SN082 – OIC OH OIC … OH! I SEE
SN Keluaran 2006
Sautun Nahdhah minggu lepas telah mengupas hakikat PBB yang hanya merupakan pentas lakonan Barat dalam menghancurkan umat Islam. Kini sebuah lagi pentas digunakan untuk ‘menyelamatkan’ umat Islam dari bencana yang sedang melanda. Bezanya, pentas kali ini diduduki oleh mereka yang hanya beragama Islam sahaja. Inilah pentas yang menjadi harapan sebahagian besar umat ketika ini – The OIC (The Organization of Islamic Conference). Sautun Nahdhah kali ini akan mengajak pembaca meneliti dan menilai apakah pentas ini merupakan penyelamat kaum Muslimin atau hanya sebuah lagi pentas lakonan yang para pelakonnya berebut-rebut untuk menjadi hero dengan harapan dapat menambat hati para penonton dan pengarah utamanya, rejim Amerika.
OIC atau nama bahasa arabnya Munazzhamat Al-Mu’tamar Al-Islami, sering ‘bersidang’ di dalam mencari penyelesaian di peringkat antarabangsa bagi isu-isu yang melibatkan Islam. Saat ini, ketika dunia Islam sedang menangis menyaksikan tragedi di Lebanon, OIC sekali lagi ‘bersidang’ (kali ini secara tergempar) bagi mencari jalan untuk menyelesaikan konflik ini. Persidangan yang diadakan di Malaysia selaku pengerusi badan dunia ini, menyaksikan Deklarasi Putrajaya telah dibuat pada 3 Ogos lalu. Antara isi kandungan Deklarasi adalah mengutuk keganasan Israel terhadap Lebanon, melahirkan rasa risau terhadap kekakuan Majlis Keselamatan PBB dalam melaksanakan sebarang tindakan agar gencatan senjata dilaksanakan, menggesa Majlis Keselamatan PBB melaksanakan tanggungjawabnya menjaga keamanan sejagat dan mengutuk serangan udara Israel ke atas Qana pada 30 Julai 2006 yang telah membunuh lebih dari 60 orang awam yang kebanyakannya kanak-kanak.
Persoalannya, adakah Deklarasi Putrajaya ini akan menyelesaikan masalah umat Islam di Lebanon yang sekarang ini sedang dihujani dengan pelbagai jenis bom dan peluru? Adakah kita berpuas hati mendengar OIC hanya ‘mengutuk’ tindakan kejam yang sedang dilakukan oleh Israel? Adakah kita bergembira setelah mendengar OIC menjerit meminta tolong dengan PBB, yang jelas-jelas musuh yang nyata bagi umat Islam? Adakah kita rela melihat umat Islam di Lebanon bermandikan darah, mati dibom, hilang tempat tinggal, pakaian tinggal sehelai sepinggang, tiada lagi bekalan makanan dan hidup dalam ketakutan, sedangkan para pemimpin OIC datang ke Malaysia menaiki penerbangan kelas khas, layanan kelas pertama, tinggal di hotel mewah, berpakaian segak, duduk di kerusi empuk serta menikmati hidangan yang lazat-lazat, kemudian mengeluarkan deklarasi kosong seperti di atas?? Begitulah nasib yang menimpa umat Islam dan begitulah apa yang selalu dilakukan oleh OIC. Setiap kali melihat masalah yang menimpa kaum Muslimin, maka setiap kali itulah mereka akan duduk semeja dan bersidang. Tidak hairanlah jika sindiran “Oh! I See” akan terus bermain di mulut-mulut mereka yang menzahirkan kekecewaan masing-masing terhadap badan antarabangsa itu.
OIC – Bersekutu Atau Berseteru?
Sejak penubuhannya pada tahun 1969 di Rabat, Maghribi, OIC dilihat masih lagi tidak dapat memberi impak besar kepada senario politik antarabangsa. OIC terus menjadi kesatuan pinggiran yang dapat ditundukkan dengan mudah oleh badan-badan dunia yang lain, terutamanya PBB. Antara perkara-perkara yang ingin dicapai oleh OIC adalah melaksanakan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi, sosial, budaya dan sains. Ia juga bertujuan untuk memperjuangkan kehormatan umat Islam, kebebasan umat Islam dan hak-hak negara umat Islam. Pada masa yang sama badan dunia ini juga telah bersetuju untuk menjaga tempat-tempat suci umat Islam dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dan membantu mereka dalam mengembalikan semula hak dan membebaskan tanah Palestin dari jajahan Israel.
Sekali pandang, cita-cita OIC nampaknya memang sinonim dengan harapan umat yang sedang mencari ‘pembela’ mereka, rentetan dari pelbagai peristiwa hitam yang telah menimpa umat Islam. Saudara-saudara kita di Palestin tak henti-henti dibunuh oleh Israel. Sabra dan Shatilla menjadi saksi kepada sifat kebinatangan Israel ke atas mereka. Kaum Muslimin di Bosnia Herzegovina disembelih seperti binatang, dirogol dan dibunuh tanpa peri kemanusiaan. Umat Islam di Kashmir diperangkap oleh Barat dengan konflik berdarah yang sehingga kini tidak berkesudahan. Ini belum lagi mengambil kira penderitaan umat Islam di tempat-tempat lain yang masih tidak mendapat pembelaan seperti penderitaan umat Islam di selatan Thai, masalah kebuluran yang melanda Ethopia (yang dahulunya dikenali sebagai Habsyah), kemiskinan dan kesengsaraan saudara-saudara kita di seluruh dunia dan pelbagai masalah lain lagi. Semua ini memerlukan ‘pembelaan’ dari para pemimpin yang diamanahkan oleh Allah untuk menjaga umat ini.
Apakah yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin OIC dalam menangani isu-isu di atas? Apakah mereka telah melaksanakan amanah Allah ke atas mereka? OIC yang kononnya ditubuhkan untuk membantu umat Islam hanya dilihat membuat pertemuan demi pertemuan, persidangan demi persidangan dan deklarasi demi deklarasi yang penuh kebaculan tanpa sebarang makna. Lihat sahaja Deklarasi Putrajaya yang hanya menagih ihsan dan simpati dari organisasi kafir pembunuh umat Islam (PBB) agar organisasi tersebut dapat menyelamatkan umat Islam!! Bagaikan di saat sekumpulan pembunuh datang dan sedang membunuh adik-beradik kita, bapa kita sibuk menjemput dan berbincang dengan kawan-kawannya merayu agar salah seorang pembunuh ‘mengutuk’ pembunuhan tersebut. Bagaikan di saat perompak menceroboh rumah kita dan merogol ibu dan kakak kita, bapa kita menjemput kawan-kawannya untuk bermesyuarat bagi mengutuk perlakuan penjenayah tersebut. Na’uzubillah!!!! Wahai kaum Muslimin! Sedarlah oleh kalian bahawa inilah apa yang telah, sedang dan sentiasa dilakukan oleh OIC.
Secara hakikinya, kebaculan dan tidak relevenannya OIC dapat dilihat sejak dahulu. Pada sidang kemuncak 2003 di Malaysia, OIC seolah-olah harimau yang hilang taring apabila draf resolusi yang meminta rejim Amerika mengundurkan tenteranya dari Iraq ‘dengan mengikut jadual yang ketat’, ditarik balik dan diganti dengan kenyataan lain yang begitu lemah di mana OIC sekadar meminta Amerika berundur dari Iraq ‘seberapa segera’. OIC sekali lagi diperkotak-katikkan pada akhir 2000 apabila India dengan bongkaknya menolak resolusi OIC berkenaan Kashmir yang dibuat di Doha. Permintaan seperti pengunduran Israel dari kawasan-kawasan Palestin yang dicerobohnya sejak 1967 terus berlalu tanpa sebarang tindakan jelas bagaimana ianya dapat dilaksanakan. Deklarasi atau gesaan OIC kepada PBB atau Majlis Keselamatan PBB hanyalah seperti ‘anjing menyalak bukit’, tiada guna dan tidak berfaedah sedikit pun, apatah lagi jika ditinjau dari sudut hukum syara’, ia jelas-jelas haram.
Kesatuan yang cuba dibentuk di dalam OIC juga hanyalah sebuah kesatuan yang di asaskan atas manfaat yang rapuh. Krisis kepimpinan di dalam OIC pernah disuarakan. Ini dikuatkan lagi apabila sejak akhir-akhir ini suara desakan agar berlaku perubahan dramatik di dalam OIC mula kuat kedengaran sejak Kemuncak Doha pada tahun 2005 [IslamOnline.net]. Melihat ke akar umbi, masing-masing negara anggota sebenarnya mempunyai agenda tersendiri yang kadangkala bercanggah dengan aspirasi OIC itu sendiri. Kononnya ingin bersatu, hakikatnya sering berseteru – Iraq dan Iran terjebak dalam kancah perang saudara selama lebih kurang 8 tahun, menyaksikan sejarah pembunuhan sesama Muslim yang begitu menyayat hati. Kuwait ‘diceroboh’ oleh Iraq pada 1991, sudahnya menyebabkan campur tangan rejim Amerika secara langsung di dalam krisis ini. Apa reaksi OIC? Kebanyakan dari negara-negara anggota (terutama negara-negara Arab) dengan rela hati menyerahkan pengkalan di negara mereka kepada rejim Amerika dan sekutunya untuk menyerang Iraq. Lain-lain negara anggota OIC terus meng’amin’kan tindakan rejim Amerika yang mengebom dan membedil serta membunuh saudara seagama di Iraq. Pada satu masa OIC mengutuk Israel dan menggesa ahlinya memutuskan hubungan dengan Israel, pada masa yang sama terdapat beberapa negara anggota yang menjalin hubungan baik dengan Israel. Contohnya Turki yang mengadakan pakatan strategik dengan Israel dan Mesir serta Jordan yang mempunyai perjanjian damai dengan negara yang terlaknat itu.
OIC – Harapan Yang Punah
Realitinya, OIC sememangnya lemah dalam apa jua tindakan yang diambilnya. Sebagai sebuah badan yang sentiasa takut dan tunduk kepada PBB, OIC tidak akan ke mana. Dan setelah kita menyedari harapan sia-sia umat kepada PBB (SN minggu lepas), maka kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa harapan umat terhadap OIC akan melalui jalan yang sama. Dalam isu Lebanon ini, semua tindakan yang dibuat oleh OIC hanya sekadar ‘reaksi’ kepada masalah, bukannya penyelesai. Para pemimpin OIC hanyalah sekadar watak yang samada sedar atau tidak, sedang melakonkan ‘kisah benar’ dalam sebuah pementasan yang diarahkan oleh sutradara terkenal, Amerika dan dibantu oleh Israel.
Secara ringkasnya, tragedi yang sedang berlaku di Lebanon sekarang adalah salah satu daripada percaturan politik dunia yang sedang dimainkan oleh rejim Amerika melalui proksinya Iran dan Syria bagi kesinambungan usahanya untuk Timur Tengah Baru (The New Middle East). Dalam percaturan ini, Hizbullah dijadikan kambing korban yang digembalakan menerusi Syria dan Iran bagi mengukuhkan cita-cita Israel yang mempunyai pelan tersendiri untuk menubuhkan Israel Raya yang berkuasa dari Sungai Nil hingga ke Sungai Euphrates. Di samping itu, krisis ini juga akan digunakan Amerika untuk menyekat kembalinya pengaruh Eropah (terutamanya British dan Perancis) dari kembali ke persada geo-politik Timur Tengah. Rejim Amerika, yang sedang menggadaikan nyawa Hizbullah, akan memastikan pelan Timur Tengah Barunya berjalan lancar agar aib yang telah diterimanya di Afghanistan dan Iraq dapat dialih dari tumpuan dunia dan seterusnya mengukuhkan kepentingannya di wilayah tersebut. Buat sementara waktu sekarang ini, dunia akan ‘melupakan’ kekejaman dan keganasan Amerika ke atas Iraq dan Afghanistan.
Inilah pementasan yang sedang dijalankan oleh rejim Amerika dengan meletakkan barisan pelakon seperti PBB, OIC, Eropah, Iran, Syria dan Israel yang masing-masing memainkan peranan yang dicipta samada secara sedar mahupun tidak. Setelah ribuan umat Islam dibunuh dan Hizbullah dapat dilumpuhkan, babak seterusnya adalah mengadakan gencatan senjata, tetapi ia tidak akan dibuat serta-merta. Sang pengarah akan memastikan bahawa perkara ini berlaku hanya setelah ia berpuas hati dengan segala adegan atau babak yang diatur. Dunia yang menjadi penonton selepas itu akan turut berpuas hati dan menutup mulut dengan ‘keamanan’ yang dicipta hasil dari gencatan senjata ini. Wahai kaum Muslimin!! Adakah kalian hanya ingin menjadi ‘penonton setia’ terhadap drama kejam ini? Adakah kalian akan berpuas hati jika gencatan senjata dilakukan, setelah Israel dan Amerika puas melakukan pembunuhan terhadap saudara-saudara kalian? Apakah ini yang kalian harapkan dari OIC atau PBB? Gencatan senjata bukannya jawaban kepada kebiadaban rejim Israel dan Amerika ke atas Lebanon!.
Antara Kewajipan & Harapan
OIC adalah salah satu platform yang sengaja dibiarkan wujud oleh Amerika la’natullah agar momentum umat Islam terus menerus berpusing dalam lingkaran yang tiada jalan keluar. Segala deklarasi OIC yang bertentangan dengan aspirasi mereka akan dibakul-sampahkan. Segala resolusi OIC yang bertentangan dengan pelan induk mereka pasti akan di‘veto’kan. Akhirnya, OIC akan terus lesu dan terus lesu tanpa dapat melakukan apa-apa kecuali sekadar melahirkan ‘rasa kecewa’ dan ‘mengutuk’ tindakan-tindakan biadab yang dilakukan oleh rejim Israel dan Amerika ke atas umat Islam.
Umat perlu sedar dan bangkit mengingatkan pemimpin-pemimpin mereka bahawa konflik di Lebanon bukanlah isu Hizbullah semata-mata, bukan juga isu Palestin atau Lebanon semata-mata tetapi ia adalah isu umat Islam. Ia adalah isu bagi mereka yang mengucapkan kalimah yang sama sebagaimana yang diucapkan oleh Hizbullah dan Palestin. Ia adalah isu yang memerlukan pembelaan segera dari para pemimpin yang yang sepatutnya memelihara umat Islam dan menjaga agama Allah. Rasulullah Sallallu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita bahawa setiap titik darah seorang muslim yang tumpah ke bumi adalah lebih berharga di sisi Allah dari seisi Ka’abah dan sekelilingnya. Oleh itu, ingatlah wahai para pemimpin, kamu wajib menjaganya dan kamu akan di soal oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala tentang setiap titik darah yang tidak kamu bela. Allah akan menyoal kamu tentang setiap deklarasi kosong yang kamu ambil di bawah OIC yang dengannya kamu membiarkan darah umat Islam terus membasahi bumi Lebanon. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!” [TMQ an-Nisa’(4):75].
Sesungguhnya umat Islam adalah umat yang satu. Tiada yang membezakan antara kita dan mereka yang sedang menderita di Lebanon dan Gaza. Tanah mereka yang dicerobohi oleh rejim zionis adalah tanah kita umat Islam. Umat Islam sedang mengharapkan seorang pembela yang mampu menyelamatkan mereka. Umat Islam menantikan kemunculan seorang lagi Salahuddin Al-Ayubi yang boleh membebaskan mereka dari cengkaman kufur. Ummah mengharapkan pembela seperti Khalifah Mu’tasim yang benar-benar menjaga kehormatan dan kemuliaan kaum Muslimin. Pahlawan-pahlawan ulung Islam ini menyedari akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka. Mereka bangkit melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut berdasarkan tuntutan syara’, bukannya menagih simpati dari musuh agar musuh mengasihani kaum Muslimin.
Umat Islam memerlukan pelindung yang mampu menggentarkan setiap sendi musuh. Umat Islam memerlukan perisai yang mampu melaksanakan tanggungjawab berdasarkan fikrah dan thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallu ‘alaihi wa Sallam. Umat Islam memerlukan Khilafah. Kekuatan rejim Israel dan Amerika hanya boleh dijawab dengan kekuatan Khilafah Islam, yang pasti datang untuk menghancurkan mereka. Musuh Allah yang selama ini membunuh, mencabul dan menghina umat dan Islam perlu dibawa bersemuka dengan pelindung sebenar umat Islam, Al-Khalifah.
Sesungguhnya, untuk merealisasikan Khilafah bukanlah sesuatu yang susah. Namun yang menjadi penghalang utama adalah pemikiran pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang hanya mementingkan kuasa, ingin mengekalkan kekuasaan dengan menjaga sempadan geografi yang telah direka oleh penjajah. Sekiranya pemikiran kufur ini dapat dihindari dari benak pemimpin kaum Muslimin, maka, jalan menuju kepada kekhilafahan akan terpampang jelas di depan mata. Jika kaum Muslimin dapat bersatu di bawah satu Daulah dan dipimpin oleh seorang yang bergelar Khalifah, maka kaum kuffar tidak akan dapat memudharatkan kita sedikitpun. Saat itu, pertolongan Allah akan bersama kita. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudharat kepada kamu, selain dari gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan.” [TMQ al-Imran(3):111]
Khatimah
Untuk pemimpin-pemimpin umat Islam yang ikhlas, tidakkah kamu lihat kewujudan dunia sekular yang tidak membawa manfaat melainkan kehancuran dunia keseluruhannya? Tidakkah kamu merasai bagaimana umat Islam ditindas dan bagaimana Islam diserang di seluruh dunia? Cukupkah sekadar kamu bersyukur dirahmatkan Allah dengan keadaan yang aman tanpa menyedari bahawa kekecohan di kawasan saudaramu adalah kekecohan yang berlaku di kawasanmu juga?
Tidakkah kamu melihat di mana musuh-musuh Islam memaksa kamu berdiri di barisan mereka dalam semua jenayah yang telah mereka lakukan ke atas umat Islam? Tidakkah kamu lihat sewaktu salah seorang dari mereka memasuki kancah peperangan memerangi umat Islam maka kesemua kamu akan turut terjun ke kancah peperangan itu, sebaliknya kamu berpecah belah dan lari dari peperangan kerana mengikut telunjuk mereka? Tidakkah kamu sedar bahawa apabila mereka dicederakan, mereka memaksa dunia untuk menitiskan air mata bersama mereka? Tetapi apabila anak-anak kamu dibunuh dengan kejam, mereka tersenyum dan ketawa dengan membiarkan kamu teresak-esak sendirian? Tidak mampukah kamu memahami bahawa jika sekiranya kita berdiri sebagai satu umat seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, permasalahan ini mampu diselesaikan dalam sekelip mata?
Wahai pemimpin-pemimpin umat Islam!! Dengarlah rintihan suara umat Islam. Hati dan perasaan mereka adalah dari Islam. Mereka merintih mengharapkan Deen Allah Subhanahu wa Ta’ala diterapkan dan bersedia untuk menyokong kepimpinan yang ikhlas. Pahlawan-pahlawan kita telah tertunggu-tunggu Jannah mereka dan bersedia untuk melancarkan Jihad ke atas mereka yang menjajah dan menodai tanah Islam dan mereka yang memerangi Islam. Mereka menyeru akan kesatuan umat Islam dengan pengembalian Islam secara total dalam kehidupan. Dengarlah seruan rakyatmu, kami memerlukan kamu menyatukan kita semua di bawah satu kekuatan – Khilafah. Kami umat Islam memerlukan kamu menghantar pasukan tentera, semata-mata kerana Allah, untuk memerangi kaum kuffar di atas kekejaman mereka ke atas umat Islam.
Demi Allah! Kamu yang mengaku pemimpin kepada orang-orang Islam, perlulah melaksanakan Islam sepenuhnya. Dan bersemukalah dengan kuffar dengan satu suara dan sokongan dari umat. Cukuplah segala kehancuran, kematian dan kesengsaraan yang telah mereka akibatkan. Kami menyeru kepada kamu untuk menegakkan dan melaksanakan Deen yang telah dibawa oleh Rasulullah Sallallu ‘alaihi wa Sallam. Kami menyeru agar kamu berusaha dengan segala keupayaan yang ada untuk membebaskan kesemua tanah umat Islam; bukan sekadar Lebanon dan Palestin semata-mata tetapi juga Iraq, Afghanistan dan keseluruhan dunia yang diliputi kekejaman kuffar. Pulihkanlah kembali kehormatan, keamanan dan keselamatan umat Muhammad Sallallu ‘alaihi wa Sallam dengan menegakkan kembali Khilafah Rashidah ‘ala minhaj nubuwwah dan InsyaAllah kamu akan menerima ganjaran dari Tuhan sekelian Alam.
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun denganKu, dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur(24):55]