SN016 – DIESEL…. KUOTA SUDAH HABIS

PDF

SN Keluaran 2005

 

SN

 

“Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara keatas manusia, dan dia akan dipertanggungjawabkan tetang rakyatnya” Hadis Riwayat Bukhari]

[SN016] “Kuota minyak diesel telah habis” terpapar di pam-pam diesel di stesen minyak seluruh negara. Meruncingnya krisis diesel ini menyebabkan mesyuarat demi mesyuarat diadakan untuk menyelesaikan kes ini. Punca utama berlakunya kekurangan diesel adalah disebabkan pelaksanaan sistem kuota yang bermula pada 1hb Januari 2005. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sistem kuota ini dirancang dan dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan tujuan untuk membendung penyeludupan diesel yang semakin berleluasa. Sarawak adalah negeri yang paling teruk terjejas sehingga menyebabkan persatuan lori tunggal mengancam untuk melancarkan mogok sekiranya isu ini tidak diselesaikan (UM 28.04.2005). Masalah diesel ini bukan sahaja melibatkan sektor pengangkutan, ia turut menjejaskan sektor pembinaan, perkhidmatan, perikanan dan lain-lain sektor yang bergantung dengannya.

Jika diteliti dengan mendalam, tindakan memperkenalkan kuota diesel ini adalah lebih disebabkan oleh kemarahan pihak berkuasa keatas ratusan penyeludup yang dianggap sebagai penjenayah utama krisis minyak negara. Namun begitu, kesan tempias tindakan ini juga terkena kepada ratusan ribu pengguna termasuk kanak-kanak sekolah. Untuk mengatasi krisis yang semakin meruncing ini, kerajaan mengarahkan pembekal minyak untuk membekalkan minyak ke 547 stesyen minyak di seluruh negara. Meskipun begitu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dan Persatuan Lori Kuala Lumpur dan Selangor mendakwa bahawa bekalan diesel yang hampir pulih ini dilihat hanya bersifat sementara dengan situasi yang sama dibimbangi akan berulang sekali lagi menjelang 10 hari terakhir setiap bulan.[UM 1.05.2005]

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai masalah ini, Sautun Nahdhah ingin mengetengahkan beberapa isu yang perlu difahami – sistem kuota dan subsidi oleh pihak kerajaan.

Dari aspek subsidi, jika harga minyak diesel dipasaran adalah RM1.30, pengguna awam dapat membeli diesel ini dengan harga RM0.885 seliter dan biasanya penjual minyak akan mendapat bahagiannya sebanyak RM0.03 seliter. Ini bermakna bagi setiap liter minyak diesel, pengguna menerima subsidi kerajaan Malaysia sebanyak RM0.415. Pada tahun lalu, kerajaan menanggung subsidi dan pengecualian cukai yang berjumlah RM14 bilion secara mikronya. Dalam masa yang sama, kerajaan mengenakan harga RM1.70 seliter untuk kegunaan perdagangan dan perindustrian. Lebih kurang RM0.40 adalah merupakan masukan wang dalam bentuk cukai. Jurang harga diesel untuk kegunaan industri dan pengguna awam inilah yang melahirkan pasaran gelap, dimana pengguna awam mendapatkan diesel untuk dijual kepada industri. Bahkan ada yang menuding jari mendakwa bahawa krisis ini didalangi oleh orang besar. Untuk menghapuskan isu penyeludupan ini, maka kerajaan memperkenalkan sistem kuota untuk penggunaan awam berasaskan data penggunaan diesel tahun 2003.

Pemberian subsidi ini seringkali dilihat sebagai bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan yang sentiasa mengalami defisit belanjawan. Tambahan pula, kenaikan harga minyak dipasaran dunia menyebabkan berlaku lagi kenaikan dalam subsidi kerajaan keatas pengguna awam. Dengan wujudnya penyelewengan keatas subsidi kerajaan ini, maka sistem kuota diperkenalkan sebagai penyelesaian pintas untuk krisis ini. Malangnya, sistem kuota ini malah menambah krisis sedia ada apabila kuota minyak diesel untuk stesen-stesen minyak tidak mencukupi. Seseorang perlu dipersalahkan dalam krisis ini. Dan alasan yang paling ‘convenient’ adalah ‘penguatkuasaan yang kurang mantap’’; yang diharapkan, dengan alasan ini dasar sistem kuota yang dicadangkan tidak akan dipersalahkan. Sebagai penutup sebuah lakonan, perlu ada perisanya – “ISA untuk penyangak Diesel”…dan yang tetap menjadi mangsa adalah pengguna awam.

Untuk mengatasi krisis diesel ini maka perlu diperhalusi terlebih dahulu pandangan Islam terhadap tiga jenis pemilikan, iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara.

Kedudukan Pemilikan Dalam Islam.

Syara’ menjelaskan bahawa terdapat pemilikan individu dimana setiap individu boleh memiliki kekayaan dengan sebab-sebab pemilikan tertentu. Imam Abu Daud meriwayatkan dari Samurah dari Nabi SAW yang bersabda:

“Dan siapa sahaja yang memagari sebidang tanah, maka tanah tersebut adalah menjadi haknya.”

Disamping itu, terdapat juga pemilikan umum untuk seluruh ummat. Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dari salah seorang Muhajirin yang mengatakan Nabi SAW bersabda:

“Manusia sama-sama memerlukan dalam tiga hal: air, padang gembalaan dan api.”

Terdapat juga pemilikan negara. Apabila ada orang Islam meninggal dunia sementara orang tersebut tidak mempunyai ahli waris, maka harta kekayaannya adalah hak milik baitul mal sebagaimana kharaj, jizyah dan harta-harta lain yang diperoleh dengan cara yang haq adalah milik baitul mal.

Apa yang menjadi hak milik baitul mal adalah milik negara kecuali zakat dan negara berhak mengagihkan harta yang dimilikinya sesuai dengan kehendaknya (ijtihadnya) namun tetap berlandaskan hukum-hukum syara’. Syara’ menjelaskan sebab-sebab pemilikan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang serta keadaan-keadaan tertentu yang menentukan pemilikan ummat termasuk sebab-sebab kepada harta pemilikan negara. Syara’ juga melarang mengikuti selain ketentuan-ketentuan tersebut.

Secara ringkasnya pemilikan berasaskan syara’ ada tiga jenis;

1) Pemilikan persendirian
2) Pemilikan umum
3) Pemilikan negara

Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Islam membezakan antara barang yang boleh dimiliki oleh individu, barangan awam dan barangan milik negara.

Petroleum Merupakan Milik Umum Penduduk Negara Islam

Minyak diesel adalah bahan hidrokarbon yang merupakan salah satu hasil sulingan dari petroleum mentah. Maka, hukum asal benda yang perlu dirujuk dalam kes ini adalah hukum asal kejadian minyak mentah. Minyak mentah ini adalah barangan milik awam kerana ia terkait dengan sifatnya seperti ‘air yang tidak putus-putus’ (ma’ul ‘iddu),

Berdasarkan hukum syara’, lombong atau kawasan takungan minyak yang banyak kandungannya, yang akan tetap wujud dalam jangkamasa yang sangat panjang, maka bahan lombong itu termasuk dalam pemilikan awam, dan kawasan lombong tadi tidak boleh menjadi hak milik persendirian. Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abyadh bin Hamal, bahawa dia telah meminta daripada Rasulullah SAW untuk mengelolakan lombong garamnya. Lalu Rasulullah memberikannya, namun seorang lelaki yang berada disitu menjelaskan realitinya kepada Rasulullah SAW.

Wahai Rasulullah, tahukah engkau apa yang engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Rasulullah kemudian bersabda: “ Tariklah lombong tersebut daripadanya.”

Ma’u al-‘iddu adalah air mengalir yang banyak. Hadis tersebut memberi perumpamaan bahawa garam yang boleh didapati dilombong itu adalah seperti air yang mengalir, kerana kandungannya yang banyak. Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberikan lombong garam bukit kepada Abyadh bin Hamal. Ini menunjukkan bahawa lombong garam bukit boleh diberikan kepada individu. Tetapi, apabila beliau mengetahui bahawa kandungan lombong itu adalah seumpama air yang mengalir (yang terlalu banyak kandungan galiannya), seolah-olah tidak akan dapat dihabiskan, maka beliau menarik balik pemberian itu dan melarang ianya dimiliki secara peribadi, kerana lombong tersebut adalah milik awam. Peristiwa ini menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah SAW menarik balik pemberian kawasan lombong yang diberikan kepada Abyad semata-mata kerana terdapat lombong garam bukit yang kandungannya terlalu banyak. Ini menjadi qarinah bahawa sesuatu kawasan yang mempunyai kandungan atau takungan yang banyak dengan galian maka lombong tersebut akan menjadi milik umum.

Daripada hadis diatas, jelas bahawa illat(sebab) larangan supaya tidak diberikan lombong garam tersebut adalah kerana kandungan garam lombong tersebut adalah seperti air yang mengalir dan jumlahnya tidak terbatas. Lebih jelas lagi didalam riwayat Amru bin Wais, bahawa yang dimaksudkan disini adalah lombong garam, di mana beliau mengatakan :“ma’danul milhi” (lombong garam). Jika diteliti pernyataan yang dibuat oleh ahli fiqih, maka jelaslah bahawa mereka telah menjadikan garam termasuk didalam kategori lombong, kerana hadis ini jelas berkaitan dengan lombong garam dan bukannya garam itu sendiri

Hukum berkenaan lombong yang tidak terbatas jumlah galiannya adalah ianya merupakan milik awam. Ini termasuk semua lombong, samada lombong yang boleh diperolehi tanpa perlu kerja berat yang boleh diperolehi manusia, serta boleh dimanfaatkan oleh manusia, contohnya garam bukit, antimoni, batu permata dan sebagainya; ataupun lombong yang berada di dalam perut bumi, yang tidak boleh diperolehi selain dengan kerja berat dan kos yang tinggi, contohnya lombong emas, perak, besi, tembaga, timah dan sebagainya, samada yang berbentuk pepejal seperti kristal ataupun berbentuk cecair seperti petroleum, semuanya termasuk dalam kategori lombong yang dinyatakan di atas.

Penyelesaian Krisis Minyak Diesel.

Pertama, perlu dijelaskan bahawa kawasan takungan minyak ini adalah milik ummat yang perlu diuruskan oleh Negara, bukannya diserahkan kepada syarikat asing atau syarikat swasta untuk mengekploitasi sumbernya. Bukan juga dengan pembahagian hasil kerana kaedah pembahagian hasil menjadikan syarikat tersebut menguasai sumber minyak yang sebenarnya milik rakyat. Kaedah yang sepatutnya adalah, Negara melakukan ekplorasi melalui syarikat milik negara atau syarikat awam dan kos penyelenggaraannya diambil dari hasil penjualan petroleum tersebut, atau jika pendapatan Negara adalah besar maka Negaralah yang akan menggaji pekerja sektor ini. Meskipun begitu, jika negara tidak mempunyai teknologi dan pengetahuan (know-how) untuk mencarigali minyak ini, maka syarikat asing boleh dikontrak dengan syarat mereka hanya diberi upah untuk melakukan kerja carigali namun minyak itu tetap menjadi milik awam kaum Muslimin. Inilah prosedur yang patut ditempuh semasa melakukan kerja carigali minyak, penapisan dan sebagainya, agar hukum syara’ berkenaan minyak sebagai milik umum tidak dicemari dengan unsur penguasaan oleh syarikat atau badan tertentu yang bukan mewakili rakyat. Pengambilalihan fungsi kerja kerajaan oleh pihak swasta dalam pengelolaan harta awam ini jelas akan menyebabkan semakin meningkatnya harga barang dan perkhidmatan. Kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain kerana krisis diesel yang berlaku sekarang memang telah menyebabkan naiknya Indeks Harga Pengguna (CPI).

Manakala dari segi agihan minyak, Negara bertugas untuk menyelia urusan pemilikan awam dan bukan untuk menjadikannya sebagai milik Negara. Maka sebenarnya, petroleum merupakan harta milik awam yang perlu diagihkan oleh Negara kepada umat tanpa mengira samada mereka itu lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa, kafir zimmi atau Muslim. Perlu dijelaskan juga bahawa pada asalnya, Negara sepatutnya mengagihkan hak rakyat ini dengan harga yang berpatutan atau Negara juga boleh menjualnya dengan harga pasaran; sekiranya terdapat keuntungan dari penjualan petroleum ini ia akan dimasukkan kedalam tabung khas yang kemudiannya boleh digunakan untuk membiayai kos pembangungan keperluan awam atau boleh juga diagihkan kedalam akaun setiap warganegara. Hubungan kerajaan dengan rakyat dalam agihan minyak diesel sebagai produk sektor awam bukanlah merupakan hubungan antara penjual dan pembeli ataupun hubungan mereka yang menyorok minyak dengan pembeli, sebaliknya hubungan yang wujud adalah hubungan antara yang mengurus urusan rakyat dan rakyat yang berhak menikmati harta kekayaan milik umum tersebut dengan harga murah. Ini adalah kerana kedudukan pemimpin adalah sebagai pemelihara, bukan penyiksa ummat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

الْإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara ke atas manusia, dan dia akan dipertanggungjawabkan tetang rakyatnya” [Hadis Riwayat Bukhari #6605]

Dasar kerajaan meletakkan sistem kuota dengan alasan untuk mengurangkan aktiviti penyangak minyak sebenarnya telah memudaratkan rakyatnya. Sistem kuota minyak sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi dengan alasan untuk mengurangkan defisit belanjawan memang sewajarnya dipersoalkan. Sistem kuota bukanlah penyelesaian yang tepat untuk mengurangkan subsidi, bahkan ia terasa tidak adil dan memudaratkan rakyat. Setiap kali rakyat dijadikan mangsa, ia adalah seolah-olah rakyat dihalang dari menikmati harta yang sebenarnya dianugerahkan oleh Allah SWT untuk mereka. Sistem kuota ini sepatutnya dihapuskan kerana ia menghalang rakyat dari menikmati hak mereka.

Jika dilihat dari aspek subsidi pula, subsidi adalah merupakan pemberian Negara dari milik negara kepada individu, pihak swasta, badan-badan dan organisasi. Dalam kes diesel ini, kerajaan tidak dapat dikatakan memberikan subsidi secara hakiki. Ini adalah kerana kerajaan telah mengambil harta awam yang sepatutnya menjadi milik awam untuk rakyat (yang sepatutnya mereka dapati dengan percuma) tetapi oleh kerana untuk mendapatkan minyak itu, manusia perseorangan tidak akan mampu mendapatkannya sendiri maka kerajaanlah yang menyelianya. Namun begitu, harga yang tinggi diletakkan keatas minyak dan justifikasi ‘subsidi’ diberikan. Ini kelihatan seolah-olah harta ummat dirampas kemudian dijual semula kepada ummat dengan harga ‘subsidi’. Apakah ini sebuah keadilan? Janganlah pula selepas kerajaan membentangkan isu minyak dan isu subsidi tiba-tiba harga minyak dinaikkan lagi!!

Persoalan yang mungkin timbul apabila membicarakan sistem pemilikan awam petroleum ini adalah sekiranya semua harta tersebut diberikan kepada rakyat sehingga tiada tertinggal apa-apa sebagai milik negara akan menyebabkan negara kekurangan hasil – pendapatan negara mungkin tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam dan boleh saja melumpuhkan perjalanan sistem politik negara. Persoalan sebegini sering timbul, namun Rasulullah SAW telah menunjukkan mekanisme bagi menyelesaikan masalah ini 1,400 tahun yang lepas; Rasulullah SAW sebagai ketua negara telah menyediakan rizab untuk negara dari pemilikan awam.

Tidak ada (Hima) Rizab kecuali untuk Allah dan Rasul” [Hadis Riwayat Imam Abu Daud Nasa’i]

Makna dari hadis ini adalah bahawa rizab tidak boleh dikumpulkan kecuali oleh negara, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk keperluan jihad, untuk kaum miskin serta untuk kemaslahatan kaum Muslimin. [Abdul Qadim Zallum, Sistem Kewangan Dalam Negara Khilafah, ms 83]. Rasulullah SAW juga telah melakukan rizab di kawasan Naqii’, yang mana kawasan ini dilarang untuk dimanfaatkan oleh pengguna awam. Begitu juga dengan tindakan pengurusan negara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa khalifah juga mempunyai beberapa hak yang sama untuk mengurusi negara. Khalifah, sebagai ketua Negara Islam juga boleh merizabkan beberapa telaga minyak untuk dimasukkan terus kedalam pendapatan negara untuk menampung perbelanjaan mengurus negara, seandainya hasil negara tidak mencukupi.

Wahai Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah

Betapa indah dan lengkapnya Sistem Ekonomi Islam yang telah diterangkan oleh Allah SWT melalui lidah RasulNya dan amalinya. Bermula dari sistem pemilikan sehinggalah kepada sistem agihan dengan dalil yang rinci sekali, sehingga Islam juga menjaga kewujudan dan kekuatan ekonomi negaranya dengan sistem rizab. Semuanya jika dikaji dengan rasional adalah untuk memastikan kesinambungan kuasa politik Islam dalam mewarnai geopolitik dunia. Tetapi sayang seribu kali sayang – semenjak kejatuhan Negara Islam pada tahun 1924, sistem ekonomi kapitalislah yang dipilih oleh ummat Islam menyebabkan berlaku penyerahan barangan milik umum ini kepada syarikat swasta, sebagaimana yang kita lihat diseluruh dunia kapitalis hari ini, termasuklah di Malaysia. Penerapan sistem ekonomi Islam ini pastinya tidak akan berjaya dilakukan oleh penganut ideologi kapitalisme atau oleh sebuah negara sekular. Harapan kita hanyalah kepada Negara Khilafah, kerana negara ini sahajalah yang sebenarnya akan menerapkan mabda’ Islam dengan serius dalam bidang ekonomi dan bidang-bidang kehidupan yang lainnya. Ayuhlah kita memulakan langkah kearah perjuangan intelektual tanpa senjata untuk mendirikan semula runtuhan Daulah Khilafah Islamiyyah yang telah dimakamkan oleh Mustafa Kamal Atarturk.

Wallahua’lam