Seruan buat Kaum Muslimin untuk menerapkan Pemerintahan Islam di bawah Khilafah Rasyidah
[Teks ucapan Mahmut Kar yang disampaikan semasa Muktamar Online Rajab 1443H: Islam Kaffah Hanya Akan Terealisasi Di Bawah Khilafah pada 28 Rajab lalu].
Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh
Wahai kaum Muslimin!
Sesungguhnya agama Islam itu sempurna dan menyeluruh, ia mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ini kerana, Islam mengandungi semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbuatan manusia sebagai hamba Allah. Tidak ada satu pun perbuatan yang tidak ada hukumnya di dalam Islam.
Allah (swt) berfirman:
ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَٰمَ دِينًا
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan telah Aku redha Islam sebagai agama kamu” [Al-Ma’idah (5): 3].
Sepanjang sejarah Islam, tidak pernah ada seorang ulama’ pun yang mempertikaikan hakikat bahawa syariah Islam itu mengandungi segala hukum atas perbuatan manusia. Sistem pemerintahan Islam merupakan sebahagian daripada syariah Islam yang mengatur urusan umat, mengatur urusan pelantikan pemimpin, men-tabbani dan menerapkan hukum, juga mengatur hubungan di antara penguasa dengan rakyat serta hak dan tanggungjawab rakyat untuk memuhasabah penguasa.
Hakikatnya, Nabi (saw) telah mendirikan sebuah Negara untuk kaum Muslimin dan memerintah Negara berkenaan sehinggalah saat kewafatan baginda. Para Sahabat kemudiannya meneruskan pemerintahan baginda di bawah pimpinan Khulafa’ ar-Rasyidin dengan metode yang sama.
Wahai kaum Muslimin!
Bermula dengan adanya Daulah Islam yang didirikan oleh Rasulullah (saw), futuhat (pembukaan) telah berlaku selama beberapa kurun dan Islam tersebar luas di seluruh dunia melalui jalan dakwah dan jihad. Setelah kaum Muslimin mula meninggalkan ajaran Islam, meninggalkan dakwah dan jihad, dan tidak lagi mengambil perhatian terhadap ijtihad, kemerosotan lalu mula melanda.
Dengan diketuai oleh penjajah kafir British, Khilafah telah dihancurkan pada 28 Rajab 1342H bersamaan 3 Mac 1924M. Sejak peristiwa hitam itu, umat Islam telah menderita dengan pelbagai goncangan dan kesengsaraan yang sangat dahsyat. Umat Islam yang dahulunya bersatu di bawah satu negara dan di bawah seorang Khalifah, telah terpecah kepada lebih 50 buah negara. Hukum Islam yang dahulunya menjadi perlembagaan kita, telah diganti dengan hukum buatan manusia dari Barat yang dijadikan perlembagaan. Kaum Muslimin yang dahulunya melakukan futuhat dan menyebarkan kebaikan ke seluruh dunia, wilayah mereka kemudiannya telah menjadi semakin kecil dan terpecah-belah.
Kaum Yahudi telah menjajah, tanah Isra’ dan Mi’raj Palestin, dan dengannya mereka berjaya mencemari maruah seluruh umat Islam. Afghanistan, Iraq, Kashmir, Turkestan Timur (Xinjiang), Chechnya, Bosnia, Afrika, Syria dan berpuluh lagi wilayah umat Islam telah dijajah.
Wahai kaum Muslimin!
Hari ini, umat Islam dan seluruh dunia memerlukan pemerintahan Khilafah. Kini, dunia amat memerlukan kembalinya kegemilangan yang pernah dirasainya selama 13 abad. Hari ini, semua isyarat telah mengarah kepada hakikat bahawa dunia sedang bersedia untuk mengembalikan kegemilangan yang mulia ini. Sejarah akan pasti berulang. Khilafah akan kembali memancarkan cahaya Islam ke seluruh dunia.
Kaum Muslimin haruslah menjadikan cita-cita ini mengatasi segala yang lain demi mencapai redha Allah (swt). Seorang Muslim yang berusaha untuk mencapai tujuan ini dan hanya berfikir mengenai urusan ini, semakin jelas bahawa hari demi hari yang berlalu, kita sebenarnya semakin menghampiri (tegaknya) Khilafah.
Ini kerana, mereka yang berjuang menegakkan Khilafah telah tersebar ke seluruh dunia, dari satu benua ke satu benua, Alhamdulillah. Dari Indonesia ke Maghribi, dari Afrika ke Asia, dari Eropah ke Amerika, Khilafah telah dan sedang diperkatakan di mana-mana.
Wahai Saudaraku!
Sebagai Muslim, kita tidak seharusnya tertipu dengan sekularisme dan sistem demokrasi bawaan penjajah Amerika dan Barat yang diterapkan di tanah air kita. Kita tidak seharusnya bersetuju dengan kekufuran. Tidak kira apa pun, kita sebagai Muslim mesti mempertahankan ideologi Islam.
Kita sebagai Muslim, mesti berganding bahu untuk menegakkan Khilafah, yang akan menyebarkan Islam ke seluruh dunia sebagai cahaya dan petunjuk. Ingatlah bahawa Barat sudah tidak lagi mempunyai tatanan (order) baru atau apa-apa idea yang dapat menyibukkan (memalingkan) umat Islam.
Sesungguhnya era baru ini adalah era Islam dan umatnya. Ingatlah bahawa zaman ini adalah zaman (tegaknya) Khilafah ala minhaj nubuwwah. Ingatlah bisyarah (khabar gembira) dari Rasulullah (saw) bahawa Khilafah ala minhaj nubuwwah akan tertegak selepas berlalunya zaman kediktatoran. Sabda baginda,
“…Kemudian akan kembali Khilafah ala minhaj nubuwwah.”
Maka, berjuanglah untuk menegakkan Negara kalian (Khilafah), yang akan menjadi pembela Rasulullah (saw) dan kaum Muslimin. Inilah Negara yang akan mengeluarkan manusia dari kegelapan kekufuran menuju cahaya Islam. Negara yang akan menghentikan segala kekejaman, pembunuhan besar-besaran dan eksploitasi yang sedang dialami oleh umat Islam – negara Khilafah ar-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.
Islam Kaffah hanya terealisasi di bawah Khilafah!