Selamatkan Al-Quds Dengan Khilafah & Jihad al-Akbar

Keprihatinan umat Islam di Malaysia terhadap nasib yang menimpa Palestin kelihatan seolah-olah bermusim dan semakin dilupakan saban hari. Setiap kali tersebarnya berita tentang berlakunya serangan terkini dan kepungan oleh tentera rejim Zionis, maka barulah muncul suara-suara lantang berkempen membantah kezaliman entiti haram Yahudi ke atas umat Islam di sana.
Lantas kita pun bingkas menyertai kempen-kempen seperti boikot barangan keluaran syarikat yang pro-Israel, ‘flash mob’ solidariti Palestin dan juga propaganda lain seperti memijak bendera negara haram Israel. Terdapat juga sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cakna terhadap perkembangan di Palestin yang terus menerus menjalankan kutipan amal kebajikan bagi membantu penduduk Palestin membina semula prasarana dan penempatan yang telah musnah dihancurkan oleh entiti haram Yahudi itu. Para penguasa kaum Muslimin pula tidak ketinggalan untuk berlumba-lumba dalam mengeluarkan kenyataan kecaman dan bantahan terhadap serangan Israel serta membawa isu tersebut ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan harapan agar badan dunia tersebut dapat melakukan sesuatu untuk menamatkan kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Palestin. Mereka berusaha untuk mencari jalan penyelesaian melalui meja-meja rundingan agar kompromi dapat dicapai bagi mewujudkan keamanan antara kedua-dua belah pihak.

Namun, kitaran kemusnahan dan penderitaan umat di Palestin tetap terus berulang saban tahun dan penyelesaian yang sama turut diketengahkan setiap kali berlakunya serangan daripada rejim Zionis. Penderitaan umat Islam di Palestin tetap tidak pernah berakhir, bahkan saban tahun entiti Yahudi menjadi semakin berani untuk bertindak sesuka hati kerana mereka yakin bahawa dunia tidak akan mampu untuk menyekat mereka.

Kebiadapan mereka semakin parah apabila mereka bertindak mencemari kesucian Masjid al-Aqsa serta menutup masjid tersebut pada 30 Oktober lalu. Terdahulu, tentera dan polis Yahudi telah bertindak menyerang penduduk Palestin sehingga menyebabkan sebilangan penduduk Palestin terkorban manakala berpuluh-puluh orang termasuk kanak-kanak dipenjarakan. Sementara itu, pelampau Yahudi pula telah bertindak mencerobohi masjid tersebut di bawah perlindungan ketat pihak bersenjata Yahudi.[1] Mereka berusaha untuk membahagikan Al-Quds kepada dua iaitu sebahagian kepada penganut Yahudi sementara sebahagian lagi kepada umat Islam. Perancangan tersebut ternyata mencabuli kesucian masjid ketiga terpenting buat umat Islam ini. Tindakan tersebut semakin menjurus ke arah merealisasikan hasrat mereka yang ingin meruntuhkan masjid al-Aqsa lalu membina kuil Yahudi di atas tanah suci bagi tiga agama wahyu utama dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi itu.

Wahai kaum Muslimin, sampai bilakah kita ingin terus membiarkan saudara seakidah kita di sana hidup menderita di bawah penjajahan entiti haram Yahudi? Tergamakkah kita membiarkan kesucian Masjid al-Aqsa terus dinodai oleh kaum Yahudi yang dilaknat oleh Allah dan Rasul ini? Masihkah kita ingin bergantung harap kepada badan-badan assabiyah dunia seperti OIC dan Liga Arab yang gagal mencapai penyelesaian terhadap kemelut yang melanda? Atau adakah kita masih lagi tersilau dengan ilusi negara Palestin ‘merdeka’ yang berasaskan negara bangsa yang kini sudah tinggal sebesar sekangkang kera yang pada hakikatnya negara khayalan tersebut ternyata langsung tidak berdaulat serta dipaksa tunduk sepenuhnya kepada percaturan entiti haram Yahudi? Penyelesaian dua-negara (two-state solution) yang berasaskan sempadan 1967 (green line) juga merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam kerana secara tidak langsung kita telah mengiktiraf pendudukan haram Israel ke atas tanah yang dijajah semenjak 1948 sehingga 1967, sekaligus menafikan hak-hak penduduk asal Palestin terhadap wilayah tersebut.

Dalam pada itu, terdapat sebahagian pihak yang bergantung harap pada PBB untuk mencari jalan perdamaian dalam isu ini seolah-olah melihat ada ‘harapan yang cerah’ lebih-lebih lagi semenjak Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) baru-baru ini. Namun tidakkah mereka sedar bahawa PBBlah merupakan badan dunia yang melahirkan negara haram Israel dan mengiktiraf kewujudannya dalam peta dunia pada hari ini? Bahkan melalui kuasa veto yang ada pada Amerika Syarikat, beratus-ratus resolusi yang menggugat kepentingan Israel telah disekat dengan mudah begitu sahaja. Pada hakikatnya, PBBlah merupakan badan kufur yang selama ini melestarikan kewujudan negara haram Israel dan yang menghalalkan segala tindakan negara haram tersebut. Justeru, sungguh menghairankan mengapakah umat Islam masih lagi ingin terus bergantung harap kepadanya?

Penyaluran bantuan yang dianggap sebagai ‘penyelesaian’ melalui bantuan makanan, pakaian, bahan binaan dan dana yang dikumpul oleh badan-badan kebajikan NGO selama ini juga sekali-kali tidak akan mampu untuk menamatkan kitaran keganasan yang menimpa penduduk Palestin. Walaupun sumbangan tersebut sangat diperlukan bagi meneruskan kehidupan seharian, namun bantuan sedemikian hanya bersifat jangka pendek dan ia bukan merupakan penyelesaian yang tuntas untuk menamatkan penjajahan dan kezaliman entiti haram Yahudi. Bantuan sebegini sekali-kali tidak akan dapat menghalang dan menghentikan peluru-peluru, bom-bom dan peluru berpandu daripada terus membunuh umat Palestin. Kempen kesedaran dan kutipan dana merupakan antara perbuatan yang terpuji, namun kita tidak sewajarnya berhenti setakat itu sahaja. Bahkan usaha kutipan ‘dana kebajikan’ secara berterusan semata-mata boleh menyebabkan seseorang itu berandaian bahawa ia telah menjalankan peranannya sehingga mengabaikan kewajipannya yang lebih utama iaitu memuhasabah para penguasa agar bertindak melakukan pembelaan. Kempen boikot juga tidak akan mampu memberikan impak sekiranya ia sekadar dilakukan secara bermusim dan di peringkat individu semata-mata, sedangkan negara-negara kaum Muslimin masih lagi meneruskan urusan perdagangan antarabangsa dengan negara haram Israel sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Inilah antara bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam di Palestin yang wajib dimuhasabah terhadap pemerintah yang ada di samping keengganan mereka untuk mengerahkan ketumbukan ketenteraan bagi membebaskan Palestin.[2]

Sehubungan itu, Hizbut Tahrir selaku sebuah parti politik Islam global secara konsisten telah menyatakan bahawa kemelut yang melanda umat Islam di Palestin dan juga segenap pelusuk dunia Islam akan hanya dapat diselesaikan dengan tuntas melalui penegakan semula Daulah Khilafah atas manhaj kenabian. Khilafah adalah satu-satunya entiti politik yang akan menyatukan seluruh umat Islam merentasi sempadan palsu nasionalisme serta menerapkan syariat secara kaffah dan melancarkan jihad al-akbar bagi membebaskan seluruh umat Islam yang tertindas. Inilah penyelesaian sebenar yang akan mampu menamatkan kitaran ganas yang menimpa umat Islam di seluruh dunia serta kembali memartabatkan Islam dan umatnya di persada dunia. Justeru, marilah bergabung dengan Hizbut Tahrir dalam rangka merealisasikan matlamat yang mulia ini. Semoga Allah menyegerakan kembalinya Khilafah Rasyidah sepertimana yang telah dijanjikan. Allahumma amin.

Sumber:
[1] Al-Aqsa vandalised and sacrileged– will Malaysia act?


[2] Al-Quds is bleeding, Masjid Al-Aqsa is crying while the Palestinian Authority and Rulers Conspire with the Jewish Entity