SN 576 – Boikot Pilihan Raya: Antara Pilihan Dan Hukum

SN576

19 November 2021 M / 14 Rabiul Akhir 1443 H

 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung esok, dalam suasana yang setakat ini kelihatannya suram. Suram bukannya kerana aktiviti kempen yang sangat terbatas, tetapi kerana mood rakyat yang rata-ratanya meluat dengan suasana politik dan “pe’el” politikus yang telah menyebabkan tercetusnya PRN Melaka secara khusus, dan ketidakstabilan politik dan ekonomi secara umumnya. Selain itu, suara-suara untuk memboikot PRN Melaka semakin kuat kedengaran baik dari dalam mahu pun luar Melaka. Berdasarkan laporan, terdapat seramai 495,195 pengundi berdaftar yang diberikan hak untuk memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka dalam PRN kali ini. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Melaka merekodkan peratusan keluar mengundi yang agak tinggi iaitu sekitar 88%. Bagi PRN ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar pengundi sekitar 70%.

Seperti biasa, apabila terdapat suara untuk memboikot pilihan raya, suara-suara yang tidak bersetuju atau mengkritik turut kedengaran. Malah tidak kurang juga suara maki-hamun dan kata-kata kesat yang keluar dari mereka yang sudah tidak menghiraukan akhlak Islam dalam berhujah. Sungguh aneh perangai mereka, kerana mereka mengaku sebagai pejuang demokrasi, tetapi seolah-olah tidak mengetahui bahawa memboikot pilihan raya atau tidak keluar mengundi juga merupakan satu pilihan yang dibenarkan oleh demokrasi. Undang-undang Malaysia sendiri tidak pernah mewajibkan warganya untuk keluar mengundi, sebaliknya menyatakan bahawa mengundi hanya merupakan satu hak sahaja. Justeru, siapa pun yang mengambil pilihan sama ada untuk keluar mengundi atau tidak keluar mengundi, malah jika ia merosakkan undi sekalipun, hal ini tidak seharusnya dipandang negatif apatah lagi dipersalahkan, kerana ia merupakan satu pilihan. Apa yang pasti, setiap orang mempunyai sebab dan hujah yang tersendiri dalam membuat keputusan.

Hukum Boikot

Selain sebagai satu pilihan yang diberikan oleh demokrasi, setiap Muslim seharusnya mengetahui dan menilai tindakan memboikot pilihan raya dari sudut hukum. Aspek inilah yang paling penting kerana setiap Muslim terikat dengan hukum syarak dalam melakukan setiap perbuatan. Terdapat pihak yang berhujah bahawa memboikot pilihan raya adalah haram, kerana pilihan raya bukan sahaja perlu untuk memilih pemimpin yang diwajibkan dalam Islam, malah mengundi parti Islam juga adalah wajib kerana ia akan menegakkan Islam. Ironinya, parti Islam itu sendiri pernah memboikot pilihan raya, malah bersekongkol dengan parti sekular dan pernah mengeluarkan “fatwa” supaya mengundi calon sekular dan kafir yang merupakan sekutu mereka.

Realitinya, pilihan raya di Malaysia bukanlah proses untuk memilih pemimpin, tetapi merupakan proses untuk memilih “wakil”. Perdana Menteri dipilih oleh dan daripada parti yang menang, bukan oleh rakyat. Manakala semua jawatan menteri dan timbalan menteri atau apa sahaja jawatan pemerintahan dalam negara, dipilih pula oleh Perdana Menteri.

Sudah berlaku empat kali dalam sejarah Malaysia di mana Perdana Menteri bukannya datang dari proses pilihan raya. Terdapat dua peristiwa di mana Perdana Menteri hanya dipilih oleh Perdana Menteri sebelumnya yakni ketika Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatannya kepada Abdullah Badawi, dan ketika Abdullah Badawi menyerahkan jawatannya kepada Najib Razak. Kedua-dua penyerahan jawatan tersebut berlaku di luar pilihan raya. Manakala naiknya Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri ke jawatan Perdana Menteri juga berlaku di luar proses pilihan raya. Ini semua membuktikan bahawa pilihan raya bukanlah satu-satunya proses untuk memilih pemimpin sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh penganut demokrasi.

Adakah mengundi parti Islam itu wajib sehingga haram hukumnya untuk memboikot pilihan raya? Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya perlu diperhatikan tujuan sesuatu pilihanraya itu diadakan, dan seterusnya tujuan calon-calon bertanding dalam pilihan raya. Perlu dilihat apakah tujuan tersebut dibolehkan syarak atau tidak, barulah boleh ditentukan hukum boikot terhadapnya.

Secara perundangan dan faktanya, pilihan raya dalam sistem demokrasi adalah bertujuan untuk memilih wakil, tidak kiralah wakil tersebut Muslim atau kafir, dan tidak kiralah wakil itu datangnya daripada parti Islam atau parti sekular atau parti kufur. Menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, fungsi utama parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) ialah sebagai badan legislatif (Majlis Tasyri’) yakni untuk menggubal, meminda dan menghapuskan undang-undang. Pilihan raya dijalankan untuk memilih wakil ke Parlimen/DUN bagi merealisasikan fungsi ini. Dengan kata lain ia adalah pemilihan ahli-ahli Majlis Tasyri’. Inilah manath (fakta)nya.

Setelah jelas manathnya, maka barulah hukum syarak bagi pilihan raya dalam sistem demokrasi ini dapat diistinbath (gali) dan diketahui. Oleh kerana pilihan raya merupakan suatu proses memilih wakil, maka sudah tentu ia tidak dapat dipisahkan dengan akad wakalah (perwakilan). Untuk sesuatu akad wakalah itu sah di sisi syarak, ia mestilah memenuhi rukun dan syaratnya, yang antaranya ialah “perkara” yang diwakilkan. Perkara tersebut hendaklah termasuk dalam kategori perkara yang boleh diwakilkan menurut Islam.

Persoalannya, apakah “perkara” yang diwakilkan dalam pilihan raya? “Perkara”nya ialah penggubalan undang-undang atau pembuatan hukum. Sudah tentu perkara ini tidak boleh diwakilkan kerana Muslim mana pun tidak mempunyai hak untuk membuat hukum. Justeru, ia tidak boleh mewakilkan perkara yang ia tidak ada hak ke atasnya. Al-Musyarri’ (Pembuat hukum) itu hanyalah Allah, sebagaimana firman-Nya, “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6): 57].

Atas dasar inilah haramnya pilihan raya dalam sistem demokrasi, yang sekali gus bermaksud haram pula untuk mengundi calon yang akan menjalankan fungsi tasyri’ tersebut. Ini berdasarkan kaedah syarak, al-wasilatu ila al-haram, haram (sarana yang menuju kepada yang haram adalah haram). Pengecualian hanya terdapat dalam kes di mana seseorang calon itu telah mengisytiharkan secara terang-terangan bahawa ia tidak akan pergi ke parlimen/DUN untuk menjalankan fungsi tasyri’ atau melakukan apa jua keharaman lainnya, sebaliknya ia bertanding untuk tujuan melakukan muhasabah di dalam parlimen/DUN sesuai dengan tuntutan Al-Quran dan As-Sunnah.

Setelah dikaji manathnya dengan benar dan diistinbath nasnya, maka jelaslah bahawa tindakan memboikot pilihan raya atau tidak mengundi mana-mana calon, atau merosakkan kertas undi, tidaklah haram. Sebaliknya tindakan mengundi calon yang telah diketahui akan melakukan keharaman, itulah yang haramnya. Oleh itu, hujah yang menyatakan haram memboikot pilihan raya sebenarnya jauh tersasar daripada kebenaran. Tambahan lagi, telah terbukti bahawa parti Islam yang bertanding dalam pilihan raya gagal untuk menerapkan Islam setelah mereka berkuasa. Sebaliknya, parti Islam hanya menjadi penerus kepada sistem dan undang-undang warisan penjajah selain terus hanyut mengejar habuan duniawi.

Bagaimana Cara Melantik Pemimpin Dalam Islam?

Persoalan yang mungkin bermain di benak sebahagian kaum Muslimin ialah jika tidak melalui pilihan raya, maka bagaimanakah cara untuk kita melantik pemimpin? Ketahuilah bahawa Islam sebagai sebuah Deen yang sempurna sudah pasti memiliki cara untuk melantik pemimpin, tanpa kita perlu menoleh kepada demokrasi. Dengan meneliti peristiwa pengangkatan keempat-empat orang Khulafa’ ar-Rasyidin, kita dapat mengetahui caranya dengan jelas di samping mengistinbath hukum daripadanya.

Semasa pelantikan Abu Bakar, sebahagian kaum Muslimin telah berhimpun dan berbincang di Saqifah Bani Saidah untuk melantik pengganti Rasulullah (saw). Antara calonnya ialah Saad bin Ubadah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Umar al-Khattab dan Abu Bakar as-Siddiq. Umar dan Abu Ubaidah tidak sanggup menjadi pesaing Abu Bakar sehingga seakan-akan pencalonan hanya terjadi di antara Abu Bakar dan Saad sahaja. Daripada hasil mesyuarat, maka dibaiatlah (baiat in’iqad) Abu Bakar sebagai Khalifah.

Ketika Abu Bakar merasa bahawa sakitnya akan membawa kepada ajal, beliau memanggil kaum Muslimin untuk meminta pendapat mereka mengenai siapakah yang layak menjadi Khalifah setelah beliau. Proses pengumpulan pendapat tersebut berlangsung selama tiga bulan, dan akhirnya pendapat majoriti kaum Muslimin menginginkan Umar. Abu Bakar lalu menunjukkan Umar sebagai Khalifah pengganti beliau.

Penunjukan (atau dalam bahasa sekarang pencalonan) ini bukanlah merupakan akad pengangkatan Umar sebagai Khalifah sebagaimana hujah sebahagian pihak. Ini kerana, setelah wafatnya Abu Bakar, kaum Muslimin datang ke masjid dan membaiat Umar untuk memegang jawatan keKhilafahan. Dengan baiat inilah Umar sah menjadi Khalifah, bukannya dengan proses pengumpulan pendapat kaum Muslimin, bukan juga dengan penunjukan oleh Abu Bakar. Seandainya pencalonan oleh Abu Bakar merupakan akad keKhilafahan terhadap Umar, maka sudah tentu tidak lagi diperlukan baiat kaum Muslimin setelah itu. Apalagi terdapat nas-nas yang jelas mengenai baiat sebagai keabsahan terlantiknya seseorang ke jawatan Khalifah.

Ketika Umar tertikam, kaum Muslimin memintanya untuk menunjukkan (mencalonkan) penggantinya, namun Umar menolak. Setelah didesak, Umar lalu menunjukkan enam orang, dan kemudian Umar melantik Suhaib untuk mengimami solat masyarakat dan untuk memimpin enam orang yang telah beliau calonkan itu sehingga terpilih seorang Khalifah daripada kalangan mereka. Kemudian Abdurrahman bin Auf bermesyuarat dengan kelima-lima calon yang lain dan akhirnya mereka sepakat untuk membatasi calon hanya kepada dua orang, iaitu Ali dan Utsman. Setelah itu, Abdurrahman mengumpulkan pendapat kaum Muslimin dan akhirnya menetapkan Utsman sebagai Khalifah.

Setelah Utsman terbunuh, ternyata tidak ada calon lain lagi sehingga majoriti kaum Muslimin di Madinah dan Kufah terus membaiat Ali bin Abi Thalib sebagai Khalifah yang keempat.

Siapa pun yang meneliti tatacara pembaiatan Khulafa’ ar-Rasyidin, akan mendapati bahawa kesemua calon Khalifah diumumkan kepada masyarakat setelah pencalonan mereka, dan amat jelas pula bahawa kesemua mereka dibaiat oleh Ahlu al-Halli wa al-Aqdi (wakil umat) yang menjadikan pelantikan mereka itu sah, dan Ahlu al-Halli wa al-Aqdi wajib beragama Islam. Demikianlah proses terwujudnya akad keKhilafahan, yakni terlantiknya Khalifah yang menjadi wakil umat Islam dalam menjalankan pemerintahan dan kekuasaan. Inilah tatacara pelantikan ketua negara menurut Islam, yang wajib dicontohi oleh kaum Muslimin. Hal ini sangat berbeza dengan demokrasi di mana orang-orang kafir turut terlibat dalam proses pelantikan ketua negara, selain tiadanya proses baiat.

Tatacara di atas ialah dalam keadaan di mana telah ada Khalifah dan Daulah Khilafah, dan terjadi kekosongan jawatan Khalifah dalam negara. Adapun jika tidak ada Khalifah dan Daulah Khilafah seperti sekarang, maka wajib bagi kaum Muslimin berusaha menegakkan Khilafah terlebih dahulu, dan seterusnya melantik seorang Khalifah bagi menerapkan hukum-hakam syariah dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh dunia. Secara ringkasnya, jalan menegakkan Daulah dan melantik Khalifah adalah sama dengan jalan yang dilalui oleh Rasulullah (saw) tatkala berdakwah di Mekah sehingga tegaknya Daulah Islam di Madinah, dan terlantiknya baginda (saw) sebagai ketua negara.

Khatimah

Dalam setiap pilihan raya sudah pasti terdapat orang yang tidak keluar mengundi atas sebab apa sekali pun, dan hal ini merupakan satu perkara yang lumrah. Wujudnya golongan ini memang tidak salah dan tidak boleh dipersalahkan. Dalam keadaan politik sekarang yang sangat memualkan, dan ditambah lagi dalam suasana negara yang belum dapat keluar daripada pandemik Covid-19, maka memboikot pilihan raya sangatlah wajar. Apatah lagi jika masyarakat tidak keluar mengundi kerana memahami hukum syarak mengenainya, hal ini lebih wajar lagi. Cuma, ia tidak seharusnya terhenti setakat boikot sahaja, kerana terdapat kewajipan lain lagi yang mesti dilakukan iaitu menegakkan Daulah Khilafah, yang telah disepakati oleh para ulama Ahlu Sunnah sebagai ahammul wajibat (kewajipan yang paling agung).

Wallahu a’lam.

Download PDF