SN011 – HALAL DAN HARAM : DIMANAKAH KEPEKAAN UMAT ISLAM?
SN Keluaran 2005
[SN011] Sautun Nahdhah kali ini ingin menyentuh isu yang memenuhi ruangan muka hadapan akhbar-akhbar arus perdana di tanah air sejak beberapa hari yang lalu – polemik yang berkisar isu penguatkuasaan dan status ketulenan logo halal. Isu ini timbul rentetan dari insiden yang berlaku pada 14hb Mac 2005 dimana pihak berkuasa telah berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang memproses daging sosej yang dikesan menggunakan usus haiwan yang disyaki babi sebagai sarung sosej. Kilang berkenaan turut didapati menggunakan logo halal palsu daripada pelbagai jabatan agama pada bungkusan produknya di Selayang, Selangor, sebagaimana telah tersiar di halaman hadapan Harian Metro, 15hb Mac 2005. Pada hari yang sama, akhbar Berita Harian memaparkan berita yang sama di bawah tajuk; “Kilang sosej ‘halal’ guna usus babi diarah tutup”. Sebagai tindakan susulan, dua kilang pengeluar sosej telah diarah agar menutup premis mereka selama dua minggu, berkuat kuasa serta-merta. Kedua-dua tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tidak menjaga kebersihan dan Seksyen 15, Akta Perihal Dagangan 1952 membabitkan penggunaan sijil halal yang tamat tempoh. Akibat daripada pendedahan berita tersebut, umat Islam di Malaysia khususnya yang prihatin dengan penyediaan makanan yang halal telah dikejutkan sekali lagi dengan isu yang amat sensitif ini. Sebagaimana kebiasaannya, banyak pihak dari kalangan pengguna, NGO, dan para pemimpin tampil kehadapan untuk menyampaikan pandangan sebagai luahan dari perasaan tidak puas hati mereka.
Bagaikan ombak yang terus menghempas ke pantai, sebenarnya isu ini bukanlah sesuatu yang asing dan baru bagi kita umat Islam di Malaysia ini. Pada bulan Febuari 2003, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman melahirkan rasa kesalnya terhadap premis yang memaparkan logo halal tetapi masih gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh jabatan agama. Beliau mengulas mengenai kes yang membabitkan sebuah hotel empat bintang di Pulau Pinang yang memanggang babi di sebalik pengiktirafan halal yang diberi oleh Majlis Agama Islam negeri. (Keraguan Logo Halal, Utusan Malaysia, 14hb Febuari 2003). Pada tahun 2004 pula, Pengarah Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Che Hassan Pahmi Che Mamat, telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah mengesan 27 kes kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan logo halal jabatan itu di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun 2004, hasil dari 302 kes yang disiasat. (Utusan Malaysia, 17hb Julai 2004)
Kita perhatikan, setiap kali kes yang melibatkan status halal pada makanan didedahkan samada melalui media cetak atau elektronik, maka setiap kali itulah juga akan kedengaran rungutan dan cadangan daripada kalangan rakyat ataupun pemimpin supaya ianya tidak berulang. Namun hakikatnya, kita terus melihat perkara ini tetap terjadi dari masa ke semasa. Suara-suara rungutan dan cadangan tersebut ibarat “kocakan air di cawan kopi”, hanya untuk melarutkan gula dan meredakan haba panas air kopi sahaja, tidak lebih dari itu.
Status Khinzir: Kewajaran Sensitiviti Umat Islam
Tindakan umat Islam “membuat bising” terhadap isu ini bukanlah tiada kewajarannya di sisi syara’. Malahan ia merupakan sesuatu yang wajar dan dituntut oleh Islam. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, keharaman daging babi di sisi syara’ merupakan sesuatu yang qat’i (pasti). Nas yang menjadi dalil (hujah) kepada keharaman tersebut merupakan nas yang qat’i samada dari aspek sumber (tsubut) dan penunjukkan maknanya (dilalah). Allah SWT telah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah yang baik-baik dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kalian dan hendaklah kalian bersyukur kepadaNya, jika benar-benar kalian bersembah sujud kepadaNya. Allah mengharamkan kalian dari memakan bangkai, darah, daging babi, dan daging ternak yang tidak disembelih atas nama Allah. Namun barang siapa yang berada di dalam keadaan terpaksa (memakannya) bukan atas kemahuannya sendiri, dan tidak ia melampaui batas, maka ia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Al-Baqarah:172-173]
“Katakanlah (hai Muhammad): Tidak kutemukan di dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya kecuali jika makanan itu berupa bangkai, darah yang mengalir atau daging babi, kerana yang demikian itu keji (najis).
[TMQ Al-An’am:145].
Perlulah kita sedari bahawa keharaman khinzir itu hanyalah didasarkan kepada fakta bahawa ia diharamkan oleh Allah SWT tanpa ada ‘illat (sebab) kepada keharamannya. Ada dikalangan orang Islam yang melihat bahawa khinzir haram kerana kotor dan sebagainya, namun, didalam ayat di atas, jelas pengharaman ke atas khinzir adalah kerana Allah memang telah mengharamkannya tanpa menyatakan ‘illatnya. Oleh itu, keharamannya haruslah kekal dalam keadaan tersebut tanpa perlu kita mencari sebabnya berdasarkan akal kita dengan mencari-cari dan menggunakan maslahat atau mudharat di sebalik keharaman khinzir sebagai sandaran kepada hukum.
Kita juga perlu sedar bahawa hukum berkaitan khinzir ini hanyalah merupakan salah satu dari hukum syara’ berkaitan dengan makanan. Terdapat juga hukum-hukum yang lain berkaitan dengan persoalan yang sama. Misalnya, keharaman minuman keras (khamar). Pengharamannya didasarkan kepada firman Allah SWT;
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi dengan anak panah itu adalah perbuatan najis termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah agar kamu mendapatkan keberuntungan. Sesungguhnya syaitan bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan shalat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).” [TMQ al-Ma’idah: 90-91].
Atas hakikat ini, tidaklah wajar bagi umat Islam bersikap begitu prihatin dan sensitif dalam menjaga hukum syara’ berkaitan dengan khinzir tapi bersikap acuh tidak acuh dengan hukum syara’ berkaitan khamar. Keharaman khamar seolah-olah tidak ‘seberat’ keharaman khinzir sehingga kita perhatikan bahawa penjualan dan penggunaan khamar begitu berleluasa hari ini. Sikap ‘double standard’ seperti ini amat dikesali. Ini juga seolah-olah menjadi petunjuk bahawa sikap tidak puas-hati terhadap isu khinzir ini tidak sepenuhnya didasarkan kepada hukum Allah semata-mata, sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, tapi sebaliknya ada kemungkinan ia hanya didasarkan kepada faktor-faktor yang bersifat emosi dan peribadi. Lebih berat dari itu, perkara-perkara haram lainnya yang wujud didalam masyarakat kita acapkali tidak dihiraukan, malah dianggap ‘enteng’ dan selari dengan kehidupan seorang muslim di negara ini.
Wahai kaum Muslimin yang diMuliakan,
Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang syumul, yang bukan hanya mengatur hubungan diri kita dengan Allah SWT, menerusi hukum-hakam berkaitan ibadah dan akidah; dan bukan juga hanya mengatur hubungan kita dengan diri kita semata-mata, menerusi hukum-hakam berkaitan dengan pemakanan, pakaian dan akhlak – namun Islam juga mengatur hubungan kita sesama manusia yang mana peraturannya terangkum didalam hukum-hukum muamalah.
Tidak sepatutnya kita mengaku beriman dengan Allah dan RasulNya, jika kita hanya menitik-beratkan penjagaan hukum syara’ yang bersifat peribadi (ibadah, makanan, pakaian dan akhlak) semata-mata tanpa memberikan perhatian yang sama terhadap hukum syara’ berkaitan interaksi kita sesama manusia (pemerintahan, ekonomi, sosial, hukuman, dasar pendidikan dan dasar luar-negara) yang dikala ini tidak diatur dengan hukum Islam.
Berapa ramai dari kita yang berasa “jijik” dengan transaksi ribawi di dalam sistem perekonomian negara? Berapa ramai pula dari kita yang “geli-geleman” dengan sistem pendidikan negara yang mendidik rakyatnya untuk berhutang semenjak di peringkat universiti lagi dibawah skim PTPTN yang ribawi itu? Mengapakah hal-hal seperti ini boleh berlaku sedangkan Allah SWT telah berfirman:
“Dan demi Tuhanmu, tidaklah mereka itu beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim di dalam perkara yang mereka perselisihkan”
“Apa yang dibawakan oleh Rasul kepadamu maka terimalah ia dan apa yang dilarang bagimu maka tinggalkanlah ia “ [TMQ Al Hasyr (59):7]
Dan berapa ramaikah dari kalangan kita yang merasa “loya” melihat gelagat para pemimpin kita berjabat tangan sambil ditepuk-tepuk belakang mereka oleh pemimpin asing yang tangannya berlumuran dengan darah umat Islam Iraq, Palestin dan Afghanistan? Berapa ramaikah…..??
Jawapan Kepada Maruah Umat Islam Yang Tercalar
Apakah yang menyebabkan umat Islam kehilangan kepekaannya terhadap perlaksanaan hukum-hukum selain daripada hukum Islam? Walhal, pengabaian didalam penerapan hukum Islam inilah yang menyebabkan berlakunya penghinaan demi penghinaan ke atas umat Islam pada hari ini. Allah SWT telah memperingatkan kita semua sebagaimana di dalam firmanNya:
“Barangsiapa yang tidak memutuskan (sesuatu perkara) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq” [ TMQ Al Maidah (5) : 47]
“Barangsiapa yang tidak memutuskan (sesuatu perkara) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [ TMQ Al Maidah (5) : 45]
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [ TMQ Al Maidah (5) : 44]
Ayat-ayat di atas merupakan suatu larangan yang tegas terhadap sebarang bentuk perlaksanaan hukum selain daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Walaupun demikian, ianya masih tidak dapat membentuk sensitiviti umat Islam hari ini terhadap perlaksanaan hukum-hukum kufur. Melalui penelitian ke atas masyarakat, kita akan dapat memahami mengapa ianya berlaku. Masyarakat, jika diperhatikan dari realitinya terbina daripada empat komponen iaitu a) Individu di dalam masyarakat, b) Pemikiran dan c) Perasaan di kalangan individu serta d) Sistem yang diterapkan di kalangan individu. Disebabkan sistem yang diterapkan adalah sistem yang selain daripada sistem Islam, maka individu-individu di dalam masyarakat juga tidak mempunyai pemikiran dan perasaan yang bercirikan Islam. Pembentukan pemikiran dan perasaan individu mempunyai pengaruh ke atas Mafahim (konsep kehidupan yang mempengaruhi sikap seseorang), Miqyas (kriteria/piawai kehidupan dalam menentukan sikap seseorang) dan Qana’ah (ketaatan seseorang kepada aspirasi masyarakatnya yang terbentuk dari mafahim dan miqyas yang diguna-pakai) yang terbentuk di dalam masyarakat. Melalui kekuatan pemerintahan kufur, konsep sekularisme yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat masakini telah menyebabkan Mafahim, Miqyas dan Qana’ah (2MQ) setiap kaum muslimin tidak lagi bersandar kepada Islam. 2MQ kufur inilah yang menjadi punca kepada hilangnya kepekaan umat terhadap perlaksanaan hukum-hukum selain Islam yang keharamannya merupakan ibu segala keharaman.
2MQ ini amat bergantung kepada bentuk pemikiran yang ditanamkan ke atas setiap individu di dalam masyarakat. Jika pemikiran sekular dan kapitalis yang ditanamkan, maka 2MQ yang ada pada mereka bersifat kapitalis, manakala jika pemikiran Islam yang ditanamkan, akan lahirlah individu-individu yang mempunyai 2MQ yang bersifat Islam. Pembentukan 2MQ yang bersifat Islam ini akan melahirkan individu muslim yang berfikir dengan pemikiran Islam, menjadikan pemikiran Islam sebagai penentu kepada perbuatannya serta meyakini akan hukum-hukum kehidupan yang telah ditetapkan oleh Islam. Mereka seterusnya akan dapat menentukan samada apa yang sedang dilaksanakan disekelilingnya benar-benar menepati apa yang telah ditetapkan oleh Islam.
Oleh kerana itu, kepekaan umat terhadap perlaksanaan hukum-hukum kufur ini harus dihidupkan segera dengan mengembalikan mereka kepada 2MQ Islam. Pembentukkan 2MQ walaubagaimanapun tidak akan sempurna tanpa sokongan sebuah kuasa pemerintahan. Kuasa pemerintahan tersebut haruslah sistem pemerintahan Islam yang seharusnya dimanifestasikan oleh Sistem Pemerintahan Khilafah sebagai sebuah entiti yang akan menerapkan Islam ditengah-tengah masyarakat. Bahkan, sistem inilah yang akan memastikan bahawa 2MQ ini terbentuk dengan bersandarkan kepada Islam.
Wahai Umat Pilihan Yang Dimuliakan,
Marilah kita berusaha bersama-sama untuk merealisasikan penerapan syariat Islam secara keseluruhan agar dapat membentuk kehidupan peribadi dan masyarakat yang bercirikan Islam. Dengan penerapan ini juga kita mengharapkan agar kehidupan yang kita lalui di dunia ini mencapai darjat kehidupan manusia yang bermaruah dan mulia. Penerapan Syariat Islam secara kaffah ini hanya boleh diperolehi dengan menegakkan semula Sistem Pemerintahan Khilafah Islamiyyah sebagai institusi penerapan (tanfizh) yang syar’i. Institusi inilah yang diberikan hak oleh syara’ untuk menerapkan syariat Islam dalam kehidupan dan seterusnya memastikan kemaslahatan/kepentingan kita terpelihara berdasarkan syariat Islam. Sabda Rasulullah SAW;
«كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ اْلأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي. وَسَتُكُوْنُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ»
“Adalah Bani Israil, urusan mereka diatur oleh para nabi, ketika wafat seorang nabi digantilah oleh nabi lain. Sesungguhnya tidak ada nabi setelahku, dan akan ada para khalifah yang banyak” [HR. Muslim].
Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa kepentingan kita dalam kehidupan ini diatur dan dipelihara oleh para Khalifah. Perkara inilah yang ditunjukkan secara nyata oleh para Khalifah di dalam sejarah panjang kaum Muslimin sebagai umat yang mengungguli peradaban dunia. Sejarah juga telah membuktikan bahawa didalam tempoh hanya 81 tahun (sejak runtuhnya Kekhilafahan Uthmaniyyah pada 3hb Mac 1924), setelah urusan kaum Muslimin diserahkan kepada mereka yang mengambil selain dari Islam sebagai aturan kehidupan, kaum Muslimin telah hilang kemulian dan maruah mereka dipijak-pijak oleh musuh-musuh mereka diserata dunia. Allah SWT berfirman;
يا أيها الذين آمنوا استجيبوا لله وللرسول إذا دعاكم لما يحييكم
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang memberikan kehidupan kepada kamu” [TMQ Al Anfal: 24]
Wallahua’lam