Semarakkan Budaya Judi Di Bulan Ramadhan???

Baru empat hari umat Islam menjalani ibadah puasa Ramadhan. Namun dikejutkan dengan berita tentang sebuah video berdurasi dua minit yang berlegar-legar di media sosial memaparkan iklan judi bertemakan persiapan menyambut hari raya Aidilfitri. Video tersebut dikatakan dikeluarkan oleh sebuah syarikat perjudian, turut memaparkan beberapa pelakon dipercayai beragama Islam. (1) Sudah semestinya hal ini mengundang kemarahan ramai pihak dari kalangan kaum Muslim kerana ia dianggap menghina umat Islam secara terbuka, walhal judi adalah aktiviti yang sudah jelas haram dalam agama Islam. Lebih-lebih lagi bila ada umat Islam sendiri menyertai lakonan tersebut dan seolah-olah mempersendakan hari Aidilfitri, perayaan mulia dalam agama Islam.

Persoalannya, apa sudah jadi? Penghinaan dan pencemaran yang terjadi dalam bulan suci umat Islam ini dilakukan dengan berani oleh sang kapitalis. Ada beberapa perkara yang boleh dipelajari dari peristiwa ini:

Pertama, judi berleluasa dalam pelbagai bentuk permainan, sukan, pertandingan dan lain-lain pada hari ini. Walaupun jelas haram bagi umat Islam, namun masih ada yang terjerumus. Mengapa? Kerana sistem hari ini yang meletakkan halal haram pada perundangan dan perlesenan, yang tidak bersendikan pada syariat. Justeru, pelaksanaan syariah dalam mengekang keharaman dan kemungkaran tidak dapat direalisasikan. Sekaligus, menjadikan permainan judi dan segala bentuk lainnya ternormalisasi dalam kehidupan masyarakat. Penguasa dan puasa tidak dapat menjadi perisai kepada ummah, ketakwaan tidak menjadi elemen yang membentuk persekitaran ummah, maka ummah rentan terdedah pada segala macam kemungkaran. Semuanya kerana sistem dibina dari demokrasi yang bersendikan kebebasan sekular.

Kedua, inilah gambaran sebahagian masyarakat yang hidup jauh dari tuntutan syariat. Kita menjalani ibadah puasa Ramadhan, namun jika seseorang Muslim terjebak dengan hal yang haram seperti judi untuk meraikan Aidilfitri, bermakna puasa yang sepatutnya membina ketakwaan itu telah pun sirna, menjadi sia-sia.

Ketiga, perayaan menjadi sekadar kegembiraan dunia dan diraikan dengan nilai-nilai hedonisme dan materialistik. Bukan lagi sebagai ibadah, walhal perayaan dalam Islam seperti Aidilfitri dan Aidiladha adalah dua perayaan mulia yang merupakan sebahagian dari tututan ibadah. Maka meraikannya tidaklah sama seperti meraikan keraian lain.

Keempat, ingatlah, realitinya #judi apa pun bentuknya mendatangkan keburukan kepada manusia secara umum. Bukan kepada umat Islam sahaja, bahkan kepada non Muslim juga. Lihat berapa banyak rumah tangga berantakan kerana gila judi, berapa ramai dilema masalah kewangan kerana judi, permasalahan moral dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya Allah SWT telah jelas mengharamkan judi apa pun bentuknya. Maka wajib bagi kaum Muslim meninggalkannya, mencegahnya dan wajib pula bagi penguasa Muslim untuk tidak membenarkan sebarang bentuk aktiviti perjudian berlangsung dalam negara, dengan izin atau tanpa izin.

Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” [TMQ Al Maidah (5): 90]

Imam Malik rahimahullah menjelaskan tentang maysir dalam ayat di atas sebagai berikut:  “Maysir ada dua macam: (1)  bentuk permainan seperti dadu, catur dan berbagai bentuk permainan yang melalaikan, dan (2) bentuk perjudian, iaitu yang mengandung unsur spekulasi atau untung-untungan di dalamnya.” (Al Mawsu’ah Al Fiqhiyyah, 39:406)

Nampaknya, jalan menggapai kemenangan hakiki kian jauh dalam negeri ini selagi sistem demokrasi, sistem yang menyuburkan yang haram menjadi tunjangnya… Wallahua’lam.

Aliya Ab Aziz

(Lajnah I’lamiyah MHTM)

#judiituharam

Sumber berita:

Klip video lagu raya ajak judi online undang amarah orang ramai