SN022 – JARUM DAN KONDOM – Menggali Lubang Baru Untuk Menutup Lubang Lama Sistem Kapitalisma
SN Keluaran 2005
[SN022] Sautun Nahdhah pada minggu ini ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk mengkaji isu jarum dan kondom percuma yang kini hangat diperbincangkan di media-media utama tempatan. Cadangan untuk memberikan kondom dan alat suntikan percuma kepada para penagih ini dilontarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan sokongan kelompok NGO tertentu yang mahu agar usaha diambil untuk mengawal dan mengurangkan penyebaran virus HIV. Perdana Menteri pada 13hb Jun 2005 telah mengatakan, ”kerajaan belum membuat keputusan berhubung cadangan memberikan jarum dan kondom percuma kepada penagih dadah bagi membendung HIV/AIDS. Ia masih dalam pertimbangan dan kalau kita nak laksanakanpun mungkin dalam bentuk percubaan. Masalah sekarang ialah penyakit ini sudah sampai ke peringkat mudarat dan membahayakan”. Buletin Utama TV3 (13 Jun 2005), pada masa yang sama, mengesahkan bahawa kabinet telah meluluskan cadangan tersebut dengan bajet RM 145 juta setahun.
Setelah sekian lama kerajaan Malaysia cuba menangani masalah penagihan dadah dengan pendekatan pemulihan, timbul pula kini cadangan-cadangan untuk menggunakan pendekatan ”harm reduction” (pengurangan bahaya). Konsep atau pendekatan “harm reduction” ini merupakan satu pendekatan kesihatan kemasyarakatan dalam menangani masalah AIDS dikalangan penagih dadah. Konsep ini telah lama diperbincangkan dan dilaksanakan di negara-negara barat dan sesetengah negara Asia secara kecil-kecilan namun ia mula menjadi popular di Malaysia rentetan dari sebuah persidangan – “The 16th International Conference on the Reduction of Drug Related Harm” yang telah diadakan di Belfast, Ireland Utara pada 20 – 24hb Mac lalu.
Persidangan ini disertai oleh hampir semua negara di dunia, termasuklah negara-negara kaum muslimin yang telah melaksanakan pendekatan ini. Salah satu negara yang dianggap berjaya adalah Iran. Penglibatan Iran dalam pengurangan bahaya ini masih baru – lebih kurang dua tahun. Meskipun begitu, kejayaan yang dicapainya amat memberangsangkan sehingga penganjur persidangan mengkhususkan satu sesi perbincangan untuk memperkatakan tentang pengalaman Iran dalam konsep pengurangan bahaya ini. Pada sesi tersebut, tujuh orang wakil dari Iran telah membentangkan pengalaman masing-masing. Iran dengan jumlah penduduk seramai 68 juta orang, 3.7 juta daripadanya ialah penagih dadah dan 2.5 juta daripada jumlah itu merupakan penagih yang bermasalah. Mereka melaporkan bahawa kadar pertambahan penagih dadah di negara tersebut adalah lapan peratus setahun – tiga kali ganda lebih besar daripada kadar pertumbuhan penduduknya.
“Needle and Syringe Programme” (NSP) dan “Methadone Maintenance Programme” (MMP) merupakan dua program yang dikaitkan dengan pengurangan bahaya. NSP merupakan program dimana jarum dan alat suntikan dibekalkan kepada penagih bagi mengelakkan mereka mengguna semula jarum serta bahan suntikan terpakai. Walaupun program ini menimbulkan banyak kontroversi, Iran tetap melaksanakannya dengan sokongan para ulama mereka. Mereka juga menjalankan “Methadone Maintenance Programme” dimana didalam program ini, klinik-klinik didirikan dan para penagih akan mengunjunginya untuk mendapatkan dos methadone. Dalam masa tiga tahun pelancarannya, Iran sudah membina 18 klinik seperti ini.
Golongan ulama Iran menyokong program ini kerana mereka menganggap bahawa masalah ini merupakan suatu masalah kesihatan. Atas alasan ini, mereka menyerahkan penyelesaian masalah ini kepada kebijaksanaan para doktor untuk `menyembuhkan’ para penagih itu. Dalam justifikasi mereka, para ulama ini berpegang kepada dua prinsip Islam; iaitu dari hadis Rasulullah SAW `jangan memudaratkan diri dan jangan memudaratkan orang lain’ dan kaedah syara’ `bertoleransi dengan dharar (bahaya) kecil bagi mengelakkan dharar yang lebih besar’. Dengan itu, secara rasionalnya, jika seorang penagih dadah yang menghidap HIV, sebagai contoh, telah memudaratkan dirinya sendiri, janganlah pula mereka memudaratkan orang lain. Dengan alasan yang sama, methadone dilihat sebagai dharar yang kecil dan boleh ditoleransi bagi mengelakkan dharar yang lebih besar (virus HIV/AIDS).
Pengalaman di Iran ini merupakan salah satu sebab mengapa pihak-pihak tertentu mencadangkan agar konsep yang sama dijalankan di Malaysia. Antara justifikasi lain yang biasa juga didengar adalah pengurangan kos dalam mengatasi masalah penagih dan AIDS.
Reaksi masyarakat Malaysia ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang. Diantara golongan yang menyokong adalah NGO-NGO dan badan-badan kerajaan yang lain. Kerajaan Negeri Melaka, sebagai contoh, melalui Ketua Menterinya, mengulas, ”cadangan itu amat wajar dilaksanakan dan tidak menyalahi atau bertentangan dengan hukum agama”. Begitu juga dengan Presiden Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang mengatakan bahawa beliau menyokong cadangan Kementerian Kesihatan dan menambah bahawa ”cadangan tersebut telahpun mendapat persetujuan Kabinet sebelum dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan”. Pandangan mereka yang menentang pula seperti diusulkan oleh Dato’ Mufti Negeri Perak yang mencadangkan supaya penagih-penagih ini diasingkan di suatu tempat untuk dipulihkan. Tidak kurang juga yang mengkritik usaha ini sebagai usaha yang membazirkan wang rakyat kerana kempen dan undang-undang yang sedia adapun masih tidak berkesan.
Sebagaimana diketahui, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai undang-undang yang keras terhadap najis nombor satu ini. Di antaranya adalah Akta Dadah Berbahaya, 1952, Akta Racun 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 Pindaan 1998, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas, 1985, Akta dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta), 1988. Tambahan pula, disepanjang tempoh memerangi masalah penyalahgunaan dadah banyak kempen-kempen telah dianjurkan oleh badan-badan kerajaan seperti Pemadam, Agensi Antidadah Kebangsaan dan lain-lain agensi berkaitan namun masalah ini tidak berkurangan sedikitpun malah saban tahun jumlah penagih dadah dan penghidap HIV makin bertambah. Pada tahun 2001 jumlah penagih dadah baru yang dikesan adalah seramai 31556 orang dan jumlah ini bertambah kepada 31893 orang pada tahun 2002. Perangkaan pada tahun 2002 juga mendapati bahawa jumlah penagih dadah di Malaysia adalah sebanyak 235,495 orang (lebihkurang 1% daripada jumlah penduduk Malaysia).
Pandangan Islam Terhadap Dadah
Dadah merupakan satu istilah khas kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkahlaku apabila digunakan. Fatwa yang dikeluarkan pada 15hb April 1982 oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-3 Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dan pendapat para ulama jelas mengharamkan pengambilan bahan tersebut (selain untuk tujuan perubatan). Dari segi perbuatan manusia pula, samada untuk menangani masalah tersebut atau menggunakan bahan tersebut, ia harus dikembalikan kepada kaedah syara’. Perbuatan manusia dinilai dari aspek pahala dan dosa. Allah redha terhadap perbuatan manusia jika perbuatan itu sesuai dengan perintah dan laranganNya. Sebaliknya, Allah murka terhadap perbuatan manusia jika perbuatan itu bertentangan dengan perintah dan laranganNya. Perintah dan larangan Allah ini terangkum dalam ketentuan hukum syariat.
Oleh itu, justifikasi yang digunakan oleh ulama Iran seperti yang disentuh diawal makalah ini, iaitu dengan menggunakan hadis `jangan memudaratkan diri dan jangan memudaratkan orang lain’ dan kaedah syara’ `bertoleransi dengan dharar kecil bagi mengelakkan dharar yang lebih besar’ merupakan aplikasi hukum syara’ yang keliru. Ini boleh difahami apabila kita sedar bahawa di dalam Islam tidak ada unsur keharaman kecil atau keharaman besar kerana semua yang haram itu tetap haram walaupun sedikit atau banyak sebagaimana yang dijelaskan didalam sabda Rasulullah SAW
“Yang halal sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas, diantara keduanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat)…” [Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi]
Namun begitu, akibat dari pengaruh pandangan dan kehidupan yang pragmatik, pemahaman yang jelas keatas kaedah atau hukum Islam telah pudar. Didalam kehidupan yang didominasi oleh sistem kapitalisme hari ini, segala hal yang mendatangkan manfaat, tanpa mengira kehalalan atau keharaman tindakan tersebut, akan ditempuh. Disinilah timbul kekeliruan yang telah dilakukan oleh ulama Iran dalam melegalisasikan program NSP dan MMP, meskipun alasan yang digunakan memanglah merupakan hadis dan kaedah syara’ yang masyhur.
Dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang muncul didalam kehidupan manusia, adalah perlu untuk ditentukan terlebih dahulu realiti permasalahan tersebut. Dengan pemahaman ini, barulah penyelesaiannya dapat diimplementasi dengan betul. Sebagai contoh, didalam isu permasalahan meningkatnya kes AIDS yang dikaitkan dengan perkongsian jarum dan perbuatan seks rambang, isu sebenar yang sewajarnya diperhatikan adalah asas timbulnya permasalahan ini. Sekiranya diketepikan permasalahan seks rambang dan diteliti isu penagihan dadah terlebih dahulu, perkara yang sepatutnya dkaji dengan ikhlas dan mendalam bukanlah masalah perkongsian jarum tetapi masalah penagihan itu sendiri. Dan isu yang awal-awal lagi perlu ditangani adalah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya penagihan dadah. Sekiranya diperhatikan dengan mendalam, dua faktor dapat dikenalpasti sebagai punca masalah penagihan:
1) Faktor individu – ketahanan individu yang berpunca daripada pandangan hidup seseorang iaitu bagaimana mereka menjalani kehidupannya. Pandangan hidup yang materialistik tentu akan mempengaruhi cara berfikir dan perilaku seseorang. Tolak ukur keberhasilan dan kejayaan hidup individu hari ini yang digariskan oleh kapitalisme bersifat material semata-mata. Akibatnya, jika keperluan material ini tidak dipenuhi (kegagalan dalam kehidupan) akan timbul kegelisahan yang menyebabkan individu tersebut merasa seolah-olah tidak berguna lagi. Di sinilah pentingnya memamahami hakikat penciptaan manusia. Pemahaman ini akan mengubah persepsi seseorang terhadap peristiwa apapun yang dihadapinya dalam hidup ini sehingga memunculkan keberanian dan perasaan optimis. Rasulullah SAW selalu menanamkan pandangan hidup yang sahih dan lurus, yakni pandangan hidup yang diasaskan pada akidah Islam; beliau menanamkan bahawa kebahagiaan hidup sebenar hanya bersandar kepada keredhaan Allah semata-mata dan bukan disandarkan kepada hal-hal yang bersifat duniawi dan material, kerana semua itu bersifat sementara. Penanaman fikiran seperti ini dilakukan melalui pembinaan, baik di rumah mahupun di tempat umum. Oleh kerana itu setiap individu wajib ‘memaksa’ dirinya untuk terus mengkaji Islam secara tepat; bukan untuk kepuasan intelektual, tetapi untuk diyakini, dihayati dan diamalkan. Dengan pengamalan tersebut ia akan menjadi seorang yang memiliki keyakinan yang teguh, bercita-cita tinggi, mempunyai sifat tawakal yang hebat dan sikap optimis yang tinggi. Kesulitan akan dipandang sebagi ujian hidup dan pandangannnya jauh tertuju ke hadapan (akhirat). Jika ini dilakukan nescaya seorang individu akan terhindar dari segala masalah.
2) Faktor lingkungan – Tidak dapat dinafikan bahawa lingkungan atau persekitaran mempengaruhi sifat seseorang dalam menjalankan kehidupannya. Lingkungan yang paling dekat dan mudah mempengaruhi setiap individu adalah keluarga yang berperanan sebagai pembimbing. Benar, masalah dadah tidak semestinya hanya terjadi pada keluarga yang bermasalah. Ada juga penagih yang berasal dari keluarga yang baik dan sempurna keperluan duniawinya. Namun, secara umumnya, keluarga yang bermasalah lebih mudah melahirkan generasi penagih dadah. Allah SWT Maha Tahu sifat dan keperluan manusia yang diciptaNya. Dia adalah zat yang Maha Lembut yang menurun konsep keluarga Islami, harmonis, serta jauh dari hal-hal yang dapat merosak asas-asas dan tiang-tiang keluarga sehingga terbentuk keluarga sakinah, mawaddah warahmah. Allah telah mengatur semua hubungan ini; antara suami dan isteri, ibu dan anak, anak dan bapa serta sesama saudara lelaki dan perempuan. Kemunculan berbagai masalah termasuk ketagihan dadah dan HIV merupakan isyarat hilangnya fungsi kekeluargaan dan wujudnya jurang didalam hubungannya. Keluarga sebagai lingkungan awal seseorang individu haruslah dijaga dan dijadikan pelindung kepada bencana dadah.
Lingkungan yang kedua adalah masyarakat di mana seseorang individu itu berinteraksi. Masyarakat yang berfahaman materialis cenderung untuk bersifat individualistik, tanpa mempedulikan kepentingan orang lain. Rasulullah SAW mengumpamakan masyarakat sebagai sekelompok orang yang mengharungi lautan dengan kapal. Jika ada seorang yang hendak mengambil air dengan menebuk dasar kapal dan tidak ada orang lain yang mencegahnya nescaya yang akan tenggelam adalah seluruh penumpang kapal. Hal ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh anggota masyarakat terhadap kehidupan masyarakat secara umum. Oleh sebab itu, agar masyarakat memiliki daya tahan dalam menghadapi masalah penagihan dan masalah-masalah yang berpunca daripadanya haruslah ada usaha untuk menumbuhkan kesedaran dan keprihatinan sosial; menciptakan nuansa keimanan; serta mengembang dakwah amar ma’ruf nahi munkar.
Penentu corak lingkungan utama di mana individu dan masyarakat hidup tentu saja adalah negara. Banyak dari masalah yang berpunca daripada dadah yang wujud di tengah masyarakat tidak terlepas daripada faktor kesulitan ekonomi, rendahnya pendidikan dan beban kehidupan yang semakin tinggi. Bagi mengatasi masalah ini, keadaan sosial masyarakat yang sihat perlu dicipta. Keadaan sosial yang sihat hanya dapat dibentuk sekiranya keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi – pakaian, makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. Disinilah letaknya peranan para penguasa negara. Mereka memiliki peranan yang cukup besar untuk mengatasi masalah musuh nombor satu negara ini. Apa tidaknya, ditangan merekalah letaknya kuasa untuk mengurus rakyat. Baiknya manusia bergantung pada baiknya ulama dan umara (penguasa), sebaliknya, rosaknya manusia bergantung pada rusaknya ulama dan umara. Itulah yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Selain dari itu negara juga wajib membina masyarakat dengan akidah Islam melalui sistem pendidikan Islam yang murni, mengawal media massa sehingga tidak menyebarkan pelbagai budaya hedonis dan materialis, menerapkan hukum-hukum Islam secara kaffah serta mencampakkan akidah dan sistem hidup yang materialistik dan sekular sejauh-jauhnya. Hanya dengan sikap tegas dari penguasa untuk melakukan hal tersebutlah masalah penyalahgunaan dadah dan masalah-masalah lain di dalam kehidupan manusia hari ini dapat dicegah dengan efektif dan efisien.
Perlu Penyelesaian Menyeluruh
Penyelesian masalah dalam sistem kapitalisme hanya bersifat sementara malah justru menimbulkan kemudharatan dalam jangka masa panjang. Ini dilihat, sebagai contoh dengan bertambahnya masalah penagihan dan meningkatnya bilangan penagih dan penghidap HIV. Pelbagai teknik perubatan sering dijadikan alat untuk membantu dalam menghadapi masalah dadah. Mungkin pemberian jarum dan kondon secara percuma kepada penagih dapat menyelesaikan masalah peningkatan HIV buat sementara waktu. Ia mungkin membantu untuk mengurangkan simptom permasalahan tersebut, namun hakikatnya, masalah tetap akan kembali, mungkin dalam bentuk-bentuk yang lebih membimbangkan Ada juga yang menggunakan pendekatan ritual keagamaan bagi mengalihkan masalah ini. Secara peribadi, ini mungkin boleh membantu, tetapi secara keseluruhannya cara ini juga tidak akan menyelesaikan masalah secara komprehensif. Apa yang perlu ada adalah penyelesaian yang menyeluruh dan bersistematik bagi menangani masalah penagihan dadah ini. Semua ini sewajarnya dimulai dari corak kehidupan yang seharusnya diasaskan kepada ketauhidan kepada Allah, struktur keluarga yang bahagia (sakinah) dan sistem kehidupan yang kondusif bagi melahirkan keadaan ini, yakni sistem yang dilandaskan kepada nilai-nilai yang agung. Ini hanya boleh diperolehi melalui penerapan sistem Islam yang akan melahirkan tata ekonomi, politik, sosial, budaya dan pendidikan yang tinggi.
Masalah penagihan dadah merupakan persoalan yang kompleks dengan banyak faktor yang mempengaruhinya. Permasalahan yang kompleks ini hanya dapat diselesaikan dengan penerapan menyeluruh sistem Islam yang sememangnya diturunkan oleh Allah untuk menangani seluruh isu permasalahan kompleks manusia. Oleh itu, peranan lingkaran masyarakat dan negara, yang didasari oleh kewujudan individu, pemikiran, perasaan dan sistem yang agung seperti Islam, adalah tolok ukur pembentukan lingkaran kekeluargaan dan sikap individu yag mulia didalam sesebuah kehidupan. Cukuplah dengan sistem kapitalis yang telah terlalu lama merosakkan kehidupan dan kemuliaan umat manusia – melalui kesesatan dan kehancuran yang ditimpakan keatas sifat kemanusiaan. Sistem inilah yang melahirkan lingkaran yang rosak yang menghancurkan individu, keluarga dan masyarakat didalam kancah kemaksiatan kepada Allah, Sang Pencipta manusia. Marilah kita kembali memeluk erat ideologi yang menjadikan kita manusia yang mulia dan mendapat keredhaan Allah SWT di bumi yang fana’ ini dan di akhirat yang kekal abadi. Tegakkanlah Khilafah ‘ala Minhaj Nubuwwa sebagai satu-satunya tariqah untuk menerapkan sistem Islam yang agung ini!!
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.”
[TMQ 6:153]