Sistem yang rosak, melahirkan masyarakat yang tertekan
Berita:
DEPRESI, kemurungan dan perasaan ingin bunuh diri menyumbang kepada rekod tertinggi yang dicatatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) The Befrienders apabila menerima 27,000 panggilan dan emel pada tahun lalu. Pengerusinya, Justin Gerard Victor, berkata statistik terbabit amat membimbangkan berbanding rekod tahun lalu yang mencatatkan 25,000 panggilan dan emel.
Dalam satu temuramah. Timbalan Pengarah Perubatan HTJS, Dr Norizah Abd Ghani berkata, pesakit tidak hanya dalam kalangan warga emas berusia 50 tahun ke atas malah turut membabitkan remaja dan kanak-kanak. Menurut beliau, selain masalah remaja, perubahan persekitaran dan kewangan turut menjadi punca meningkatnya bilangan pesakit ini.
Sumber berita:
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/02/310025/ramai-yang-murung
https://www.hmetro.com.my/node/7607
Komentar:
Peningkatan kes depresi dan kemurungan ini bukan sahaja di Malaysia, malah peningkatan angka ini turut berlaku di seluruh dunia. Peningkatan angka ini menunjukkan dunia sedang tenat menghadapi pelbagai jenis tekanan manusia akibat daripada pelbagai masalah hidup. Ap yang lebih membimbangkan ialah angka ini dijangkakan akan terus meningkat dari tahun ke tahun.
Walaupun terdapat analisis dan kajian yang menunjukkan bahawa masalah depresi dan kemurungan ini berpunca daripada masalah remaja, perubahan persekitaran dan masalah kewangan, namun hal ini bukanlah punca utama. Dalam al-Quran, Allah swt berfirman:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
“Barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku maka dia akan mendapatkan penghidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”[TMQ Thaha (20): 124].
Imam al-Qurthubi menjelaskan makna ‘peringatan-Ku’ dalam ayat di atas dengan maksud “barangsiapa yang berpaling” dari agama-Ku, tidak membaca Kitab-Ku, dan tidak mengamalkan isi ajarannya”.
Sebahagian ulama berkata, “Tidaklah seorang pun yang berpaling daripada peringatan Rabbnya kecuali waktu yang dilaluinya semakin menambah gelap (buruk) keadaan dirinya, mencerai beraikan urusan rezekinya, dan membuatnya selalu mengalami kesempitan dalam hidupnya.”[Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an [14/157]
Daripada tafsir ayat ini jelas, manusia yang hidup jauh daripada aturan hukum Allah akan menghadapi kehidupan yang sempit. Jika diperhatikan lebih mendalam, rata-rata hukum yang sedang berjalan ke atas diri kita hari ini bukanlah hukum Islam.
Sistem ekonomi kapitalis telah menyebabkan masyarakat hari ini hidup bergelumang dengan dosa riba. Selain itu, rakyat terpaksa berhempas pulas bekerja dari pagi hingga malam untuk memenuhi keperluan kos sara hidup yang semakin menekan. Si ibu pula terpaksa keluar bekerja membantu suami demi memastikan mereka dapat memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Namun, ketika ibu bapa sibuk menambah pendapatan bagi membayar hutang, dan memastikan dapur berasap, anak-anak yang ditinggalkan pula ingin mencari perhatian di luar. Mereka mula mengenal seks bebas dan dadah serta pelbagai lagi budaya songsang yang menular masuk ke dalam sendi umat Islam hari ini. Rumah tangga mula berada dalam kekacauan. Anak-anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang semasa kecil mula menunjuk belang. Namun, ibu dan ayah tetap masih perlu keluar bekerja setiap hari.
Inilah satu contoh apabila kehidupan diatur dengan sisterm sekular-kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis telah menjatuhkan martabat wanita yang tidak bekerja kerana menganggap mereka tidak produktif kepada ekonomi negara. Akhirnya, peranan wanita sebagai ibu dan isteri terabai kerana mengejar status wanita bekerjaya. Lebih malang lagi, ada wanita terpaksa keluar bekerja semata-mata untuk menyara hidup yang semakin mendesak hari ini. Seorang ayah tertekan dalam memenuhi tuntutan nafkah keluarga. Seorang isteri tertekan dalam membahagikan antara masa bekerja, mengurus rumah, urusan suami dan anak-anak. Anak-anak pula rasa tertekan hidup dalam kemiskinan dan kesempitan serta gejolak jiwa remaja yang inginkan keseronokan. Semuanya berpunca daripada sistem sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan. Manusia akhirnya hidup dalam keadaan terdesak dan tertekan.
Untuk menyelesaikan masalah ini, tiada cara lain yang harus ditempuh kecuali kembali kepada Islam secara kaffah, iaitu mengatur seluruh kehidupan dengan Islam. Hanya dengan kehidupan Islam sahaja yang akan dapat memberi rahmat kepada sekalian alam.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”[TMQ al-Anbiya [21] :107].
Negara dan pemerintah wajib menerapkan hukum Islam secara sempurna, manakala setiap individu juga perlu mengikat diri masing-masing dengan hukum syarak. Sesungguhnya, mengikatkan diri kita dengan hukum syarak ialah tanda diri mengingati Allah. Allah berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tentram”[TMQ ar-Ra’d (13): 28]
Abu Athiyah
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia