang kewajipan-kewajipan dalam agama. Kerana fungsi seorang suami juga sebagai seorang pemimpin (qawwam) dalam keluarganya. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.” [TMQ: At-Tahrim (66):6]

Kepimpinan suami dalam rumah tangga bermaksud ketua dan pendidik bagi wanita ketika isteri menyimpang/melakukan kesalahan. Inilah peranan suami untuk mendidik isteri. Namun jika suami tidak mampu untuk mengajarkan ilmu agama kepada isteri maka suami hendakalah mencari seorang guru atau ustazah yang boleh mengajarkan ilmu agama kepada isterinya. Suami juga boleh memberi keizinan kepada isteri untuk mengikuti majlis ilmu (pengajian) sehingga isteri boleh belajar ilmu agama.

Syeikh Abdul Adzim al-Badawi menyatakan, “Hak isteri yang menjadi kewajipan suami adalah suami mengajarkan isteri perkara-perkara dharuri (yang wajib diketahui) berkaitan dengan ilmu agama, atau suami mengizinkan isteri untuk menghadiri majlis ilmu. Keperluan isteri untuk memperbaiki agamanya dan membersihkan (menyucikan) jiwanya tidaklah lebih remeh dibandingkan keperluan isteri terhadap makanan dan minumman yang wajib dipenuhi oleh suami.”

Inilah hak isteri dan kewajipan suami dalam mendidik dan mengajarkan isteri berkaitan ilmu agama,  sebab implikasinya ibu yang berpengetahuan tinggi ilmu agamanya akan mendorong anak-anak turut beramal dengan agamanya. Disebabkan hal ini, seorang wanita wajib sentiasa menuntut ilmu dan berusaha untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan belajar untuk menjadi ibu yang terbaik bagi anak-anaknya sesuai dengan kehendak agama yang mulia ini.

Khatimah

Pernikahan itu dikatakan sebagai ibadah paling panjang yang dijalani oleh seorang manusia. Oleh kerana pernikahan itu melengkapkan separuh agama, maka setiap individu wajib memiliki ilmu agama sebagai bekal untuk mengharungi kehidupan berumah tangga.

Apatah lagi untuk menjadi ibubapa yang baik, ia bukan sesuatu yang mudah. Namun hanya dengan ilmu barulah kita dapat mendidik anak-anak dengan baik. Tugas mendidik anak adalah satu proses yang berterusan dan impian setiap pasangan adalah mendidik anak-anak supaya mereka  menjadi anak yang soleh solehah.

Untuk membentuk keluarga yang Islami, maka perlu memahami proses bagaimana untuk membentuk keluarga yang benar iaitu dengan landasan Islam, kerana selamat atau tidak sebuah keluarga sangat bergantung kepada keduanya. Selain masyarakat, ibubapa (suami isteri) inilah merupakan faktor yang dominan yang akan menentukan bentuk dan corak sebuah keluarga.

Wallahu alam bishawab.

Rujukan

Buku Fikih rumah tangga pedoman membangun keluarga bahagia, Syamsudin Ramadhan

Buku Sistem pergaulan dalam Islam, SyeikhTaqiyudin An-Nabhani

https://muslimahhtm.com/2023/01/04/wahai-para-suami-mendidik-isteri-adalah-kewajipanmu