SN143 – AIR MATA DARAH DI MYANMAR
SN Keluaran 12 Oktober 2007
[SN143] Ramadhan 1428 Hijrah akan meninggalkan kita sedikit masa lagi. Perasaan sedih dan sayu dengan pemergian ini sesungguhnya menyelebungi setiap insan yang beriman dan ikhlas beribadat semata-mata kerana Allah. Seperti tahun-tahun yang lepas, kelihatan Ramadhan kali ini sekali lagi akan berlalu meninggalkan umat Islam dengan seribu satu masalah dan persoalan yang masih belum selesai. Jika di dalam negeri, kita dikelilingi dengan pelbagai kejadian jenayah dan penyelewengan kuasa yang semakin merajalela, di luar negeri pula kita menyaksikan umat Islam masih tetap menderita, tertekan, tertindas, hidup dalam kemiskinan, bergaduhan sesama sendiri, ada pula yang disiksa, dibunuh, diperangi, menjadi alat Amerika dan bermacam kehinaan lain lagi. Kita juga turut menyaksikan kekejaman pemerintah-pemerintah di seluruh dunia yang semakin hari semakin hilang sifat kemanusiaan mereka. Dua berita yang hampir sama berlaku di sepanjang Ramadhan ini, di mana, di dalam negeri, kita digemparkan dengan kisah polis menembak rakyat di Batu Buruk, Terengganu dan di luar negeri pula, kita digemparkan dengan kisah tentera yang menembak rakyat yang berlaku di Yangon, Myanmar. Sepanjang sebulan lepas, seluruh perhatian dunia dipusatkan kepada tunjuk perasaan besar-besaran yang diadakan oleh penduduk Yangon bagi mengguling pemerintahan tentera dan menggantikannya dengan pemerintahan demokrasi.
Tunjuk perasaan dikatakan bermula sejak Ogos lagi hasil perasaan tidak puas hati rakyat akibat harga minyak yang dinaikkan secara mendadak sebanyak 500%. Pada 22 September, kira-kira 10,000 penduduk Myanmar menyertai perarakan bersama 10,000 sami Buddha sebagai membantah junta tentera sambil melaungkan “kami berarak untuk rakyat”. Tunjuk perasaan semakin mendapat sambutan sehingga pada hari berikutnya lebih 100,000 penunjuk perasaan dengan diketuai oleh 20,000 sami Buddha berarak di jalanan. Demonstrasi itu tetap berjalan sekalipun junta memberi arahan tegas kepada sami Buddha supaya menghentikan segala aktiviti politik dan kembali ke wat mereka. Beberapa orang tentera dilapor membotakkan kepala mereka, memakai pakaian sami dan menyertai perhimpunan untuk melakukan provokasi bagi ‘membolehkan’ tentera bertindak tegas. Akhirnya keadaan tidak lagi terkawal dan ketegangan pun meletus dan tentera terus melepaskan tembakan, gas pemedih mata, memukul dan menangkap penunjuk perasaan. Pihak pemerintah melaporkan 9 orang, termasuk wartawan Jepun telah terbunuh walhal menurut ramai saksi, lebih 200 orang telah ditembak dan beratus lagi cedera. Junta tentera seterusnya menangkap ribuan aktivis dan sami Buddha di mana sebahagian besar dari sami dihantar ke wat masing-masing dan dikenakan tahanan dan kawalan ketat 24 jam dari tentera.
Demikianlah sedikit ringkasan apa yang berlaku yang telah mengundang kemarahan dan kritikan dari masyarakat antarabangsa. Seperti biasa, Amerika Syarikat dan Britain terus menunjukkan minat dan PBB pula terus campur tangan atas tiket untuk mengembalikan demokrasi di Myanmar. Di Malaysia, Gabungan 14 persatuan ikatan belia dan parti politik ‘bagi keamanan dan kebebasan di Myanmar’ menyerahkan memorandum bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat negara itu kepada wakil duta Myanmar. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, matlamat utama penyerahan memorandum tersebut adalah bagi menyuarakan bantahan terhadap keganasan dan penindasan oleh junta tentera di negara itu. “Ini merupakan cara kami meluahkan kata hati dan kebimbangan ke atas nasib rakyat Myanmar yang sedang berusaha memperjuangkan hak rakyat di tanah air mereka. Sebagai negara jiran, kami (wakil gabungan persatuan) mahukan pihak bertanggungjawab agar menghentikan pembunuhan serta membentuk keamanan tanpa menggunakan kekerasan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum di kedutaan Myanmar [UM 02/10/07].
Pemuda Barisan Alternatif (BA) turut menyerahkan Memorandum Bantahan terhadap Regim Junta di perkarangan Kedutaan Myanmar pada 02/10/07 walaupun dihalang oleh kira-kira 50 orang anggota polis termasuk Polis Simpanan Persekutuan (FRU). Memorandum yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin itu diterima oleh Kaunselor Menteri, Kedutaan Myanmar, Win Myint di pekarangan kedutaan. Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua. Antara lain memorandum tersebut menyatakan Pemuda BA mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh junta Myanmar di atas serangan terhadap peserta demonstrasi yang menyebabkan kecederaan dan kematian. Mereka juga mendesak junta supaya mengembalikan Myanmar ke arah negara yang lebih demokratik melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil, bagi membolehkan rakyat negara itu menentukan kerajaan mereka. Di samping itu, kerajaan junta didesak agar membebaskan Aung San Suu Kyi yang cuba membawa perubahan dan proses demokrasi di Myanmar [harakahdaily.net akses pada 10/10/07].
Burma – Beberapa Fakta Yang Disisihkan
Myanmar atau nama lamanya Burma adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha (lebih 85%) dan terdapat kumpulan minoriti Kristian (lebih kurang 4.5%), Muslim (lebih kurang 4%) dan Hindu (1.5%) yang hampir kesemuanya tinggal di luar bandar. Populasi Muslim yang terbesar, Rohingya (sekitar 3.5 juta orang) kebanyakannya tinggal di Rakhine (dulu Arakan), salah sebuah negeri di Myanmar yang berkongsi sempadan dengan Bangladesh. Sejak puluhan tahun dahulu, ratusan ribu kaum Muslimin Rohingya ini telah melarikan diri ke Bangladesh kerana kekejaman pemerintahan Burma dan penganut Buddha ke atas mereka. Selain Bangladesh, mereka juga turut melarikan diri ke Pakistan, Arab saudi, UAE, Thailand dan Malaysia untuk berlindung dan sebahagian besar dari mereka masih berstatus pelarian hingga kini. Sejak dahulu lagi, keengganan kerajaan Bangladesh dan lain-lain kerajaan termasuk Malaysia menerima mereka menyebabkan sebahagian dari kaum Muslimin Rohingya ini dipaksa kembali ke Burma.
Nasib mereka bertambah malang apabila, pada tahun 1982, pemerintah junta Burma telah meluluskan satu undang-undang bergelar “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi di mana Muslim Rohingya telah tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Setelah itu, keseluruhan hak mereka dinafikan dan kaum Muslimin ditangkap secara besar-besaran, dipukul, disiksa dan dijadikan buruh paksa manakala kaum Muslimah pula dirogol beramai-ramai dengan cara yang ganas. Pemerintahan junta menafikan segala sejarah pendudukan Muslim Rohingya, bahasa mereka, kebudayaan, adat-istiadat dan segala kaitan mereka dengan Arakan, tanah tumpah darah mereka, malah dengan undang-undang baru ini, kaum Muslimin tidak dibenarkan terlibat dalam apa-apa perniagaan. Bukan setakat itu, malah pihak junta telah menyebarkan propaganda jahat dan segala informasi yang salah demi untuk memburuk-burukkan kaum Muslimin bagi mendapatkan sokongan penganut Buddha terhadap junta.
Sejak diluluskan ‘Burma Citizenship Law’ ini juga, anak-anak kaum Muslimin telah dinafikan hak pelajaran mereka di luar dari Arakan (perlu dijelaskan di sini bahawa semua institusi pembelajaran profesional adalah terletak di luar Arakan). Jadi, pelajar Muslim dari Arakan langsung tidak berpeluang melanjutkan pembelajaran mereka. Undang-undang zalim ini telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar (kerana tekanan ekonomi, penangkapan, penyeksaan dan lain-lain lagi) menyebabkan sebahagian mereka adalah buta huruf. Muslimah pula tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai yang dipaksa bekerja di berek-berek dan mereka ini sering dirogol tanpa belas kasihan. Pemerintah junta juga seringkali merobohkan sekolah-sekolah dan masjid-masjid sesuka hati mereka. Kaum Muslimin turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan. Mereka juga langsung tidak dibenarkan terlibat samada di dalam politik atau pertubuhan sosial, malah mana-mana pertubuhan atau badan-badan kebajikan langsung tidak dibenarkan memberikan sebarang bantuan kepada mereka. Tidak cukup dengan ini, kaum Muslimin juga tidak dibenarkan menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa raya, bahkan mereka sering dipaksa untuk menanggalkan nama Muslim mereka dan diganti dengan nama Buddha.
Penderitaan Kaum Muslimin di Burma
Semenjak Burma menceroboh Arakan pada 1784M, penduduk Muslim Arakan telah dijadikan sasaran oleh mereka untuk dihapuskan dan dibunuh (genocide) secara besar-besaran. Motif mereka adalah untuk menukar Arakan menjadi satu wilayah Buddha yang berpengaruh di Burma. Berikutan dari pemisahan Burma dari India-British dan pengenalan Peraturan Rumah (Home Rule) 1937, peluang mereka untuk menghapuskan umat Islam terbuka luas. Bagaimanapun, setelah junta tentera mula berkuasa pada 1962, senario politik di Burma berubah dengan drastik. Dengan kuasa dan kekuatan ketenteraan yang ada, penindasan besar-besaran ke atas kaum Muslimin terus meningkat berlipat kali ganda. Selama hampir empat dekad sahaja, lebih kurang 1.5 juta Muslim Rohingya dipaksa keluar dari tanahair mereka manakala saki-baki yang masih tinggal, hanya menghitung hari dengan penuh ketakutan dan penderitaan. Pada tahun 1942, berlaku kekosongan dalam pentadbiran apabila pihak British keluar dari Arakan. Penduduk Burma mengambil kesempatan ini untuk mengapi-apikan semua penganut Buddha di Arakan dan sebagai akibatnya terjadilah satu rusuhan besar yang menyaksikan 100,000 kaum Muslimin dibunuh dan ratusan ribu lagi telah melarikan diri ke Bengal Timur. Pada tahun 1949, sekali lagi terjadi rusuhan yang dicetuskan oleh Burma Territorial Forces (BTF) yang melakukan keganasan dan pembunuhan ke atas beribu Muslim dan ratusan tempat kediaman mereka dimusnahkan.
Lebih kejam, melalui ‘Pelan 20-tahun Pembasmian Rohingya’ (the 20-year Rohingya Extermination Plan), Majlis Negeri Arakan (Arakan State Council) di bawah kawalan langsung Majlis Negara Burma (State Council of Burma) telah melancarkan ‘kod operasi’ yang dinamakan ‘Naga Min’ (King Dragon Operation). Ini merupakan operasi terbesar, terkejam dan mungkin yang terbaik pernah didokumentasikan pada tahun 1978. Operasi ini bermula pada 6 Februari 1978 di sebuah perkampungan Muslim terbesar, Sakkipara di Akyab, yang telah menghantar satu gelombang kejutan ke seluruh kawasan dalam masa yang singkat. Berita mengenai penangkapan dan pembunuhan besar-besaran kaum Muslimin, lelaki dan wanita, muda dan tua, penyiksaan, pembunuhan dan rogol di Akyab ini telah meresahkan kaum Muslimin di Arakan Utara. Dalam bulan Mac 1978, operasi telah mencecah ke Buthidaung dan Maungdaw. Beratus-ratus Muslim lelaki dan wanita dihumban ke dalam penjara dan ramai lagi yang disiksa dan dibunuh. Kaum wanita pula telah dirogol semahu-mahunya di pusat tahanan. Ketakutan melihat kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini dan ditambah dengan kedudukan nyawa, harta, kehormatan dan nasib masa depan yang tidak menentu, maka sebahagian besar Muslim Rohingya lari meninggalkan kediaman masing-masing dengan merentas sempadan Burma-Bangladesh.
Sekali lagi pada 18 Julai 1991, kempen pembasmian etnik (baca: Islam) dilancarkan dengan nama kod ‘Pyi Thaya’ dan menyaksikan pembunuhan dan pemerkosaan kejam ke atas kaum Muslimin Rohingya, pemusnahan tempat tinggal mereka, termasuklah masjid-masjid. Keadaan ini sekali lagi memaksa Muslim Rohingya lari beramai-ramai meninggalkan kampung halaman mereka mencari perlindungan di Bangladesh. Bagaimanapun, kerana adanya perjanjian Bangladesh-Myanmar, sebahagian mereka telah dikembalikan ke Arakan, manakala sebahagian lagi masih hidup dalam buangan dan ketakutan. Setakat tahun 1999 sahaja, dilaporkan tidak kurang dari 20 operasi besar telah dilancarkan terhadap Muslim Rohingya oleh pemerintah junta. Laporan juga menyebut bahawa antara tahun 1992 hingga 1995, lebih dari 1,500 Muslim (kebanyakannya pemuda) telah dibunuh, manakala ribuan lagi telah ditangkap dan disiksa. Muslimah pula senantiasa menjadi mangsa rogol dan hidup dalam ketakutan. Masjid-masjid yang telah sekian lama wujud dirobohkan dan diganti dengan pagoda-pagoda dan tokong-tokong dan penempatan baru penganut Buddha. Yang lebih menyedihkan, semua tokong dan pagoda itu dibina dengan peluh dan keringat kaum Muslimin yang dipaksa bekerja keras dan disiksa untuk menyiapkannya. Dalam masa yang sama, pemerintah ‘mencipta’ satu keadaan kebuluran di kawasan tersebut yang memaksa Muslim Rohingya keluar dari situ dan ada yang mati kebuluran.
Dalam tahun 2001, keganasan dicetuskan lagi di Arakan di mana ratusan masjid dirobohkan dan 10 Muslim serta 2 orang penganut Buddha dilaporkan terbunuh. Rusuhan ini meletus antara lain kerana pemusnahan patung Buddha yang dijumpai di Lembah Bamiyan, Afghanistan oleh Taliban dan juga kerana tersebarnya pamphlet yang memfitnah kaum Muslimin yang dilakukan oleh penganut Buddha dan anggota-anggota ‘State Peace and Development Council (SPDC)’ pimpinan Than Shwe (Ketua Tertinggi Junta). SPDC sememangnya terkenal dengan gerakan ‘anti-Muslim’ yang sering mereka lancarkan di mana ulama dan guru-guru agama Muslim Rohingya sering menjadi mangsa kekejaman mereka, selain dari wanita dan pemuda-pemuda Muslim. Kebanyakan dari pemimpin Muslim Rohingya sekarang ini sedang menjalani tempoh penjara yang lama atas dakwaan-dakwaan palsu yang diada-adakan terutamanya berkaitan kewarganegaraan.
Selain rusuhan dan pembunuhan, propaganda anti-Muslim merupakan satu perkara rutin yang dimainkan oleh media kerajaan Myanmar. Setakat 2003, buku-buku dan pita-pita rakaman yang menghina Islam dan kaum Muslimin boleh didapati dengan mudah di seluruh Burma, malah ada yang diagih-agihkan secara percuma. Pemerintah Burma percaya mereka akan dapat menguasai Arakan selamanya jika Arakan berjaya ditukar kepada negeri Buddha sepenuhnya. Hasilnya, rakyat Burma dan penganut Buddha di Arakan khususnya yang telah diracun pemikiran mereka ini terus-terusan berusaha menghapuskan Islam dan kaum Muslimin Arakan. Pada tahun 2004, Muslim Rohingya telah dipaksa untuk mengamalkan ajaran Buddha dan mengambil bahagian dalam pelbagai upacara Buddha yang diadakan. Mereka dipaksa menyumbang (wang) di dalam setiap acara Buddha yang sering dianjurkan. Kawasan ibadat kaum Muslimin juga sering dicemari dengan dijadikan tempat menanam mayat penganut Buddha, manakala kaum Muslimin pula dipaksa untuk membayar wang bagi menanam mayat saudara mereka yang meninggal. Arakan Utara pula telah dijadikan zon tentera dengan pelbagai kezaliman yang mereka lakukan ke atas kaum Muslimin. Muslim dieksploit menjadi buruh paksa untuk membina pengkalan tentera, jalan, jambatan, tambak, pagoda, gudang, kolam dan sebagainya tanpa apa-apa bayaran. Kaum wanita pula mengalami ketakutan dengan kejadian rogol yang sering berlaku di kawasan tersebut samada oleh tentera atau pihak kontraktor yang ada.
Demikianlah sebahagian dari penderitaan saudara-saudara kita di Myanmar yang tidak mendapat perhatian dan tidak terbela. Masyarakat dunia hanya celik mata dengan kekejaman tentera ke atas penunjuk perasaan yang diketuai oleh sami Buddha baru-baru ini, tetapi masyarakat dunia nampaknya buta terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas kaum Muslimin di Myanmar. Begitu juga dengan para pemimpin kaum Muslimin yang nampaknya begitu bersimpati dan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan demokrasi rakyat Myanmar, namun mereka tidak memperhatikan penderitaan dan kesengsaraan saudara seagama mereka yang semakin hari semakin mengerikan. Para pemimpin kaum Muslimin berusaha menyuarakan sokongan dan menuntut pembebasan seorang pemimpin demokrasi (Aung San Suu Kyi) yang dikenakan ‘tahanan selesa’ di rumah, namun mereka diam sediam-diamnya terhadap ratusan ribu saudara-saudara mereka yang dibunuh dan yang sedang tersiksa dipenjara-penjara Myanmar.
Adakah Sinar Untuk Hari Esok?
Wahai kaum Muslimin! Di kala kita menangisi pemergian bulan Ramadhan, jangan lupa bahawa saudara-saudara kita di Myanmar saban tahun meratap dan menangisi nasib yang menimpa mereka. Kepada siapakah mereka boleh mengadu dan bergantung harap? Mereka merentas sempadan dengan penuh kepayahan untuk menyelamatkan diri dan keluarga, namun mereka tetap tersiksa di kem-kem pelarian yang penuh kekurangan, dijangkiti bermacam penyakit dan hidup dalam kelaparan. Mereka lari dan terus lari, bersabung nyawa untuk meneruskan hidup, namun apabila mereka tiba di negara saudara mereka yang lain, mereka tetap dizalimi dan dilayan umpama ‘musuh’. Mereka dikejar dan ditangkap, lalu dihantar semula ke tempat asal mereka yang penuh penderitaan. Mereka mengharapkan pemimpin kaum Muslimin yang seagama dengan mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka, namun pemimpin inilah yang semakin menambahkan kesengsaraan mereka. Mereka mengharapkan umat Islam di seluruh dunia untuk sedar dan bangkit menyaksikan penderitaan mereka, namun sebahagian besar umat Islam hanya mementingkan periuk nasi masing-masing dan dipenuhi dengan sifat assabiyyah dan wathaniyyah yang tebal hingga sebahagian besar umat Islam langsung tidak memperdulikan mereka. Mereka mengharapkan tentera kaum Muslimin yang begitu ramai untuk membebaskan mereka dari neraka hidup di Myanmar, namun tentera kaum Muslimin masih nyenyak terlena dan masih setia berbakti kepada pemerintah sekular untuk menjaga sempadan negara masing-masing.
Saudaraku, tidak berdegupkah jantung kalian mendengar kisah yang amat menghiris hati ini? Tidak mendidihkah darah kalian mendengar saudara-saudara kalian diperlakukan sedemikian rupa? Tidak terbakarkah semangat kalian untuk bangkit dan memulakan langkah untuk membebaskan saudara-saudara kalian dari kekejaman puak kuffar ini? Atau kalian hanya mengharapkan orang lain untuk berusaha manakala kalian mahu hidup tenang dengan kenikmatan dunia yang kalian miliki? Justeru, siapakah yang kalian harapkan untuk membantu saudara-saudara kalian ini? Apakah kalian masih mengharapkan pemimpin-pemimpin sekular yang ada untuk menghulurkan bantuan? Atau apakah kalian masih memilih jalan untuk berdiam diri dan terus berpeluk tubuh sahaja? Apakah kalian tidak terfikir dan tidak yakin bahawa Allah akan menghisab setiap perbuatan kalian yang hanya diam terpaku menyaksikan penderitaan saudara-saudara kalian? Demi Allah, sedar dan bangkitlah wahai kaum Muslimin! Kita perlu berusaha dan bergerak sebagaimana Rasulullah dan para sahabat bergerak untuk mewujudkan Daulah Islam, seterusnya melantik seorang Khalifah yang akan menyelamatkan umat ini dari segala kekejaman kuffar.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya segala kekejaman dan pembunuhan secara terancang dan besar-besaran yang berlaku ke atas Muslim Rohingya di Myanmar ini adalah sebahagian dari masalah dan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia. Bumi Arakan menjadi saksi kepada segala kesengsaraan yang dihadapi oleh Muslim Rohingya hasil kekejaman puak dan tentera kuffar dan hal ini terjadi kerana tidak adanya bantuan ketenteraan dari dunia Islam. Demi Allah! Hal ini telah terjadi kerana tidak ada seorang pun dari kalangan pemimpin Islam yang tampil untuk membantu Muslim Rohingya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Jika hal ini berterusan, kemungkinan satu hari nanti tidak ada lagi seorang manusia pun yang akan menyebut nama Allah di bumi Myanmar jika seluruh kaum Muslimin terus-menerus dibunuh dan dipaksa menukar agamanya. Na’uzubillah semoga hal ini tidak terjadi.
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya tidak ada cara lain lagi untuk menyelamatkan umat Islam di Arakan dan di seluruh dunia amnya dari segala kehinaan, penderitaan dan pembunuhan yang tak berkesudahan ini kecuali adanya seorang Khalifah yang akan melancarkan jihad ke atas puak kuffar sekaligus membebaskan umat Islam dari kesengsaraan yang mereka alami. Demi sesungguhnya kita sekarang benar-benar memerlukan adanya sebuah Daulah Islam yang diperintah oleh seorang Khalifah yang akan memerintah dengan Al-Quran dan As-Sunnah dan Khalifah ini kemudian akan mengetuai, membawa dan mengerahkan tentera-tentera kaum Muslimin untuk berjihad di jalan Allah bagi menyelamatkan kaum Muslimin. Khalifah inilah seterusnya yang akan menghancurkan segala kekufuran dan mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya.Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim! Berilah kekuatan kepada kami dan bantulah kami di dalam usaha kami untuk menegakkan agamaMu. Segerakanlah berdirinya Daulah Khilafah agar kami dapat menyelamatkan umat kekasihMu ini, sebagaimana kekasihMu dahulu menyelamatkan umatnya. Ya Allah! Jadikanlah Ramadhan ini Ramadhan yang terakhir kami menghayatinya tanpa Khilafah dan jadikanlah kemunculan Syawal tahun ini sebagai penutup kepada segala kezaliman yang telah sekian lama menimpa umat kekasihMu ini! Hanya kepada Engkaulah kami meminta dan mengharap dan hanya kepada Engkaulah kami akan kembali! Amin ya Rabbal ‘alamin.