Sistem zalim melahirkan individu yang zalim
Ibu mertua dan kakak ipar Sahar ditangkap dan suami gadis tersebut diburu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqi.
Kes itu telah mengejutkan penduduk negara ini.
Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menyatakan sesiapa yang didapati menggunakan kekerasan terhadap Sahar akan dihukum.
Menurut beberapa pegawai di wilayah Baghlan, mertua Sahar mengurung dia di ruang bawah tanah selama enam bulan, mencabut kukunya dan menderanya dengan menggunakan seterika panas serta mematahkan jarinya.
Polis membebaskan Sahar pada minggu lalu.
Sahar dibebaskan selepas bapa saudaranya menghubungi polis.
“Ia merupakan satu tindakan ganas dan tidak dapat diterima pada abad ke-21,” kata Sediq kepada pemberita.
“Kami berterima kasih kepada bapa saudara Sahar,” tambahnya.
“Jika polis tidak tiba pada masa yang tepat, dia mungkin telah mati,” kata Sediq.
Semua anggota badan Sahar mengalami kecederaan, tambahnya.
Menurut Sediq, terdapat tanda-tanda tubuhnya terbakar.
Dia berkata, mertua Sahar dan beberapa anggota keluarganya dilaporkan terlibat dalam apa yang dianggapnya sebagai aktiviti jenayah termasuk menjual minuman keras dan alkohol.
Sahar telah berkahwin tujuh bulan lalu.
Jurucakap polis wilayah Baghlan, Jawad Basharat menyatakan, waran tangkap telah dikeluarkan untuk menangkap suami Sahar.
Suami Sahar kini berkhidmat dengan tentera Afghanistan.
Menurut Jawad, mertua dan beberapa anggota keluarga Sahar cuba memaksanya terlibat dalam kancah pelacuran tetapi dia tidak bersetuju menyebabkan ia menjadi salah satu punca gadis tersebut dikurung. – Agensi
Kezaliman yang dihasilkan oleh Kapitalisme melahirkan individu-individu zalim.
Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah pepatah melayu yang sesuai menggambarkan laporan berita di atas. Apakah yang terdaya dilakukan oleh seorang muslimah yang bergelar isteri untuk mempertahankan diri? Diseksa secara fizikal dan dipaksa untuk melacur adalah suatu pengalaman pahit yang tiada sesiapa pun sanggup membayangkan. Dimanakah tanggungjawab suaminya untuk melindungi muslimah tersebut? Apa yang berlaku itu sudah lebih daripada cukup untuk menggambarkan betapa sistem kehidupan manusia hari ini semakin rosak dan merosakkan. Kemuliaan seorang wanita yang wajib dilindungi oleh suami dan walinya seakan-akan tidak bermakna lagi dalam sistem kapitalisme. Sistem yang memberikan ruang untuk seseorang melakukan apa sahaja bagi meraih manfaat yang diingini.
Sistem kapitalisme inilah yang telah mencabut rasa malu kepada diri manusia untuk bebas melakukan apa sahaja termasuklah menyeksa kaum keluarga sendiri dan memaksanya menjadi pelacur! Sungguh keji apa yang telah mereka lakukan seolah-olah seperti orang yang kehilangan akal. Walhal manusia dipandang mulia tatkala menjadikan akalnya tunduk kepada peraturan hidup yang terdiri daripada perintah dan larangan penciptanya agar menjadi insan yang bertaqwa. Firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kalian” [TMQ al Hujurat (49):13]
Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya dan orang-orang yang terbaik di antara kamu adalah yang terbaik kepada isteri-isterinya” [HR Tidmidzi]. Dari ‘Amr bin Ahwash r.a. bahawa dia mendengar Rasulullah saw bersabda pada waktu haji wada’: “ Ingatlah( saya berwasiat kepada kamu agar berbuat baik pada kaum wanita, maka terimalah wasiat ini terhadap mereka) dan berbuat baiklah kepada kaum wanita, kerana sesungguhnya mereka pada sisi kalian bagaikan tawanan, dan kamu tidak memiliki dari mereka selain itu” [HR Tidmidzi].
Hadis ini dengan jelas menerangkan bagaimanakah bentuk pandangan seseorang suami terhadap isterinya. Sepertimana yang dijelaskan oleh hadis tersebut, isterinya bagaikan ‘seorang tawanan’ iaitu seorang yang bersifat lemah dan mesti patuh kepada perintah suaminya. Namun, dia berhak mendapat layanan yang baik, dikasihani, dibimbing, dilindungi dan diberikan haknya.
Wahai kaum Muslimin, sedarlah bahawa dengan sistem kapitalisme yang sedang diterapkan ke atas kita pada hari ini, derita wanita tiada penghujungnya. Justeru, agenda utama umat Islam pada ketika ini adalah perjuangan untuk menegakkan khilafah Islam dan syariat Islam dilaksanakan sepenuhnya seterusnya mengembalikan jaminan kepada hak wanita.