SN089 – RAMADHAN 1427 H : 82 TAHUN TANPA KHILAFAH!

PDF

SN Keluaran 2006

Logo SN

SATU RAMADHAN… SATU TUHAN… SATU NABI… SATU KITAB… SATU KIBLAT… SATU UMAT… SATU DAULAH… SATU KHALIFAH… SATU MISI
ALLAHU AKBAR!!!


[SN089] Kini sekali lagi kita berada di bulan Ramadhan al Mubarak 1427 H. Bulan yang dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman, yang sayangkan Allah dan RasulNya, yang takut kepada azab Allah dan merindui syurgaNya, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan. Allah Maha Penyayang akan melipat gandakan segala amal kebaikan yang dibuat di dalam bulan ini sebagai tanda kasihNya kepada mereka yang ikhlas beribadah kepadaNya. Di bulan inilah Allah membuka semua pintu syurga dan menutup semua pintu neraka serta membelenggu semua syaitan, kecuali ‘syaitan manusia’. Syaitan inilah yang akan merosakkan kesucian bulan Ramadhan dengan segala kemaksiatan yang dilakukannya. Syaitan inilah yang tidak pernah berhenti melakukan kerosakan di muka bumi terutamanya segala bentuk kejahatan, kekejaman dan kezaliman ke atas mereka yang benar-benar ikhlas beriman dan berjuang untuk meninggikan kalimah Allah dengan menegakkan DeenNya di dunia ini.

Seperti biasa umat Islam diseluruh dunia menyambut Ramadhan pada kali ini sama seperti Ramadhan tahun-tahun yang lepas, penuh dengan kisah sedih dan memilukan. Umat Islam masih berpecah, negara mereka masih dibatasi sempadan palsu ciptaan penjajah. Kalau pada Ramadhan yang lepas kita menyaksikan umat Islam di Afghanistan, Iraq dan Palestin menjalani ibadah puasa di dalam keadaan berlinangan darah dan air mata kesan dari kebiadaban kaum kuffar yang menjajah dan mengganas di bumi mereka, pada tahun ini umat Islam di Lebanon pula menerima nasib yang sama. Di bahagian lain dunia Islam, sebahagian umat Islam berbangga dengan keamanan yang dikecapi oleh negara mereka dengan hanya berpangku tubuh menyaksi dan membiarkan penderitaan yang dialami saudara segama mereka. Hilang sudah keimanan, lenyap sudah persaudaraan, terhapus sudah segala kasih sayang sesama saudara Islam. Inilah secebis coretan kesedihan yang secara berterusan menimpa umat Islam sehingga saat ini, termasuklah ketika mereka berada di dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini. Dan untuk Ramadhan tahun-tahun hadapan, apakah kita akan terus menyaksikan nasib yang sama menimpa umat Islam?

Ramadhan Di Masa Rasulullah Dan Khilafah

Kita sedia maklum bahawa Rasulullah menganjur agar kita memperbanyakkan pelbagai aktiviti ibadah di bulan yang penuh berkat ini. Setiap tahun kita mendengar nasihat dan seruan tentang keutamaan beribadah di dalam bulan Ramadhan. Tetapi kita jarang dijelaskan dengan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadhan yang menunjukkan bukti kualiti puasa Rasulullah dan para sahabat yang wajib dicontohi. Rasulullah dan para sahabat menjalani ibadah puasa tidak sekadar menahan diri dari hal-hal yang membatalkannya sahaja, malah baginda dan para sahabat sering menjalani puasa serentak dengan aktiviti tertinggi dalam ibadah, yakni jihad fi sabilillah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengkhabarkan bahawa orang yang berpuasa dalam keadaan jihad fi sabilillah pasti dijauhkan dari api neraka sejauh-jauhnya. Baginda bersabda,

Tidaklah seorang hamba berpuasa satu hari dalam jihad fi sabilillah melainkan pada hari itu Allah menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi].

Sejarah telah mencatat bahawa pelbagai peperangan terjadi pada bulan Ramadhan. Perang Badar al-Kubra terjadi pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke-2H. Rasulullah dan para sahabat memahami bahawa tidak ada bezanya kewajipan berpuasa dengan kewajipan jihad. Malah puasa yang sedang mereka lakukan benar-benar menjadi penguat ruhiyah yang jauh melebihi kekuatan fizikal. Dengan pertolongan Allah kaum Muslimin berhasil mengalahkan pasukan kafir Quraish meskipun secara fizikal dan material memihak kepada Quraish. Pada bulan Ramadhan tahun 5H pula, Rasulullah dan para sahabat melakukan persiapan untuk Perang Khandak. Persiapan dilakukan dengan menggali parit (khandak) di sekeliling kota Madinah. Taktik yang diusulkan oleh Salman Al-Farisi ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab sebelum ini. Peperangan Khandak akhirnya terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah dengan kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin setelah Allah menurunkan bantuanNya.

Satu lagi peristiwa penting berlaku pada 21 Ramadhan 8H yakni Fathul (pembukaan) Mekah. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Mereka berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukaddid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum Muslimin tanpa pertumpahan darah. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Peristiwa penting ini telah menyaksikan berapa ramai dari para sahabat khasnya golongan Muhajirin menitiskan air mata gembira kerana kejayaan mereka ’menawan’ kembali kota yang dulunya menjadi tempat mereka dihina dan disiksa di dalam perjuangan menegakkan agama Allah.

Pada bulan Ramadhan tahun 91H, pasukan tentera Islam mendarat di selatan Pantai Andalusia (Sepanyol) dan terus berjihad. Kemudian pada Ramadhan tahun berikutnya Panglima Thariq bin Ziyad berjaya mengalahkan Raja Roderick. Ramadhan 584H pula menyaksikan Panglima Islam yang terkenal, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Oleh kerana bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba, tetapi Salahuddin menjawab “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas benteng Shafad yang kuat. Seterusnya dalam bulan Ramadhan 658H, tentera Mongol berjaya dikalahkan di ‘Ain Jalut dan Palestin kembali ke tangan kaum Muslimin.

Banyak lagi peperangan lain yang berlaku di masa Rasulullah dan juga para khulafa’ semasa bulan Ramadhan yang tidak dapat diungkapkan di sini. Catatan sejarah membuktikan kepada kita bahawa bulan Ramadhan bukan sahaja dipenuhi dengan ibadah khusus tetapi juga penuh dengan perjuangan untuk menyebarkan agama Allah dan meninggikan syiar Islam. Beberapa peristiwa yang tercatit juga menunjukkan betapa Rasulullah dan para khalifah sentiasa berusaha menyebarkan rahmat Allah di muka bumi dengan jalan dakwah dan jihad meskipun mereka dalam keadaan lapar dan dahaga. Mereka tidak rela melihat dan membiarkan umat Islam terus berada di bawah kekuasaan musuh mereka. Mereka sentiasa memerangi kaum kuffar demi menjaga nasib umat Islam dari ditindas dan diancam oleh musuh Allah.

Justeru, apakah umat Islam saat ini terfikir akan nasib yang dilalui oleh mereka dan apakah yang perlu mereka lakukan bagi mengangkat dan merungkai penderitaan yang tidak kunjung sudahnya sejak jatuhnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924 hinggalah kini. Tahun ini, umat Islam sekali lagi menjalani ibadah puasa Ramadhan di dalam keadaan vakum, tanpa adanya sebuah institusi politik yang pernah menaungi dan melindungi mereka suatu ketika dulu. Sudah 82 tahun Daulah Khilafah dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dengan kerjasama oleh sang pengkhianat dari pemimpin-pemimpin umat Islam sendiri. Sekarang ini, muncul pula para pengkhianat lain yang mewarisi dan mempertahankan negara masing-masing yang telah dihadiahkan oleh penjajah kuffar. Mereka bersungguh-sungguh mempertahankan negara masing-masing walhal apa yang sepatutnya mereka pertahankan ialah Islam dan umatnya. Mereka takutkan musuh Allah, Amerika dan sekutunya, walhal apa yang sepatutnya mereka takutkan ialah Allah dan azabNya. Mereka mencari perlindungan, kemuliaan dan kekuatan dari orang-orang kafir yang jelas-jelas merupakan musuh Allah dan musuh mereka sendiri, walhal sepatutnya mereka mencari kemuliaan dan kekuatan dari Allah. Mereka menjadi lemah dan pengecut dan tunduk kepada kaum kuffar, walhal Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman

“Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui” [TMQ Al-Munafiqun (63):8].

Perpecahan Umat Islam Menyambut Ramadhan

Lapar dan dahaga adalah satu pakej bagi mereka yang menjalani ibadah puasa di sepanjang Ramadhan. Bagi mereka yang benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah, maka lapar dan dahaganya hanyalah untuk Allah semata-mata dan mereka beroleh pahala kerananya. Bagi yang berpuasa, tetapi dalam masa yang sama memaksiati Allah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,

Betapa ramai orang yang puasa, ia tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya itu selain lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang solat (tarawih) tidak mendapatkan apa-apa dari solatnya itu kecuali mengantuk”
[HR Ad-Darimi dan Ibnu Majah].

Rasa lapar dan dahaga semasa menjalani ibadah puasa ini sepatutnya menyedar dan menginsafkan kita akan kelemahan kita di hadapan Allah Azza wa Jalla. Kuat, kaya atau berkuasa mana kita sekalipun, tanpa minuman dan makanan (rezeki) dari Allah, maka kita akan binasa. Jika saja Allah menghapuskan sumber air di muka bumi, maka hancurlah manusia! Maka tidak sepatutnya manusia itu tidak mensyukuri nikmat Allah dan menderhaka kepadaNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Wahai manusia! kamulah yang memerlukan Allah dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji”. [TMQ Fatir (35):15].

Rezeki yang Allah curahkan kepada manusia kadang-kadang menyebabkan manusia lupa daratan. Mereka yang memegang kekuasaan dianugerahkan Allah dengan segala kesenangan, tetapi ternyata kesenangan ini telah melupakan mereka. Di saat mereka hanya mengalami lapar dan dahaga di bulan Ramadhan, terdapat ramai rakyat yang mengalami kelaparan dan kebuluran di setiap bulan. Di saat mereka berbuka dengan hidangan yang paling lazat mengikut apa yang mereka kehendaki, terdapat rakyat yang masih ramai berbuka hanya dengan segelas air dan secebis roti. Di tengah-tengah kekayaan hasil bumi yang dianugerahkan Allah kepada negeri mereka, mereka mengautnya sesuka hati dengan membiar dan menyaksikan rakyat mereka menderita dibumi sendiri. Mereka solat dan berpuasa walhal mereka menderhaka kepada Sang Pencipta. Mereka tidak menerapkan hukum mengikut apa yang telah diturunkan oleh Allah, sebaliknya mengambil hukum rimba yang penuh dengan penindasan dan kekejaman.

Perlu kita sedari bahawa sesungguhnya puasa pada bulan Ramadhan merupakan salah satu syiar yang boleh menyatukan kaum Muslimin tanpa mengira warna kulit, bangsa, bahasa dan perbezaan lainnya. Ia juga akan mengingatkan kita bahawa agama kita adalah satu yakni Islam, Tuhan kita adalah satu yakni Allah Subhanahu wa Ta’ala, Nabi kita adalah satu yakni Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, kitab kita adalah satu yakni Al-Qur’anul Karim, kiblat kita adalah satu yakni Ka’bah, negara kita adalah satu yakni Daulah Khilafah, pemimpin tertinggi kita adalah satu, yakni Khalifah dan kita adalah umat yang satu, yakni umat Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

Sesungguhnya (agama tauhid) inilah agama kamu agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu maka sembahlah Aku” [TMQ: Al-Anbiya’(21):92].

Oleh kerana itu, adalah suatu keharaman bagi kita kaum Muslimin terpecah belah kepada lebih 50 buah negara, tercerai-berai oleh semangat nasionalisme, patriotisme, dan fanatisme golongan dan mazhab.

Menelusuri Sebab Munculnya Perbezaan Awal Ramadhan.

Apabila ditelusuri dengan saksama, munculnya keragaman penentuan awal Ramadhan itu dapat dikembalikan kepada tiga faktor yang menjadi penyebabnya iaitu:

(i) Hilangnya institusi antarabangsa penyatu umat (Khilafah) yang memegang kekuasaan dalam menentukan dan mengambil keputusan untuk mengatasi perselisihan di antara kaum Muslimin di seluruh dunia.
(ii) Ramainya penguasa kaum Muslimin yang memerintah atas dasar patriotisme dan nasionalisme yang menetapkan tarikh hanya untuk negara mereka.
(iii) Perbedaan metodologi dalam penentuan awal Ramadhan.

Urusan-urusan kaum Muslimin di masa pemerintahan Islam berjalan dengan baik di bawah perlindungan Amirul Mukminin atau Khalifah, samada menyangkut aktiviti yang berhubungan dengan politik, sosial, muamalah dan sebagainya, apatah lagi urusan ibadah. Negara melalui kekuasaan Khalifah menyelenggarakannya secara baik sesuai dengan ketentuan hukum-hukum syariat Islam. Ketidakseragaman di sekitar penetapan awal Ramadhan tidak pernah terjadi.

Setelah runtuhnya Daulah Khilafah, musuh kita telah memecahkan negeri-negeri kita hingga menjadi entiti-entiti kecil yang lemah dan bermusuhan antara satu sama lain. Mereka seterusnya menyerahkan urusan pemerintahan kepada para penguasa yang telah dilatih dan dipercayai oleh mereka untuk menerapkan hukum mereka yang kufur. Mereka kemudian melakarkan kawasan untuk kita dan menanamkan racun nasionalisme dan patriotisme agar kita berpegang teguh kepadanya. Maka setelah itu, kita mendapati orang-orang Syria atau Iran menjadi asing dan tak sah tinggal di bumi Mesir, orang Iraq atau Pakistan menjadi asing di bumi Turki, orang-orang Jordan dan Iran tidak sah tinggal di Lebanon walaupun kita mengucap kalimah tauhid yang sama. Bumi Allah ini telah menjadi sempit bagi kita semata-mata kerana dibatasi oleh sempadan-sempadan geografi yang dibuat oleh musuh Allah ke atas kita, dan dipertahankan oleh penguasa-penguasa boneka yang telah ’disahkan’ jawatannya oleh kaum kuffar la’natullah. Walhal Maha Suci Allah yang telah mewariskan bumiNya kepada orang-orang yang beriman agar menjadi Khalifah di dalamnya dan menerapkan hukum-hukumNya.

Apa yang lebih mendukacitakan, setelah wujud negara-negara bangsa ciptaan penjajah ini, umat Islam telah bergaduh dan berperang sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan batas-batas palsu di antara mereka. Situasi buruk ini juga berlaku pada hukum-hukum ibadah seperti haji, umrah dan juga melihat anak bulan (ru’yatul hilal) samada Ramadhan mahupun Syawal. Justeru kita melihat umat Islam di Sudan telah mula berpuasa walhal di Aljazair belum, umat Islam di Indonesia mula berhari raya walhal di Malaysia belum dan begitulah seterusnya. Padahal yang memisahkan mereka hanyalah sempadan-sempadan khayalan yang dicipta oleh golongan kafir penjajah. Fenomena ini bertambah parah dengan munculnya para penguasa di negeri-negeri kaum Muslimin yang berdiri atas dasar nasionalisme yang menerapkan sistem kufur serta tidak mengendahkan pelaksanaan hukum-hukum syara’. Lebih keji, pemikiran mereka dipenuhi dengan hasad dengki dan kebusukan. Mereka bersungguh-sungguh menghalang dari dilaksanakan hukum Allah di muka bumi kerana kecintaan mereka kepada dunia di dalam rangka mempertahankan kedudukan, ego, harta, pangkat, darjat dan kekuasaan yang mereka miliki. Mereka lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan boleh menghapuskan mereka dengan sekelip mata.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Munculnya perbezaan dalam penetapan awal Ramadhan dan Eidul Fitri hanyalah salah satu dari pelbagai masalah perpecahan yang dihadapi oleh umat Islam saat ini. Lenyapnya Daulah Khilafah Islamiyyah yang mengatur dan mempersatukan urusan umat Islam menjadi punca kepada segala permasalahan. Penerapan sistem sekular yang memisahkan agama dari kehidupan menyebabkan kaum Muslimin berpecah sehinggalah ke hukum-hukum ibadah. Marilah bersatu wahai saudaraku! Tinggalkanlah segala batas sempadan palsu yang dibina di antara kalian, marilah menuju kepada penyatuan dan persaudaraan. Sesungguhnya tidak ada sempadan yang boleh memisahkan umat Muhammad kerana Allah telah menyatukan mereka dengan kalimah yang sama.

Wahai kaum Muslimin! Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah meninggalkan kita hanya dengan satu negara, bukan 57. Rasulullah telah meninggalkan kita dengan sebuah penyatuan, bukan perpecahan. Demi Allah wahai saudaraku! Rasulullah tidak ingin dan tidak redha melihat umatnya berpecah belah. Justeru, marilah kita kembali menggembeling segala usaha dan kekuatan untuk meyatupadukan semula umat Islam di bawah satu kesatuan Daulah Khilafah. Inilah penyatuan hakiki umat Islam. Pada bulan Ramadhan tahun ini, selama 82 tahun kita telah menyambut Ramadhan tanpa Khalifah. Tentunya umat Islam yang ikhlas amat merindukan pidato dan khutbah Ramadhan yang satu untuk seluruh kaum Muslimin sedunia. Untuk membangkitkan kerinduan akan tradisi itu serta menyatukan perasaan dan pemikiran kita, maka kami cuba mengangkat kembali khutbah Ramadhan Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam agar kita dapat menghayatinya. Mengingatkan tidak adanya Khalifah yang dapat kita dengar khutbah Ramadhannya pada hari ini, maka kami paparkan pesanan yang telah dikhutbahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih kurang 1,300 tahun yang lepas dengan harapan kedatangan Ramadhan kali ini akan memberikan momentum kepada kita untuk terus bergerak menegakkan Daulah Khilafah. Insya Allah.

Khutbah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam

Imam Ibnu Khuzaimah dalam kitab At Targhib Juz II/217-218 meriwayatkan satu hadis dari sahabat Salman r.a yang mengatakan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari terakhir bulan Sya’ban berkhutbah di hadapan kaum Muslimin sebagaimana berikut:

Wahai manusia! Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh satu bulan yang agung lagi penuh berkah, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasa kepadaNya suatu kewajiban dan qiyam (solat) pada malam harinya suatu tathawwu’ (ibadah sunat yang sangat dianjurkan). Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (sunat) di dalamnya (ia diganjar pahala) sama seperti menunaikan kewajiban di bulan Ramadhan. Sesiapa yang melakukan ibadah yang wajib (ia diganjar pahala) sama dengan orang yang mengerjakan 70 kali kewajiban tersebut di bulan yang lain. Ramadhan adalah syurga (al jannah). Ramadhan itu bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga (al jannah). Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin di dalamnya. Siapa saja yang pada bulan itu memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka perbuatan itu menjadi pengampunan atas dosa-dosanya, kemerdekaan dirinya dari api neraka. Dan ia mendapatkan pahala seperti pahala orang berpuasa yang diberinya makanan berbuka itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu”. Para sahabat berkata: “Ya Rasulullah, tidak semua dari kami memiliki makanan berbuka untuk orang-orang yang berpuasa”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab: “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberikan sebutir korma sekalipun atau sekadar seteguk air atau sehirup susu. Bulan Ramadhan ini adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari orang yang dikuasainya (hamba sahaya atau bawahannya), nescaya Allah mengampuni dosanya dan membebaskannya dari api neraka. Kerana itu perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan ini. Dua perkara yang dengannya kalian menyenangkan Tuhan kalian dan dua perkara lainnya sangat kalian harapkan. Dua perkara yang kalian lakukan untuk menyenangkan Tuhan kalian adalah: mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kalian memohon ampunan kepadaNya. Adapun dua perkara yang sangat kalian harapkan adalah kalian memohon syurgaNya dan berlindung dari api neraka. Siapa saja yang memberi minum kepada orang yang bepuasa nescaya Allah akan memberinya minum dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasa haus lagi sesudahnya hingga ia masuk syurga”