SN050 – IMBASAN KEMBALI 2005 DAN AZAM BARU 2006

PDF

SN Keluaran 2005

 

Logo SN

 

[SN050] Tahun 2005 telah menghampiri penghujungnya. Fajar 2006 bakal menyinsing dalam beberapa hari sahaja lagi. Segala persiapan telah diatur sejak awal-awal lagi. Pelbagai pesta keraian dan sebagainya telah dirancang untuk menyambut ketibaan Tahun 2006 ini. Pelbagai iklan, aktiviti dan tayangan dipaparkan di media akhbar, televisyen dan di corong-corong radio. Jualan murah juga tidak kurang memeriahkan lagi suasana. Bagi ibubapa dan pelajar sekolah, awal tahun baru ini adalah bermulanya penggal persekolahan. Segala persiapan telah dibuat. Inilah masa yang sesuai untuk membeli kelengkapan segala barang keperluan sehinggalah kepada barang pelengkap dan barang mewah seperti menukar semua perabut untuk menyambut dan menikmati suasana tahun baru. Hijrah… Perubahan…

Pada 24 Disember 2005 yang lepas kami telah mengadakan sebuah seminar memperkenalkan sistem-sistem Islam. Islam, sebagai sebuah ideologi, pada hakikatnya mampu menyelesaikan kesemua permasalahan hidup manusia. Adalah suatu yang amat menggembirakan apabila umat bersetuju bahawa Khilafah mesti ditegakkan semula dan menyokong usaha ke arahnya. Apa yang menyedihkan adalah, majlis sebegini tidak mendapatkan sambutan yang diharapkan. Biasanya, bagi majlis ilmu seperti ini, 20-30 orang sahaja yang datang. Dan kadang-kadang lebih ramai ahli jawatankuasa dari jumlah orang ramai yang datang. Sudah cukup membanggakan yang datang mencecah angka ratusan. Tetapi jumlah ini amatlah kecil berbanding sambutan tahun baru yang acapkali dihadiri ribuan pengunjung hingga tak cukup ruang. Hakikatnya, masih ramai umat Islam yang masih belum mengenali dengan jelas sistem-sistem Islam. Malah ramai yang masih membelakangkannya, kagum dengan sistem-sistem dan pemikiran kufur yang diamalkan di dalam masyarakat hari ini. Realiti peristiwa-peristiwa yang berlalu di sepanjang 2005 ini cukup jelas menggambarkan keadaan ini.

Sautun Nahdhah kali ini mengajak umat Islam untuk mengimbas kembali memori luka kaum Muslimin akibat kegagalan sistem yang mereka terapkan. Ia kononnya dapat membela dan menyelesaikan masalah umat tetapi sebaliknya telah menambah parah dan derita yang tidak berpenghujung. Semoga imbasan ini dapat dijadikan titik tolak dalam mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.

Imbasan 2005

Selama 365 hari, banyak peristiwa telah mewarnai kehidupan kita yang kebanyakannya mengungkap derita pilu kaum Muslimin. Umat Islam terus berdepan dengan pelbagai masalah dan penderitaan yang tidak kunjung selesai.

Di sana-sini kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku ke atas kaum Muslimin. Kita melihat kaum Muslimin di Iraq dipaksa menerima sistem demokrasi-kapitalisme apabila umat di sana mula membuang undi. Begitu juga di Palestin, umat Islam dipaksa menerapkan sistem demokrasi-kapitalis untuk mendapatkan semula tanah mereka. Di Mesir pula, kita melihat kaum Muslimin ditipu secara terang-terangan dalam proses pilihanraya yang dijalankan. Namun adakah semua ini akan dapat menyelesaikan masalah umat di sana? Adakah hak-hak kaum Muslimin akan dapat dipertahankan dengan mengadopsi sistem ini?. Adakah kita masih mengharapkan sistem demokrasi-kapitalis ini untuk menyuarakan hak kita? Sebenarnya pihak kuffar Barat sangat memahami pengertian politik Islam yang sebenarnya. Mereka berusaha bersungguh-sungguh agar sistem politik ini tidak akan terealisasi dalam kehidupan kita. Barat menyatakannya sendiri melalui ucapan-ucapan serta tulisan-tulisan mereka. Mereka mengelar ’Ideologi Setan’, kemunculan negara yang ekstrimis, pemikiran radikal dan sebagainya. Hakikatnya, sistem pemerintahan demokrasi ini adalah produk kuffar Barat yang dilahirkan untuk mengawal dan menghalang kita dari menerapkan sistem pemerintahan Islam yang sebenar.

Pada akhir 2004, kita menyaksikan kemusnahan dan penderitaan di negeri-negeri kaum Muslimin yang dilanda tsunami. Sehingga kini, sungguhpun telah genap setahun tragedi mengerikan itu berlaku, namun usaha bantuan dan pertolongan yang sewajarnya dihulurkan oleh pemimpin kaum Muslimin masih dalam keadaan yang boleh dipertikaikan. Contohnya di negara jiran, Indonesia. Masih terdapat 100,000 orang yang tinggal di khemah sementara kerana tempat tinggal yang sepatutnya dijamin oleh negara masih belum siap [Utusan Malaysia, 24/12/05]. Mereka mengemis demi sesuap nasi sedangkan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal adalah jaminan asas keperluan rakyat dalam Negara Islam (Daulah Islamiyyah). Pendidikan anak-anak mereka turut terabai. Sejumlah 161,751 kanak-kanak dan remaja masih belum bersekolah semula, sedangkan pendidikan adalah keperluan asas masyarakat yang sepatutnya dijamin oleh Negara. Begitu juga keadaan di Pakistan yang baru dilanda gempa bumi. Ketika ini, musim sejuk telah tiba namun bekalan selimut dan penyediaan tempat tinggal mereka masih tiada kepastian. Masalah ini bukan sekadar dihadapi oleh negara-negara kaum Muslimin yang dilanda musibah, tetapi juga di lain-lain negara. Masalah kemiskinan dan kebuluran menjadi topik utama dan sedang giat diperbincangkan. Kadar pengangguran masih di tahap yang tinggi. Di Indonesia, hampir 60% rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan. Negara kita juga turut berdepan dengan masalah yang sama, khususnya di kalangan graduan bidang ekonomi, komputer dan sastera. Kenaikan harga barangan dan minyak juga telah menambah derita kaum Muslimin. Semua ini disebabkan oleh bermaharajalelanya sistem ekonomi Kapitalis yang pada hakikatnya amatlah rapuh dan tidak mampu untuk menangani segala perubahan iklim ekonomi dan permasalahan baru yang sentiasa muncul.

Di sisi lain, undang-undang kekeluargaan dan sistem pergaulan berdasarkan syariat Islam yang sebelum ini boleh dibanggakan juga telah dicemari dengan beberapa peristiwa yang mencemarkan ketinggian dan syiar Islam. Kanak-kanak yang lahir akibat perzinaan telah meningkat sejak 1988 dan ia tidak berkurangan sehingga hari ini. Setiap hari, 19 orang dijangkiti HIV dan dari 1999 hingga 2003, kadar peningkatan adalah sebanyak 300% [Harian Metro, 20/05/05]. Sehingga September lalu, sejumlah 61,486 jangkitan HIV telah dilaporkan termasuk 8,955 kes AIDS yang melibatkan 7,083 kematian dengan 75 % atau 46,292 penagih dadah dijangkiti HIV akibat menggunakan jarum suntikan. [Utusan Malaysia, 28/12/05]. Generasi muda juga dilaporkan telah menggunakan rumah tumpangan untuk berasmara [Berita Harian, 17/03/05]. Seorang pelajar mengaku berkhalwat dengan wanita bukan Islam [Harian Metro, 05/05/05] manakala seorang guru sekolah agama telah dituduh merogol pelajar 15 tahun [Berita Harian, 27/01/05]. Perkahwinan sesama jenis seperti yang berlaku di Sarawak baru-baru ini juga telah merendahkan lagi taraf kemanusiaan yang nyata lebih buruk dari haiwan.Undang-undang rimba telah digunapakai di kawasan-kawasan pendalaman Pakistan seperti kes perogolan seorang perempuan beramai-ramai oleh satu keluarga yang dihalang hubungannya kerana taraf kasta yang berbeza. Pembunuhan anak gadis turut berlaku semata-mata untuk mempertahankan status keluarga dan sebagainya. Adakah gejala ini dapat diselesaikan dengan keyakinan, piawaian, undang-undang dan hukum kufur yang dilaksanakan sekarang??

Tidak ketinggalan juga isu murtad yang banyak difailkan dan yang terbaru adalah isu siapa yang berhak menguruskan jenazah salah seorang jaguh Projek Everest 1997 yang amat mengejutkan kita. Seorang pelajar perempuan di Alor Star pula mengaku telah berikrar murtad bersama 8 rakannya dan mengaku pernah mengoyak, memijak dan membakar Al-Quran bersama rakan-rakannya di dalam upacara ikrar kumpulan ”black metal” [Berita Harian, 24/07/05]. Pengaruh ”black metal” kini menular dikalangan remaja kita dimana konsert-konsert dan album-album ”black metal” mendapat sambutan hangat. Ini ditambah lagi dengan isu ajaran sesat seperti nabi Melayu dan kes Ayah Pin@Ariffin Muhammad yang telah menular ke seluruh negara dan memurtadkan ramai orang Islam [Julai, 2005]. Semua ini menggugat aqidah umat Islam. Turut dipaparkan adalah isu perlecehan Al-Quran dan status tahanan kaum Muslimin di penjara-penjara dan kem tahanan seperti di Teluk Guantanamo yang heboh dibincangkan diperingkat antarabangsa. Apakah kita hanya mampu berdiam diri melihat aqidah Islam dipermain-mainkan?

Pada bulan Februari 2005, seorang pelajar tingkatan lima MRSM Pendang telah patah tulang rusuk dan lebam akibat dibelasah rakan asramanya. Tidak lama selepas itu [Utusan Malaysia, 13 Mei 2005], 17 remaja terlibat dalam pergaduhan di Muar dan pada bulan Jun 2005, seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Agama Padang Tungku, Pahang telah cedera akibat dibuli pelajar seniornya. Dalam perkembangan lain pula, sebuah kajian Kementerian Belia dan Sukan dan UPM pada tahun 1994 menunjukkan bahawa 40% dari kalangan remaja telah menonton filem lucah, 28% pernah berjudi dan 25% pernah minum arak. Falsafah pendidikan kebangsaan yang menjurus kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan nampaknya tidak mampu untuk membina individu yang memiliki keperibadian mulia yang diharapkan.

Pelbagai peristiwa suka-duka terukir sepanjang tahun ini. Kesemuanya menunjukkan bukti-bukti kegagalan sistem yang diterapkan sekarang untuk membela dan menyelesaikan masalah manusia. Persoalannya ialah dapatkah semua ini menjadi peringatan dan pencetus untuk kita terfikir sejenak mengenai penyelesaian yang sebenarnya?

Kewajiban Memiliki Sikap Prihatin akan Keadaan Kaum Muslimin

Adakalanya, terlintas dibenak kita bahawa umat Islam seolah-olah telah kaku seperti batu. Tidak bernyawa. Dipukul, ditindas, ditekan, dihina, dirogol, dibogelkan, diketawakan. Tidak ada reaksi – seperti mayat. Entah kemanakah menghilangnya semangat Mat Kilau yang gagah menentang penjajah, telah sirnakah syakhsiyyah Islam seperti yang ditunjukkan oleh pejuang-pejuang menentang penjajah di Nusantara suatu masa dulu? Adakah segala usaha para pendakwah dan pejuang Islam yang tidak pernah kenal jemu dalam menyebarkan Islam sehingga ke Nusantara ini hanya sia-sia sahaja?

Walau letih mengorak langkah, memandangkan kewajiban ini mesti dilaksanakan juga, maka dikerahkanlah segenap usaha walau terpaksa bersusah-payah. Ibarat mengajarkan anak kecil berjalan pada awalnya; walau banyak kali terjatuh, dia perlu terus dibantu untuk berjalan. Setelah itu, barulah dia berani berjalan. Lama kelamaan, dia akan berjalan jua dengan sendiri setelah usianya semakin meningkat. Begitu juga dengan umat Islam di Malaysia ini yang masih banyak potensinya. Walaubagaimanapun, potensi ini hanya akan terserlah sinarnya jika kita menyedari bahawa kita mesti memikirkan adakah hidup kita ini hanya untuk hiburan semata-mata, dengan dipenuhi dendangan lagu-lagu cinta? Kesemua imbasan 2005 tidak kira di dalam atau luar negara sepatutnya menjadi realiti untuk kita bangkit dari lena yang sudah cukup panjang. Adalah menjadi kewajiban kita untuk memikirkan semua ini.

Rasulullah Salallahu ’alaihi wasallam pernah bersabda:

Barangsiapa (bangun) di pagi hari dan urusannya adalah selain dari kepada Allah, maka Allah akan berlepas diri daripadanya. Dan barangsiapa (bangun) di pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, dia bukan dari golongan (Muslimin) itu”

Hadis ini menunjukkan bahawa memiliki sikap prihatin akan urusan kaum Muslimin adalah satu kewajiban. Memerhatikan keadaan kaum Muslimin bermakna kita mengambil tahu akan urusan mereka. Memerhatikan urusan mereka bermakna menguruskan dan mengambil tahu apa yang berlaku ke atas kaum Muslimin. Hadis ini juga datang dalam bentuk yang umum iaitu dalam perkataan ’ yahtam’ (menguruskan /memperhatikan kaum Muslimin dan ’al-Muslimin’ yang merupakan jama’ mahali dengan alif lam, maka memerhatikan di sini adalah umum mencakup apa sahaja yang berkaitan dengan kaum Muslimin.

Sistem Islam Tidak Berjalan

Sesungguhnya, semua kehinaan kaum Muslimin yang berlaku sekarang ini adalah akibat tidak adanya penerapan sistem Islam. Tiadanya Daulah Khilafah Islamiyyah. Ia telah runtuh pada tanggal 3 Mac 1924 sungguhpun kewujudannya sangat perlu kerana ia (Khilafah) adalah benteng kaum Muslimin. Selain dari itu, apa yang lebih penting adalah mendirikannya adalah kewajiban bagi kita. Aqidah kita menuntut supaya segala urusan kehidupan kita diuruskan dangan perintah dan larangan Allah.

“…Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu…[TQM al-Maaidah (5):48]

…Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maaidah (5):49]

“Barangsiapa mati sedangkan dibahunya tiada bai’at, maka matinya adalah mati jahilliyyah” [Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tabrani dari Mu’awiyah].

Imam Muslim juga meriwayatkannya dari Ibnu Umar. “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Barangsiapa melepaskan tangan dari ketaatan kepada Allah, maka dia pasti akan bertemu Allah di hari kiamat dalam keadaan yang tidak mempunyai hujjah. Barangsiapa mati sementara dilehernya tiada bai’at, maka matinya mati jahilliyyah.”

Syara’ juga telah menetapkan batas waktu yang sepatutnya kita fahami untuk melaksanakan tugas ini iaitu tidak lebih dari tiga hari dua malam. Ini dapat difahami dari fakta bahawa melantik Khalifah adalah wajib, namun kaum Muslimin boleh menunda perlantikan tersebut disamping berusaha untuk melaksanakanya sebelum menjelang tiga hari dua malam. Ini diambil dari Ijma’ Sahabat. Para sahabat berkumpul di Saqifah Bani Sai’dah setelah berita wafatnya Rasulullah Salallahu ’alayhi wasallam untuk membahas perlantikan khalifah tetapi pada hari tersebut telah timbul perdebatan tentang siapakah yang hendak dilantik sebagai Khalifah. Pada hari kedua, mereka berkumpul di masjid untuk melaksanakan bai’at. Peristiwa ini mengambil masa tiga hari dua malam. Ia juga dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khatab ketika beliau merasakan ajalnya hampir tiba akibat ditikam. Beliau melantik ahli syura dan menetapkan batas masa tiga hari dua malam untuk melantik Khalifah.

Khatimah

Ahad ini, bermulalah tahun baru 2006. Sehingga saat ini, telah 81 tahun kita hidup tanpa bai’at Khalifah di bahu. Telah lebih 81 kali kita menyambut tahun baru tanpa apapun perubahan. Sehingga kini, Khilafah masih belum berdiri, bukan sahaja sudah lebih tiga hari bahkan sudah lebih 80 tahun!

Kedatangan Tahun Baru kali ini pasti akan disambut dengan penuh keseronokan dan kegembiraan seperti tahun-tahun sebelumnya. Seperti biasa, setiap kali kita menyambut tahun baru, kita akan mengimbas dan menilai kembali apa yang kita telah capai dalam tahun sebelumnya. Dari situ pula, pelbagai azam dan harapan baru ditetapkan untuk meningkatkan taraf kehidupan kita. Hakikatnya di dalam kegembiraan kita setiap kali meraikan tahun baru kita sebenarnya keraikan kegagalan kita sendiri… kegagalan dalam menghayati Islam… kegagalan dalam menerapkan sistem Islam. Kegagalan dan penderitaan ini akan terus membelenggu umat selagi kita masih berfikiran dangkal dan mengabaikan Islam sebagai sistem kehidupan kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama meletakkan impian dan memperkuatkan azam kita di tahun baru ini untuk menghayati Islam, dan berusaha menerapkan sistem Islam dengan menegakkan semula Khilafah Rasyidah sebagai suatu kewajiban yang pasti. Waullahu ’alam.