SN075 – KEKURANGAN GULA – Hakikat Atau Sengaja?

PDF

SN Keluaran 2006


logo SN



[SN075] Sejak dua bulan kebelakangan ini, isu bekalan gula mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Kekurangan bekalan gula menjadi masalah utama pengguna di Malaysia hari ini. Malahan sesetengah pekedai runcit dan pemilik pasar raya terpaksa menghadkan setiap orang pelanggan membeli dua pek kecil sahaja. Elbert Leng, 40, berkata, dia terpaksa bertindak sedemikian bagi memastikan bekalan gula tidak habis di pasar rayanya [Utusan, 16/6/2006]. Di sesetengah kedai dan pasar raya pula terpaksa meletakkan tanda ’gula habis’ di rak barangan mereka. Ramai pengusaha restoran dan peniaga kuih muih tempatan merungut kerana kekurangan bekalan gula turut menjejaskan pendapatan mereka. Pastinya pengguna yang menjadi mangsa dalam hal ini dan ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menyerbu sebuah kedai yang terletak di Sungai Buloh, Selangor kerana meletakkan syarat pembelian barangan melebihi sepuluh ringgit kepada pembeli untuk membeli dua bungkus gula [Utusan, 18/6/2006]. Sautun Nahdhah kali ini ingin mengupas masalah kekurangan gula ini, adakah ia benar-benar berlaku atau disengaja, apakah puncanya dan bagaimana penyelesaiannya. Apakah hukumnya menyorok barang dan juga menetapkan harga.

Apakah Yang Dikatakan Menjadi Punca?

Masalah kekurangan gula ini dikaitkan dengan masalah pengeluaran yang dialami oleh Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. Kilang ini hanya mampu mengeluarkan 50% sahaja daripada keupayaan mereka untuk mengeluarkan gula. Ini kerana banjir yang telah menimpa Perlis menyebabkan pengeluaran hasil tebu merosot. Walaubagaimanapun, faktor ini bukanlah faktor besar kerana kilang tersebut telah mendapatkan bekalan bahan mentah yang mencukupi. Malahan terdapat tiga lagi syarikat pengeluar gula negara iaitu Malayan Sugar Manufacturing Sdn. Bhd., Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. dan Gula Padang Terap Berhad. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shafie Apdal, kapasiti pengeluaran gula negara adalah 1.2 juta metrik tan setahun manakala permintaan gula negara hanya 936,000 metrik tan sahaja. Sepatutnya berlaku lebihan bukannya kekurangan bekalan gula [Utusan, 7/6/2006]. Ini bermaksud masalah kekurangan gula mustahil berlaku kecualilah jika pihak pengilang tidak mahu mengeluarkannya.

Selain daripada itu, aktiviti penyeludupan dan penyorokan gula merupakan antara faktor penyumbang kepada masalah kekurangan gula di pasaran. Beberapa kejadian penyeludupan di perairan negara juga dikatakan sebagai penyebab. Begitu juga dengan aktiviti penyorokan gula. Kegiatan menyorok dilakukan oleh para pemborong yang mahu memberikan tekanan kepada kerajaan supaya menaikkan harga gula yang sudah 10 tahun tidak dikaji semula. Kebanyakan peniaga yang menyorok gula berbuat demikian dengan harapan harga gula akan naik apabila bekalan berkurangan di pasaran. Terdapat beberapa kes penyorokan gula telah dapat dikesan sepanjang krisis kekurangan gula ini berlaku. Seorang pemborong telah menyorok sebanyak 6,530 kilogram gula dianggarkan berharga RM10,000.00 di rumahnya di Jalan Bakar Sampah, Semeling, Sungai Petani [Utusan, 12/6/2006]. Pemborong terbabit mendakwa bekalan gula tersebut disimpan di rumahnya untuk sementara waktu memandangkan stor premisnya di Merbok telah penuh. Manakala kes kedua melibatkan seorang peniaga perabot di Petaling Jaya yang menyimpan gula sebanyak satu tan di stor kedai perabot miliknya [Utusan, 16/6/2006]. Apabila ditanya tentang simpanan gula sebanyak itu, peniaga terbabit mengatakan ia adalah stok untuk menyambut hari raya.

Penyelesaian Menurut Pemikiran Kapitalis

Akibat daripada kemelut ini, pelbagai langkah dan cara telah diambil dan dicadangkan oleh pelbagai pihak. Sebagai contoh, pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) giat menjalankan pemeriksaan terhadap kapal-kapal yang disyaki dan meningkatkan kawalan di lokasi-lokasi kritikal yang dikenal pasti sebagai pintu utama penyeludupan barangan di kawasan perairan negara. Beberapa langkah lain turut diambil oleh KDRM. Sementara itu, beberapa persatuan pengguna telah meminta pembeli supaya memboikot gula sebagai tindak balas kepada pemborong dan peniaga yang menyorok dan tidak menjual bahan itu. Tindakan itu boleh dijadikan pengajaran terhadap mereka yang sengaja mahu mengenakan tekanan kepada kerajaan bagi menaikkan harga gula. Persatuan Pengguna-Pengguna Prihatin Selangor dan Wilayah Persekutuan pula menyarankan kepada semua pengguna untuk menukar budaya pengambilan gula. Rakyat Malaysia disyorkan menukar amalan penggunaan gula pasir dalam makanan dan minuman kepada manisan lain seperti madu, gula dari pokok palma, gula tiruan dan berbagai manisan lain yang dikatakan lebih sihat dan selamat [Utusan, 16/6/2006]. Malahan ada yang mencadangkan supaya kempen ’Tak Nak Gula’ diadakan.

Sebenarnya cara-cara yang dicadang atau dilakukan di atas bukanlah penyelesaian kepada masalah tetapi merupakan reaksi kepada masalah. Cadangan ini langsung tidak menyelesaikan masalah rakyat kerana harga gula alternatif sebenarnya lebih mahal daripada gula pasir. Gula merah harganya RM1.89 sekilogram, gula kastor pula RM1.49 sekilogram, gula batu RM4.00 dan gula melaka RM5.98 [Utusan, 18/6/2006]. Apakah rakyat diminta beralih daripada yang murah kepada yang lebih mahal?

Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan pula mencadangkan supaya kerajaan “menaikkan sedikit harga gula” bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan bahan itu sekarang. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) juga turut memberi cadangan yang sama agar harga gula dinaikkan sebanyak 30 sen [Utusan, 18/6/2006]. Walaubagaimanapun, cadangan daripada pihak FOMCA itu telah mencetuskan kemarahan banyak pihak kerana dianggap tidak membela nasib pengguna.

Manakala di pihak kerajaan pula, KPDNHEP mungkin memperkenalkan semula lesen perniagaan barang kawalan berjadual kepada peruncit-peruncit gula sepertimana yang pernah dibuat sebelum tahun 1991, jika masalah kekurangan gula terus berlaku [Bernama 16/6/2006]. Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan dua pilihan bagi menangani masalah kekurangan gula di pasaran iaitu membanteras aktiviti penyeludupan dan rakyat perlu mengurangkan pengambilan gula. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob juga tidak menganggap masalah kekurangan gula sebagai membimbangkan sebaliknya ia memberi peluang kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan, katanya. [Utusan, 7/6/2006].

Cadangan-cadangan tersebut menggambarkan betapa taraf berfikir umat yang tidak boleh keluar dari kepompong pemikiran yang telah dibalut rapi oleh Sang Kapitalis. Tidak ada seorang pun yang cuba melihat cara penyelesaian dari perspektif Islam. Masing-masing menggunakan aqal sebagai jalan keluar dan merasakan itu adalah penyelesaian yang terbaik. Di dalam Ideologi Kapitalis yang memisahkan agama dengan kehidupan, peranan aqal sememangnya didewa-dewakan dan diletak lebih tinggi dari hukum Allah. Apabila berlaku masalah, aqallah yang terus memberikan solusi, tanpa memandang apakah itu bertepatan dengan kehendak Islam atau tidak. Halal dan haram tidak lagi menjadi ukuran. Wahai kaum muslimin! Ingatlah bahawa Allah menganugerahkan aqal kepada kita untuk memahami hukum syara’, bukan untuk merubahnya. Setiap penyelesaian wajib berdasarkan hukum Allah, bukan hukum aqal.

Hukum Penimbunan (Ihtikar) Menurut Islam

Penimbunan atau monopoli, di dalam bahasa Arab disebut Ihtikar. Secara bahasa ia bermaksud menimbun atau mengumpul sesuatu dan menahan (tidak mengeluarkannya) sementara menunggu harganya naik, kemudian menjualnya dengan harga yang mahal. Ihtikar juga bermaksud Istabadda iaitu menyorok barang-barang agar dapat dijual dengan harga yang mahal di kemudian hari. Syarat terjadinya penyorokan adalah ianya mesti sampai pada satu tahap di mana ia menyukarkan masyarakat setempat untuk membeli barang yang disorok tersebut. Seandainya tidak menimbulkan kesukaran (untuk membeli), maka aktiviti sorok tidak dikatakan berlaku. Dengan kata lain, Ihtikar bermaksud aktiviti menimbun atau menyorok barang (dari diperdagangkan) sehingga menimbulkan kesulitan bagi masyarakat setempat bagi mendapatkan komoditi tersebut, untuk kemudian dijual dengan harga yang mahal.

Inilah antara hakikat yang terjadi atau lebih tepat yang di amalkan, di dalam Sistem Ekonomi Kapitalis. Kaum Kapitalis atau pemilik modal biasanya melakukan penimbunan dan penyorokan barang untuk membunuh semua industri yang ada kecuali industri mereka. Setelah itu mereka melakukan penjualan barang tersebut di pasaran supaya mereka boleh menentukan harga mengikut apa yang mereka inginkan. Oleh itu, di dalam Sistem Kapitalis, naik turun harga tidak hanya bergantung kepada penawaran dan permintaan, tetapi juga kerana adanya aktiviti menimbun dan menyorok. Sang Kapitalis tidak pernah memikirkan kesukaran masyarakat. Selagi mereka boleh mencekik darah orang lain, mereka akan melakukannya. Apa yang diambil kira hanyalah manfaat individu atau kroni semata-mata. Sebab itulah di dalam dunia Kapitalis, kita biasa mendengar dan melihat ’orang yang mengambil manfaat di atas kesengsaraan orang lain.’ Inilah apa yang berlaku sekarang!

Sebagai seorang muslim, kita wajib menyelesaikan setiap masalah mengikut apa yang Allah wahyukan. Kita wajib yakin 100% bahawa agama yang Allah turunkan ini pasti dapat menyelesaikan setiap inci masalah manusia. Tidak ada satu persoalan pun yang tidak dapat dijawab oleh Islam. Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang tidak sempurna. Terkutuklah manusia yang tidak mahu mengambil hukum Allah sebagai jalan penyelesaian. Rata-rata umat Islam terutamanya para pemimpin kaum muslimin telah mengambil pilihan selain daripada apa yang Allah turunkan, mengambil jalan penyelesaian berlandaskan aqal, bukannya berdasarkan apa yang Allah tetapkan.

Di dalam Islam, menimbun dan menyorok barang adalah haram. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari Mu’ammar bin Abdullah al-Adawi bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. bersabda, ”Tidak akan melakukan penimbunan kecuali orang yang salah (khati’).” Al-Atsram meriwayatkan dari Abu Umamah, ”Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang penimbunan makanan.” Dalam hadis ini ada tuntutan untuk meninggalkan dan adanya celaan terhadap orang yang melakukannya iaitu disebut dengan perkataan khati’ (orang yang berbuat dosa atau maksiat). Ini bermakna tuntutan meninggalkan di sini adalah tegas (jazm). Dalam pembahasan usul fiqh, apabila ada larangan dan ianya bersifat jazm, maka larangan tersebut adalah larangan tahrim (haram). Oleh yang demikian, aktiviti menimbun dan menyorok barang adalah jelas-jelas haram dalam pandangan Islam. Pelakunya (Muhtakir) adalah berdosa dan wajib dita’zir.

Aktiviti menimbun dan menyorok adalah haram di dalam segala hal, samada menyorok makanan asasi manusia ataupun ternakan ataupun yang lain samada makanan ataupun bukan makanan samada keperluan asas ataupun pelengkap. Ini adalah kerana perkataan Ihtikar itu sendiri bermaksud mengumpulkan sesuatu secara mutlak bukan hanya terbatas kepada mengumpul makanan atau keperluan asasi sahaja. Ia bermaksud menimbun dan menyorok apa sahaja. Walaupun hadis di atas menyebut makanan, tetapi apa yang dimaksudkan hanyalah salah satu contoh. Ini kerana larangan Ihtikar disebut di dalam beberapa riwayat secara mutlak, tidak dibataskan (muqayyad) kepada barang-barang tertentu sahaja. Hadis-hadis yang menyentuh tentang Ihtikar juga datang dalam bentuk umum, tanpa ada apa-apa pengkhususan kepada barang-barang tertentu. Justeru, keharaman Ihtikar berlaku ke atas apa-apa barang sekalipun, termasuklah gula.

Hukum Menetapkan Harga (Tas’ir)

Di antara isu yang terkait rapat dengan penimbunan dan penyorokan ini adalah isu kenaikan dan penetapan harga (Tas’ir). Tas’ir merupakan manifestasi dari aktiviti Ihtikar yang berlaku. Justeru, apakah pandangan Islam tentang Tas’ir?. Kita perlu sedar bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada setiap orang untuk membeli dan menjual sesuatu selama mana barangan tersebut adalah halal dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga membiarkan manusia untuk menjual dan membeli dengan harga yang disukainya. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ”Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”. Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam secara jelas telah memberikan hak menentukan harga kepada mereka yang terlibat di dalam melakukan transaksi/aqad tersebut sahaja.

Di dalam Sistem Ekonomi Kapitalis yang diamalkan hari ini, kita sering menyaksikan bahawa Pemerintah menetapkan harga apabila berlakunya Ihtikar. Peristiwa sebegini boleh dikatakan telah menjadi routine. Penetapan harga oleh Negara bermaksud Pemerintah atau orang-orang yang diberi kuasa oleh Pemerintah mengarahkan para peniaga tidak menjual sesuatu komoditi kecuali dengan harga tertentu (yang telah ditetapkan) atas alasan kepentingan umum. Jadi, para peniaga tidak dibenar menaikkan atau menurunkan harga, selain dari apa yang telah ditetapkan. Hal ini bermaksud Pemerintah telah campurtangan di dalam aktiviti jual-beli. Jadi, apakah hukumnya Negara menetapkan harga sesuatu barang dagangan?

Allah sekali-kali tidak memberi hak kepada Pemerintah untuk menetapkan harga. Dengan kata lain, penetapan harga oleh Negara adalah haram. Penetapan harga ini akan memaksa rakyat untuk melakukan aktiviti jual beli dengan harga tersebut. Islam telah mengharamkan penetapan harga secara mutlak. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,

Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab,

‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Mengenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki, lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.’”

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,

”Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ’Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga.’ Baginda menjawab,’(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.’”

Mereka meminta kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara) untuk menetapkan harga. Kemudian Rasulullah menyatakan bahawa jika baginda berbuat demikian bererti baginda telah melakukan kezaliman. Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa penetapan harga (yang dilakukan oleh Negara) sebenarnya adalah satu bentuk kezaliman. Jika Rasulullah sendiri tidak melakukan perkara ini, apakah hak ke atas pemimpin untuk menetapkan perkara yang sama. Siapakah yang ingin kita ikuti di dalam agama ini? Rasulullah atau …? Oleh yang demikian, mana-mana Pemerintah yang telah menetapkan harga, maka mereka telah berdosa kerana melakukan suatu keharaman. Jika Sistem Pemerintahan Islam berjalan, maka pemerintah ini akan diadili di Mahkamah Madzalim kerana kefasikan yang telah mereka lakukan.

Sebagaimana Ihtikar, Tas’ir juga boleh berlaku ke atas apa jua komoditi, samada makanan atau bukan. Hadis-hadis berkenaan Tas’ir mencegahnya secara mutlak, dalam apa bentuk sekalipun dan tidak ada pengecualian-pengecualian khusus. Jika ditinjau dari segi realiti, penetapan harga adalah sesuatu yang amat membahayakan masyarakat dan negara dalam apa keadaan sekalipun, samada semasa perang atau aman. Ini adalah kerana apabila ada penetapan harga, maka masyarakat akan berjual-beli di pasaran tertutup untuk mengelak dari pengawasan Negara. Dengan kata lain, inilah yang dinamakan pasaran gelap (black market). Harga yang tinggi menyebabkan barang hanya akan dikuasai atau dimiliki oleh orang yang kaya sahaja, yang berpendapatan rendah atau yang miskin menjadi mangsa. Penetapan harga juga akan memberi kesan kepada penggunaan (consumption) dan seterusnya akan mempengaruhi pengeluaran (production). Situasi ini boleh membawa kepada krisis ekonomi.

Di dalam Islam, setiap orang mempunyai hak ke atas barangan kepunyaan mereka. Pemilikan ke atas harta (ownership of the property) memberikan hak kawalan (control) ke atas harta yang dimiliki. Penetapan harga akan menyebabkan pemaksaan (interdiction) ke atas harta seseorang, perkara yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Jadi, tidak boleh (haram) melakukan interdiction (Hajr) ke atas harta seseorang yang mana menghalang mereka dari memperjual-belikan harta tersebut mengikut harga yang mereka sukai. Sistem Ekonomi Islam benar-benar menjaga hak setiap individu agar tidak dirampas oleh individu yang lain. Hak individu juga dijaga oleh Islam dari dirampas dengan sewenang-wenangnya oleh Negara.

Jika harga melambung akibat peperangan atau krisis politik, ataupun akibat daripada kekurangan barang di pasaran, maka Islam ada jalan penyelesaiannya. Jika ia berlaku akibat dari Ihtikar, maka jelas Islam telah mengharamkannya. Tetapi jika ia berlaku memang semata-mata kerana kekurangan (shortage) barang tersebut, maka Khalifah, yang Allah tugaskan untuk memelihara kemaslahatan rakyat, wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah kekurangan tersebut. Ini boleh dilakukan dengan membawa barangan tersebut dari tempat lain (import), sekaligus akan menstabilkan semula harga. Inilah yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab semasa berlaku kebuluran di Hijaz (yang dikenali sebagai peristiwa Ramadha) akibat kurangnya bahan makanan pada suatu tahun, yang menyebabkan harga makanan telah melambung tinggi. Khalifah Umar al-Khattab tidak menetapkan harga tetapi sebaliknya mengirim dan membekalkan makanan dari Mesir dan Syam ke Hijaz sehingga krisis ini selesai tanpa perlunya penetapan harga.

Wahai kaum muslimin! Ini hanyalah secebis dari keindahan Sistem Islam, bak sebentuk cincin di padang pasir. Maha Suci Allah yang mencipta sistem yang penuh dengan keindahan, keadilan dan kesempurnaan ini. Sistem Islam adalah sistem yang Allah ciptakan untuk manusia. Ianya sesuai dan wajib diterapkan di sepanjang zaman. Tidak boleh diubah dan ditukar ganti. Dengan penerapan yang kaffah, manusia akan keluar dari kegelapan menuju cahaya Ilahi. Saudaraku, masihkah kalian berharap pada Sistem Kapitalis yang begitu menekan, menindas dan merampas hak kalian. Ideologi kafir inilah yang dipaksakan ke atas kita sekarang. Masihkah kalian menaruh harapan pada Ideologi Kapitalis yang busuk dan jijik ini?

Khatimah

Sebagaimana banyak penderitaan yang telah kita saksikan, di dalam dunia hari ini yang mengamalkan Ideologi Kapitalis (termasuk Malaysia), maka apa yang sedang kita saksikan dan apa yang tak habis-habis akan kita saksikan adalah kesengsaraan demi kesengsaraan yang akan menimpa rakyat. Para Kapitalis tidak akan merasa apa-apa penderitaan kerana inilah hakikat Ideologi mereka yang sememangnya memihak kepada mereka (para Kapitalis). Kita dapat bayangkan bahawa kalau harga gula naik sehingga RM10.00 sekilogram sekalipun ataupun lebih tinggi dari itu, ia tidak akan memberi kesan sedikitpun kepada para menteri atau golongan yang kaya-raya. Tetapi yang menderita di dalam Sistem Kapitalis ini, tak lain tak bukan adalah rakyat yang bukan Kapitalis. Satu-satunya cara untuk keluar dari segala penderitaan dan kesengsaraan ini adalah dengan melemparkan sejauh-jauhnya Ideologi kotor cipataan manusia ini dan menggantikannya dengan sistem yang penuh rahmat yang datangnya dari Pencipta manusia.

Wahai saudaraku yang mulia! Sekiranya seorang muslim itu mengambil hukum syara’ di dalam segala perbuatannya, menjadikan halal dan haram sebagai tolok-ukur bagi setiap tindakannya, dan seterusnya dosa dan pahala sebagai timbangannya, maka InsyaAllah setiap masalah akan berjaya diatasi. Jika perlanggaran tetap juga dilakukan oleh mana-mana individu, maka adalah menjadi tugas masyarakat untuk mengingatkan mereka yang lalai ini. Negara pula, yang menerapkan hukum syara’ di dalamnya akan menghukum setiap pelaku kesalahan sesuai dengan apa yang Allah perintahkan. Dan para pemimpin, dengan beban yang Allah pikulkan atas mereka sebagai pemelihara rakyat wajib mencari jalan keluar berdasarkan petunjuk dari kitabullah dan sunnah RasulNya serta i’tibar dari Khulafa’-ur-Rashidun. Inilah sebenar-benar petunjuk dan sebenar-benar jalan penyelesaian. Kita tidak akan dapat mengecapi penyelesaian yang Allah redhai kecuali dengan adanya seorang Khalifah yang benar-benar akan menerapkan seluruh hukum Islam, hasil dari kesedarannya bahawa dia adalah Khalifah Allah di muka bumi, yang memikul amanah Allah untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Alam hanya akan dipenuhi rahmat dengan diterapkan hukum Allah di dalamnya. Semoga Allah menyegerakan berdirinya Daulah Khilafah yang akan menerangi dunia untuk kedua kalinya. Amin ya Rabbal ’alamin.