Kemakmuran akan hanya kembali dikecapi di bawah sistem ekonomi Islam dalam bingkai Khilafah Rasyidah

[Teks ucapan yang disampaikan oleh Khamis Mwinyi dalam Muktamar Online Rajab 1443H: Islam Kaffah Hanya Akan Terealisasi Di Bawah Khilafah pada 28 Rajab lalu]

Islam, sebagai sebuah sistem kehidupan yang sempurna yang diturunkan oleh Allah (swt), Pencipta sekalian alam, manusia dan kehidupan, telah menyediakan aturan untuk semua urusan kehidupan manusia. Ajarannya tentang ekonomi telah disebutkan di dalam beberapa ayat Al-Quran.

Islam tidak menolak kekayaan material, malah memperakuinya. Firman Allah (swt):

[…أَمْوَالَكُمْ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا…]

“…harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai asas kehidupan…” [An-Nisa’ (4): 5]

Dan firman-Nya:

[…وَلاَ تَنسَ نَصِيبَكَ مِنْ الدُّنْيَا …]

“…dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi…” [Al-Qasas (28): 77]

Di dalam ayat yang lain, telah dijelaskan secara nyata bahawa apa sahaja yang ada di muka bumi, di lautan dan di langit yang diciptakan oleh Allah (swt) adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Sistem ekonomi Islam dibina di atas premis bahawa masalah utama ekonomi adalah isu pengagihan kekayaan. Firman-Nya:

[…كَيْ لاَ يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ …]

“…supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu…” [Al-Hasyr (59): 7]

Masalah ekonomi bukanlah disebabkan oleh kekurangan sumber, sebagaimana dakwaan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi Islam memberi fokus kepada masalah pengagihan sumber kekayaan terhadap setiap individu bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal, juga untuk memenuhi keperluan sosial iaitu pendidikan, keselamatan dan kesihatan, serta menyediakan insentif untuk mereka mendapat kemewahan hidup.

Berikut adalah bukti-bukti nyata kegemilangan ekonomi di bawah sistem pemerintahan Khilafah sebelum ia diruntuhkan pada 28 Rajab 1342H bersamaan 3 Mac 1924M:

  1. Khalifah Umar al-Khattab pernah menegur Walinya di Yaman, Muaz bin Jabal (ra), setelah Muaz menyerahkan (mengembalikan) kepada Umar 1/3 daripada harta zakat yang dipungutnya di Yaman. Umar berkata:

“Aku tidak mengutusmu untuk mengutip cukai, tetapi untuk mengutip (zakat) daripada yang kaya dan memberikannya kepada yang miskin.” Muaz menjawab: “Aku tidak akan mengembalikan apa-apa kepadamu jika aku menjumpai orang yang layak menerimanya (zakat).” Pada tahun kedua, Muaz mengembalikan separuh daripada harta zakat yang dipungutnya dan pada tahun berikutnya dia mengembalikan sepenuhnya harta zakat yang dipungutnya di Yaman kepada Khalifah (Umar) di Madinah, seraya menyatakan yang dia tidak menemukan seorang pun orang miskin yang layak menerima zakat.

  1. Pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, ekonomi negara sangat sejahtera sehingga tidak ada orang miskin yang layak menerima zakat. Situasi tersebut disahkan oleh wakil Umar bin Abdul Aziz ke Afrika (Tunisia) yang memungut zakat, namun gagal menemui seorang pun yang layak menerimanya. Beliau berkata “Aku telah membeli beberapa orang hamba daripada wang zakat dan membebaskannya.”
  2. Imam Abu Yusuf (ra) yang hidup di zaman Khalifah Harun ar-Rashid, telah menulis sebuah kitab fikih yang sangat berharga berkaitan hukum pertanahan, kewangan dan dasar fiskal negara, yang sehingga kini masih menjadi rujukan utama dalam bidang ekonomi Islam.

Semua ini berjaya dicapai di bawah sistem pemerintahan Islam. Berlawanan dengan sistem ekonomi Islam yang menumpukan kepada pengagihan kekayaan, sistem ekonomi kapitalis hanya memfokuskan kepada pengeluaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang selalunya diterjemah ke dalam bentuk KDNK. Namun gambaran yang diberikan ini sebenarnya palsu dan menipu. Realitinya, terdapat jurang yang sangat besar dalam pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat.

Teori “trickle down effect” (kekayaan yang mengalir ke bawah) yang sering dilaungkan oleh bijak pandai ekonomi Barat, adalah sebenarnya sebuah pembohongan yang nyata dan telah gagal untuk mengalirkan kekayaan kepada keseluruhan penduduk. Bukan hanya tidak mengagihkan kekayaan kepada golongan bawahan, ia malah menjadikan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Hal ini dapat disaksikan dengan lebih nyata lagi semasa pandemik Covid-19. Menurut Oxfam, setelah lebih 20 bulan berlakunya pandemik, 10 orang terkaya di dunia telah memperoleh peningkatan kekayaan sehingga 1.5 trilion, sementara 99% penduduk dunia pula telah mengalami penurunan pendapatan.

Setelah dunia menyaksikan kebangkitan Kapitalisme, kejatuhan sistem, dan dominasi dunia oleh kuasa penjajah, dunia Islam telah terpecah belah kepada puluhan negara bangsa yang hanya sinonim dengan perang, ketidakstabilan dan kemelaratan.

Para penjajah telah merampas tanah-tanah kaum Muslimin, menindas penduduknya, menjadikan kaum Muslimin sebagai hamba dan merampas hasil bumi mereka. Afrika tidak pernah dikenali sebagai sebuah kawasan yang miskin semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz (ra). Pembebasan daripada kemiskinan serta ketidakadilan pengagihan kekayaan, tidak akan dapat dicapai melainkan hanya dengan penerapan Islam.

Untuk menyelamatkan seluruh dunia daripada keadaan genting ini, dan untuk menghapuskan jurang kekayaan yang sangat luas di antara golongan kaya dan miskin, kita tidak memerlukan solusi tampal-sulam dari sistem kapitalis yang gagal; tetapi kita mesti menerapkan syariat Islam berkaitan ekonomi di bawah bingkai negara Khalifah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah, yang akan sekali lagi memimpin seluruh umat manusia ke arah dunia yang adil dan sejahtera, di bawah naungan Sistem Ekonomi Islam

Islam Kaffah hanya terealisasi di bawah Khilafah!