SN033 – Isra’ Mi’raj Dan Palestin

PDF

SN Keluaran 2005

SN033 - Israk Mi'raj Dan Palestin

[SN033] “Maha suci Allah yang mengIsra’ hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [TMQ Al-Isra’ :1]

27 Rejab tahun ke-11 selepas kenabian Muhammad sebagai Utusan Allah telah mencatatkan satu lagi peristiwa penting di dalam siri perjuangan Baginda memperjuangkan Islam sebagai satu dinul hayah. Suatu peristiwa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT dalam memotivasikan dan memperkuatkan keazaman perjuangan Baginda yang mana sebelum ini sedang melalui saat-saat menyedihkan dan kedukaan. Itulah peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Isra’ Mikraj dan Perjuangan Dakwah Islam

Meneliti kembali rentetan peristiwa sebelum berlakunya Isra’ Mi’raj ini, Baginda dan golongan as-Saabiqun Al-Awwalun yang ikhlas berjuang telah menempuh pelbagai cabaran dan pahit maung dalam berdakwah. Pelbagai peristiwa yang terpaksa diterima dan dihadapi oleh Baginda. Ini termasuklah usaha pemboikotan yang telah dilakukan oleh musyrikin Quraisy terhadap kaum muslimin. Selain itu, kematian isteri tercinta yang merupakan penyokong utama dakwah Islam di Mekah iaitu Saidatina Khadijah RadiAllahu ‘anha, diikuti kematian bapa saudaranya Abu Talib yang senantiasa membela serta melindungi diri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam daripada ancaman dan penyeksaan orang-orang musyrikin Quraisy. Selain dari itu, keperitan penolakan seruan dakwah oleh masyarakat Thaif menambahkan lagi kedukaan Baginda. Justeru itu, peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu mukjizat yang menjadi pengubat kepada kesedihan dan kedukaan yang dialami oleh Baginda.

Apa yang pastinya, peristiwa Isra’ Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam ke Baitul Maqdis dan Mi’raj ke lapisan langit ke tujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Di samping ianya merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT, ianya juga menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya yang menjadi isyarat kepada semua kaum muslimin agar terus berwaspada dalam menjaga keselamatan dan kehormatan tanah suci ini dari sebarang bentuk pencerobohan. Sesungguhnya harus difahami dan dihayati bahawa Palestin adalah salah satu identiti umat Islam yang perlu dibela daripada terus dinodai oleh tipudaya musuh.

Kepentingan dan kemuliaan bumi Palestin

Bumi Palestin dipenuhi dengan sejarah ketamadunan tauhid sejak daripada Nabi yang pertama, Adam ‘alaihissalam sehinggalah kepada Nabi terakhir Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ia adalah tanah suci di mana ramai para Nabi dan Rasul yang telah diutuskan untuk menyampaikan risalah tauhid telah dilahirkan serta diwafatkan di sana termasuk Nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman, Musa dan Nabi Isa. Kepentingan dan kemuliaan bumi Palestin telah dibuktikan di banyak tempat dalam al-Quran dan hadis. Kepentingan terbesar ialah kerana di sanalah terletaknya Baitul Maqdis yang merupakan tempat paling suci selain bumi Hijaz (Mekah dan Madinah) di mana terbina Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock.

Abu Dzar berkata:

Pada suatu hari aku bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengenai apakah masjid yang pertama sekali dibina di muka bumi ini? Baginda menjawab Masjidil Haram. Kemudian aku bertanya lagi, kemudian, masjid apa? Baginda menjawab, Masjidil Aqsa. Aku bertanya lagi, berapakah jarak masa antara pembinaan kedua-dua masjid tersebut? Baginda Rasulullah menjawab, 40 tahun. [Riwayat Al-Bukhari]

Rasulullah juga pernah bersabda:

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. [Riwayat at-Tabrani]

Sejarah juga mencatatkan bahawa Baitul Maqdis juga merupakan kiblat pertama umat Islam sepanjang dakwah berlangsung di Kota Mekah sehinggalah Allah telah memerintahkan untuk mengadap ke Kaabah di Mekah. Perubahan ini berlaku setelah 16 bulan Rasulullah berhijrah ke Madinah.

Kronologi Sejarah Palestin

Tanah Palestin telah diserahkan secara damai pada tahun 15H (636M) kepada pasukan kaum muslimin semasa kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab r.a. Sejak itu ia menjadi sebahagian daripada negara Islam yang mengikut undang-undang Islam. Undang-undang baru ini, tidak hanya dialu-alukan oleh orang Islam tetapi juga oleh orang Kristian dan Yahudi yang sebelum ini hidup di bawah kekuasaan dan kekejaman Byzantine. Setelah hampir 350 tahun Islam memayungi bumi Palestin, sering berlaku pertukaran pentadbiran. Berikut adalah kronologi sejarah Pendudukan penguasaan Yahudi ke atas Palestin.

TAHUN 1099: Palestin telah diceroboh oleh tentera Salib Eropah dan dijajah hampir satu abad. Semasa penjajahan ini, pembunuhan beramai-ramai dan ketidakadilan telah berlaku terhadap orang Islam, Yahudi dan Kristian. Hanya undang-undang berdasarkan paksaan dan penindasan diamalkan di bumi Palestin yang penuh berkat ini.

TAHUN 1187: Palestin telah dibebaskan daripada penjajah yang zalim ini melalui penyerahan secara damai oleh Salahuddin Al-Ayubi yang mengembalikan undang-undang Islam.

TAHUN 1897: Kongres Yahudi di Basel, dipelopori oleh Theodore Hertzl. Hertzl mendesak Khalifah Abdul Hamid agar menerima secara beransur-ansur perlembagaan Jerman, memujuk untuk membuka pejabat diplomatik Jerman di Istanbul, dan mendesak Khalifah agar membuat keputusan bahawa Daulah Khilafah Utsmaniyyah mengakui imigrasi orang-orang Yahudi ke Bumi Palestin. Namun Khalifah menolak melepaskan Palestin walaupun hanya sejengkal.

TAHUN 1914: Tercetusnya Perang Dunia I.

TAHUN 1917: Kerajaan British telah meletakkan dalam Deklarasi Balfour bahawa bumi Palestin adalah milik orang-orang Yahudi. Pada waktu itu, orang Yahudi hanyalah merupakan 8% (56, 000 orang) daripada populasi rakyat Palestin dan memiliki hanya 2.5% bumi Palestin. Lord Allenby memasuki Al Quds dengan menyatakan ‘Baru sekaranglah perang Salib berakhir’.

TAHUN 1918 : British dan pakatan nasionalis Arab telah berjaya mengalahkan Khilafah Utsmaniyyah dalam perang dunia pertama. British kemudiannya menjajah Palestin. Mereka kemudiannya memulakan kempen penghijrahan beramai-ramai Yahudi di Eropah ke Palestin.

Tahun 1924: British berjaya meruntuhkan Khilafah Islamiyyah (Utsmaniyyah) melalui agennya Mustafa Kamal.

TAHUN 1948: Orang Yahudi mengisytiharkan penubuhan kerajaan mereka sendiri di atas bumi Palestin yang dikenali sebagai “Israel” pada 14 Mei dengan izin PBB dengan keluasan tanah 57% dan mencecah 78% dari bumi Palestin pada tahun berikutnya. Ratusan ribu orang Islam telah dihalau keluar daripada bumi Palestin dengan menggunakan tekanan tentera yang dilakukan oleh kumpulan pengganas/samseng Yahudi seperti Irgun, Levi dan Haganot. Kumpulan ini telah dibiayai dan dilatih oleh tentera British.

TAHUN 1967: “Israel” telah menyerang Mesir, Jordan dan Syria dan telah menjajah lebih banyak kawasan, dan buat pertama kalinya, termasuklah Masjidil Aqsa. Semenjak itu, Masjidil Aqsa telah menjadi sasaran Yahudi dalam beberapa percubaan untuk dimusnah
atau dibakar, termasuk percubaan untuk merobohkannya melalui penggalian bawah tanah. Yahudi tahu bahawa Masjidil Aqsa adalah simbolik kepada tanah semulajadi orang Islam, jadi mereka ingin untuk memusnahkan sebarang tanda ketamadunan Islam di bumi Palestin.

TAHUN 1973, 1982, 1986, 1994: Terjadi pertempuran dan pembantaian oleh “Israel”.

TAHUN 1987-1999: Termeterainya Perjanjian Camp David I antara Mesir dengan Yahudi, perjanjian Oslo di Washington(1993), dan Perjanjian Way River. Tertubuhnya PLO yang hanya mempunyai autonomi sekitar Gaza dan Jericho. Palestin tidak diperkenankan memiliki tentera melainkan hanya polis sahaja.

TAHUN 2000: Perjanjian Camp David II di AS yang akan memberikan seperlima (20%) sahaja dari jumlah wilayah Palestin.
Krisis yang tidak berkesudahan

Sehingga kini, bukti-bukti sejarah telah menunjukkan bahawa persoalan Palestin merupakan akibat dari pertembungan dua peradaban iaitu peradaban Islam dan peradaban Barat yang didalangi oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan sekutunya. Dengan demikian, munculnya persoalan Palestin banyak dilatarbelakangi oleh usaha untuk meruntuhkan peradaban Islam yang sememangnya telah dirancang secara sistematik untuk jangka masa panjang oleh orang-orang kafir bagi menjauhkan Islam daripada realiti kehidupan serta memecah belahkan negeri-negeri kaum muslimin di samping menerapkan sistem perundangan yang berkiblatkan Barat.

Bagi menyibukkan lagi kaum muslimin agar melupakan persengketaan sebenar antara kaum muslimin dengan negara-negara kuasa besar yang sedia ada, maka persoalan dan krisis-krisis berkaitan Palestin terus ditimbulkan. Pada masa yang sama, permasalahan Palestin sering dianggap sebagai konflik bangsa Arab dengan “Israel”. Bahkan, sejak berdirinya Pemerintahan Otonomi Palestin, masalah itu dianggap sebagai konflik bangsa Palestin dengan “Israel” dan tidak berkait dengan kaum muslimin di luar Palestin. Realitinya, masalah Palestin adalah masalah bersama bagi kaum muslimin, bukan sekadar konflik Arab-“Israel” semata, namun merupakan masalah bagi seluruh umat Islam di dunia ini. Ini adalah kerana masalah Palestin, yang bermula dari pengusiran jutaan umat Islam di bumi Palestin oleh bangsa Yahudi “Israel” dengan bantuan negara penjajah dan agen-agennya, terkait rapat dengan konspirasi meruntuhkan Daulah Khilafah Islamiyyah.

Bagi memberikan keyakinan kepada kaum muslimin bahawa Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan PBB begitu komited untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di bumi Palestin, maka banyak perundingan serta persetujuan telah ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit. Ini termasuklah Persidangan Madrid (Oktober 1991) dan perjanjian Oslo (September 1993) dan Road Map yang menjanjikan sebuah negara Palestin yang merdeka pada tahun 2005 walau pun mendapat bantahan lebih daripada 90% masyarakat “Israel”, apatah lagi sekiranya negara Palestin yang dimaksudkan menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara; kota yang selama ini menjadi salah satu isu utama konflik Palestin.

Dalam salah satu usaha untuk menunjukkan kesungguhan dalam menjayakan Road Map dan pembentukkan negara Palestin seperti yang dipersetujui ini, Perdana Menteri “Israel”, Ariel Sharon telah melakukan “pengorbanan yang menyakitkan” dengan mengerahkan sejumlah 32,000 orang tentera dan polis ke Genting Gaza untuk memindahkan 8,500 orang pendatang Yahudi daripada kawasan penempatan haram Yahudi di Genting Gaza yang telah diduduki sejak 1967.

Natijahnya, apa yang dilakukan oleh “Israel” ini yang didokong penuh oleh Amerika Syarikat dan sekutunya sebenarnya hanyalah merupakan salah satu perancangan licik mereka bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu antaranya;

Pertama; Dengan wujudnya “Israel” di Timur Tengah ini, maka ianya akan menimbulkan konflik dan ketidakstabilan secara berterusan di Timur Tengah. Dalam keadaan ini, golongan kuffar dapat terus menanamkan pengaruhnya di sana sekaligus dapat menyedut sumber alam yang ada serta dapat mengalihkan perhatian kaum muslimin daripada usaha menegakkan semula Khilafah Islam.

Kedua; Cadangan perdamaian di dalam Road Map ini juga diharapkan dapat melunturkan semangat intifadah dan jihad rakyat Palestin dengan menggunakan pihak berkuasa Palestin (PLO) sendiri sebagai benteng menghadapi kebencian rakyat Palestin terhadap “Israel”. Selain itu, PLO sendiri menerima tawaran perdamaian ini pada 13 september 1993 di Washington agar kewujudan mereka di muka bumi Palestin dapat diterima oleh masyarakat Arab.

Ketiga; Dengan adanya Road Map ini, Amerika Syarikat yang memainkan peranan penting membawa pihak penguasa Palestin dan “Israel” ke meja rundingan berharap dapat meraih simpati daripada kaum muslimin di Timur Tengah. Hal ini terpaksa dilakukan oleh Amerika dan sekutunya setelah mendapat tentangan dan kecaman hebat daripada masyarakat Arab akibat pencerobohan tentera bersekutu ke atas Iraq.

Tambahan pula, ‘lakonan’ Ariel Sharon di Gaza adalah pada hakikatnya merupakan helah semata-mata. Pengamat politik Timur Tengah mendapati bahawa pengurangan penduduk Yahudi di Gaza dibayar dengan penambahan pendudukan kaum Yahudi di Jerusalem Timur yang akhirnya akan memisahkan Tebing Barat yang diduduki kaum muslimin dari Jerusalem Timur [Jerusalem, The Powder Keg, New Statesman].

Penyelesaian Hakiki

Berdasarkan ringkasan di atas, pendekatan perundingan dan perdamaian yang diadakan dengan pihak “Israel” sebenarnya merupakan satu usaha yang batil, apatah lagi ianya bertentangan apa yang telah termaktub di dalam Al Ihdat Al ‘Umariyyah (Perjanjian Umar) yang menyebutkan “Tidak boleh seorang Yahudi pun tinggal di Baitul Maqdis” [Ibnu Jarir At-Thabari, Tarikhul Umam wal Muluk].

Jelaslah bahawa tanah Palestin yang di sana tersemadinya para syuhada di kalangan Sahabat Rasulullah dan statusnya adalah tanah kharajiah yang bererti tanah milik umat Islam. Tepatlah apa yang dikatakan oleh Sultan Abdul Hamid II tatkala Theodore Hertzl meminta tanah Palestin pada tahun 1897; “Tanah itu bukan milikku tetapi milik umatku”.

Tidak dapat dinafikan bahawa banyak usaha yang boleh dan telah dilakukan oleh kaum muslimin di seluruh dunia bagi membantu meringankan penderitaan saudara-saudara seaqidah mereka di Palestin. Antaranya ialah dengan memutuskan segala bentuk hubungan dengan negara-negara kafir, menutup dan mengusir semua kedutaan dan pangkalan-pangkalan tentera mereka yang berada di bumi umat Islam, menyita segala bentuk pelaburan dan perusahaan yang mereka miliki di bumi umat Islam serta memberi bantuan dana, perubatan dan sokongan moral kepada umat Islam di Palestin.

Namun demikian, usaha-usaha yang disebutkan di atas masih belum mampu sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah umat Islam di Palestin. Pada pengamatan kami, satu-satunya jalan penyelesaian yang hakiki dalam mengembalikan Palestin ke tangan kaum muslimin adalah dengan mengobarkan seruan jihad fi sabilillah dan mengusir Yahudi kafir muharriban fi’lan dari bumi Palestin.

Firman Allah;

“Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang disekitarmu itu. Dan hendaklah mereka menemui kekerasan daripadamu. Dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang bertaqwa” [TMQ At-Taubah:123]

Imam Ibnu Kathir ketika menjelaskan ayat di atas menyatakan ‘wajib memerangi orang-orang kafir bermula dari sempadan yang terdekat’. Ini bermakna menjadi kewajipan fardhu ain ke atas kaum muslimin di Palestin, Syria, Jordan, Lebanon dan Mesir dan menjadi fardhu kifayah ke atas kaum muslimin yang lainnya untuk turut sama membebaskan Palestin dari cengkaman Yahudi.

Khatimah

Sejajar dengan itu, bagi memastikan usaha ini dapat dilakukan dengan lebih optimum kaum muslimin seharusnya terlebih dahulu memiliki kekuatan yang mampu menggerunkan pihak musuh. Kekuatan itu tidak lain hanyalah dengan menegakkan semula Daulah Khilafah yang akan menyatupadukan umat Islam seluruh dunia dan seterusnya membebaskan tanah Palestin dan juga tanah-tanah umat Islam di seluruh dunia daripada cengkaman musuh-musuh Islam.

Sayangnya, Khilafah yang dinantikan masih belum terwujud di tengah-tengah kita. Oleh kerana itu, sudah tiba saatnya untuk umat bangkit dan kembali menegakkan kekuatan mereka di atas dunia ini dengan mewujudkan Daulah Khilafah Islamiyah berdasarkan Thariqah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Insya Allah, kehinaan dan penderitaan yang kini melekat pada tubuh umat akan segera sirna. Amin.