Seruan Raja Abdullah Sangat Memualkan
MINA 18 Nov. – Penjaga Dua Kota Suci, Raja Abdullah hari ini menyeru umat Islam seluruh dunia agar mengenepikan perbezaan dan bersatu-padu. “Musim haji yang lalu saya berucap mengenai kepentingan dialog antara agama dan panggilan Arab Saudi itu disahut dengan baik oleh masyarakat antarabangsa. “Kali ini kita memerlukan dialog di dalam ummah supaya mengenepikan perbezaan, kejahilan dan sikap melampau yang merupakan penghalang utama orang Islam mencapai aspirasi,” kata Raja Abdullah dalam mesej kepada jemaah haji tahun ini. Katanya, keganasan yang mengancam dunia dikaitkan dengan Islam walhal ia merupakan angkara ekstremis yang berada di luar ruang lingkup tolak-ansur dalam Islam. ”Dalang keganasan tidak mewakili sesiapa kecuali diri mereka sendiri dengan berselindung bertopengkan kesucian agama ini,” ujarnya.
Raja Abdullah meminta orang Arab dan umat Islam baik pemimpin dan rakyat agar berpegang kepada tali Allah dan mengenepikan perbezaan dan sikap berpuak supaya musuh ummah tidak dapat mengambil kesempatan. Mereka yang menganut agama, kepercayaan dan peradaban berbeza juga diminta mengecilkan perbezaan dengan memberi tumpuan kepada nilai yang dikongsi semua pihak. “Objektif saudara kamu di Arab Saudi adalah untuk mengekalkan kegemilangan Islam serta menawarkan perkhidmatan kemanusiaan untuk semua. Kami merasa optimistik dengan hasil daripada idea-idea ini untuk mengatasi keganasan.” ujar beliau lagi. Raja Abdullah menegaskan yang belau tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggugat keselamatan menunaikan ibadah haji kerana ‘keselamatan jemaah merupakan keutamaan yang tidak boleh dipandang ringan atau dilonggarkan’. – AGENSI
Sumber: Utusan Malaysia 19/11/10
Sangat Memualkan Apa Yang Dimuntahkan Oleh Raja Abdullah Penjilat Amerika
Apakah kita sebagai seorang Islam tidak merasa mual dengan seruan yang dibuat oleh boneka Amerika di atas? Si Penjilat Amerika itu tiba-tiba menukar wajah munafiknya menjadi pemimpin yang kononnya serius menyeru umat Islam agar bersatu-padu sempena musim haji kali ini sedangkan hakikatnya dia masih meneruskan dasar ashobiyyah keluarga Saud yang menjadi salah satu punca utama kejatuhan Daulah Islam 86 tahun yang lalu. Keluarga Saud terus menjadi pengkhianat dengan membenarkan Amerika membuka pangkalan tenteranya di Arab Saudi dengan tujuan untuk memudahkan tentera-tentera Amerika mengebom dan membunuh ribuan umat Islam semasa perang Teluk dan pencerobohan Iraq. Raja Abdullah dan keluarga Saud sudah tentu akan menerima pembalasan yang setimpal daripada Allah SWT di hari akhirat kelak atas pengkhianatan yang mereka lakukan itu.
Dari segi membolot harta umat pula, umum mengetahui bahawa Arab Saudi sangat kaya dengan hasil bumi. Namun, di sebabkan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri kalangan para pemimpin keluarga Saud, kekayaan minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk membantu umat Islam seluruh dunia itu mengalir deras ke Amerika padahal di negara umat Islam yang lain termasuk di negara Arab Saudi sendiri terdapat umat Islam yang hidup di dalam kemiskinan dan kedaifan. Namun disebabkan belenggu ashobiyyah, maka semua kekayaan minyak seolah-olah menjadi hak mutlak keluarga Saud dan tidak perlulah diberikan kepada yang lain. Tidak cukup dengan itu, beliau sendiri menjadi penghalang paling besar untuk umat Islam itu bersatu dalam konteks politik. Para pemimpin dunia umat Islam hari ini adalah boneka-boneka Barat yang berkhidmat dengan taat untuk tuannya bagi memastikan agar dunia umat Islam hari ini terus dipisah-pisahkan oleh sempadan negara-negara bangsa. Persoalan kesatuan ini tidak boleh dijawab dengan wujudnya OIC, Liga Arab mahupun D8 kerana kesemuanya itu hanya perkumpulan negara-negara umat Islam yang bersatu di atas satu maslahat tertentu dan bukannya bersatu di dalam kesatuan yang sebenar. Kesatuan yang sebenar hanya akan dicapai apabila umat Islam bersatu di bawah satu pemimpin, satu bendera, satu sistem dan satu wilayah. Apakah para pemimpin sekular umat Islam hari ini langsung tidak pernah peduli ataupun hati mereka, telinga mereka mahupun mata mereka telah mati, pekak dan buta sehinggakan mereka tidak tahu tentang kesatuan yang sebenarnya sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Bukahkah dahulu umat Islam Ansar dan Muhajirin disatukan oleh Rasulullah SAW di bawah kuasa politik Daulah Islam. Dan kesatuan umat Islam itu diteruskan kesinambungannya di bawah naungan Khilafah yang memayungi dunia Islam selama lebih dari 1300 tahun. Lalu, atas dasar apa Raja Abdullah menyeru umat Islam di seluruh dunia bersatu-padu? Seruan yang sungguh memualkan kerana beliau sendiri berlaku khianat kepada umat Islam baik di dalam urusan politik, mahupun membolot kekayaan minyak kaum muslimin.