Seruan HTM di Perak
IPOH, 5 Mac – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) cawangan Perak telah mengadakan bacaan seruan kepada umat Islam bersempena mengingati kejatuhan Khilafah Islam di perkarangan Masjid Kg. Melayu, Maju Rapat di sebelah pagi. Seruan yang dibacakan berkisar tentang kekhilafahan Uthmaniyyah yang telah dijatuhkan oleh usaha mungkar puak nasionalis Turki pada 3 Mac 1924 telah menarik orang ramai yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Beberapa anggota dan penyokong HTM yang datang turut menyertai rapat umum tersebut sambil memegang sepanduk-sepanduk yang tertulis ”Demokrasi Warisan Kufur, Khilafah Warisan Rasulullah”, ”Umat Menderita Tanpa Khilafah” dan kain rentang bertulis ”Khilafah adalah janji Allah dan kefardhuan”. Selain itu, edaran risalah rasmi HTM, Sautun Nahdhah berjudul ”Derita Umat Hanya Akan Terubat Dengan Khilafah” juga turut diedarkan kepada orang ramai. Seruan berakhir dengan HTM mempelawa orang ramai berusaha bersungguh dengan penuh keikhlasan bersama-sama HTM agar Khilafah kali kedua seperti yang dijanjikan Allah kembali tertegak di muka bumi ini.