SN 570 – Kuota Dan Kasta Di Rumah Allah

SN570

17 September 2021 M / 9 Safar 1443 H

 

Setelah tularnya video seorang kenamaan (VIP) dibenarkan memasuki masjid Putra, Putrajaya dengan memotong barisan orang ramai yang semuanya tidak dapat masuk walaupun datang lebih awal, rata-rata netizen telah mengecam kejadian ini sehingga memaksa pihak pengurusan masjid memberi penjelasan dan memohon maaf. Malangnya Imam Besar masjid berkenaan tetap mempertahankan tindakan tersebut sehingga memuatnaik videonya sendiri yang kemudian menambahkan lagi kemarahan orang ramai. Walaupun beliau kemudiannya memohon maaf dan mengakui keterlanjurannya, namun tetap mendapat kecaman kerana pendedahan beliau mengenai jumlah kuota sebanyak 10% untuk VIP di masjid berkenaan dan penegasan beliau bahawa itu adalah masjid kerajaan, ternyata sangat tidak disenangi.

Layanan dua darjat ini bukanlah suatu yang baru dan bukanlah suatu yang tidak diketahui umum. Cuma bezanya kali ini ialah kerana video tersebut tular dan peristiwa tersebut telah mendapat kritikan hebat di alam maya. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak lebih setahun lalu, telah pun wujud sistem kuota, diskriminasi dan kedudukan dua darjat manusia yang dibenarkan memasuki masjid di seluruh Malaysia. Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid dan surau mendapat kuota secara automatik untuk solat di masjid di kala orang ramai dilarang memasukinya. Menteri-menteri dan VIP juga tidak pernah dihalang dari bersolat Jumaat semasa PKP di kala rakyat dihalang berbuat demikian. Fenomena ini boleh dilihat di mana-mana masjid walaupun tidak ada yang merakam dan menularkannya. Hal ini jelas merupakan satu diskriminasi dan amalan kasta, yang tidak dapat dinafikan oleh siapa pun. Apabila PKP kemudiannya dilonggarkan sedikit, AJK masjid tetap menikmati keistimewaan ini dan sistem kuota dan kasta untuk solat Jumaat tetap diteruskan hingga kini.

Masjid Rumah Allah

Sebagai Muslim, kita mengimani bahawa masjid adalah rumah Allah, tidak kira masjid mana sekali pun, tidak kira siapa pun yang membangunkannya, dan tidak kira dari mana pun dana untuk membangunkannya. Hatta jika dana tersebut datang dari kerajaan sepenuhnya atau datang dari hanya seorang individu sahaja, masjid yang didirikan tersebut tetap merupakan rumah Allah. Selama mana yang dibangunkan itu ialah sebuah tempat untuk menyembah Allah, maka ia akan menjadi rumah Allah dan tidak ada siapa pun yang boleh mendakwa atau menuntut bahawa itu adalah miliknya, milik mana-mana syarikat atau milik kerajaan.

Walaupun dari segi pengurusannya, masjid boleh sahaja diuruskan oleh negara atau mana-mana pihak yang dilantik oleh negara, atau oleh mereka yang membangunkannya, namun demikian itu tidak menghilangkan statusnya sebagai rumah Allah, dan segala pengurusannya tidak boleh dipisahkan daripada hukum Allah. Firman-Nya:

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Oleh kerana itu, janganlah kalian menyembah seorang pun di dalamnya di samping (menyembah) Allah” [TMQ al-Jin (72): 18].

Dari segi hukum kepemilikan (al-milkiyyah), masjid termasuk kepemilikan umum (al-milkiyyah al-ammah) atau dengan kata lain ia merupakan milik umat Islam secara keseluruhannya, dan hukum ini kekal sampai kiamat. Tidak ada mana-mana individu, syarikat mahu pun negara yang boleh memiliki masjid. Hukumnya sama seperti jalan raya, laut, sungai, tasik, padang ternak, Mina (tempat jemaah haji berkumpul) dan sebagainya, yang merupakan al-milkiyyah al-ammah, dan boleh dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja, dan tidak ada orang yang boleh dihalang daripada menggunakannya, atau diusir daripadanya. Ia tidak boleh (haram) dimonopoli oleh mana-mana pihak, dan tidak ada siapa pun yang mempunyai hak eksklusif ke atas al-milkiyyah al-ammah ini.

Masjid merupakan tempat suci bagi umat Islam yang tertakluk kepada banyak hukum. Kemuliaannya wajib dijaga, ia tidak boleh dikotori, tidak boleh dirosakkan bangunannya, tidak boleh diruntuhkan tanpa apa-apa sebab dan tidak boleh masuk ke dalamnya tanpa menutup aurat. Di dalamnya dilakukan pelbagai aktiviti seperti solat, iktikaf, tadarrus al-Quran, mengajar dan belajar. Masjid merupakan pusat pemerintahan dan pusat aktiviti politik Islam, tempat pengagihan zakat dan bantuan, tempat menyelesaikan persengketaan (mahkamah), tempat menyampaikan segala maklumat, tempat latihan jihad, tempat menetap bagi musafir (di serambi), tempat berlindung, tempat tidur dan istirahat tanpa mengganggu hak orang lain dan banyak lagi, sebagaimana yang dipraktikkan di zaman Rasulullah (saw) dan para Sahabat. Pendek kata ia mempunyai banyak fungsi dan mempunyai hukumnya yang tersendiri, yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim.

Masjid adalah rumah Allah, dan bukan rumah pemerintah, walaupun pemerintah yang menguruskannya. Pengurusan tersebut hanyalah satu amanah untuk memastikan segala hukum-hakam mengenai rumah Allah itu dipatuhi dan dijaga. Amanah pengurusan ini tidak memberikan hak sedikit pun ke atas pemerintah sehingga boleh melakukan apa sahaja dengannya. Pemerintah tidak ada hak sedikit pun untuk menutup atau menghalang orang dari mendatangi masjid, apatah lagi untuk bersolat dan beribadat di dalamnya. Merupakan sebuah kemaksiatan dan kezaliman serta dosa bagi pemerintah yang menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada menunaikan solat di dalamnya. Firman-Nya:

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya, kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat” [TMQ al-Baqarah (2): 114].

Hukum Kuota Dan Kasta Untuk Solat Di Masjid

Sebagai rumah Allah, dan sebagai al-milkiyyah al-ammah, masjid hendaklah sentiasa terbuka bagi membolehkan umat Islam menggunakannya sesuai dengan perintah Allah. Solat berjemaah lima waktu di masjid hukumnya adalah fardhu kifayah, manakala solat Jumaat adalah fardhu ain. Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” [TMQ al-Jumu’ah (62): 9].

Al-Hakim telah mengeluarkan dalam al-Mustadrak ‘ala as-Sohihain dari jalur Thariq bin Syihab dari Abu Musa dari Nabi (saw), baginda bersabda:

“(Solat) Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam berjemaah kecuali empat golongan: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit”.

Selain dari empat golongan di atas, solat Jumaat juga tidak wajib atas orang yang takut berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) bahawa Nabi (saw) bersabda:

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak pergi menunaikan solat Jumaat) maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur”. Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘Takut atau sakit’” [HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].

Berdasarkan nas-nas di atas, solat Jumaat adalah fardhu ain, dan pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang disebut oleh nas sahaja. Tidak ada nas yang memberikan hak kepada penguasa untuk menutup masjid atau untuk menghalang umat Islam daripada menunaikan fardhu ain ini. Tidak ada sama sekali! Pengecualian dalam hadis di atas langsung tidak boleh diqiyaskan kepada persoalan wabak atau lain-lainnya, kerana qiyas tidak boleh dilakukan dalam hal ibadah. Dalam hal ibadat tidak ada illat yang membolehkan dilakukan qiyas ke atasnya.

Oleh yang demikian, haram bagi mana-mana Muslim untuk sengaja meninggalkan solat Jumaat dalam keadaan wabak, dan haram hukumnya bagi pemerintah menghalang kaum Muslimin daripada pergi ke masjid untuk menunaikannya. Dalam keadaan terdapat penyakit menular, apa yang seharusnya dilakukan ialah, orang yang sihat pergi solat seperti biasa, manakala orang yang sakit diasingkan dan tidak dibenarkan untuk ke masjid. Dalam masa yang sama, diambil langkah-langkah keselamatan dan kesihatan bagi mencegah penularan tanpa melanggar mana-mana hukum syarak.

Mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, melakukan sanitasi, mengimbas suhu, memakai pelitup muka dan sebagainya boleh dilakukan dalam usaha mencegah penularan kerana tidak bertentangan dengan syarak. Namun demikian, saf solat berjemaah tidak boleh dijarakkan kerana merapatkan saf itu merupakan sebahagian daripada kaifiyat (tatacara) solat, dan menjarakkannya adalah satu bidaah. Kaifiyat solat tidak boleh diubah sama sekali. Pemerintah dan siapa sahaja yang menetapkan atau mewajibkan penjarakan saf telah melakukan satu bidaah kerana telah merubah kaifiyat solat berjemaah.

Justeru, menghalang umat Islam daripada masuk ke masjid dengan menetapkan bilangan tertentu, atau memberi keistimewaan kepada orang-orang tertentu, atau meletakkan syarat seperti mesti lengkap divaksin terlebih dahulu, semua ini jelas merupakan satu perkara yang tidak pernah ada dalam Islam, dan tidak dibenarkan oleh Islam. Mana mungkin pemerintah boleh menetapkan syarat tertentu, menetapkan sistem kuota dan kasta untuk memasuki rumah Allah? Sungguh besar keharaman dan dosa yang dilakukan oleh pemerintah dalam hal ini! Sabda Rasulullah (saw):

“Siapa sahaja yang membuat syarat yang tidak sesuai dengan Kitabullah, maka syarat tersebut adalah batil walaupun seratus syarat, kerana syarat Allah itu lebih benar dan lebih kuat” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Sebagai al-milkiyyah al-ammah, masjid bukan sahaja tidak boleh dihalang untuk dimasuki, malah siapa sahaja yang telah sampai awal dan menduduki satu tempat di sudut masjid, maka tempat itu adalah hak baginya dan tidak ada seorang pun boleh mengusirnya dari situ. Hal ini sebagaimana kedudukan seorang Muslim yang telah sampai terlebih dahulu di Mina, maka di mana sahaja ia duduk di Mina, tempat itu adalah hak baginya dan tidak ada orang yang boleh menghalaunya dari situ. Sabda Nabi (saw):

“Mina adalah tempat menginap siapa sahaja yang lebih dahulu (sampai kepadanya)”

[HR at-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim]

Hukum Mina dan masjid adalah sama sahaja. Orang yang datang lewat tidak boleh memotong barisan atau diberi tempat duduk istimewa, atau mengambil tempat duduk orang lain, tidak kira siapa pun dia dan apa pun pangkatnya. Ini adalah hukum bagi al-milkiyyah al-ammah yang telah gariskan oleh Islam dengan adil untuk semua orang tanpa ada perbezaan darjat. Islam tidak pernah mengiktiraf darjat manusia, apatah lagi dalam memasuki masjid atau dalam menunaikan solat. Islam tidak pernah mengiktiraf sistem kuota dan kasta, dan tidak ada kelebihan bagi seorang kenamaan berbanding rakyat jelata, apatah lagi dalam hal ibadat. Ketinggian dan kemuliaan seseorang di sisi Allah (swt) itu hanyalah kerana takwanya, bukan kerana pangkat dan darjatnya di dunia!

Khatimah

Isu mengenai sistem kuota dan kasta untuk solat di masjid ini seharusnya membuka mata banyak pihak bahawa, jika dalam hal ibadat sahaja pemerintah sudah begitu berani melanggar hukum Allah, maka apatah lagi dalam hal-hal lainnya. Pemerintah telah lama menutup masjid, menghadkan bilangan, menjadikan masjid dan solat berjemaah sebagai hak eksklusif sesetengah orang sahaja, dan paling buruk apabila mereka merubah kaifiyat solat dengan menjarakkan saf. Ini semua merupakan keharaman. Benarlah kata-kata Rasulullah (saw) bahawa simpulan Islam itu akan terurai satu per satu bermula daripada pemerintahan dan berakhir dengan solat. Simpulan pemerintahan telah lama terurai, kini simpulan yang terakhir telah pun terurai, yang merealisasikan bahawa sudah tidak ada lagi apa-apa simpulan Islam yang dipegang oleh pemerintah sekarang! Hanya dengan kembalinya Khilafah sahajalah kesemua simpulan ini akan disatukan kembali insya Allah.

Wallahu a’lam. 

 

Download PDF