Serangan Terbaru Ke Atas Kaum Muslimin Rohingya – Sampai Bila?

photo_2016-11-17_14-58-35Kezaliman ke atas kaum Rohingya diteruskan lagi oleh pihak tentera Myanmar. Pada 12 dan 13 November 2016 tentera Myanmar telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas kaum minoriti Rohingya.  Serangan roket udara dan meriam oleh tentera Myanmar secara bertalu-talu telah memusnahkan beberapa perkampungan di kawasan Utara Maungdaw, Arakan. Ribuan telah kehilangan tempat tinggal dan ratusan kaum Muslimin telah terbunuh dan tercedera akibat serangan terbaru ini.  Arakan Times (www.arakantimes.org) melaporkan bahawa tentera Myanmar  juga telah melakukan pelbagai jenayah terhadap kaum Musllimin Rohingya termasuk membunuh dan merogol kaum wanita.  Sehingga hari ini, pihak tentera Myanmar masih menjalankan operasi ke atas perkampungan Rohingya di kawasan tersebut.

Menurut laporan dari beberapa media antarabangsa, pihak berkuasa Myanmar mendakwa bahawa serangan ini dilakukan dalam usaha untuk memburu golongan militan setelah pejuang Mujahidin Rohingya dituduh menyerang beberapa pos kawalan di kawasan Maungdaw yang menyebabkan kematian beberapa anggota polis pada 9 Oktober 2016. Meskipun tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut, kerajaan Myanmar mempersalahkan kumpulan Mujahidin tersebut.  Sejak kejadian tersebut, konflik menjadi semakin getir. Pada 10 Oktober , 24 orang Muslim Rohingya di sebuah perkampungan terbunuh dalam sebuah operasi tentera Myanmar. 7 orang dilaporkan diseksa sehingga mati. Pada 17 Oktober tentera dan polis Myanmar dilaporkan melakukan pembunuhan secara rambang. 2 kubur besar yang dipenuhi dengan lebih 100 mayat orang awam Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak telah ditemui. Media Myanmar mendedahkan hanya 33 orang yang telah terbunuh, termasuk 4 orang anggota tentera , 29 suspek penyerang dan 2 orang wanita sahaja. Rejim Myanmar sekali lagi menuduh mujahidin Rohingya sebagai dalang pembunuhan ini. Akibat daripada pembunuhan beramai-ramai ini, ribuan penduduk Rohingya terpaksa meninggalkan perkampungan mereka. Malah lebih menyedihkan, Reuters telah melaporkan pada 28 September 2016 bahawa tentera Myanmar selain menyerbu perkampungan dan merompak, mereka turut merogol kaum wanita!

Selain dari pembunuhan beramai-ramai yang dijalankan oleh ekstrimis Buddha dan pihak keselamatan Myanmar, kerajaan Myanmar juga telah menghalang bantuan makanan dari masuk ke kawasan yang terlibat. Pada 26hb Oktober, wakil PBB di Myanmar, Yanghee Lee menyeru agar penyiasatan diadakan atas laporan mengenai pembakaran perkampungan dan pembantaian di Arakan dan pada 31 Oktober, Ban Kin Moon telah menghantar memorandum agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Arakan. Akhirnya pada 3 November, sekumpulan diplomat antarabangsa dibenarkan meninjau tempat kejadian namun tiada apa yang diperoleh dari lawatan tersebut. Pada 11 November, berlaku pertempuran antara tentera Myanmar dan kumpulan militan Rohingya di mana kedua-dua pihak mengalami kehilangan nyawa.

Meskipun pihak kerajaan Myanmar mendakwa bahawa konflik ini dimulakan oleh kumpulan mujahidin Rohingya, namun hakikatnya, apa yang diterima dari pelbagai sumber dalaman di Arakan menunjukkan bahawa ramai yang terkorban akibat dari serangan pada 12 dan 13 November terdiri dari kaum wanita dan kanak-kanak.  Oleh kerana rejim Myanmar tidak membenarkan mana-mana pihak media untuk membuat liputan secara langsung di Arakan, sumber berita yang diperoleh hanyalah datang dari media alternatif yang dipelopori oleh kaum Muslimin Rohingya. Rejim Myanmar selama bertahun lamanya telah cuba menghalang pihak luar dari memperoleh berita mengenai kedudukan kaum Rohingya di Arakan. Apapun, usaha ini tidak akan dapat menidakkan kekejaman dan pembantaian sistematik rejim Myanmar ke atas kaum Muslimin Rohinya di Arakan dan kejahatan mereka semakin terserlah baru-baru ini dengan serangan ganas ke atas umat Islam di Utara Maungdaw.

Penderitaan umat Islam Rohingya di bumi Myanmar telah bermula sejak abad ke-18 lagi di mana kaum kuffar berjaya menghancurkan wilayah Arakan yang sebelum itu aman di bawah pemerintahan Islam selama lebih dari tiga abad (1430 – 1748M). Puak kuffar bukan sahaja telah menduduki dan mencetuskan kekacauan di wilayah ini, tetapi turut membunuh kaum Muslimin khususnya para ulama dan pendakwah Islam. Mereka turut melakukan penindasan dan memusnahkan banyak binaan Islam seperti madrasah, sekolah dan masjid serta merompak hasil kekayaan wilayah Arakan. Penderitaan yang dilalui semakin parah setelah Muslim Rohingya dinafikan kerakyatan oleh junta tentera yang memerintah Burma (Myanmar – selepas 1989) yang menyebabkan mereka hilang segala hak untuk mendapatkan khidmat kesihatan, pendidikan, keamanan dan sebagainya. Kekejaman secara sistematik ini menyebabkan keadaan sosio-ekonomi Muslim Rohingya semakin terkebelakang berbanding etnik Myanmar yang lain. Lebih buruk dari itu, ekstremis Buddha dan rejim Myanmar bertindak membunuh mereka secara besar-besaran kerana bencikan Islam dan ingin memastikan yang penduduk Myanmar tidak menjadi Muslim.

‘Simbol demokrasi Myanmar’, Aung San Suu Kyi yang kononnya akan membawa perubahan kepada Myanmar dan keadaan kaum Muslimin Rohingya nampaknya hanya berlepas tangan dalam isu ini. Setakat ini, beliau masih enggan tunduk kepada desakan agar satu siasatan bebas dijalankan ke atas isu Rohingya ini.  Begitu juga dengan Amerika Syarikat yang sekadar menggalakkan rejim Myanmar untuk menyiasat insiden dengan cara menghormati proses dan kedaulatan undang-undang serta menyarankan supaya umat Islam bertenang dan memperbanyakkan sesi dialog apabila suasana telah aman. Pemimpin yang digembar-gemburkan oleh Barat sebagai pejuang keamanan dan pendukung demokrasi di bumi Myanmar ini ternyata hanya pandai menanam tebu di pinggir bibir sahaja apabila menyangkut isu Muslim Rohingya.

Sehingga hari ini, nasib umat Islam Rohingya ternyata tidak pernah dipedulikan oleh mana-mana pemimpin dunia, baik dunia Islam, apatah lagi dunia Barat. Walaupun sudah tidak terhitung jumlah yang mati dibunuh secara kejam dan jumlah yang menjadi pelarian, namun dunia tetap sahaja memejamkan mata. Walhal tatkala berlaku serangan pengganas yang  mengorbankan jumlah yang jauh lebih sedikit seperti di Paris dan Nice, seluruh pemimpin dunia memberi respons dan simpati seolah-olah itu adalah pembunuhan terbesar dan terkejam dalam sejarah dunia. Lebih dari itu, seluruh pemimpin dunia bersatu dan berjanji untuk menentang mana-mana kumpulan yang menjadi ancaman kepada keamanan dunia! Namun, berbeza halnya dengan respons mereka ke atas nasib Muslim Rohingya yang bukan sahaja tiada liputan atau simpati diberikan, sebaliknya golongan ini dibiarkan mati begitu sahaja tanpa pembelaan sedikit pun. Inilah sikap double standard para pemimpin dunia dan pemimpin dunia Islam apabila menyentuh isu umat Islam Rohingya. Sungguh, para pemimpin ini telah hilang maruah dan sifat malu mereka. Bagi para pemimpin umat Islam, bagaimana mereka sanggup membiarkan saudara seakidah mereka ini mati terseksa dan kebuluran dan mereka tidak mahu memandang isu Muslim Rohingya ini sebagai isu umat Islam yang wajib diberi perhatian dan diselesaikan segera. Apa yang terus dilontarkan oleh para pemimpin ini, terutamanya para pemimpin kaum Muslimin, sekiranya ada, adalah kutukan dan seruan hambar kepada pelbagai badan antarabangsa yang telah terbukti selama ini hanya mendiamkan diri ke atas kekejaman yang berlaku di Arakan. Kenyataan pada 15 November oleh Duta Khas OIC bagi Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar, yang mengutuk kekejaman tentera Myanmar dan menyeru PBB serta ASEAN untuk  mengambil langkah sewajarnya, sesuai dengan peruntukan yang termaktub dalam Piagam PBB adalah bagaikan menjerit kepada sebuah dinding batu. Muslim Rohingya tetap terus dizalimi dan darah mereka tetap terus tertumpah dek kerakusan dan kekejaman kaum kafir di Myanmar.

Wahai Kaum Muslimin! Muslim Rohingya wajib diselamatkan dari bumi Myanmar yang penuh kekejaman. Apa yang sepatutnya dilakukan oleh para pemerintah kaum muslimin saat ini adalah memberi tekanan kepada Myanmar agar menghentikan segala pembunuhan, kebiadaban dan kekejaman mereka terhadap kaum Muslimin Rohingya yang berada di bawah pemerintahan mereka. Sekiranya tekanan politik tidak diendahkan, maka jihad fi sabilillah dalam rangka menghapuskan kezaliman pemerintah Myanmar wajib dilancarkan bagi menjaga kehormatan dan kesucian darah umat Islam. Solusi inilah yang sepatutnya dilakukan oleh pemerintah kaum Muslimin bagi memastikan tiada lagi perlecehan terhadap kehormatan dan penumpahan darah serta pembunuhan ke atas umat Islam.

Apa yang berlaku ke atas Muslim Rohingya hari ini bukanlah sesuatu yang akan berlaku ketika dunia berada di bawah kekuasaan Khilafah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam di mana Negara Khilafah menafikan hak kaum Muslimin mahupun penganut agama lain. Sebaliknya, mereka dilayan dengan penuh kebaikan dan saksama bersesuaian dengan hak yang telah diberikan ke atas mereka sebagai warganegara. Masih segar dalam lipatan sejarah akan tindakan Khalifah Sultan Bayazid II yang membuka pintu bantuan bagi menerima dan melindungi kaum Yahudi yang diusir dan dizalimi oleh Ferdinand, Raja Katolik Sepanyol. Layanan yang sama juga diberikan oleh Khilafah terhadap kaum Yahudi di Turki setelah pembebasan kota Konstantinopel oleh Muhammad al-Fatih pada tahun 1453. Begitulah betapa mendesaknya keperluan kita kepada Khilafah bagi menyelamatkan kesemua saudara kita yang sedang tertindas di muka bumi Allah ini.