Setiap Yang Bernyawa Akan Pasti Merasai Mati

altSultan Johor mangkat

JOHOR BAHRU 22 Jan. – Sultan Johor,Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.  Almarhum mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu semalam kerana gering.  Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini pada pukul 11.20 malam.  Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera dan puteri.  Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.  Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.  Petang ini, putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.  Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.   Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.   Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Bahru, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.   Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.

Sumber : Utusan Malaysia, 23/01/10

Setiap Yang Bernyawa Akan Pasti Merasai Mati

Dunia adalah jambatan untuk menuju akhirat. Kehidupan di dunia ini adalah merupakan ujian bagi manusia untuk  Allah SWT menilai siapakah yang paling baik amalannya. Firman Allah SWT:

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. [TMQ Al Mulk (67) : 2]. 

Beruntung dan berbahagialah seseorang itu apabila  semasa hidupnya dia beroleh keredhaan Allah SWT dan celakalah bagi yang sebaliknya. Ketahuilah bahawa keredhaan itu hanya akan dapat dicapai apabila manusia melaksanakan seluruh kewajiban yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan sebaliknya akan mengundang kemurkaan Allah apabila memaksiati perintah Allah SWT.  Kehebatan makhluk yang bernama manusia bukanlah terletak pada gelaran yang disandangnya semasa hidupnya di dunia ini tetapi pada iman dan amal yang dilakukannya semasa di dunia.  Jika seseorang itu bergelar pemimpin maka kelak ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan amanah yang dipikulnya semasa di dunia. Sunnatullah telah mengungkapkan kepada kita bahawa betapa hebatpun seseorang itu di atas dunia ini, besar mana sekalipun kekuasaannya, lama manapun masa pemerintahannya, kedatangan ajal itu adalah suatu ketentuan yang tidak akan dapat ditolak sama sekali. Firman Allah SWT:

” di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh….”
. [TMQ An Nisaa’ (4) : 78].

Wahai para pemimpin umat Islam! Yasir Arafat sudah menenumi Tuhannya, begitu juga Raja Hussein, Saddam, Anwar Saddat, Tunku Abdurahman, Tun Razak, Tun Hussein dan lain-lainnya juga telah lama pergi menemui Tuhan mereka dan kini Sultan Johor. Samada para pemimpin ini memimpin mengikut apa yang ditentukan Allah atau tidak, kini, hanya Allah menjadi penentunya sekarang. Hanya Allah SWT sahajalah sebaik-sebaik pembalas perbuatan makhluknya. Setiap manusia akan dibalas setimpal dengan amal perbuatan yang dilakukannya semasa di dunia ini. Ingatlah pesan Nabi SAW:

Riwayat dari Ar-Tirmizi dan Muslim dari Amru bin Maimun r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah menyampaikan satu pelajaran kepada seorang lelaki dengan sabdanya yang bermaksud :

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara yang lain, iaitu masa muda mu sebelum datangnya hari tua, masa sihat mu sebelum datang masa sakit, masa kaya mu sebelum miskin, masa lapang mu sebelum datangnya waktu sibuk dan masa hidup mu sebelum datang saat kematian”.