SN115 – MISI AGUNG PENGUTUSAN RASUL – IZHARUDDIN
SN Keluaran 13 April 2007
[SN115] 12 Rabi’ul Awal yang akan disambut esok merupakan tarikh kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di sesetengah tempat atau organisasi, persiapan telah diatur sejak berminggu-minggu sebelumnya untuk mengadakan perarakan bagi memperingati hari tersebut. Kebiasaannya, perarakan akan dianggap berjaya apabila ramai peserta yang hadir, walaupun terpaksa menyembunyikan fakta bahawa sebahagian besar yang hadir adalah secara ‘paksarela’, bukannya sukarela. Hampir semua institusi sosial di Malaysia tidak akan ketinggalan menganjurkan sambutan Maulidur Rasul, daripada peringkat sekolah rendah sehinggalah kepada agensi kerajaan. Terbuktilah bahawa Malaysia tidak pernah kalah di dalam penganjuran. Kalaulah perarakan tersebut dicatatkan sebagai yang terbesar di dunia, lagi bangga rasanya. Inilah mentaliti yang ada, tarikh kelahiran Rasul disambut besar-besaran walhal pada masa yang sama Sunnah Rasul dicampak secara besar-besaran. Kelahiran Rasul diperingati tetapi perjuangan Rasul tidak pernah diikuti, malah golongan yang cuba menyambung perjuangan Rasul pula yang dibenci, dimusuhi dan diperangi.
Sejak pengutusannya, Rasulullah telah membawa kemenangan kepada agama Allah, dan kesinambungan kemenangan itu diteruskan oleh para Khalifah sesudah baginda. Umat Islam terus mencapai kemenangan demi kemenangan selama mana mereka tetap berpegang teguh dengan Kitab dan Sunnah yang dibawa oleh baginda Rasul. Apabila mereka mula meninggalkan ajaran Muhammad dan mengambil ajaran dari kuffar Barat, maka kita menyaksikan umat Muhammad yang dahulunya mulia, kini telah dihina. Sejak runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam terus-menerus berada di pihak yang kalah dan diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh golongan kuffar, terutamanya Barat. Tiada lagi kuasa yang mampu menghalang tindakan agresif pihak kuffar menghina Islam dan umatnya. Umat Islam hanya mampu menangis dan merintih, walaupun bilangan mereka ramai. Pemimpin mereka telah mencampakkan Sunnah Rasul dan telah mengambil ‘sunnah’ dari Barat untuk mengatur kehidupan. Pemimpin mereka tidak lagi memerangi kekufuran sebagaimana Muhammad memerangi kekufuran, sebaliknya pemimpin mereka berbaik dengan golongan kufur yang memerangi umat Islam. Pemimpin mereka berarak menyambut ketibaan Maulidur Rasul dan pada masa yang sama pemimpin mereka juga turut berarak dengan penuh ketundukan dan kehormatan ‘menyambut ketibaan’ mana-mana pemimpin kuffar.
Misi Pengutusan Rasul
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengkhabarkan kepada manusia bahawa Dia mengutuskan RasulNya bertujuan untuk menzahirkan agamaNya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dialah yang telah mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dizahirkan atas seluruh agama yang lain sekalipun orang-orang musyrik membencinya” [TMQ At-Taubah (9):33].
Misi dakwah Rasulullah di dalam menzahirkan deenul Islam di muka bumi ini dapat kita kategorikan kepada 3 fasa:
(i) Misi Politik di Mekah – Menzahirkan Islam Dengan Jalan Dakwah
Sejak Muhammad diutus menjadi Rasul, baginda terus mengajak manusia untuk beriman kepada Allah dan seterusnya berpegang teguh dengan tali Allah. Para sahabat kemudian dibina (tasqif) dengan syakhsiyyah Islam. Keseluruhan cara berfikir (aqliyah) dan cara bertindak (nafsiyah) mereka adalah mengikut Islam. Hasil dari keimanan yang mantap, Rasulullah dan para sahabat terus berdakwah mengajak manusia kepada Islam. Mereka diherdik, dicela, dihina, dipulau dan disiksa, malah sebahagian mereka dibunuh oleh kafir Quraish semata-mata kerana mereka menyeru kepada Islam. Namun, tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat yang berpaling kepada kekufuran atau berhenti dari aktiviti dakwah ini. Malah, segala bentuk penganiayaan yang berlaku itu semakin menambahkan ketakwaan dan ketabahan mereka dalam berdakwah. Kematian tidak pernah menakutkan atau menghentikan mereka dari mengajak manusia beriman kepada Allah. Ternyata, Rasulullah dan para sahabat telah menjadikan urusan dakwah ini sebagai urusan hidup dan mati mereka. Mereka sanggup mati semata-mata kerana menyeru manusia kepada Islam. Dengan kata lain, mereka benar-benar memahami bahawa mereka hidup hanya untuk Allah dan mati hanya untukNya. Inilah misi hidup mereka di dunia.
Sesungguhnya misi politik Rasulullah semasa berada di Mekah adalah mengizharkan Islam melalui jalan dakwah secara pemikiran, tanpa menggunakan apa-apa kekerasan. Terbukti berdasarkan nas bahawa Rasulullah tidak pernah menggunakan tindakan kekerasan, walaupun baginda dan para sahabat dianiaya sehingga ke tahap mengancam nyawa mereka sekalipun. Suatu ketika pernah orang-orang Quraish datang bertemu Abu Thalib dan meminta Abu Thalib menghalang Rasulullah dari meneruskan dakwahnya. Mereka berkata,
“Wahai Abu Thalib, anak saudaramu benar-benar telah mencaci-maki tuhan kita, mengejek agama kita, menghina impian-impian kita, menganggap sesat nenek-moyang kita. Maka, apakah akan kamu hentikan (tindakannya) atau kamu pisahkan antara dia dengan kita”. Kata-kata ini langsung tidak diendahkan oleh Rasulullah. Di lain waktu mereka datang lagi, lalu berkata: “Kami telah meminta agar kamu melarang anak saudaramu, namun kamu tidak mencegahnya terhadap kami. Dan kami, demi Allah, sudah tidak sabar lagi terhadap semua cercaan terhadap nenek moyang kita, caci makian terhadap impian-impian kita, serta penghinaan terhadap tuhan-tuhan kita ini.” Sesudah itu, Abu Thalib bertemu Rasulullah dan berkata:
“Tadi orang-orang Quraisy datang bertemuku dan meminta aku melarang engkau berkata begini dan begini. Janganlah engkau membebaniku dengan apa yang tidak aku sanggupi.
Lalu jawab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,
‘Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan.” [HR At-Thabari].
Kata-kata Rasul ini membuktikan bahawa persoalan politik yang utama (the vital political issue / Qadhiyyah Siyasiyyah) bagi Rasulullah pada waktu itu adalah untuk menzahirkan Islam di dalam bentuk dakwah secara intelektual/pemikiran. Pernah pada kesempatan yang lain, pihak kafir Quraish mendatangi Rasulullah dan menawarkan kepada Rasulullah pangkat, harta dan wanita, dengan syarat meninggalkan dakwah di jalan Allah. Tawaran ini ternyata langsung tidak berpengaruh terhadap Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Padahal jika difikirkan secara logik, adalah lebih baik bagi Rasulullah menerima sahaja jawatan kekuasaan tersebut dan setelah berkuasa, baginda bolehlah mengingkari kehendak Quraish lalu berdakwah dengan lebih mudah (dengan kuasa yang ada). Tetapi ternyata baginda tidak melakukannya. Dakwah kepada deenullah hendaklah mengikut jalan yang diredhai Allah, bukannya jalan berdasarkan hawa, asalkan dapat berkuasa.
Reaksi yang Rasulullah berikan (di dalam hadis di atas) membuktikan bahawa perjuangan dakwah untuk mendirikan agama Allah ini tidak ada kompromi langsung dengan kekuasaan kuffar. Dakwah mesti dijalankan walau apa rintangannya sekalipun. Standard/ukuran yang Rasulullah letakkan kepada umatnya di dalam misi dakwah ini adalah hidup atau mati. Seseorang itu wajib berdakwah menegakkan agama Allah ini sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepada kita atau Allah memanggil kita ke sisiNya. Tidak ada maksud lain yang diterangkan oleh Hadis di atas kecuali ukuran kewajiban yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam berdakwah menegakkan Islam ini adalah hingga ke tahap mencapai kemenangan atau kematian dengan penuh kemuliaan. Tidak ada pilihan lagi selain kedua ini. Inilah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasul dan wajib ke atas seluruh kaum Muslimin mengikuti sunah ini. Tidak ada guna mengadakan perarakan sambutan maulidur rasul, yang jelas-jelas bukanlah sunnah Rasul, walhal meninggalkan misi dakwah hidup dan mati, yang mana inilah sunnah yang sebenarnya.
(ii) Misi Politik di Madinah – Dakwah Dan Jihad
Misi hidup dan mati di dalam berdakwah ini bukan sahaja berjalan di Mekah (semasa Daulah Islam belum berdiri), malah misi ini terus berlangsung di Madinah, setelah tertegaknya Daulah Islam yang pertama. Bezanya adalah di Mekah, dakwah berlaku tanpa proses jihad manakala di Madinah, (setelah adanya Daulah), dakwah berkembang melalui proses pemikiran dan juga jihad. Semasa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam membina Negara Islam di Madinah, umat Islam terlibat dalam beberapa perang dengan musuh utama iaitu Kafir Quraish. Perlu diingat bahawa pada masa yang sama misi politik pengutusan Rasul masih kekal, iaitu mengizharkan Islam. Hidup dan mati juga tetap kekal menjadi kayu ukur di dalam melaksanakan misi ini. Kerana itulah semasa dan perjalanan haji sebelum sampai ke Hudaibiyyah, Rasulullah telah mendengar khabar bahawa kafir Quraish telah keluar untuk memeranginya. Seseorang dari Bani Kaab telah berkata “aku mendengar orang-orang musyrik telah melengkapkan diri mereka dengan persenjataan perang lalu mereka pergi ke Zi Thuwa. Mereka bersumpah atas nama Allah bahawa engkau pasti tidak akan dapat memasukinya”. Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Wahai celakalah Quraish, sesungguhnya peperangan telah membinasakan mereka. Apakah masalahnya jika mereka membenarkan aku bergerak di tengah-tengah Bangsa Arab? …Apakah yang berlegar dalam fikiran mereka?” Sambung baginda lagi,
“Demi Allah, sungguh, aku akan senantiasa berjihad terhadap mereka di atas apa yang diutuskan Allah padaku, hingga Allah memenangkanku atau leher ini terpenggal” [HR Ahmad].
Tidak kira sama ada di fasa Mekah mahupun Madinah, misi politik dalam dua fasa di atas adalah satu, iaitu menzahirkan Islam dalam bentuk dakwah intelektual (Mekah) sehingga Allah memberikan kemenangan. Dan dalam situasi kedua adalah menzahirkan Islam dengan jalan dakwah dan jihad (Madinah) sehingga Allah mendatangkan kemenanganNya. [Afkar Siyasah, Abdul Qadim Zallum, ms 142]. Di dalam kedua-dua fasa, Rasulullah telah meletakkan ukuran hidup dan mati di dalam perlaksanaan misi ini.
(iii) Kejayaan Misi Pasca Fathul Mekah
Setelah selesai perjanjian Hudaibiyyah, ternyata ia telah membawa banyak kejayaan besar kepada Islam. Perjanjian ini sendiri telah membawa kepada Fathul Mekah, yang kemudiannya menyaksikan orang Arab memasuki agama Allah secara berduyun-duyun. Ini menjadikan misi politik Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bukan setakat berjaya memartabatkan Islam semata-mata, bahkan memenangkan Islam atas agama-agama lain, seperti Rom dan Parsi. Dengan kata lain, Rasulullah telah berjaya meninggikan agama Allah ini dengan mencapai kemenangan-kemenangan dalam setiap peperangan dengan penganut agama lain. Dengan ini, Rasulullah ternyata telah menyempurnakan misi pengutusan baginda. Untuk itu Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkan firmanNya (Surah 9:33 di atas).
Syeikh Abdul Qadim Zallum berkomentar bahawa adalah menjadi kewajipan kepada Negara Islam, apabila penerapan Islam dalam Negara adalah baik, Negara ini menjadi kuat di arena antarabangsa. Misi politiknya adalah untuk memenangkan Islam atas seluruh agama yang lain. [Afkar Siyasah, Abdul Qadim Zallum, ms 143]. Para ulama juga tidak pernah berselisih tentang makna ayat 9:33 di atas. Ianya jelas dan nyata menerangkan tujuan utama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam diutus, iaitu untuk menjadikan Islam sebagai agama yang menang dan paling agung serta tertinggi berbanding agama, fahaman atau ideologi lain. Pendek kata, Rasulullah diutus untuk menjadikan Islam itu sebagai ‘super power’ dan baginda telah pun merealisasikannya. Sepanjang riwayat hidupnya, Rasulullah telah menjadikan tujuan baginda diutus ini sebagai fokus utama di dalam semua urusan kehidupannya. Baginda telah menjalankan usaha untuk menzahirkan agama Allah ini sejak awal-awal pengutusannya di Mekah lagi, walaupun ketika itu baginda masih belum berkuasa, sehinggalah Allah menganugerahkan kepada baginda kekuasaan di Madinah. Dari sini, agama Allah terus dizahirkan oleh baginda Rasul dengan jalan dakwah dan jihad sehingga Islam benar-benar telah mengalahkan agama yang lain dan menjadi super power di dunia.
Ibnu Katsir menerangkan berhubung ayat di atas dengan suatu riwayat oleh Muhammad bin Abi Adi dan Adi bin Hatim yang bercerita, “Aku masuk menemui Rasulullah pada suatu waktu. Ketika itu aku masih beragama Nasrani dan belum memeluk Islam. Baginda bersabda kepadaku; ‘Sesungguhnya aku mengetahui apa yang mencegahmu memeluk Islam. Engkau berpendapat bahawa penganut-penganut agama Islam adalah terdiri dari orang-orang yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan, bahkan telah disingkirkan oleh bangsa Arab. Tahukah engkau di mana letaknya kota Hirah?’ Aku menjawab (kata Adi), ‘Aku pernah mendengarnya, tetapi aku tidak pernah melihatnya’. Rasulullah melanjutkan sabdanya ‘Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya, sesungguhnya pasti akan disempurnakan urusan ini (agama Islam) oleh Allah hingga kelak akan datanglah seorang perempuan yang masih terpelihara kesucian dan kehormatannya, (bermusafir) dari Hirah ke Mekah, kemudian dia bertawaf di keliling Ka’abah tanpa perlu perlindungan sesiapa (berkeadaan aman). Dan pasti akan terbukalah kelak untuk umatku kerajaan dan kekayaan Kisra bin Hormuz (kerajaan Parsi)” [Tafsir Ibn Katsir, Jilid IV].
Demikianlah janji yang Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam beritakan kepada Adi bin Hatim walaupun ketika itu umat Islam di Mekah masih belum mempunyai sebarang kekuatan. Malah jika dilihat kepada para pengikutnya yang terdiri daripada golongan miskin dan hamba, tidak ada sesiapa pun di Mekah ketika itu yang menaruh harapan bahawa suatu hari nanti Rasulullah dan para pengikutnya akan memperolehi kemenangan.
Benar, setelah itu Allah telah mengurniakan kemenangan yang gilang-gemilang dan keamanan kepada kaum Muslimin. Setelah Kejatuhan Empayar Parsi dan pembukaan sebahagian besar wilayah jajahan Empayar Rom, kebenaran kata-kata Rasulullah itu telah dilihat dan dirasai oleh kaum Muslimin dan bangsa lain yang hidup di bawah naungan Islam. Kejayaan yang dicapai oleh kaum Muslimin (setelah ketiadaan Rasulullah) itu disebabkan mereka bersungguh-sungguh meneruskan kerja-kerja Rasul dalam menzahirkan/memenangkan agama Allah. Mereka menjadi para pewaris Nabi dan berdakwah serta berjihad di jalan Allah bagi memastikan Islam kekal sebagai super power yang memerintah dunia dengan kehendak Allah. Bayangkanlah wahai kaum Muslimin, bagaimana mungkin agama Allah ini akan zahir di atas agama-agama lain dan menjadi super power tanpa adanya sebuah Daulah Islam yang melancarkan dakwah dan jihad untuk mengembangkannya? Bagaimana mungkin penganut agama lain kalah dan tunduk dan membayar jizyah kepada Islam jika tiadanya Daulah Islam yang akan berdakwah dan memerangi mereka serta menerapkan hukum Islam ke atas mereka? Para sahabat dan Khalifah setelah Rasulullah memahami bahawa tanpa dakwah dan jihad, agama Allah ini tidak akan mencapai kemenangan dan perintah Allah terhadap tujuan pengutusan Rasul pun tidak akan dapat direalisasikan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari Akhirat, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan mereka tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (yaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, hinggalah mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [TMQ at-Taubah (9):29].
Inilah di antara Sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang telah dibuang oleh para pemimpin kaum Muslimin. Mereka sibuk menghayati maulidur rasul dan menganjurkan perarakan di mana-mana, tanpa pernah ketinggalan saban tahun. Hal yang sama juga dilakukan oleh sebahagian dari umat Islam. Malangnya tujuan Rasul diutus untuk menzahirkan Islam dengan jalan dakwah dan jihad memerangi golongan kuffar, tidak pernah dihayati oleh para pemimpin ini. Mereka kononnya cuba ‘menzahirkan aktiviti keislaman’ mereka dengan mengadakan atau mengikuti perarakan maulidur rasul, namun hakikatnya mereka tidak pernah ‘menzahirkan Islam’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Mereka menyibukkan diri dengan aktiviti (sambutan) yang tidak pernah diperintahkan oleh Allah mahupun Rasulullah sendiri, tetapi mereka dengan sengaja meninggalkan kewajipan (untuk menzahirkan Islam dengan jalan dakwah dan jihad) yang jelas-jelas diperintahkan oleh Allah dan RasulNya.
Misi Umat Muhammad
Wahai kaum Muslimin! Rasulullah telahpun menyempurnakan misi pengutusan baginda. Tetapi kemenangan yang Rasulullah dan para Khalifah capai selama ini telah pun berakhir. Ya, agama Allah ini tidak lagi menjadi agama yang menang di atas agama-agama yang lain dan Islam tidak lagi menjadi super power sebagaimana dulunya. Jatuhnya Daulah Khilafah pada 3 Mac 1924 menandakan berakhirnya sebuah kekuatan yang dulu pernah menaungi alam semesta. Justeru, adalah menjadi kewajiban bagi kalian semua wahai umat Muhammad untuk menyambung kembali misi Rasulullah yang telah dihancurkan oleh musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kalian. Janganlah kalian menunggu sehingga kebinasaan datang menjemput kalian barulah kalian akan bertindak. Agama Allah wajib dizahirkan dan dimenangkan. Dan ini adalah kewajiban yang agung, kerana atas perintah inilah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam itu diutus.
Dahulu, Rasulullah pernah berjanji bahawa umatnya akan menakluki Konstantinople, dan sejak itu, umat Islam tidak pernah jemu berusaha untuk merealisasikan janji Nabi ini. Sejarah telah mencatatkan bahawa setelah lebih kurang 800 tahun kemudian (dari kata-kata Rasul), barulah Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membuka Konstantinople. Menurut suatu riwayat dari Abu Qabil ia berkata, “Kami berada di rumah Abdullah bin Amr bin Al-’Ash dan ia ditanya, ‘Mana yang akan lebih dahulu dibuka, Konstantinople atau Rom?’ Abdullah meminta sebuah kotak, dari kotak itu ia mengeluarkan sebuah buku, lalu berkata. ‘Kami pernah berkumpul bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sedang menulis, lalu baginda ditanya,
‘Kota mana yang lebih dahulu akan dibuka, Konstantinopel atau Rom?’ Baginda menjawab ‘Kota Heraklius akan dibuka lebih dulu” [HR Ahmad & al-Hakim].
Seperkara lagi yang pasti dari kata-kata Nabi ini adalah, kota Rom juga nanti akan dibuka. Bagaimanapun, sehingga kini kota Rom masih belum lagi dibuka oleh mana-mana kaum Muslimin, walaupun lebih 1400 tahun telah berlalu, ternyata ibu kota bekas Empayar Rom itu masih kekal di dalam kekuasaan kuffar hingga kini. Sekali lagi, kita tidak sepatutnya menunggu dan melihat siapakah orangnya yang bakal membuka kota Rom ini, sebaliknya, kita perlu berusaha untuk merealisasikannya. Sesungguhnya janji-janji Rasulullah itu pasti akan berlaku. Begitu jugalah dengan janji Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa akan muncul kembali Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah (Khilafah atas jalan kenabian). Kita tidak diminta untuk menunggu, sebaliknya kita wajib berusaha untuk menegakkannya. Insya Allah, hanya dengan tertegaknya Daulah Khilafah nanti, agama Allah ini akan kembali zahir dan menang di atas agama-agama yang lain, kerana Khalifah yang memerintah nanti akan memberlakukan semula hukum dakwah dan jihad bagi meraih kembali kemuliaan dan kemenangan ini. Oleh itu, janganlah kalian sekali-kali menunggu akan kembalinya Khilafah dan kemenangan ini, sebaliknya kalian wajib berusaha untuk menegakkannya.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Zaman kenabian telah berakhir dengan pengutusan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Nabi yang terakhir dan penutup segala nabi. Kalian sekali-kali tidak akan dapat menjadi nabi, tetapi kalian boleh memilih di antara dua jalan. Pertama, untuk hidup mulia dengan menyambung tugas nabi-nabi atau kedua, hidup dalam kehinaan kerana meninggalkan sunnah Nabi. Bagi kedua-dua jalan itu ada penyudahnya yang Allah sediakan bagi kalian di Akhirat. Allah tidak akan beroleh keuntungan atau kerugian dengan mana-mana jalan yang kalian ambil, tetapi kalian sendirilah yang akan merasai keuntungan mahupun kerugian tersebut. Oleh itu, renung dan fikirkanlah dan buatlah pilihan sebagai seorang yang beriman. Saudaraku, jadikanlah hidup dan mati kalian hanya untuk Allah, dan berusahalah untuk menyambung semula misi Rasulullah bagi memenangkan agama suci ini, demi untuk keselamatan kalian sendiri di hari muka.