SN035 – NOSTALGIA 9-11 DAN AGENDA AMERIKA

PDF

SN Keluaran 2005

alt

[SN035] September 11 muncul lagi. Nostalgia angka 9-11 mengheret umat manusia kini mengimbau kembali detik berdarah – tragedi yang menimpa Amerika pada tahun 2001. Angka korban angkara pengganas tersebut mencecah 2,986 jiwa justeru mencetus kemarahan penduduk serta pemimpin Amerika. Disamping kerugian harta benda dan wang insuran yang banyak, ia juga memarakkan lagi kemarahan hingga menjadi titik tolak kepada usaha membalas dendam melalui slogan “Memerangi Keganasan” (War on Terrorism).

Al-Qaeda dijadikan sasaran pertama. ‘Pengganas’ yang dilabel pada pertubuhan yang tidak diketahui asal-usulnya itu diburu, disenaraikan suspek serta dimusnahkan kem-kem suspek dalam misi ‘Anti-Keganasan’ tersebut. Negara pertama yang dijadikan sasaran serangan imperialisme Amerika adalah Afghanistan yang dikatakan mempunyai hubung kait dengan jaringan Al-Qaeda. Kem-kem mujahidin yang telah lama bertapak disana, dikatakan melahirkan pejuang-pejuang esktrimis Islam yang mampu melakukan aksi ganas semata-mata kerana kebencian mereka kepada Barat. Osama Bin Laden dilabel pula menjadi penghulu kepada Al-Qaeda, diburu sebagai orang paling dikehendaki sambil melakukan kerosakan disana-sini yang melibatkan angka korban beratus kali ganda jumlah kematian tragedi 9-11.

Apapun kini, setelah 4 tahun berlalu, Amerika yang terkenal sebagai sebuah kuasa besar dunia, mempunyai senjata dan ejen perisikan paling canggih di dunia masih lagi memburu pengganas-pengganas yang entah atas justifikasi apakah mereka melabel, membunuh, merosakkan dunia dan umat manusia. Justeru disebabkan ‘kalah’ dalam pertarungan pemikiran, sebahagian besar negara dunia termasuk negara kaum muslimin yang akur pada Amerika, menyambut ulangtahun ke empat fenomena berdarah tersebut dengan penuh rasa insaf dan kesal.

Sautun Nahdhah kali ini cuba mendedahkan kepada pembaca budiman sekalian, mengenai aksi Amerika pasca 9-11 sera kesan tindakannya dalam kempen ‘Anti-Keganasan’ untuk mencorak politik dunia serta imbal-balik yang diterimanya kini dan dimasa mendatang.

KRONOLOGI PASCA 9-11 DAN AGENDA AMERIKA

Atas mandat rakyat, Geoge W. Bush mula melancarkan serang balas kepada ‘pengganas’ yang disyakinya, iaitu Al-Qaeda. Pelbagai rencana dan ‘rancangan halus’ diguna untuk melunaskan ‘dendam terbuku’ didadanya pasca tragedi 9-11. Tetapi semuanya bernaung dibawah satu slogan, “Memerangi Keganasan” (War on Terrorism). Disebalik manuver serang balas tersebut, rupa-rupanya Amerika terdahulu merancang untuk menjadi sebuah kuasa dunia tunggal diatas nama sebuah projek yang diberi nama “The Project for The New American Century” (PNAC) yang dipelopori oleh Timbalan Presiden AS – Dick Chiney, dibantu oleh Setiausaha Negara – Donald Rumsfeld, Pengerusi Lembaga Polisi Pertahanan – Richard Perle dan Paul Wolfowitz sebagai ‘mastermind’nya. Sebagai metodologi mencapai objektif tersebut, pelbagai rancangan direncana. Antara rancangan jahat Amerika yang akan dilaksanakannya berbentuk 2 jenis serangan, dan sasaran utamanya adalah negara-negara umat Islam kerana kekayaan hasil bumi (minyak) dan hegemoni Barat melalui ideologi;

1. Serangan ketenteraan menggunakan nama “Operation Infinite Justice” (Operasi Keadilan Sejagat) yang kemudiannya ditukar –setelah mendapat tentangan daripada ulamak AS dan Afghanistan– menjadi “Operation Enduring Freedom” (Operasi Pengekalan Kebebasan). Operasi ini dilakukan pertama kalinya ke atas Afghanistan kerana disitulah sasaran ‘pengganas’ yang tercatat di dalam senarai ditangan mereka. Kesan serangan ketenteraan ke atas Afghanistan, jumlah korban jiwa dianggarkan sekitar 20,000 hingga 49,600 orang, kebanyakannya orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas. Serangan penceroboh ke atas bumi Afghan, menyebabkan kerajaan Taliban digulingkan sehingga Hamid Karzai diangkat menjadi Presiden boneka AS pada tanggal 12 Disember 2001.

Kempen ketenteraan tidak terhenti setakat itu, genap pada 16 Oktober 2002, Bush sekali lagi mendapat mandat senat dan kongres AS untuk menyerang Iraq pula. Alasannya, Iraq memiliki teknologi dan pusat pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (Weapon of Mass Destruction) dan cuba ‘membebaskan’ rakyat Iraq dari cengkaman kuku besi presidennya, iaitu Saddam Hussein. Setelah memperoleh sokongan dari sekutu kuatnya, Britain dan 42 buah negara lain – yang lemah dan bergantung harap pada kekuasaan AS, tercetus pula peristiwa pencerobohan tentera sekutu AS ke atas bumi Iraq pada 20 Mac 2003. Operasi ketenteraan AS ke atas bumi Iraq meragut ratusan ribu nyawa sehingga ke hari ini, peperangan tersebut belum selesai walaupun dalam laporan media massa mengatakan tentera kuffar berjaya menawan Iraq melalui penawanan kota Baghdad pada 9 April 2003. Bermula dari tarikh tersebut, imperialisme AS ke atas Iraq dikatakan ‘berjaya’ apabila tertubuhnya Majlis Pentadbiran Iraq (Iraqi Governing Council).

2. Serangan pemikiran; dilancarkan ke seluruh dunia dengan mengambil kesempatan hegemoni (penaklukan) Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq menerusi kempen “War on Terrorism”. Antara tujuan ‘serangan’ ideologi yang dilancarkan Amerika adalah untuk mengekalkan Kapitalisme sebagai satu-satunya ideologi yang mampan diguna-pakai oleh semua negara di seluruh dunia terutamanya dasar sistem pemerintahan (politik) dan ekonomi. Kedua-dua buah negara kaum muslimin tersebut dipaksa mengguna-pakai sistem pemerintahan demokrasi sepertimana Amerika. Dasar perundangan digubal menurut kemahuan Amerika termasuk dasar-dasar ekonomi negara tersebut. Dalam pada itu, George W. Bush pernah berucap pada dunia agar meneladani contoh terbaik negara taklukannya, sambil memberi kata dua beramaran “Be with or against me!” (Bersama atau menentang saya!).

Kesan hegemoni Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq melalui kempen “War on Terrorism” membuatkan sekalian umat dunia terjajah dan merasai ketakutan termasuk pemimpin-pemimpin negara umat Islam serta sebahagian besar umat Islam. Natijahnya juga menjadikan kebanyakan negara dunia menggubal undang-undang khas ‘keganasan’ bagi memantau kedudukan negara masing-masing pada kacamata AS. Mereka juga menobatkan AS seolah-olah ‘boss besar’ yang sentiasa memantau aktiviti dunia. Hasilnya, sebahagian besar umat Islam yang terjajah dengan gertakan Bush tersebut, terdidik dengan undang-undang keganasan, melakukan pemantauan terhadap Islam dan umatnya. Pelbagai anasir luar, serangan ideologi masuk menular secara liar di negara-negara kaum muslimin seperti Demokrasi, Sekularisme, Pluralisme, Liberalisme, Nasionalisme dan lain-lain. Usaha Amerika kelihatan berjaya mengheret Islam dan umatnya dikandang pesalah (tertuduh) lalu dibicarakan dan dihukum sesuka hati mereka. Tampak bahawa sebenarnya umat Islam kini telah dipesongkan pemikiran dan kekuatannya hingga menjadi hina, sanggup menjual maruah dan kemuliaan, lantas tunduk pada kehendak si kafir. Tepat sebagaimana hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud;

“Nanti akan datang suatu zaman, ketika sekelompok orang mengerumuni kalian persis seperti kelompok orang-orang yang lapar mencuba menyantap hidangan diatas piring”. Salah seorang sahabat terkejut dan bertanya: “Adakah kerana jumlah kita hanya sedikit ?”. Rasulullah menjawab : “Tidak, jumlah ka!ian ramai, tetapi seperti buih yang ;nengapung diatas lautan. Allah telah mencabut rasa takut di dalam dada hati musuh kalian dan kalian dijangkiti penyakit `Wahn’. “Apa itu wahn ? “. Rasulullah menjawab : “Cinta dunia dan takut mati “.

Antara strategi dan perancangan Amerika mempertahankan ideologinya ke merata dunia adalah menyerang ideologi Islam. Pelbagai usaha digembleng sebagai menghalang kemarakan penyebaran ideologi Islam. Salah satunya adalah melalui penguatkuasaan undang-undang keganasan yang digubal ketika seruan Amerika “War on Terrorism”. Selain itu, terdapat beberapa pelan licik (halus) menjayakan serangan pemikiran tersebut yang antaranya adalah melalui perancangan yang dipanggil ‘Muslim World Outreach (WMO)’. Beberapa perkara utama yang telah diunjurkan oleh strategi tersebut adalah:

1. Sekularisme dan demokrasi merupakan kriteria piawai untuk mengelompokkan kaum Muslimin. MWO mempunyai sasaran untuk memperkuatkan kelompok sederhana (moderate). Piawaian utamanya adalah kesesuaian pemahaman mereka dengan sudut pandangan sekularisme dan konsep demokrasi.

2. Kelompok sederhana didorong dan dibantu kempennya untuk menyelar kelompok radikal (ekstrimis). Paul Wolfowitz mengatakan, “Perang ini perlu dilaksanakan terutamanya di negara-negara Muslim oleh orang-orang Islam sendiri.” Kelompok sederhana akan dibantu untuk memperbanyakkan kajian-kajian yang menunjukkan kesesuaian Islam dengan sekularisme, demokrasi dan idea-idea yang bercambah darinya. Contohnya adalah konsep ‘Teologi Negara Sekular’ yang diusulkan oleh Denny J A dalam kumpulan perbincangan Islam Liberal. Seterusnya, Zeyno Baran, penganalisa dari The Nixon Center yang juga penasihat strategi MWO telah menyarankan, “Anda sediakan dana dan membantu mengujudkan ruang politik bagi ‘muslim sederhana’ untuk membangunkan organisasi, mencetak, menyebarkan dan menterjemahkan hasil kerja mereka.” Pelakon-pelakon AS dalam perang pemikiran ini umumnya berasal dari U.S Agency for International Development (USAID). USAID telah menyalurkan dana untuk menaja beberapa program yang bersangkutan dengan MWO ini. Antaranya ialah program pengembangan mata pelajaran kewarganegaraan yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan, program pengkajian fiqh Islam yang bertujuan untuk menunjukkan kesesuaiannya dengan demokrasi dan hak asasi manusia, program pertukaran pelajar dan cendekiawan Muslim yang dilaksanakan oleh International Center for Islam and Pluralism; program-program radio dan televisyen, artikel-artikel di dalam jurnal dan media-media cetak dan sebagainya.

3. Meletakkan beberapa negara umat Islam sebagai target pertama untuk strategi MWO. Pada bulan Februari, Global Information and Influence Team yang dibentuk oleh The CIA’s Office of Transnational Issues menyelenggarakan persidangan diplomasi awam yang difokuskan pada pembahasan strategi untuk mempengaruhi enam negara, termasuk di antaranya Indonesia. Seorang pegawai AS mengatakan bahawa perubahan Islam akan dimulakan dari luar Dunia Arab.

4. Media massa merupakan alat yang penting dalam strategi MWO. Bersama para penyiar Arab, AS telah membangunkan Radio Sallallahu ‘alaihi wasallama pada tahun 2002 dan pada tahun 2004, al-Hurra, sebuah TV satelit. Di samping itu, banyak program yang tidak secara jelas terkait dengan tema Islam, seperti program hiburan, program kanak-kanak, dan sebagainya digunakan untuk menyebarkan idea-idea seperti pluralisme, demokrasi dan sebagainya.

REAKSI DAN AGENDA UMAT ISLAM

Antara kesan yang paling menonjol dari dua jenis serangan ke atas umat Islam oleh Amerika dan Barat ialah serangan pemikiran. Sebahagian besar umat melahirkan rasa takut dan bersalah apabila dituduh sebagai pengganas hingga menimbulkan pelbagai reaksi. Selain daripada penggubalan undang-undang keganasan, umat Islam berpemikiran sederhana (moderate) menjelma sebagai pemantau keganasan melalui arahan ‘boss besar’nya menentang keganasan. Golongan ini menjadi mata-telinga Amerika hingga sanggup meletakkan Islam dan umatnya ditahap kehinaan. Tanpa disedarinya juga, tindakan mengampu Barat menyebabkan menjalarnya serangan pemikiran liar ke dalam kotak minda umat, seperti pluralisme, liberalisme dan sebagainya. Kompromi dan toleransi mereka kepada ideologi Barat menyebabkan Islam sukar dikembalikan kemuliaannya kerana kebanyakan dari mereka merupakan pemegang tampuk kekuasaan.

Apapun kini, umat Islam sepatutnya sedar semula bahawa kedudukan kemuliaan mereka berada di bawah telapak kaki Barat, iaitu Amerika. Kesedaran ini mestilah berpaksi pada suatu pemikiran cemerlang dengan berfikir secara mendalam dan menyeluruh bagi mengubah persepsi kaum lain terhadap Islam dan umatnya. Untuk itu, As-Syahid Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani telah menggariskan beberapa agenda umat dalam nukilannya, Kitab Ad-Dawlah al Islamiyyah. Agenda utama inilah yang perlu dilakukan umat secara komprehensif dan berterusan.

Pertama: Pembinaan umat, terutama para intelektualnya, dengan pemikiran Islam yang bersifat ideologi. Dalam hal ini, perlu dijelaskan kepada umat secara jelas bahawa Islam semestinya berkeupayaan untuk menyelesaikan persoalan-persoalan kehidupan mereka secara total. Di sinilah pentingnya melakukan pengajian yang lebih mendalam tentang sistem ekonomi Islam, sistem politik Islam, sistem pendidikan Islam, dan yang lainnya. Pemikiran Islam mesti disampaikan secara utuh; tidak sebatas membahas hal akidah, fiqih ibadah, atau akhlak sahaja.

Pembahasan Islam juga mesti disertakan dengan fakta-fakta/persoalan-persoalan realiti hari ini bagi menjelaskan bagaimana Islam menyelesaikan persoalan tersebut.

Objektif dari semua ini adalah untuk mewujudkan keyakinan dikalangan umat, terutama para pemikirnya, bahawa Islam memang mampu untuk menyelesaikan setiap persoalan kehidupan mereka; tanpa perli meminjam dari ideologi Kapitalisme mahupun Sosialisme. Dengan begitu, sikap rendah diri (inferior) yang melanda pemikir Islam akan hilang.

Ketika umat dengan jelas melihat bahawa ternyata syariat Islam mampu menjawab persoalan kemanusiaan, usaha-usaha untuk menjauhkan umat dari syariat Islam dengan alasan liberalisasi dengan sendirinya akan tertolak. Umat akan melihat bahawa para pengkritik syariat Islam seolah-olah menjadi intelektual lemah yang hanya boleh mengkritik, tetapi tidak boleh memberikan penyelesaian.

Kedua: Menjelaskan kepada umat kepalsuan dan keburukan idea-idea selain Islam yang datangnya dari ideologi Kapitalisme dan Sosialisme. Umat perlu dididik akan permasalahan-permasalahan yang terbit dari idea-idea tersebut dan bagaimana pertentangannya dengan Islam. Di sinilah terletaknya kepentingan dalam menjelaskan kepalsuan dan penipuan idea sekularisme, pluralisme, dan idea-idea kapitalis lainnya. Perlu dijelaskan secara terang bahawa sekularisme telah membawa penderitaan kepada umat manusia. Idea demokrasi yang mendakwa dirinya sebagai suara rakyat, kenyataannya tidaklah seperti itu.

Idea liberalisme perlu dijelaskan pertentangannya dengan Islam, bahawa dalam Islam, manusia tidak dibiarkan melakukan apa sahaja sesuai dengan seleranya sebaliknya setiap Muslim wajib terikat pada syariat Islam dalam segala perilakunya.

Perlu juga dijelaskan bahaya idea-idea sekular lain di tengah-tengah umat. Perlaksanaan ekonomi liberal seperti penswastaan sektor pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, secara nyata akan membawa kesengsaraan kepada umat. Ekonomi liberal ini juga hanya memihak kepada para kapitalis (pemilik modal) dengan eksploitasi berleluasa kekayaan alam di dunia Islam, sementara rakyatnya hidup merana. Perlu dijelaskan kepada umat sistem kapitalis ini hanya menguntungkan penjajahan.

Ketiga: Melakukan dakwah yang bersifat politik dengan mengajak umat untuk menerapkan syariat Islam secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan. Penting untuk difahami oleh umat bahawa permasalahan mereka bukanlah setakat wujudnya para pemikir liberal sebagai agen penjajah Barat yang menghalang penerapan syariat dan Khilafah Islam bahkan lebih dari itu. Semua ini berpangkal dari tidak adanya sebuah institusi yang menerapkan syariat Islam secara kâffah sehingga kehidupan Islam boleh diterapkan secara menyeluruh. Dengan kata lain, fenomena sedih ini dalah disebabkan tidak adanya Khilafah Islam. Oleh yang demikian, dakwah Islam mestilah mengarah pada penerapan syariat Islam secara menyeluruh di bawah naungan Daulah Khilafah Islamiyah.

Khatimah

Tatkala Amerika melakukan perancangan (makar) untuk menghancurkan Islam dan umatnya, Allah juga melakukan perancangan-Nya, bahkan perancangan Allah Maha Benar. Amerika mengatas-namakan “balas dendam” pasca tragedi 9-11 sebagai menutup rasa bencinya terhadap Islam. Lalu mereka merancang dan melancarkan serangan fizikal mahupun pemikiran ke atas umat mulia ini. Akhirnya, walaupun sebahagian umat mulia ini terhina namun sebahagian lain tetap istiqamah pada ideologi asas Islam. Sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala;

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)” [TMQ 9:32]

Kini, Amerika dan Barat menghadapi saat-saat kejatuhan. Malapetaka dari perancangan mereka terhadap Islam telah terbukti ‘makan tuan’. Bencana yang menimpa mereka kini mampu menggugat kestabilan dalaman dan dasar ideologi mereka. Amerika berhadapan dengan pergolakan dalaman dari puak arogan yang memaksa polisi luar Bush dikaji semula. Kelemahan pentadbiran Bush di Amerika makin terserlah hingga memaksa beliau menumpukan sebahagian besar masa dan peruntukkan ke dalam negara. Pentagon sedang dalam kajian menarik balik tentera dari Iraq secara berperingkat kerana kegagalan misi tersebut menakluki Iraq melalui penerapan Demokrasi. Tambahan pula baru-baru ini, tragedi Taufan Katrina yang memusnahkan penempatan sekitar persisiran pantai Teluk Mexico memaparkan sikap pemimpin ego tersebut terhadap polisi dalam negaranya.

Sementara di Eropah pula, Britain berhadapan dengan konflik Islamofobia selepas tragedi pengeboman di Kota London pada Julai lepas. Undang-undang keganasan yang diguna-pakainya menyebabkan kepincangan dalam kepimpinannya terutama terhadap kaum Muslimin yang bermastautin di sana. Hubungannya dengan Perancis yang berada dalam keadaan kritikal juga mendinginkan lagi pengaruh Eropah di persada dunia.

Lantaran dari itu, negara-negara kaum muslimin yang dijajah dengan pemikiran mula tercari-cari penyelesaian terhadap konflik dan polemik dalaman yang berpanjangan. Laungan kepada mengembalikan kehidupan Islam dan Khilafah telah kedengaran di serata dunia terutama di negara-negara kaum muslimin.

“Siapa saja yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Siapa saja yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.” [TMQ 20:123-126]

Wahai Kaum Muslimin,

Tibalah masanya kini kita berpaling serta meninggalkan sejarah hitam hegemoni pemikiran Barat selama 81 tahun tanpa Daulah Khilafah. Sistem penjajahan yang di terapkan di negara-negara kita merupakan suatu kezaliman dan tidak berperikemanusiaan. Lihat sahaja disekeliling kita, sebahagian kita diperlakukan setaraf haiwan bahkan jika kita renungkan pula secara jernih corak politik dunia yang diwarnai Kapitalisme, ianya amat memualkan. Cukuplah suasana kesempitan dan kehinaan yang melanda realiti kita setakat ini. Hentikanlah ketakutan kita kepada makhluk. Takutlah Allah..

“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku.” [TMQ 5:3]

Wahai Kaum Muslimin,

Sekaranglah saatnya kita kembalikan kemegahan dan kegemilangan Islam juga umatnya melalui penegakkan syariat Allah seratus peratus. Aqidah kita dijernihkan semula dengan memaksikan keyakinan kepada syariat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Satu-satunya metodologi untuk mendaulatkan kembali syariat Allah secara kaffah itu hanyalah melalui sistem warisan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada kita, iaitu Sistem Khilafah! Hanya dengan Khilafah sahaja kita dapat membuktikan kepada dunia bahawa Islam mampu memandu keamanan sejagat sepertimana yang ditintakan dalam sejarah selama seribu tahun lebih Islam memikul tugas sebagai negara adidaya dunia (super power) sebelum keruntuhannya pada 3 Mac 1924.

Kinilah masanya janji-janji Allah sampai kepada kita. Kita buktikan kepada pendokong kapitalisme mahupun sosialisme bahawa Islam adalah yang terunggul mengatasi segala ideologi dan agama.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [TMQ 24:55]