Segerakan SOP Solat Jumaat Daripada Terus Menutup Masjid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli al-Bakri menyatakan dalam sebuah kenyataan baru-baru ini, bahawa tidak dikira sebagai munafik sekiranya seseorang itu tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut dalam situasi wabak Covid-19. Kenyataan ini mungkin keluar setelah timbul keresahan dan persoalan dalam kalangan sebahagian umat Islam berhubung kewajipan menunaikan fardhu ain tersebut, kerana terdapat hadis yang melarang tegas meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa ada keuzuran.

Kita semua tahu yang keputusan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu dibuat ekoran keputusan kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April nanti. Kita juga tidak menolak kemungkinan bahawa fatwa Menteri tersebut adalah dalam rangka untuk membalas balik hujah mereka yang berpandangan bahawa kewajipan solat Jumaat tidak gugur dalam situasi wabak ini.

Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu ar-Rasytah adalah antara yang berpandangan bahawa solat Jumaat tetap wajib diteruskan walaupun dalam keadaan wabak, kerana tidak ada nas yang menggugurkannya. Sebuah kewajipan tidak akan gugur, kecuali jika ada nas yang menggugurkannya atau memberikannya rukhsah. Namun demikian, Amir Hizbut Tahrir menegaskan bahawa dalam keadaan wabak, langkah-langkah pencegahan hendaklah diambil sebelum menunaikan solat Jumaat seperti memakai topeng muka, menjaga kebersihan dan apa jua alat pelindung diri. Manakala mereka yang sakit dan mempunyai keuzuran sudah semestinya dikecualikan daripada kewajipan tersebut.

Apa yang dikesali ialah keputusan kerajaan dan majlis fatwa untuk meniadakan solat Jumaat telah dibuat dengan hujah yang keliru dan terdapat unsur ‘double standard’ dalamnya. Ini kerana, alasan mereka ialah untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan mencegah orang ramai daripada berkumpul. Dalam pada mereka tidak membenarkan orang ramai berkumpul di masjid, tetapi ‘perkumpulan’ orang ramai di pasar raya, kedai-kedai runcit, pejabat-pejabat penting yang masih beroperasi, termasuklah ‘berkumpul’nya polis untuk melakukan sekatan jalan raya dan melakukan pemantauan masih tetap dibenarkan.

Ya benar perkumpulan di tempat-tempat tersebut dilakukan dengan nasihat dan langkah-langkah keselamatan seperti memakai topeng muka, hand sanitizer, menjaga jarak dan seumpamanya, dan ini adalah Standard Operating Procedure (SOP) yang seharusnya dilakukan. Persoalannya, dan malangnya, kenapa SOP yang sama tidak boleh digunakan di masjid-masjid, yakni membenarkan umat Islam pergi ke masjid, dengan syarat umat Islam perlu mematuhi kesemua SOP keselamatan yang ditetapkan? Jika ke tempat yang mubah (harus) dibenarkan dengan SOP tertentu, kenapa ke tempat (masjid) untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat tidak dibenarkan, walhal boleh sahaja dibenarkan dengan mematuhi SOP yang sama?

Apatah lagi dengan perkembangan terkini khasnya dalam teknologi pengesanan jangkitan melalui Rapid Test Kit (RTK) dan penambahan pengetahuan mengenai rantaian penularan virus SARS-COV2 ini, seharusnya tidak ada lagi alasan untuk menghalang umat Islam daripada solat Jumaat di masjid. Dengan perkembangan ini, SOP yang lebih baik boleh dilaksanakan bagi membenarkan solat Jumaat dilaksanakan dengan cara yang selamat. Misalnya dengan mengehadkan bilangan jemaah di sesebuah kawasan dan dalam masa yang sama menyediakan lebih banyak lokasi untuk solat Jumaat, seperti surau-surau dibuka sepenuhnya untuk tujuan ini. Jika perlu, pasukan perubatan hendaklah disediakan untuk melakukan saringan atau langkah-langkah lain yang wajar.

Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan jika diletak pasukan perubatan di masjid-masjid (untuk tujuan solat Jumaat) bagi melakukan saringan, kerana langkah ini akan membebankan lagi anggota kesihatan yang sedang berhadapan dengan penularan wabak. Hujah ini, walaupun kelihatan masuk akal, namun tetap tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, langkah ini (meletakkan pasukan kesihatan untuk melakukan saringan) sesungguhnya merupakan langkah baik dan berkesan untuk mencegah penyebaran wabak, apatah lagi dalam keadaan ramai orang yang tidak melakukan saringan seperti sekarang.

Saringan seumpama ini, jika dilakukan di masjid-masjid tatkala orang ramai ingin menunaikan solat Jumaat, ia akan memberi kesan pencegahan yang lebih luas. Hal ini sejajar dengan pendapat pakar supaya lebih banyak saringan dilakukan berdasarkan strategi “test, trace, and treat” seperti mana saranan World Health Organisation (WHO). Kekurangan tenaga kerja tidak seharusnya menjadi alasan kerana solat Jumaat hanya dilakukan seminggu sekali. Jika benar sekalipun wujud kekurangan, maka di sinilah negara berperanan untuk memastikan hal ini dapat diatasi dengan segera.

Saringan bukanlah perlu dilakukan di semua masjid kerana tumpuan seharusnya ditujukan kepada lokasi yang berisiko tinggi, manakala di lokasi yang belum ada wabak, ia boleh diabaikan dulu, dalam keadaan tidak cukup tenaga kerja. Dengan mengadakan ujian secara sistematik di lokasi seperti masjid, pastinya ia lebih praktikal dan dapat menjimatkan kos dari segi logistik. Inovasi dalam teknologi juga boleh dilaksanakan, misalnya dengan menggunakan booth khas bagi mengambil sampel daripada jemaah yang hadir.

Apatah lagi dalam keadaan sekarang, beberapa negara telah pun mencipta ‘terowong sanitasi’ bagi membunuh kuman, yang boleh mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan di samping langkah-langkah pencegahan sedia ada seperti penggunaan hand sanitizer dan pemakaian topeng muka. Langkah-langkah sebegini perlu dibuat oleh negara dengan bersungguh-sungguh, bukan sahaja bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga, dan langkah pencegahan boleh diambil terhadap penularan virus, malah yang lebih penting ia boleh diletakkan di masjid-masjid bagi membenarkan masjid beroperasi untuk solat Jumaat.

Maka, sudah tiba masanya untuk kerajaan, pakar-pakar perubatan, dan termasuklah Menteri Agama untuk segera tampil dengan SOP yang terbaik agar umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dengan selamat. Daripada bersungguh-sungguh mencari alasan dan nas-nas yang lemah untuk menghalang umat Islam melakukan kewajipan, lebih afdhal untuk semua pihak berwajib berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan kesemua langkah keselamatan, tanpa menutup masjid, bagi memastikan kita semua dapat menunaikan kewajipan kepada Allah dengan hati yang tenang.

Editor