SN160 – Bagaimana Daulah Islam Menjaga Kebajikan

PDF

SN Keluaran 8 Februari 2008

[SN160] Sebagaimana telah disebut dalam Sautun Nahdhah (SN) keluaran lepas, Negara Kebajikan (Welfare State) adalah satu konsep yang berasal dari Ideologi Kapitalis dalam usaha mereka menutup kekejaman mereka dan menangkis serangan sosialis-komunis yang semakin berkembang ketika itu. Sesuai dengan tabiat Kapitalis yang mementingkan kebendaan di mana kesejahteraan adalah diukur dengan wang dan harta, maka ‘faktor ekonomi’ memainkan peranan penting dalam pemerintahannya. Apabila ternyata rakyat terus menderita dan menderita kerana kekayaan negara hanya dikaut oleh puak Kapitalis yang tamak, maka mereka menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai konsep, termasuklah konsep welfare state untuk memastikan rakyat terus menyokong mereka yang bermaksud mereka dapat terus berkuasa dan dapat terus merampas sebanyak mungkin lagi kekayaan negara yang ada dan dapat terus melakukan penipuan demi penipuan dengan mengembalikan setitik kekayaan tersebut kepada rakyat. Pada kesempatan ini SN akan membahaskan dengan ringkas perbezaan Ideologi Kapitalis, Sosialis dan juga Islam dalam menjaga kebajikan rakyatnya di mana Islam sebagai sebuah agama dan sistem yang sempurna melakukan semua ini semata-mata atas dasar akidah dan kewajipan dan dengan petunjuk dari wahyu, berbeza dengan Kapitalis dan Sosialis yang hanya berpandukan akal mereka semata-mata.

Di dalam sistem Kapitalis hanya dua golongan sahaja daripada keseluruhan rakyatnya yang terbela dari idea jaminan ini. Kedua golongan itu adalah (i) Mereka yang bekerja dengan negara/kerajaan, syarikat swasta dan pekerja-pekerja kilang. Ia tidak termasuk pekerja kontrak, kuli, pekerja sendiri dan pekerja separuh masa (ii) Fakir miskin. Dua kelompok ini sahajalah yang mendapat jaminan sosial dari negara. Negara memberi perhatian kepada mereka sedangkan rakyatnya yang lain terabai sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini kerana golongan selain kedua tersebut tidak dianggap perlu mendapat ‘kebajikan’. Bagi kakitangan awam mereka mendapat khidmat pencen atau bayaran gratuiti, serta perkhidmatan kesihatan mereka dijamin percuma di klinik-klinik kerajaan, bahkan kepada pegawai tinggi mereka akan menikmati wad kelas yang lebih utama. Manakala untuk pekerja swasta pula mereka dikehendaki mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan juga membayar premium untuk insurans jaminan sosial pekerja di samping Undang-undang Buruh untuk menjamin mereka mendapat insentif kerja dari majikan mereka. Bagi pekerja swasta, sebenarnya yang memberi jaminan-jaminan ini bukanlah kerajaan tetapi majikan iaitu orang yang memberi pekerjaan kepada mereka. Negara hanya memberikan kepada kakitangan awam sahaja. Perhatian negara kepada mereka hanyalah dalam membuat dan melaksanakan undang-undang yang menjamin mereka untuk mendapatkan jaminan-jaminan ini. Dalam Sistem Sosialis-Negara pula, ada sedikit tambahan kebajikan seperti pekerja berhak untuk memiliki saham syarikatnya, gaji minimum, had maksimum sewa dan kadar bunga, menghakmiliknegarakan (nationalization) beberapa kepentingan umum dan beberapa lagi.

Walau apa yang mereka laksanakan, sebenarnya ‘kebajikan’ yang diberi kepada fakir miskin sebenarnya tidak mencukupi dan tidak pernah mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Cuba kita tanyakan berapa banyakkah wang (atau harta) yang diberi sebagai bantuan/kebajikan rakyat termiskin setiap bulan? Cukupah mereka hidup dengan wang pemberian itu sahaja? Cukupkah negara menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi mereka selama ini? Sebenarnya kebanyakan dari bantuan terhadap fakir miskin dan mereka yang memerlukan ini adalah datangnya daripada sumbangan, derma dan sedekah dari individu atau pihak yang prihatin sahaja, manakala bantuan yang datang dari negara/kerajaan tidak pernah dapat menjadikan hidup mereka sejahtera. Kebanyakan bantuan yang biasa diterima dari kerajaan hanyalah di musim-musim perayaan atau pun musim pilihan raya sahaja yang berupa paket-paket makanan seperti beras, gula dan susu, atau pun bantuan lain seperti seperti kain pelikat, sejadah, basikal, beg sekolah dan seumpamanya.

Politik Ekonomi Dalam 3 Ideologi Yang Berbeza

Ekonomi hanyalah salah satu aspek dari Islam dan ia juga termasuk dalam salah satu aspek yang mesti diurus oleh pemerintah. Inilah yang dimaksudkan dengan politik ekonomi (siyasah iqtisadiyyah) yakni bagaimana (cara) untuk menguruskan ekonomi dalam sesebuah negara. Asas politik ekonomi dalam Islam adalah memastikan keperluan asas (basic needs) setiap individu rakyat dipenuhi, juga membantu setiap individu rakyat agar dapat memenuhi keperluan sekunder sesuai dengan kadar kemampuannya. Siyasah iqtisadiyyah dalam Islam sama sekali berbeza dengan konsep ekonomi Kapitalis mahupun Sosialis mahupun dengan konsep ekonomi campuran yang perkenalkan oleh kapitalis (Malaysia mendakwa mengamalkan ekonomi campuran). Asas politik ekonomi kapitalis berpijak kepada persoalan ‘bagaimana untuk meningkatkan Pendapatan Negara (KNK)’, yang bertolak dari masalah asas ekonomi yang bagi mereka berpunca dari ‘sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terbatas’. Justeru, mekanisme harga dijadikan cara untuk mereka mengagihkan kekayaan di tengah masyarakat yang mengakibatkan terciptanya jurang yang semakin besar dalam masyarakat. Lama-kelamaan orang kaya bertambah kaya dan orang miskin semakin papa kedana kerana penguasaan sumber dan perbezaan ‘kuasa beli’ yang semakin ketara. Ketika rakyat menderita kerana pengagihan kekayaan hanya berpusat pada orang-orang kaya sahaja, maka mereka telah mula menampal kerosakan dan keburukan yang ada, dengan memasukkan unsur luar yang mereka lihat boleh menutup kezaliman mereka. Maka muncullah konsep ekonomi campuran, jaminan sosial, keadilan sosial, negara kebajikan dan lain-lain untuk mengaburi mata dan menutup mulut rakyat.

Asas sistem Sosialis Bernegara pula tidak melihat jaminan keperluan asas ini sebagai perkara pokok. Hasrat mereka adalah untuk menyamaratakan pemilikan, melarang pemilikan kepada barangan pengeluaran (bahan mentah dan separa siap) dan mengehadkan pemilikan kepada barangan pengguna sahaja, serta memfokuskan kepada permasalahan kaum buruh. Kurangnya perhatian kepada jaminan terpenuhinya keperluan asas menyebabkan kemerosotan dalam taraf hidup rakyatnya yang terjadi di semua negara yang mengamalkan sosialisme. Kemerosotan ini berlaku secara menyeluruh sehingga rakyat tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan asasnya, kecuali sebahagian sahaja. Penurunan taraf hidup ini diakui sendiri oleh Kruschev (Perdana Menteri Rusia) lebih dari sekali, sehingga dia sempat bergurau di hadapan Richard Nixon wakil Presiden AS pada masa itu sewaktu dia berkunjung ke Rusia tahun 1959, bahawa Rusia akan mencapai tingkat taraf hidup AS, 20 tahun lagi. Bahkan kita dapat menyaksikan bahawa rakyat Rusia bermigrasi ke Iraq dalam tahun 1958, 1959 dan 1960 dalam keadaan kelaparan dan mengharapkan makanan yang lazat. Ini semua menunjukkan bahawa usaha untuk menyamaratakan pemilikan, hanya menjadikan rakyatnya miskin serta tidak mungkin memenuhi keperluan-keperluan asasnya.

Setelah keruntuhan Khilafah, sistem-sistem Islam tidak lagi diterapkan dalam bentuk bernegara dan kaum Muslimin sudah tidak lagi melihat dan memahami konsep pemerintahan Islam. Kapitalis mula menguasai dunia dengan segala bentuk kekejamannya dan disaingi kemudiannya oleh Sosialis. Idea kesamarataan yang dibawa oleh Sosialisme berjaya menambat hati umat Islam dan mereka mula menyamakannya dengan konsep keadilan Islam. Semakin menyerlahnya kerosakan dan kebusukan yang ada dalam Kapitalisme menyebabkan umat Islam mula berpaling mencari alternatif. Namun, kerana kelemahan berfikir umat Islam yang masih terkongkong dengan cara berfikir yang salah, mereka melihat bahawa idea Sosialisme adalah lebih dekat dengan Islam, kerana sosialisme ini lebih manusiawi dan lebih adil. Jadi tidak hairanlah kenapa negara-negara seperti Mesir, Iraq (sebelum penjajahan AS) dan Syria sebagai contohnya menganut sistem Sosialisme-Negara. Bahkan ada pihak sanggup mendakwa bahawa Rasulullah adalah pengasas/bapa Sosialis. Dari sinilah umat Islam mula mengambil Ideologi dan konsep bernegara dari orang-orang kafir, tetapi dikatakan berasal dari Islam atau tidak bercanggah dengan Islam.

Dalam pada kita gembira kerana umat Islam mula mencari alternatif kepada Ideologi Kapitalis yang kejam ini, dalam masa yang sama kita bersedih kerana mereka masih belum keluar dari kepompong Kapitalis. Umat Islam sudah sedar bahawa pemerintah Kapitalis sekarang telah merosak negara dan merompak kekayaan mereka, mewujudkan jurang ekonomi yang tidak adil, harga barangan meningkat (kuasa beli wang semakin menurun), golongan miskin semakin papa dan golongan kaya semakin berada, sayangnya sistem Islam itu diambil dengan cara tempelan, iaitu menjadikan Islam sebagai perfume untuk menutup kebusukan Kapitalis. Umat Islam ibarat berteduh di sebuah rumah yang sudah rosak dan sibuk menampal segala kebocoran yang ada dan (malangnya) mereka tidak terfikir untuk membina sebuah rumah yang baru, walhal mereka mampu melakukannya. Sesungguhnya inilah yang perlu difahami dan diambil oleh umat Islam iaitu mengambil Islam ini dalam versinya yang tersendiri dalam membina sebuah negara yang berdiri sendiri dan tidak mencampur adukkannya dengan konsep bernegara ala Sosialis mahupun Kapitalis. Agama Allah ini amat sempurna dan kesempurnaan agama ini adalah berdiri sendiri, tanpa ada campuran sedikit pun dari mana-mana ideologi ciptaan manusia.

Berbeza dengan Sosialis yang cuba memiliknegarakan segala sesuatu dan (kononnya) menyamaratakan semua rakyat, Islam membenarkan pemilikan individu dan membenarkan setiap individu beraktiviti dalam empat sumber utama ekonomi iaitu Pertanian, Perkilangan, Perdagangan dan Sumber Tenaga Manusia. Ini dengan sendirinya akan memberi peluang kepada setiap individu untuk memenuhi keperluan asasnya, dan keperluan sekundernya dengan kadar yang maksimum yang dapat dicapainya. Politik Ekonomi Islam sememangnya memberi ruang kepada setiap individu untuk beraktiviti tetapi tidak semua manusia mempunyai kebolehan/keupayaan untuk beraktiviti. Ini kerana terdapatnya orang-orang yang lemah dalam masyarakat sama ada orang-orang tua, orang-orang sakit, orang-orang kurang upaya/cacat, ibnu sabil dan sebagainya yang mana golongan ini tidak berupaya atau tidak berpeluang untuk beraktiviti atau menikmati pemilikan sebagaimana orang yang sihat dan kuat. Jadi, syara’ datang dengan hukum lain sebagai pelengkap kepada hukum kebolehan pemilikan dan beraktiviti tadi, untuk menjamin keperluan asas secara sempurna bagi setiap individu rakyat. Dengan ini Islam dapat menjamin keperluan asas golongan tadi ditunaikan secara sempurna, dan sekali gus terdapat peluang untuk mereka menunaikan keperluan sekundernya semaksimal mungkin. Tambahan dari itu, terdapat hukum pemilikan umum (milkiah al-ammah) dalam Islam yang mana di sinilah Islam menjamin bahawa kekayaan negara akan teragih kepada setiap individu rakyat. Semua kekayaan alam seperti minyak, gas, bijih besi dan lain-lain galian wajib dikelola oleh negara dan diberikan (hasilnya) kepada setiap individu rakyat secara percuma.

Yang perlu kita fahami di sini adalah bahawa jaminan keperluan asas yang sempurna kepada setiap individu bukanlah satu perkara tempelan (tambal-sulam) kepada sistemnya (untuk menutup kepincangan tertentu) dan ia juga bukan ditujukan untuk golongan tertentu sahaja (seperti kepada penganggur, orang-orang tua atau orang-orang kurang upaya) sebagaimana dilakukan oleh sistem Kapitalis dan Sosialisme-Negara, akan tetapi ianya merupakan integriti hukum-hakam Islam di dalam sistem Islam itu sendiri yang wajib diberikan kepada setiap individu rakyat sesuai dengan ketentuan syara’. Islam datang bukannya sekadar untuk mengisi laccuna (kekosongan) dalam sebuah sistem kufur. Islam juga datang bukannya untuk sekadar mengisi kekosongan (loophole) atau menampal kecacatan dalam sebuah sistem buatan manusia, tetapi Islam itu adalah datang sebagai sebuah sistem yang tersendiri, yang berdiri sendiri serta sebagai penyelesaian yang syumul dan menyeluruh untuk semua golongan manusia. Dan semua sistem/penyelesaian ini diambil dari apa yang telah ditunjukkan atau dipraktikkan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin semasa mereka memerintah Daulah Islam.

Bagaimana Islam Menjamin ‘Basic Needs’ Setiap Individu

Keperluan asas menurut Islam itu ada dua bahagian iaitu keperluan asas untuk setiap individu rakyat, dan keperluan asas untuk semua rakyat:-

Pertama: Keperluan asas manusia (untuk setiap individu) adalah makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sebagaimana yang tercantum dalam banyak nas antaranya,

“Dan kewajipan ayahnya memberikan makan dan pakaian kepada para ibunya” [TMQ al-Baqarah (2):233],

“Berilah mereka nafkah (makanan) dan pakaian” [TMQ al-Ma’idah (5):5]

Diwajibkan kepada orang-orang yang berat menjalankannya membayar fidyah, memberi makan seorang miskin” [TMQ al-Baqarah (2):184]

“Tempatkan isteri kamu di mana kamu bertempat tinggal” [TMQ Al-Thalaq (65):6]

“Dan rumah-rumah kamu yang kamu sukai” [TMQ al-Taubah (9):24].

Sabda Rasulullah,

Dan kewajipan para suami terhadap isteri adalah memberi mereka rezeki (makanan) dan pakaiannya”
[HR Muslim dan Ibn Majah],

Dan hak isteri adalah agar kalian (para suami) memperbagus dalam pemberian pakaian dan makanan”
[HR Ibn Majah],

“Siapa sahaja yang paginya merasakan aman pada kelompoknya, sihat tubuh badannya dan tersedia makanan rujinya pada hari itu, maka seolah-olah dia telah memiliki dunia” [HR Bukhari].

Jika kita meneliti dari nas-nas tersebut maka kita dapati bahawa kombinasi tetap iaitu makanan (dan minuman), pakaian dan tempat tinggal merupakan keperluan asas (basic needs), sedangkan selebihnya adalah keperluan sekunder untuk setiap individu.

Kedua: Keperluan asas untuk rakyat, berdasarkan nas adalah keselamatan, kesihatan dan pendidikan. Hadis Rasulullah “Siapa sahaja yang pada waktu paginya merasakan aman pada kelompoknya, sihat tubuh badannya dan tersedia makanan rujinya pada hari itu, maka seolah-olah dia telah memiliki dunia” meletakkan bahawa keamanan, dan kesihatan sama tarafnya dengan makanan. Ini menunjukkan bahawa keduanya menjadi keperluan asas untuk rakyat. Manakala pendidikan merupakan keperluan asas untuk rakyat berasaskan hadis,

“Perumpamaan petunjuk dan ilmu seperti hujan lebat yang menyirami bumi dan ada tanah yang subur…”

[HR Riwayat Bukhari],

“Daripada tanda-tanda kiamat bahawa terangkatnya ilmu dan terpancarnya kejahilan”
[HR Bukhari].

Hadis pertama adalah perumpamaan Rasulullah kepada ilmu dan petunjuk ibarat air hujan yang menjadi sumber air (asas) kepada kehidupan. Sedangkan hadis yang kedua pula menerangkan bahawa kemakmuran dunia akan berakhir bila hilangnya ilmu dan tersebarnya kejahilan, ini menunjukkan ilmu adalah perkara dhururiah (keperluan). Kesimpulan dan hukum yang nyata dari hadis-hadis tersebut adalah bahawa keamanan/keselamatan, kesihatan dan pendidikan merupakan keperluan asas untuk rakyat.

Persoalan seterusnya, siapakah yang bertanggung jawab untuk menyediakan keperluan asas manusia (makan, pakaian dan tempat tinggal) dan siapakah yang dikategorikan sebagai orang yang perlu (miskin)? Jawabnya adalah Negara, dan parameter untuk menentukan seseorang itu perlu/miskin adalah melihat kepada keupayaan dirinya untuk memenuhi ketiga-tiga keperluan asas tersebut. Dalam aspek tanggungjawab negara menyediakan basic needs ini, bukannya bermakna negara membahagi-bahagikan kepada setiap individu makanan, pakaian dan rumah kepada sesiapa sahaja pada setiap masa, sehingga terbayang bahawa rakyat akan menjadi malas kerana basic needsnya akan dipenuhi oleh negara sepenuhnya. Pemikiran sebegini adalah sebuah kekeliruan, kerana Islam datang dengan hukum dan mekanisme yang tertentu dalam hal ini. Mekanisme ini berjalan sebagaimana berikut:

Pertama: Kewajipan untuk memenuhi basic needs diri dan keluarga asasnya berada di tangan seorang lelaki/suami/bapa. Islam mewajibkan lelaki yang mampu untuk bekerja memenuhi nafkahnya mengikut taraf hidup (secara makruf). Pengingkaran/pengabaian seorang lelaki yang mampu untuk mencari nafkah sendiri atau memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak adalah suatu dosa dan wajib dikenakan takzir oleh negara. Kedua: Jika seseorang itu tidak terpenuhi basic needsnya (setelah diusahakan sungguh-sungguh), maka kewajipan ini juga terletak kepada ahli-ahli waris yang kaya yang mempunyai kelebihan harta. Hal ini sebagaimana disebut oleh Rasulullah

“Apabila kalian fakir, mulakan nafkah untuk diri sendiri, kalau ada yang lebih (tidak lagi fakir), maka untuk keluarganya, dan kalau ada lebih lagi maka untuk kerabatnya (ahli warisnya)” [HR Abu Daud dan Nasaei].

Ketiga: Jika seseorang yang tidak mampu tersebut tidak memiliki kerabat atau memiliki kerabat yang juga tidak mampu, maka dalam kes seperti ini, kewajiban memenuhi basic needs beralih kepada Baitul Mal (negara). Dengan kata lain, Negara/pemerintah wajib untuk memenuhi keperluannya. Rasulullah pernah bersabda,

“Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (orang yang tidak berharta – sebatang kara), maka dia menjadi kewajiban kami” [HR Muslim].

Hanya dalam keadaan ketiga ini sahajalah tanggungjawab negara untuk memenuhi basic needs setiap individu rakyat akan timbul dan berdosa bagi mana-mana pemerintah yang melalaikannya.

Dalam keadaan jika Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin ini beralih kepada kaum Muslim secara kolektif. Rasulullah bersabda,

“Siapa saja yang menjadi penduduk suatu daerah, di mana di antara mereka terdapat seseorang yang kelaparan, maka perlindungan Allah Tabaraka wa Ta‘ala akan terlepas dari mereka” [HR Ahmad].

Tidaklah beriman kepadaku siapa saja yang tidur kekenyangan, sedangkan tetangganya kelaparan, sementara dia mengetahuinya” [HR al-Bazzar].

Jika hal ini benar-benar berlaku, secara praktikal dan teknikalnya masalah ini dapat diselesaikan dengan dua cara. Pertama: Kaum Muslimin secara individu (beramai-ramai) membantu orang-orang yang miskin atau yang tidak cukup makan dengan menyalurkan bantuan segera (on the spot). Kedua: kalau dalam negara tidak mencukupi wang untuk menampung pembiayaan orang fakir ini, maka negara terus mewajibkan dharibah (pungutan kecemasan sementara) atas orang-orang kaya sehingga memenuhi keperluan untuk membantu orang miskin.

Bagaimana Islam Menjamin ‘Basic Rights’ Rakyat

Sebagaimana telah disebutkan, Negara adalah bertanggung jawab ke atas Keselamatan, Kesihatan dan Pendidikan rakyatnya, ini berdasarkan hukum-hakam berkaitan dengan ri’ayah (pemeliharaan) rakyatnya. Sabda Rasulullah,

“Imam itu pemelihara dan dialah yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya”
[HR Mutafaq Alaih].

Menyangkut perkara keselamatan dari ancaman musuh luar negeri, pembelaan negara dari ancaman musuh sudah diketahui dengan masyhur dari perbuatan Rasulullah dan ayat-ayat tentang jihad. Sedangkan keamanan dalam negeri pula dijamin dengan hukum-hakam terhadap orang-orang yang merampas hak-hak manusia sebagaimana sabda baginda, “Ingat-ingatlah bahawa darah kamu dan harta benda kamu adalah itu adalah haram” Dalam aspek pendidikan pula terdapat Ijmak Sahabat tentang pembahagian gaji guru dari Baitul Mal. Ibnu Syaibah meriwayatkan bahawa Ibnu Atha’ berkata “Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar anak-anak, Umar memberikan mereka 15 dinar setiap bulan”. Di samping itu dalam kes tebusan perang Badar Rasulullah telah menentukan tebusan untuk mereka dengan mengajar 10 anak-anak kaum Muslimin. Dalam aspek kesihatan, Rasulullah bersabda,

Wahai hamba Allah! Berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali dia juga menurunkan penyembuh dan penawarnya” [HR Nasaei].

Berubat merupakan salah satu urusan kemaslahatan rakyat yang besar, sedangkan kemaslahatan rakyat ini terletak di bahu pemerintah berdasarkan hadis berkenaan dengan Imam itu adalah pemelihara. Menghilangkan bahaya terhadap rakyat adalah tanggung-jawab pemerintah berasaskan hadis

“Tidak boleh membuat bahaya kepada diri sendiri, dan tidak boleh membahayakan orang lain” [HR Muslim].

Bahkan Rasulullah telah menunjukkan secara praktikal (af’al al-Rasul), ketika baginda diberikan hadiah seorang doktor, baginda tidak menggunakannya untuk peribadi, tetapi memanfaatkannya untuk seluruh kaum Muslimin secara umum.

Sebuah Negara Islam wajib menyediakan kemudahan Kesihatan, Pendidikan (semua tingkat pengajian) dan Keamanan secara percuma kepada rakyatnya, tanpa mengira sama ada kakitangan negara atau pekerja swasta mahupun penganggur. Kemudahan ini juga bukan khusus untuk golongan miskin (manakala golongan yang kaya perlu membayarnya) sebagaimana dilakukan di bawah konsep welfare state Barat, tetapi Negara wajib menyediakannya secara percuma kepada semua rakyat. Namun begitu, ini tidak bermakna yang Islam menghalang pihak swasta membina institusi pendidikan swasta atau klinik swasta atau kawalan keselamatan swasta (jaga). Mereka boleh mendirikannya (dengan kawalan dan mematuhi polisi negara) dan boleh mengenakan bayaran untuk perkhidmatan masing-masing, namun yang wajib adalah Negara itu sendiri mesti menyediakannya secara percuma.

Wahai pembaca yang ikhlas! Setelah kita melihat bagaimana Islam menetapkan keperluan asas kepada manusia dan rakyat negaranya, maka yang perlu kita fahami di sini adalah bahawa sistem Islam bukanlah sistem campur aduk dan tidak boleh sekali-kali dicampur-adukkan dengan sistem Sosialisme atau Kapitalisme, dan negara Islam juga bukannya sebuah negara moderat antara konsep Sosialisme dan Kapitalisme. Usaha untuk memartabatkan konsep Ekonomi Islam itu perlulah disokong, tapi biarlah pemikiran itu jernih tanpa ada kontaminasi dengan sistem kufur Barat. Sayang sekali jika umat Islam hanya melihat atau cuba melaksanakan hanya salah satu aspek sahaja dari Islam dan terkeliru pula dengan konsep Negara Kebajikan dalam versi konsep ekonomi campuran iaitu kepincangan sistem ekonomi kapitalis yang ingin dibetulkan dengan tempelan ekonomi Islam. Apa yang wajib kita lakukan ialah membuang semua sistem Kapitalis ini semuanya (bukan bidang ekonomi sahaja) dan menggantikannya dengan Sistem Pemerintahan Islam yakni Sistem Khilafah secara menyeluruh di dunia Islam. Sesungguhnya Islam memiliki konsep bernegaranya yang tersendiri dan sistematik dan sesungguhnya model negara ini telah pun ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin. Adalah teramat keliru jika kita mengaitkan model pemerintahan Islam dengan model negara kebajikan, kerana model negara yang dibawa oleh Rasullah ini amat jauh berbeza dengan mana-mana model sistem pemerintahan yang ada pada hari ini… [bersambung – Struktur Daulah Islam]