Setahun Kerajaan Madani, Malaysia Tetap Sekular
Sudah menjadi tradisi di Malaysia untuk setiap kerajaan menyambut “hari jadi” ke-100 hari, dan juga hari jadi ke-setahun. Untuk tujuan propaganda, maka dibuatlah acara sambutan dan ucapan bagi mewar-warkan kejayaan kerajaan yang gilang gemilang selama satu tahun pemerintahan.
Itulah apa yang kita saksikan dengan kerajaan Madani sekarang di mana sambutan selama 3 hari berturut-turut diadakan di Stadium Bukit Jalil sempena meraikan ulang tahun pertama PMX naik ke takhta nombor satu negara. Pujian melambung diberikan oleh media terhadap sambutan 1 tahun ini.
Semasa pelbagai kritikan dan komen-komen negatif dilontarkan terhadap kerajaan pada 100 hari pertama pemerintahan, kerajaan atau pengampu mereka menjawabnya dengan cukup mudah iaitu “baru 100 hari” dan biasanya mereka membandingkannya dengan 100 hari pertama kerajaan-kerajaan sebelumnya, dengan menyenaraikan pelbagai pencapaian yang telah mereka perolehi.
Apabila telah genap setahun, selain propaganda yang sama dilakukan, mereka akan meminta rakyat untuk memberi ruang dan peluang kepada kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri sendiri, untuk membuktikan kelayakan dan kemampuannya untuk mengurus negara, kerana tempoh setahun masih belum mencukupi untuk membuat penilaian, kata mereka.
Apa pun alasan dan propaganda daripada pihak kerajaan atau penyokong mereka, sebagai Muslim, penilaian kita terhadap mereka sebenarnya cukup mudah iaitu di manakah Islam? Kita ingin melihat penerapan Islam, kerana kewajipan pemerintah ialah menerapkan Islam dalam pemerintahan, yang sekali gus bermaksud menghapuskan segala sistem dan undang-undang kufur yang sedia ada, digantikan dengan hukum Islam secara kaffah.
Walaupun kita memahami bahawa penerapan Islam tidak semudah ABC, tetapi setidaknya kita mahu melihat apakah usaha-usaha, atau sekurang-kurangnya apakah kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan, untuk membuktikan yang kerajaan akan menerapkan Islam.
Ternyata tidak ada! Malah tidak ada sejak hari pertama mahupun hari ke-100, dan hingga ke hari ini! Apa yang ada hanyalah usaha-usaha untuk mempertahankan dan mengekalkan sistem dan juga undang-undang sekular yang dihadiahkan oleh kafir British.
Maka, tidak salah jika ada yang menyatakan bahawa laungan “reformasi” telah mati, kerana hakikatnya tidak ada apa-apa reformasi yang rakyat saksikan. Dalam pemerintahan, muka-muka lama dikekalkan walaupun ada yang terpalit rasuah dan penyelewengan, manakala ada muka-muka yang kalah pilihan raya atau dengan kata telah ditolak oleh rakyat, juga diangkat menerajui kementerian.
Kes-kes mahkamah yang melibatkan “kawan-kawan” semuanya lepas, manakala “pelantikan politik” yang dahulunya ditentang kini menjadi amalan. Pelbagai janji yang ditabur semasa belum berkuasa, akhirnya “dicapati”, tidak ubah seperti perdana menteri-perdana menteri sebelumnya.
Dalam aspek polisi luar, kerjasama dengan Amerika, negara kafir harbi yang jelas-jelas mendukung entiti Yahudi tetap dipertahankan, malah semakin diperkukuhkan. Begitu juga kerjasama dengan China, rejim yang menzalimi Muslim Uighur, tetap diteruskan. Terbaru, di saat warga Palestin dibantai oleh penceroboh Yahudi, PMX menyatakan pendirian dan sokongannya sejak dulu mengenai penyelesaian dua-negara untuk Palestin dan entiti Yahudi, yang jelas merupakan pengkhianatan terhadap Tanah Palestin Yang Diberkati.
Sistem ekonomi kapitalisme masih tetap mendominasi negara. Kilang arak dan pusat-pusat judi masih terus beroperasi seperti biasa, sama sebagaimana perbankan ribawi, yang tetap sahaja menjadi tunjang perekonomian negara. Hakikatnya, tidak ada perubahan apa pun dari segi sistem dan undang-undang, yang sekali gus membuktikan kesetiaan PMX pada sistem dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah.
Rakyat bukan sahaja tidak menyaksikan perubahan, malah tidak kelihatan apa pun yang ingin diubah. Apa yang rakyat saksikan ialah retorik demi retorik yang dimainkan bagi menggambarkan imej Islam yang ada pada Perdana Menteri.
Jadi, selama setahun pemerintahan, diakui atau tidak, realitinya Malaysia tetap merupakan sebuah negara sekular; negara yang memisahkan agama daripada pemerintahan. Tidak ada perubahan dari segi status “kesekularan” negara ini sejak ia mula diberi kemerdekaan oleh British hingga kini, walaupun sudah diterajui oleh sepuluh orang Perdana Menteri.
Allah (swt) telah pun memberikan tempoh selama setahun kepada PMX, dan mungkin Dia akan melanjutkan tempoh tersebut untuk beberapa tahun lagi, untuk Dia melihat dan menguji makhluk-Nya yang sangat suka akan kekuasaan ini, sama ada kekuasaan itu akan digunakan untuk menerapkan hukum-Nya atau untuk meneruskan hukum British yang penuh dengan kekufuran dan kezaliman.
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak” [TMQ Ibrahim (14): 42].
Wallahu a’lam.