SN020 – Ajaran Sesat : Manifestasi Kecelaruan Berfikir

PDF

SN Keluaran 2005

[SN020] Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman mengatakan bahawa 24 kumpulan ajaran sesat masih bergerak diseluruh negara. Ia adalah baki daripada 124 kumpulan yang telah dikenalpasti yang mana 100 daripadanya telah berjaya dihapuskan. Beliau menyebut bahawa 24 kumpulan terbabit dikesan masih aktif dan beroperasi di sekitar Lembah Klang. Antaranya ialah kumpulan Tarikat Muhammadiah, Al-Arqam, Ajaran Haji Kahar, Ajaran Qadiani dan Ahmadiah [BH 21/5/05].

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri juga dilaporkan telah mengesan satu kumpulan militan seperti Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) sedang bergerak cergas di negara ini. Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata setakat ini anggota kumpulan itu telah dikenal pasti, sedang diperhati dan diteliti sama ada perlu dikenakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau tidak. Sementara itu, pihak polis dilaporkan akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama negeri bagi memantau kegiatan kumpulan Al-Arqam yang dilapor antara 24 kumpulan ajaran sesat yang bergerak aktif di negara ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata, kegiatan kumpulan ajaran sesat di negara ini adalah terkawal. Katanya, yang masih aktif sekarang hanyalah kelompok kecil dan jika ada yang paling besar pun, mungkin kumpulan Ayah Pin di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu [BH 21/5/05]. Datuk Noh Omar, kemudiannya menafikan kenyataan akhbar diatas yang menyebut kenyataannya bahawa kumpulan tersebut ada kaitan dengan aktiviti militan atau pengganas. Beliau menegaskan bahawa kumpulan tersebut berasaskan agama dan ia dipantau kerana ajarannya boleh memesongkan akidah umat Islam dan jika dibiarkan ia boleh menjejaskan perpaduan ummah. “Sebab itu kita mengkaji sama ada sesuai atau tidak jika kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk melenyapkan pengaruh kumpulan berkenaan,” katanya lagi [BH 23/5/05].

Sautun Nahdhah ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk menelurusi dan menjelaskan pandangan berkaitan melabelkan sesuatu gerakan itu membawa ajaran sesat atau tidak. Untuk tujuan ini, kita perlulah mengunakan prosedur tertentu yang hanya didasarkan kepada pemikiran Islam yang bersumberkan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW. Syariah Islam akan memastikan bahawa sebarang keputusan yang dibuat tidak dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan atau motif tertentu. Penentuan sesat keatas seseorang atau sesebuah gerakan perlulah dilihat berdasarkan aspek aqidah semata-mata dan tidak dipengaruhi, seperti yang disebutkan, oleh motif-motif dan kepentingan tertentu.

AQIDAH DAN HUKUM SYARA’

Aqidah adalah pemikiran yang menyeluruh tentang manusia, alam dan kehidupan, hubungan di antara ketiga-tiga unsur ini dengan apa yang datang sebelum dan selepas kehidupan. Dari aqidah akan muncul berbagai peraturan, undang-undang, norma dan tata nilai masyarakat. Aqidah juga menentukan arah pandang, cita-cita dan tujuan yang dianut oleh para pemeluknya, diyakini kebenarannya, diperjuang dan dipertahankan.

Aqidah seseorang adalah asas kepada segala-galanya. Ia merupakan asas berfikir dan asas bertindak seseorang. Salah atau rosak aqidah, maka rosaklah pemikiran dan tingkah lakunya dan rosaklah individu tersebut. Jika dinisbahkan kepada sebuah bangunan aqidah merupakan bahagian asas kepada struktur bangunan. Apabila asas kepada struktur bangunan itu rosak, ia boleh menyebabkan bangunan retak atau membawa kepada runtuhnya keseluruhan bangunan. Oleh yang demikian aqidah merupakan bahagian yang terpenting dari pemikiran seseorang kerana aqidah adalah asas pemikiran (usul) dan yang lainnya adalah pemikiran cabang (furu’) yang muncul dari asas tadi.

Aqidah menurut bahasa adalah sesuatu yang diikat didalam hati, iaitu sesuatu yang diyakini. Sesuatu yang diyakini adalah sesuatu yang diputuskan atau dibenarkan secara pasti – tashdiqul jazim. Ia akan membawa kepada pembenaran atau pendustaan terhadap sesuatu informasi. Perkara-perkara yang termasuk didalam aqidah adalah seluruh perkara yang ghaib seperti iman kepada Allah, para malaikatNya, kitabNya, para rasulNya, hari Kiamat serta qadha dan qadar baik dan buruknya dari Allah SWT. Termasuk di dalam aqidah adalah semua perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh aqal seperti syaitan, syurga dan neraka. Perkara aqidah mesti diambil berdasarkan tashdiqul jazim (pembenaran yang bersifat pasti) bukan secara dzanni (dugaan kuat) atau sangkaan sahaja kerana Allah menegaskan di dalam Al-Quran dengan firmanNya:

“Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.” [TMQ Yunus:36]

“Dan jika mereka menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta(terhadap Allah).” [TMQ Al-An’am:116]

Manakala hukum syarak adalah khitab as-Syari’ (seruan pembuat syariat) berkenaan dengan perbuatan hamba. Misalnya ijarah (kontrak upah), bay’ (jual beli), riba, nikah, solat, iqamatul khilafah (menegakkan khilafah), larangan mengumpat, ghanimah, fai’, bay’ah dan jihad termasuk didalam hukum syarak.

PIAWAIAN ISLAM DALAM PENETAPAN AQIDAH

Aqidah adalah seluruh pemikiran yang dibenarkan (mesti sampai kepada peringkat tashdiqul jazim) sementara hukum syarak adalah seruan Allah yang berkenaan dengan perbuatan manusia yang bertujuan untuk menyelesaikan seluruh permasalahan manusia (pemerintahan, penghukuman, sistem sosial, pendidikan dan ekonomi) [Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Nizhamul Islam, Al-Quds, 1953]. Dalam mengambil perkara-perkara hukum syara’ adalah memadai dengan pengambilan secara ghalabatuz dzanni (dugaan kuat) dan tidak perlu sampai kepada peringkat yakin. Misalnya dua rakaat solat subuh dilihat dari aspek perlaksanaan solatnya adalah hukum syarak. Sedangkan pembenaran bahawa hukum dua rakaat solat subuh adalah dari Allah merupakan aspek aqidah. Ingkar dalam melaksanakan solat subuh dua rakaat akan merosakkan solat sama seperti meninggalkan solat dan ia adalah maksiat (derhaka) kepada Allah yang membawa kepada pelakunya mendapat dosa. Ingkar untuk membenarkan kaifiyat solat subuh dua rakaat adalah dari Allah akan merosakkan aqidah yang membawa kepada pelakunya dianggap kafir kerana hukum tersebut adalah berdasarkan kepada riwayat yang mutawatir dan jelas maknanya. Riwayat mutawatir akan menutup kemungkinan bahawa berita yang dibawa adalah salah kerana ia dibawa oleh banyak jalur perawi (lima jalur berlainan sebagai contoh) yang membawa kepada keadaan qat’i tsubut (kepastian datangnya berita). Kejelasan makna akan menutup kebarangkalian ia membawa lebih dari satu makna dan ini membawa kepada keadaan qat’i dilalah (kepastian makna). Apabila makna dan cara datang berita bersifat pasti ia akan menerbitkan tashdiqul jazim (pembenaran yang pasti) – dan ini adalah bahagian dari aqidah.

Solat dua rakaat solat sebelum maghrib adalah termasuk ibadat sunat (dianjurkan); ia termasuk hukum syara’ yang tidak berdosa jika ditinggalkan. Pengingkaran terhadap hukum solat tersebut tidak dianggap kafir kerana hukum itu ditetapkan berdasarkan dalil dzanni – bukan hadis mutawatir. Hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah hukum syara’ yang wajib dilakukan, meninggalkannya adalah berdosa dan mempercayai bahawa ia datang dari Allah adalah termasuk aqidah kerana hukum ini termasuk tashdiqul jazim – ia ditetapkan secara qat’i tsubut dan qat’i dilalah. Pengharaman riba adalah hukum syara’, mengambilnya adalah haram dan berdosa dan mempercayai bahawa ia datang dari Allah adalah termasuk aqidah kerana penetapan hukum ini juga termasuk tashdiqul jazim. Inilah perbezaan diantara aspek aqidah dan aspek hukum syara’.

Aqidah adalah keimanan, dan keimanan menuntut adanya pembenaran yang bersifat pasti (tashdiqul jazim). Hukum syara’ adalah khitab as-Syari’ (seruan Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba. Pengambilan hukumnya boleh qat’i atau ghalabatuz dzann (dugaan kuat yang tidak sampai kepada yakin atau pasti). Menolak hukum syara’ yang qat’i adalah termasuk perkara aqidah dan boleh menjadikan seseorang itu kafir atau sesat tetapi menolak hukum syara’ yang dzanni bukanlah termasuk didalam masalah aqidah dan tidak membawa kepada kekafiran atau kesesatan secara langsung.

Piawai ini boleh diaplikasikan kepada satu contoh yang biasa kita dengarkan. Ada pendapat yang diketengahkan oleh golongan tertentu yang menyatakan bahawa sembahyang hanya perlu ditunaikan dengan niat. Mereka menggunakan dalil:

Sesungguhnya amal-amal itu dengan niat. Dan setiap orang dinilai dari niatnya” [HR Bukhari, Muslim]

Hadis ini menerangkan bahawa setiap amalan itu dinilai dengan niatnya dan didalam ibadat niat itu termasuk rukun. Untuk melihat samada pendapat ini benar atau tidak, perlu diperhatikan hukum berkaitan dengan solat. Kewajipan solat telah ditegaskan oleh Allah di dalam firmanNya:

“…maka dirikanlah solat kerana solat itu adalah ketetapan ke atas orang-orang beriman”
[TMQ An-Nisaa: 103]

Para fuqahaa telah bersepakat bahawa makna ayat ini menunjukkan wajibnya mendirikan solat. Kaifiyat mendirikan solat pula telah diterangkan oleh hadis “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat” dan hadis-hadis lain yang menerangkan bahawa solat itu adalah meliputi gerakan anggota badan dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam. Pendapat yang mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan niat adalah jelas bertentangan dengan hadis mutawatir mengenai perlakuan Rasulullah SAW dalam menerangkan kaifiyat menunaikan perintah solat. Atas alasan ini, mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa solat boleh dilakukan hanya dengan niat telah menolak hukum yang bersifat qat’i dan boleh rosak aqidahnya. Oleh sebab itu, perlulah diluruskan semula aqidah mereka agar kembali kepada aqidah Islam yang sebenarnya.

Penerangan di atas adalah merupakan prosedur syariah dalam menentukan, termasuk menangani perkara-perkara yang terkait dengan masalah aqidah dan hukum syara’. Penentuan samada telah berlaku kesalahan dalam kedua aspek ini perlulah terikat kepada prosedur dan piawaian yang tetap ini.

PIAWAIAN PRAGMATISME YANG KELIRU

Ada golongan atau aliran yang tidak mempunyai piawaian dalam membuat keputusan; secara umumnya mereka ini dikenali sebagai golongan atau aliran pragmatisme. Pragmatisme berasal dari bahasa Yunani iaitu pragma berarti perbuatan (action) atau tindakan (practice) dan Isme berarti ajaran, aliran atau fahaman. Dengan demikian, pragmatisme berarti ajaran/fahaman yang menekankan bahawa pemikiran itu berjalan mengikut tindakan. Didalam Kamus Oxford, sifat pragmatik adalah suatu sifat yang berjalan sesuai menurut kewajaran atau suasana realistik ketika itu – ia diasaskan kepada suasana praktikal dan tidak didasarkan kepada pertimbangan teoretis. Ini berarti, bagi seseorang yang pragmatik, kebenaraan atau nilai suatu ajaran (fahaman / doktrin) bergantung hanya kepada penerapannya samada sesuai dengan kepentingan manusia ketika itu atau tidak. Pragmatisme memandang bahwa kriteria kebenaran ajaran adalah berdasarkan faedah atau manfaat. Suatu teori atau hipotesis dianggap oleh mereka yang pragmatik sebagai benar jika ia membawa kepada suatu hasil yang mendatangkan manfaat. Dengan kata lain, suatu teori itu benar hanya jika ia berfungsi (mendatangkan manfaat) selepas ia dilaksanakan.

Gerakan Pragmatisme, secara falsafah, mula dirintis di Amerika oleh Charles S. Pierce (1839-1942) yang kemudiannya dikembangkan oleh William James (1842-1910) dan John Dewey (1859-1952). Walaubagaimanapun, dari segi sejarah, ia telahpun muncul sejak zaman Renaissance, iaitu ketika terjadi pertembungan diantara gereja dan kaum intelektual di Eropah. Pertentangan ini akhirnya menghasilkan suatu kompromi – pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme), sebagai asas kepada ideologi kapitalisme. Pragmatisme merupakan pemikiran cabang kapitalisme. Landasan pemikirannya pun sama, yakni pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme). Dari konteks ideologi, pragmatisme berarti menolak agama sebagai sumber ilmu pengetahuan dan sumber penyelesai masalah manusia.

Kebenaran, menurut James didalam bukunya, The Meaning of Truth, adalah sesuatu yang terjadi pada idea, yang sifatnya tidak pasti. Sebelum seseorang menemukan satu teori berfungsi maka kebenaran teori itu tidak akan diketahui. Kebenaran, bagi golongan pragmatis ini akan selalu berubah sejalan dengan perkembangan pengalaman. Sebab, sesuatu yang dikatakan benar akan dapat perbetul dan diperbaiki oleh pengalaman berikutnya. Oleh karena itu, fahaman pragmatisme ini tidak mengenal adanya kebenaran yang mutlak. Kebenaran hanya ditentukan oleh manfaat.

Idea pragmatisme ini keliru atas tiga sebab. Pertama, pragmatisme mencampuradukkan kriteria kebenaran idea dan kegunaan praktikalnya. Sedangkan kegunaan praktikal idea tidak menunjukkan kebenaran idea, tetapi hanya menunjukkan samada perlaksanaan idea ini memuaskan keperluan pelakunya atau tidak.

Kedua, pragmatisme menafikan peranan akal manusia. Menetapkan kebenaran suatu idea adalah aktiviti intelektual dengan menggunakan ukuran atau piawaian tertentu – sedangkan kepuasan manusia dalam pemenuhan keperluannya tidak boleh menjadi ukuran kebenaran idea tersebut.

Ketiga, pragmatisme menimbulkan relativiti dan kenisbian kebenaran sesuai dengan perubahan subjek penilai idea – baik individu, kelompok, mahupun masyarakat – serta perubahan konteks waktu dan tempat. Dengan kata lain, kebenaran hakiki pragmatisme hanya dapat dibuktikan – menurut pragmatisme itu sendiri – setelah melalui pengujian kepada seluruh manusia dalam seluruh waktu dan tempat, menjadikan alam ini sebagai makmal gergasi untuk melakukan ujian tersebut. Ini jelas mustahil dan tidak akan pernah terjadi.

Pragmatisme jika digunakan oleh sesuatu kelompok dari masyarakat untuk membuat keputusan bagi masyarakat keseluruhannya akan membuatkan keputusannya condong atau bias kepada kepentingan kelompoknya sendiri dan ini akan menyengsarakan orang lain. Oleh itu, pragmatisme tidak boleh digunakan untuk menilai seseorang atau sesuatu kelompok itu salah atau sesat. Umat Islam hari ini perlu menggunakan piawaian yang betul, seperti yang telah dijelaskan diawal makalah ini ketika menilai kesesatan seseorang atau suatu kelompok manusia. Mengatakan seseorang atau sesuatu kelompok itu sesat sedangkan piawaian yang digunakan didalam membuat keputusan ini tidak selaras dengan piawaian Islam membawa akibat yang amat buruk. Menentukan aqidah adalah isu yang bersangkutan dengan dengan wahyu Allah – maka menjatuhkan hukum sesat hendaklah didasari dengan wahyu Illahi bersumber Al-Quran dan Hadis. Janganlah pula ada sandaran politik atau kepentingan tertentu ketika menghukum sesuatu gerakan itu tersesat atau terpesong aqidahnya.

KHATIMAH

Dari huraian di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk menghukum sesuatu golongan itu sesat, perlulah mengikuti kaedah-kaedah yang ditunjukkan oleh Islam seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama’ mu’tabar Islam yang ikhlas. Kita mestilah mengikuti prosedur dan piawaian syariah dalam membuat keputusan ini dan janganlah sampai kita terjebak melakukan kesalahan dalam penuduhan atas sebab-sebab politik. Janganlah kita terlalu cepat menuduh orang lain sesat hanya kerana ia berpegang kepada fahaman politik yang berlainan atau kita mengambil keputusan berdasarkan hawa nafsu kita – kecuali apabila telah jelas kesesatan mereka, berdasarkan prosedur dan piawaian Islam yang benar.

WAHAI KAUM MUSLIMIN!

Perteguhkanlah diri anda dengan pemahaman Islam yang secukupnya supaya jelas bagi anda bahawa hukum syara’ yang anda ikuti adalah hukum yang benar-benar dari Islam. Perkara-perkara yang anda yakini atau imani juga mestilah yang sampai kepada peringkat yakin atau tashdiqul jazim. Berwaspadalah dari terjebak kedalam kancah ajaran-ajaran sesat kerana ianya boleh menjerumuskan kita kepada kekufuran dan menyumbatkan pelakunya ke dalam neraka – na’uzubillahi min zalik (semoga kita dijauhkan darinya). Kita juga mestilah berwaspada terhadap label-label ajaran sesat yang dilontarkan kepada golongan-golongan tertentu atas pengaruh politik dan terkait dengan pemikiran pragmatik.

Marilah kita berdoa dan terus berusaha agar Daulah Khilafah Islamiyah akan berdiri dan menerapkan hukum syara’ yang benar secara kaffah, menjaga aqidah kita dari kesesatan dan berhukum hanya menurut piawaian syara’. Khilafah juga akan menasihati individu atau kelompok tertentu yang sesat untuk kembali kepada ajaran Islam yang lurus dengan cara dan niat yang benar tanpa ada maksud politik yang tidak Islami.

Wallahua’lam