Sidang Kemuncak KL: Mencari penyelesaian daripada pencetus masalah?

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang berlangsung dari 18-21 Disember memaparkan sebuah ironi yang memalukan buat umat Islam yang berkesedaran. Sidang ini diselubungi aib, di samping kelucuan, apabila objektif utamanya ialah untuk mencari penyelesaian yang melanda dunia Islam dan kaum Muslimin, sedangkan hakikatnya para pemimpin negara yang bersidang itulah yang sebenarnya merupakan punca kepada masalah itu sendiri!

Sidang kemuncak itu juga turut dilanda kontroversi apabila Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan membatalkan kehadirannya di saat akhir atas alasan cuba mengelak perpecahan umat Islam. Hal ini senada dengan komen Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz yang melahirkan kegusarannya dengan penganjuran sidang ini atas alasan agenda yang diketengahkan lebih baik dibincangkan melalui OIC (Persidangan Kerjasama Islam). Apa pun alasannya, baik Pakistan mahupun Arab Saudi, keduanya yang tunduk kepada Amerika, adalah antara penyumbang terbesar kepada masalah umat Islam.

Presiden dan wakil presiden Indonesia turut membatalkan kehadiran, sehingga Indonesia hanya menghantar Menteri Luarnya sahaja ke sidang kemuncak ini. Presiden Turki yang cukup terkenal dengan retoriknya, Recep Tayyip Erdogan mengotakan janjinya untuk datang di samping Emir Qatar, Tamim bin Hamad al-Thani. Manakala seorang lagi ketua negara yakni Hassan Rouhani, yang tidak kedengaran pengesahannya untuk hadir, akhirnya turut menunjukkan diri. Apa yang anehnya, tidak kedengaran satu bantahan pun dari Jabatan Agama Islam, khususnya Selangor yang sering menyesatkan Syiah dalam setiap khutbah Jumaat, akan kehadiran ketua negara Syiah ini.

Kelima-lima mereka merupakan wakil yang diharapkan untuk menjadi peneraju dalam menyelesaikan masalah dunia Islam serta mengembalikan kegemilangannya dalam sebuah langkah yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai inisiatif “Muslim-5”. Inisiatif ini merupakan cetusan ilham daripada Mahathir sendiri yang merupakan pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Apa pun nama persidangannya, hakikatnya ia hanyalah sebuah persidangan yang sama sebagaimana persidangan-persidangan antarabangsa sebelum ini, yang bukan sahaja tidak pernah menyelesaikan masalah, bahkan menjadi sebuah pengkhianatan ke atas umat Islam.   Sama sahaja seperti banyak persidangan dan dialog yang dianjurkan melalui platform OIC, Liga Arab atau Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) yang berdekad lamanya duduk bersidang, hakikat yang berlaku ialah masalah umat Islam semakin banyak dan parah. Kenapa? Sebabnya tidak lain, kerana mereka yang duduk bersidang (para pemimpin umat Islam) tersebut, merekalah yang merupakan punca kepada segala masalah!

Apa yang lebih ironi dalam persidangan kali ini ialah apabila Presiden Iran turut diundang, walhal tangannya masih berlumuran dengan darah umat Islam yang ditumpahkannya di Syria.  Hasan Rouhani sudah diketahui mempunyai rekod buruk, terutama dalam konflik di Syria dan Iraq. Persekongkolan Iran dengan Turki dan Rusia dalam mengukuhkan kedudukan rejim Bashar al-Assad di bawah arahan dan restu Amerika terlalu nyata sehingga orang buta pun mengetahuinya.

Kerjasama tiga negara tersebut – Iran, Turki dan Rusia yang masih kekal hingga sekarang mengakibatkan perjuangan umat Islam di Syria dalam menentang kejahatan Bashar menemui kegagalan, dan lebih menyedihkan ribuan nyawa yang tidak berdosa telah melayang kerana persekongkolan mereka. Ini sahaja sudah cukup menjadi bukti bahawa para pemimpin yang bersidang di Kuala Lumpur ini bukan sahaja tidak layak untuk membincangkan penyelesaian bahkan merekalah yang menjadi punca kepada masalah umat Islam.

Erdogan yang dianggap hero oleh banyak pihak, hingga kini masih menjalin hubungan baik dengan Amerika dan entiti haram Yahudi, malah ketundukannya kepada negara kafir itu sangat jelas kepada siapa sahaja yang boleh melihat. Retorik pemimpin Turki itu memang mampu memukau dunia, sehingga gunung-ganang pun boleh bergegar kerananya. Namun realitinya umat Islam di Turki sendiri tidak pernah dapat keluar dari masalah, malah umat Islam serta gerakan Islam yang ingin mengembalikan kegemilangan Daulah Khilafah yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan Turki, turut dijadikan musuh oleh Erdogan. Dalam lakonannya menghentam entiti haram Yahudi (“Israel”), dalam masa yang sama Erdogan meneruskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan musuh Islam itu.

Qatar turut mempunyai rekod prestasi yang buruk. Dalam membuat persiapan untuk penganjuran Bolasepak Piala Dunia 2022, Qatar dilaporkan dicemari dengan eksploitasi terhadap pekerja luar melalui ‘sistem kafala’ yang diamalkan dalam projek-projek pembangunan infrastruktur. Penganjuran piala dunia itu sendiri menunjukkan betapa Qatar tidak mempedulikan masalah umat Islam kerana ternyata ia mengutamakan “hiburan” yang melalaikan ini di saat umat Islam masih bergelumang dengan pelbagai masalah.

Manakala Indonesia, negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia, merupakan sebuah negara yang penduduk Muslim di dalamnya mempunyai bermacam masalah yang cukup kronik dan amat menyedihkan. Dalam perkembangan terkini, kementerian agama republik tersebut telah memutuskan untuk mengeluarkan subjek mengenai khilafah dan jihad daripada silibus pembelajaran di negara tersebut. Dalam pada itu, pemerintah Indonesia yang diterajui Jokowi turut menjadikan projek “deradikalisasi” dan isu keganasan sebagai alasan untuk menghalang kebangkitan Islam dan menyimpangkan umat Islam di sana daripada kefahaman yang benar mengenai Islam. Usaha sedemikian adalah selari dengan kehendak Amerika Syarikat yang mahu “menghapuskan” jihad dan kekhuatiran negara Uncle Sam itu dengan apa yang dinamakan sebagai “Islam Politik” (political Islam) – suatu yang dilihat boleh mengancam hegemoni Amerika.

Bagaimana pula dengan Malaysia sendiri? Lihat sahajalah apa yang terjadi di sekeliling kita, baik setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan mahupun sewaktu Barisan Nasional berkuasa selama lebih enam dekad dahulu. Pernahkah umat Islam di Malaysia berjaya keluar dari masalah hasil usaha atau kebijakan kerajaan? Apa yang pasti sekularisme semakin kukuh, agenda liberalisme semakin menular, manakala kelompok-kelompok yang membenci Islam semakin lantang menyebarkan fahaman menyimpang mereka atas nama kebebasan berpendapat dalam sistem demokrasi. Kerajaan Malaysia sejak dulu hingga kini tidak pernah menerapkan Islam dalam pemerintahannya, sebaliknya hanya bermain-main persepsi dengan mewujudkan naratif-naratif berbaur Islam demi menutupi keburukan dan kegagalan mereka.

Jadi persoalannya, adakah para pemimpin ini boleh diharapkan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang melanda umat Islam? Sedangkan hakikatnya, usaha mereka mengekalkan status quo dan mengekalkan sistem pemerintahan yang mereka warisi dari penjajah, serta ketundukan mereka kepada kuasa-kuasa kuffar – inilah punca utama kepada kemelut yang membelenggu dunia Islam dan umat Islam hari ini. Selagi  mana status quo ini masih dikekalkan dan Islam tidak diterapkan secara kaffah (sempurna), maka selagi itulah masalah umat Islam tidak akan pernah dapat diselesaikan.

Wallahu a’lam.

Editor.