SN010 – PENRSENGKETAAN BLOK MINYAK DAN GAS DI LAUT SULAWESI HANYA MENGUNTUNGKAN PENJAJAH

PDF

SN Keluaran 2005
 

SN

[SN010] Selesai isu Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, kini timbul pula isu Ambalat. Isu ini mula timbul sejak kerajaan Indonesia membuat bantahan keatas penganugerahan konsesi minyak dan gas (Product Sharing Contract/PSC) oleh Petronas di blok ND6 dan ND7, Laut Sulawesi kepada Shell pada 16hb Februari 2005. Lanjutan dari bantahan ini, sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Forum Studi Demokrasi (FOSAD) telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta. Demonstrasi tersebut telah mencetuskan momentum emosi dan ketegangan yang sehingga kini terus berlarutan. Reaksi penuh emosi penunjuk perasaan tersebut akhirnya mendesak Duta Indonesia di Malaysia, H Rusdihardjo, memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Selain tunjuk perasaan secara fizikal, perang digital yang mana laman-laman web di Malaysia telah digodam oleh penggodam Indonesia, juga mula dilaporkan di dalam internet.

Dari segi faktanya, Indonesia, dengan dakwaan bahawa lokasi yang dipertikaikan itu merupakan hak mereka, telahpun menganugerahkan blok Ambalat (yang dikenali juga sebagai ND6) kepada syarikat ENI (Itali) sejak tahun 1999, sementara blok Ambalat Timur (ND7) telah dikelolakan oleh Unocal Indonesia Ventures Ltd., sebuah syarikat minyak Amerika sejak bulan Disember 2004. Langkah yang sama telah diambil oleh Malaysia kemudiannya, yang juga mendakwa bahawa blok-blok ini berada di dalam kawasan perairan Malaysia, dengan menganugerahkan konsesi minyak dan gas kepada Shell. Tidak dapat dinafikan, kawasan yang mencetuskan persengketaan ini akan dapat menghasilkan pengeluaran minyak dan gas yang agak lumayan nilainya – kandungan minyak di kawasan ini dianggarkan mencecah 700 juta hingga satu bilion tong, sementara kandungan gasnya pula dianggarkan melebih 40 trilion kaki padu (TCF). Dalam situasi yang meruncing ini, akhirnya kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memulakan proses perbincangan pada 22 dan 23hb Mac ini bagi mencari dan menyelesaikan konflik ini secara aman.

Bagi mendapatkan gambaran kepada punca sebenar dan penyelesaian yang wajar bagi persengketaan ini, Sautun Nahdhah ingin mengajak para pembaca yang dihormati untuk mengupas konflik ini berdasarkan hukum Islam sebagai satu-satunya penyelesaian sebenar kepada segala bentuk persengketaan manusia, terutama yang melibatkan umat Islam itu sendiri.

Kedudukan sebenar persengketaan ini

Allah SWT berfirman:

“Tidak, demi Tuhanmu, mereka tiada juga beriman (kepada engkau) sehingga mereka mengangkat engkau menjadi hakim untuk mengurus perselisihan antara mereka, kemudian mereka tiada memperoleh keberatan dalam hati mereka menerima keputusan engkau dengan sebenar-benar penerimaan” [TMQ An-Nisa’: 65)

Bagi menyambut seruan Allah SWT ini dalam menyelesaikan masalah antara manusia, terutamanya antara dua pihak kaum Muslimin, isu persengketaan Ambalat ini mestilah dikembalikan kepada Allah dan RasulNya. Fakta utama yang harus disedari adalah bahawa Malaysia dan Indonesia kedua-duanya merupakan negara kaum Muslimin kerana kedua-dua negara mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam. Sebagai sesama negara kaum Muslimin, kedua negara ini sesungguhnya merupakan satu tubuh dan penduduknya adalah bersaudara, sekalipun wilayah mereka berbeza. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara saudara kamu” [TMQ. al-Hujurat: 10]

Realiti hari ini menunjukkan bahawa kaum Muslimin di seluruh dunia, walaupun mereka berkongsi akidah yang sama, namun mereka bercerai-berai dalam politik, ekonomi dan hala tuju. Ayat di atas menekankan bahawa kaum Muslimin itu adalah bersaudara, bukan setakat ‘rasa’ persaudaraan, namun kaum Muslimin pada hakikatnya merupakan satu tubuh; bersatu dalam satu akidah, aspirasi politik dan ekonomi serta hala tuju. Malangnya, situasi seperti yang ditekankan oleh ayat di atas sudah tidak wujud lagi. Seorang Muslim yang ikhlas, ketika memerhatikan realiti yang digambarkan di atas, akan dapat melihat bahawa punca persengketaan Ambalat timbul akibat dari wujudnya nation states (negara-bangsa), yang lahir setelah hilangnya Khilafah Islam pada tahun 1924. Disirami dengan doktrin nasionalisma, negara-bangsa ini telah dimanfaatkan denagan jayanya oleh kaum penjajah untuk memecah-belahkan negeri kaum Muslimin sehingga menjadi negara-negara kecil dan lemah. Amat sedih untuk mengakui realiti ini namun hakikatnya, diantara negara kaum Muslimin yang termasuk didalam negara-bangsa yang dilemahkan oleh kuasa Barat tersebut adalah Malaysia dan Indonesia. Hasilnya , kesatuan rumpun dengan akidah yang sama, seperti yang pernah dikecapi oleh umat di Nusantara suatu masa dahulu dikoyak-koyakkan dan akhirnya mereka pun menjadi lemah sehingga negara-negara penjajah kuffar dengan mudah menguasai mereka.

Nasionalisma jelas diharamkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Bukanlah seseorang itu sebahagian dari kita, (dia) yang menyeru kepada assabiyyah (nasionalisma/kesukuan), berperang kerananya atau mati kerananya”

“Tinggalkanlah ia (nasionalisma/kesukuan). Ia merupakan suatu perkara yang jijik”
[Bukhari dan Muslim]

Didalam suatu peristiwa Jabir bin Abdullah Al-Ansari telah meriwayatkan apa yang berlaku di Al-Muraysi dimana golongan munafik cuba menyalakan perasaan assabiyyah dikalangan kaum muslimin:

“Kami sedang didalam suatu sariyyah bilamana salah seorang Muhajirun telah menendang salah seorang Ansar. Si Ansar menjerit, “Wahai Ansar bantulah aku” dan si Muhajirin juga menjerit, “Wahai Muhajirin bantulah aku”. Mendengarkan ini Rasulullah SAW berkata, “Mengapakah kamu hidupkan sesuatu dari zaman jahiliyyah?”

Terdapat banyak lagi hadis yang menjelaskan kebusukan nasionalisma – yang membawa kepada perpecahan dikalangan kaum muslimin yang disatukan oleh akidah Islam. Nasionalisma merupakan suatu ikatan yang muncul dari naluri mempertahankan diri dan naluri melestarikan keturunan yang juga wujud pada haiwan. Ikatan ini lemah dan tidak akan membawa kepada kebangkitan. Ianya merupakan ikatan yang dipengaruhi oleh kesan luaran dan tidak wajar dijadikan sebagai asas kepada kebangkitan. Tambahan pula, ikatan ini telah merosakkan kesatuan akidah dan politik kaum muslimin diseluruh dunia.

Dengan gambaran yang diberikan di atas, jelaslah bahawa sebab utama timbulnya permasalahan ini adalah wujudnya ikatan nasionalisma sebagai ikatan kesatuan palsu di dalam negara kaum Muslimin. Ikatan bahaya ini malah diutamakan berbanding ikatan akidah yang suci sebagai penyatu umat. Akibatnya, retorik cabar-mencabar yang muncul dari kedua belah pihak Indonesia dan Malaysia di internet dan wacana-wacana media massa lainnya yang semata-mata didasarkan kepada nasionalisma, terus berlaku meskipun kedua-dua belah pihak sedar bahawa mereka merupakan sebahagian dari umat Islam yang mulia.

Dari aspek pengelolaan minyak dan gas di kawasan yang menjadi rebutan, perlu diketahui bahawa hasil minyak dan gas merupakan kekayaan yang diberi oleh Allah SWT yang digolongkan dibawah hak milik umum. Dalam mengelolakan hak milik umum, hasil yang diperolehi hendaklah 100% dibelanjakan untuk kegunaan dan manfaat umum. Negara hanya berfungsi sebagai pengelola hak milik umum ini. Negara manapun, termasuk Daulah Khilafah sendiri tidak diperbolehkan mengelola hak milik umum dalam bentuk dimana manfaat dari hasil pengelolaan ini tidak diperolehi dan dirasai oleh umat. Oleh itu, didalam konteks pemberian konsesi minyak dan gas kepada syarikat-syarikat Barat (Shell, ENI, Unocal), ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan hukum pengelolaan hak milik umum. Oleh kerana itu, tindakan pemerintah Indonesia memberikan konsesi kepada ENI dan Unocal, atau tindakan kerajaan Malaysia memberikan konsesi kepada Shell, adalah satu bentuk perlanggaran terhadap hak milik umum, apapun alasannya – apatah lagi jika yang memperolehi konsesi itu adalah jelas negara-negara penjajah, seperti Britain, Belanda, Itali dan Amerika!

Siapa yang untung?

Sekiranya isu persengketaan ini tidak ditangani dengan betul, kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Malaysia dan Indonesia tidak dapat dielakkan. Suatu perkara yang wajar ditangani segera, ialah tuntutan penggunaan kekerasan ini masih begitu nyaring disuarakan terutamanya oleh media massa dan segolongan rakyat di Indonesia. Persoalannya, siapakah yang akan mengaut keuntungan sekiranya konflik bersenjata benar-benar berlaku ? Sudah tentu bukan Malaysia atau Indonesia!!! Lantas, siapakah yang paling pasti akan mengaut keuntungan dari persengketaan ini? Marilah kita fakir dan perhatikan kemungkinan-kemungkinannya..

Pertama; secara ekonomi, oleh kerana konsesi minyak dan gas di perairan yang dipertikaikan telah diberikan oleh kerajaan masing-masing kepada pihak ketiga— iaitu Britain, Belanda, Itali dan Amerika— sekiranya perang benar-benar berlaku, maka seandainya Malaysia ‘menang’ didalam konflik bersenjata tersebut, kita tidak akan mendapat apa-apa, selain kompensasi bagi hasil minyak/gas dan cukai – begitu juga sekiranya Indonesia yang ‘menang’. Syarikat-syarikat penjajah juga yang akan tetap mengaut keuntungan dari minyak dan gas tersebut. Wajarkah ‘kemenangan’ digadaikan dengan kepedihan dan penderitaan, samada akibat perang sesama saudara seIslam mahupun kesan kehancuran yang akan dirasai hingga generasi mendatang?? Hakikatnya, jika tercetus peperangan, yang pasti kaum muslimin tetap dipihak yang rugi, manakala golongan penjajah yang akan dapat keuntungan…

Kedua; secara politik, jika kedua-dua pihak terus berkeras dengan dakwaan masing-masing dan pada masa yang sama tribunal antarabangsa tidak dapat membuat keputusan yang memuaskan, maka kawasan tersebut mungkin akan dijadikan sebagai kawasan antarabangsa oleh badan dunia, sebagaimana yang pernah ingin dilakukan terhadap al-Quds. Jika ini yang berlaku, maka samada dipihak Indonesia ataupun Malaysia sendiri, masing-masing akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, yang pasti mendapat keuntungan dalam situasi ini adalah negara-negara besar yang mempunyai pengaruh paling kuat keatas badan-badan dunia berkenaan, seperti Mahkamah Antarabangsa, PBB, mahupun badan-badan antarabangsa lainnya.

Ketiga; dari aspek pertahanan dan keamanan, jika konflik bersenjata antara Indonesia dan Malaysia benar-benar tercetus, pasti ia akan dijadikan justifikasi bagi pihak asing, khususnya Amerika untuk campurtangan di dalam hal-ehwal Malaysia dan Indonesia. Sekiranya diperhatikan dari segi strategi, Amerika telahpun menyenaraikan Malaysia dan Indonesia di dalam agenda perang mereka (“Oil Factor in Bush’s “’War on Tyranny’”, F William Engdahld, Asia Times, 3rd March 2005). Sekiranya perang meletus, Amerika tidak akan teragak-agak mengambil kesempatan ini untuk meletakkan tentera mereka di perairan Malaysia dan Indonesia untuk mengawal jalan sempit transit minyak (oil transit checkpoints) di perairan kedua-dua negara dengan pelbagai justifikasi. Dan hakikatnya, apabila mereka (Amerika) mula menjejakkan kakinya disini dalam kedudukan yang strategik, tidak mungkin mereka akan meninggalkan kawasan Nusantara dengan mudah!! Jika ini terjadi, maka kemelut yang melanda akan menjadi semakin rumit dan permusuhan akan terus berlarutan. Keadaan seperti ini telah dialami oleh Syria dan Lebanon, Iran dan Iraq serta India dan Pakistan. Walhal, pada hakikatnya, Allah SWT telah melarang kaum Muslim memberikan jalan bagi kaum kafir untuk menguasai mereka; sebagaimana firmanNya:

وَ لَنْ يَجْعَلَ اللهُ لِلْكَافِرِيْنَ عَلَى اْلمُؤْمِنِيْنَ سَبِيْلاً.

Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai kaum Mukmin” [TMQ An-Nisa’: 141].

Jalan Keluar Bagi Krisis Ambalat
Setelah diperhatikan kedudukan krisis Ambalat seperti yang diperbincangkan sebelum ini, maka ia hendaklah diselesaikan dengan cara damai (diplomasi), bukan melalui konfrontasi (konflik bersenjata). Ini dapat dilihat dari dua apek.

Pertama, secara syar’i, perseteruan akan menyebabkan terjadinya perang saudara, yang melibatkan peperangan antara sesama Muslim. Memulakan peperangan antara sesama Muslim jelas diharamkan, sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ عِرْضُهُ وَمَالُهُ وَدَمُهُ

Muslim yang satu dengan Muslim yang lain itu haram (saling mengganggu) kehormatan, harta, dan darahnya” [HR at-Tirmidzi].

Oleh kerana itu, ketika berlaku peperangan antara sesama Muslim, Allah SWT memerintahkan kaum Muslimin yang lain untuk menghentikannya, sebagaimana firmanNya:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mu’min berperang, maka damaikanlah antara keduanya” [TMQ Al-Hujurat : 9].

Larangan memulai perang dan perintah menghentikan peperangan antara sesama kaum Muslimin menunjukkan haramnya menumpahkan darah diantara sesama mereka. Dan atas alasan apa peperangan ingin dicetuskan? Nasionalisma???

Kedua, secara ekonomi, perseteruan ini juga akan menelan belanja yang sangat tinggi, manakala hasilnya sudah pasti buruk. Pihak Indonesia pasti akan rugi dalam persengketaan ini, demikian juga Malaysia; samada secara ekonomi, politik, mahupun pertahanan dan keamanan – dan yang pasti akan mengaut keuntungan adalah kaum kuffar yang bagaikan serigala lapar menunggu hidangan yang dengan rela hati disajikan oleh kaum muslimin sendiri!!!

Oleh kerana itu, penyelesaian konflik melalui jalur diplomasilah yang paling logik dan rasional. Perbincangan haruslah dijalankan didalam suasana persaudaraan dan kedua-dua belah pihak hendaklah bertolak ansur dan menjadikan Allah dan RasulNya sebagai rujukan didalam menyelesaikan masalah ini.

Wahai Pemerintah dan umat Islam di Malaysia dan Indonesia!

Sesungguhnya Allah telah memberikan rahmat kepada rakyat di Malaysia dan Indonesia dengan menjadikan mereka hidup sebagai kaum muslimin, berpegang teguh kepada akidah-Nya dan bersaudara sesama kita. Janganlah kita inginkan perpecahan dan permusuhan hanya kerana suatu nikmat galian yang Allah SWT berikan sebagai cubaan hidup di dunia. Janganlah kita lupa bahawa dari Allahlah segala urusan dan kepada Allahlah segalanya akan dikembalikan.

Sedarlah bahawa hukum bermusuhan sesama Muslim jelas diharamkan oleh Islam. Oleh kerana itu, apapun bentuknya, tindakan permusuhan tersebut hendaklah dijauhi. Kaum Muslimin termasuk para tokoh masyarakat, ulama’, para intelek dan pemerintah di Indonesia dan Malaysia hendaklah bersama-sama mencegah terjadinya perang saudara. Sesungguhnya yang akan mendapat keuntungan dari perang tersebut bukanlah umat Islam di kedua negara ini tetapi negara-negara penjajah kapitalis yang memusuhi Allah dan RasulNya..

Persoalan ini sewajarnya menguatkan keyakinan kita bahawa akar permasalahan yang timbul adalah kerana negeri-negeri kaum Muslimin yang asalnya satu, di bawah naungan bendera Lâ ilâha illâ Allâh Muhammad Rasûlullâh itu telah dicabik-cabik dan dirobek-robek oleh penjajah. Inilah yang sebenarnya menjadi masalah utama yang menyebabkan munculnya masalah sempadan (al-hudûd) dan seterusnya perasaan nasionalima. Oleh kerana itu, masalah persempadanan kawasan yang dipersengketakan tadi sebenarnya bukanlah merupakan masalah utama. Masalah utama yang sewajarnya diberi perhatian adalah umat Islam pada saat ini tidak lagi hidup di dalam satu negara iaitu Daulah Khilafah Islamiyyah. Sebaliknya, mereka telah dipecah-pecahkan di dalam batas-batas nation states (negara-bangsa). Kenyataan ini juga semakin memperteguhkan keyakinan kita, bahawa Khilafah Islamiyah bukan sahaja wajib, malah adalah perlu untuk menjaga persatuan dan kesatuan negeri-negeri kaum Muslimin. Sekiranya ini masih tidak diendahkan, umat Islam akan terus-menerus disibukkan dengan masalah-masalah seperti isu Ambalat yang jelas-jelas menjerumuskan mereka kelembah kesengsaraan. Persoalnnya, sampai bilakah harus begini?

Wallahua’lam