SN210 – DUKA UMAT INI HANYA AKAN TERUBAT DENGAN KHILAFAH

SN Keluaran 5 Mac 2010
 
alt
 
DUKA UMAT INI HANYA AKAN TERUBAT DENGAN KHILAFAH
 

 

[SN210] Mutakhir ini isu buang bayi muncul kembali menghiasi dada-dada akhbar. Bayi-bayi malang ini antaranya ditemui di tempat pembuangan sampah bahkan ada yang dibakar. La haula wa la quwwata illa billah. Apakah dosa bayi-bayi ini sehingga diperlakukan sedemikian rupa? Akal yang waras menyatakan bahawa kerja terkutuk ini hanya boleh dilakukan oleh para penzina yang tidak sanggup menanggung malu hasil perbuatan fahsya’ yang mereka kerjakan. Belum pun reda isu tersebut diperbincangkan, beberapa hari lepas, negara digemparkan pula dengan berita kematian adik malang Syafia Humairah Sahari (3 tahun), yang menemui ajal dengan penuh seksa dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya sendiri. Selain kematian si anak yang menyayat hati itu, pihak Jabatan Agama kini masih menyiasat si ibu kerana kesalahan bersekedudukan tanpa berkahwin. Kejadian ini sungguh menyayat hati kerana ia melibatkan sepotong tubuh kecil yang tidak mengerti apa-apa, tidak bermaya dan langsung tidak dapat mempertahankan dirinya dari sebarang bahaya yang sedang dihadapinya.
Sudah berapa banyak berita yang melibatkan sang kecil yang comel dan sepatutnya riang seperti kanak-kanak lain didera, dirogol, diliwat dan dibunuh tanpa perikemanusiaan oleh mereka yang dekat dengannya. Bertambah malang, apabila kes kematian bayi atau kanak-kanak malang ini berlaku dengan ‘sumbangan dosa’ dari sang ibunya sendiri. Peristiwa yang penuh tragis ini sesungguhnya hanyalah merupakan setitik dari selautan musibah yang menimpa umat ini apabila diri manusia itu sudah tidak lagi dipandu dengan hukum Allah.

Umpama kanak-kanak malang yang lemah dan tidak bermaya mempertahankan diri dari segala ancaman, inilah sesungguhnya keadaan umat Islam yang ada pada hari ini dalam menghadapi ancaman dari musuh-musuhnya. Musuh umat Islam seperti Amerika, Israel, Britain, Perancis dan banyak lagi, telah memperlakukan umat Islam dengan sesuka hati mereka sejak sekian lama. Mereka menangkap, menyeksa, membunuh dan memerangi umat Islam dengan kejam dan tanpa belas kasihan. Para pemimpin umat Islam pula, yang sepatutnya menjadi ibu yang menjaga mereka, sebaliknya bersekedudukan dengan Barat dan menyerahkan ‘hak penjagaan’ umat Islam kepada Barat. Para pemimpin umat Islam ini, sudahlah mereka dengan penuh sukarela menyerahkan jiwa dan raga mereka kepada Barat, malah mereka ‘membantu’ pula Barat untuk membunuh kita semua (anak-anaknya) sendiri. Inilah apa yang dapat kita saksikan di seluruh dunia Islam! Semua malapetaka ini terjadi setelah runtuhnya Daulah Khilafah kira-kira 86 tahun yang lalu. Berpuluh-puluh tahun sebelum itu pun, sudah terjadi pengkhianatan oleh para pemimpin kaum Muslimin terhadap Islam dan umatnya, dan hal ini bertambah buruk setelah umat Islam kehilangan perisainya (Khilafah) pada tanggal 3 Mac 1924.

Setelah Khilafah berjaya diruntuhkan, beberapa siri pembunuhan kejam kaum kuffar ke atas umat Islam terus berlangsung. Di Algeria antara 8 Mac 1945 hingga 1963, seramai 1.5 juta umat Islam dibunuh oleh tentera Perancis. Manakala pada tahun 1947 pula dilaporkan lebih 3000 Muslim diseksa hingga mati, di samping 70,000 nyawa lagi syahid (mati) dan beribu-ribu wanita dirogol dan 100,000 lainnya dipenjara tanpa perbicaraan di Kashmir. Sementara dalam tahun 1992 kaum Muslimin dibunuh beramai-ramai di Chechnya oleh Russia dan dalam tahun 1995 pula, lebih 8000 umat Islam dibunuh oleh pengganas Serbia yang diketuai oleh Ratko Mladic di Srebrenica, Bosnia. Dalam tahun 2002, pengganas Hindu merogol dan membunuh ratusan Muslimah dan anak-anak perempuan di Gujerat, India. Tidak hanya itu, selepas tahun 2001 (hingga kini) Amerika Syarikat terus mengganas dengan membunuh dan mencederakan jutaan umat Islam di Afghanistan dan Iraq melalui pencerobohannya atas dalih serangan 11 September. Misi pembunuhan umat Islam diteruskan pula di setiap wilayah umat Islam yang bergolak seperti di Somalia, Darfur, Pakistan, Turki dan beberapa wilayah lain lagi. Mereka yang terkorban bukan sahaja di kalangan lelaki dewasa yang berperang, malah Amerika juga, tanpa belas kasihan turut membunuh orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak. Selain yang terbunuh, ramai lagi yang ditangkap dan diseksa tanpa perikemanusiaan, baik di penjara-penjara terbuka mahupun rahsia. Semua ini sebenarnya merupakan episod pilu bagi umat Islam, bahkan ia lebih memilukan dari kematian akibat gejala sosial, memandang dari segi jumlah dan keadaan kematian mereka! Ya, semua ini berlaku kerana umat ini sudah tidak lagi mempunyai penjaganya yang sebenar dan penjaga yang ada kini sedang seronok bersekedudukan dengan Barat.

Kuasa Besar Itu Sebenarnya Lemah dan Pengecut

Semasa Rasulullah SAW dan para sahabat berdakwah di Mekah, umat Islam ketika itu mengalami banyak penderitaan. Rasulullah sendiri disakiti dan dipropaganda oleh kafir Quraisy dengan pelbagai tuduhan seperti dituduh gila, ahli sihir dan juga dukun. Kaum Muslimin diseksa dan ada yang dibunuh dengan kejam. Mereka juga diboikot selama lebih kurang 3 tahun dan menghadapi pelbagai halangan lainnya di dalam usaha mereka menegakkan agama Allah. Namun semua itu lenyap sekelip mata apabila baginda SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah dan mendirikan negara Islam di sana. Dengan adanya sebuah negara yang menerapkan hukum-hukum Allah, kehidupan Islam yang diterapkan oleh Nabi SAW merupakan kehidupan yang penuh dengan kemuliaan dan kegemilangan yang mendukung martabat manusia ke mercu paling tinggi yang tidak pernah tercapai oleh mana-mana tamadun sebelumnya. Malah lebih jauh dari itu, dengan jalan dakwah dan jihad, Islam muncul menjadi satu kuasa baru internasional yang bukan sahaja berjaya mengalahkan kafir Quraisy yang menindas mereka selama ini, malah berjaya mengalahkan Rom dan Parsi yang menjadi superpower dunia ketika itu. Kehidupan Islam terus cemerlang, gemilang dan terbilang di bawah naungan Khilafah yang berjaya menguasai timur dan barat dunia selama lebih 1300 tahun sehinggakan puak kuffar memahami bahawa Khilafah adalah sebuah kekuatan yang takkan dapat dikalahkan. Namun, sayangnya institusi agung penjaga umat ini akhirnya rebah, bukan rebah akibat kekuatan musuh, tetapi rebah akibat dari pengkhianatan dalaman pemimpinnya sendiri. Barat berjaya memasukkan virus assabiyyah dan wathaniyyah dan juga virus wahn (cinta dunia dan takut mati) ke dalam tubuh umat dan pemimpin mereka dan dengannya, Barat berjaya merobek-robek jantung Khilafah terakhir (Uthmaniyyah) dan akhirnya ia lumpuh terlantar tak bernyawa tepatnya pada 3 Mac 1924. Sejak dari itu, umat Islam mula mengalami kehidupan yang penuh malapetaka bersilih ganti satu demi satu dan dari hari ke hari tanpa kesudahan.

Setelah tumbangnya Khilafah sebagai kuasa besar dunia yang penuh berkat dan rahmat, Barat berjaya menggantikan tempatnya dengan penuh kejahatan dan kekejaman sehingga muncul pula pandangan bahawa Barat (Amerika dan sekutunya) adalah kuasa besar yang takkan dapat dikalahkan. Muncul juga pandangan (yang direkayasa oleh Barat) bahawa Khilafah tidak akan tertegak semula, dan jika ia berjaya ditegakkan sekalipun, Barat akan menghapuskannya dalam sekelip mata. Adapun terhadap pandangan-pandangan ini, kami (Hizbut Tahrir) mengatakan bahawa, demi sesungguhnya pemerhatian yang jernih terhadap realiti-realiti yang berlaku sekarang ini akan menguburkan segala pandangan serong ini ke dasar tanah! Jika ketua kuasa-kuasa besar, iaitu AS dan sekutunya tidak berupaya untuk menetap dengan stabil di Iraq dan Afghanistan dan terus berhadapan dengan penentangan oleh individu-individu Muslim yang tidak memiliki puluhan kali ganda kekuatan fizikal berbanding mereka (AS), bagaimana mungkin AS akan berhadapan dengan tentera Daulah Khilafah yang tersusun rapi? Jika AS dan sekutunya tidak pernah berjaya menghadapi individu-individu Muslim yang memiliki persenjataan dan bilangan yang jauh lebih rendah dari yang mereka (AS) miliki, bagaimana mungkin AS akan berjaya menghadapi tentera Daulah Khilafah yang bakal memiliki kekuatan, baik dari segi jumlah mahupun persenjataannya?
    
Jika kuasa-kuasa ini bersama ketua mereka tidak berupaya untuk menetap di Iraq dan Afghanistan di hadapan individu-individu Muslim tersebut, maka bagaimana mereka itu berupaya menghentam Khilafah atau melenyapkannya?! Sungguh! Demi Allah hal ini tidak akan terjadi dengan izinNya. Para pemilik pandangan yang rosak ini sesungguhnya tidak memahami kekuatan Islam dan keagungan Daulah Islam. Mereka tidak memahami fakta-fakta sejarah bahawa tentera Islam dengan izin Allah adalah tentera yang tidak mampu dikalahkan oleh musuh-musuh Allah. Mereka tidak memahami ayat Allah,

“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47):7].

Mereka juga tidak memahami firman Allah,

“Sesungguhnya Kami menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat)” [TMQ Mukmin (40):51].

Demikian juga mereka tidak memahami hadis Rasulullah SAW yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah dan tentera kaum Muslimin itu “ di tolong (oleh Allah) dengan ketakutan (musuh) dalam jarak sebulan perjalanan”.

Sesungguhnya tentera kuffar itu adalah tentera yang pengecut dan takut mati. Sudah berapa banyak berita yang kita dengar dan kita baca bahawa ramai di kalangan para tentera ini yang telah membunuh diri kerana tidak tahan dengan peperangan yang mereka hadapi. Berapa ramai pula di kalangan mereka yang lari dari markas dan medan peperangan secara sembunyi-sembunyi. Dan ramai lagi yang menjadi cacat dan trauma dengan peperangan yang mereka lalui. Malah, ada di kalangan para tentera ini yang tidak segan silu menangis di hadapan kamera kerana tidak lagi tahan dengan apa yang mereka alami. Justeru, mana mungkin golongan pengecut ini dapat menghadapi individu Muslim, apatah lagi tentera kaum Muslimin, yang tujuan mereka (Muslim) ke medan jihad adalah untuk mencari kematian (syahid) atau kemenangan! Bayangkanlah, jika golongan yang turun ke medan jihad adalah sepasukan bala tentera kaum Muslimin dengan kekuatan sebuah negara, yang di pimpin oleh seorang Khalifah yang beriman dan bertakwa. Sungguh, pasukan kaum Muslimin adalah sebuah pasukan yang tidak akan dapat dikalahkan kerana apabila mereka terjun ke medan jihad, Allah dan malaikat turut bersama mereka.

Berpalinglah Dari Pemimpin Pengkhianat dan Bergeraklah Menuju Khilafah

Kita semua tahu bahawa di sana ada satu perkara lain (selain kelemahan kuasa-kuasa besar itu sendiri) kenapa mereka tidak dapat menetap di Iraq dan Afghanistan di hadapan individu-individu Muslim yang menentang mereka. Perkaranya adalah bahawa kuasa-kuasa tersebut tidak akan berupaya untuk menjejakkan kaki di atas tanah Afghanistan dan Iraq seandainya para pemimipin boneka dan pengkhianat di negara umat Islam tidak membuka pintu-pintu negara mereka untuk musuh-musuh ini, baik dari udara, daratan mahupun lautan. Pemimpin pengkhianat ini bukan sahaja membuka pintu, malah membenarkan musuh menubuhkan pengkalan-pengkalan tentera demi membunuh rakyatnya sendiri! Para pemimpin di negara umat Islam itu sesungguhnya telah menyokong dan membantu kejahatan dan pembunuhan oleh kuasa-kuasa besar tersebut ke atas umat Islam. Hizbut Tahrir yakin bahawa para pemimpin boneka ini tidak akan lagi dapat berkuasa ketika berdirinya Negara Khilafah, dan siapakah dari kalangan mereka itu yang berani untuk menentang Khilafah yang tentera dan umat itu sendiri menjadi penjaga dan pelindungnya? Demikianlah, bahawasanya penegakan Khilafah adalah hakikat yang pasti berlaku pada waktu yang tidak lama lagi dengan izin Allah. Dan bahawa keteguhan serta kestabilannya setelah berdiri adalah perkara yang pasti berlaku InsyaAllah. Dan sesungguhnya tubuh-tubuh kuasa kuffar yang ada pada hari ini akan runtuh-luluh satu per satu dan akan bersemadi di tempat yang hina lagi menghinakan, setelah berdirinya Daulah Khilafah!

Ketahuilah wahai kaum Muslimin! Bahawa para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah pemimpin yang bacul dan pengkhianat. Walaupun mereka melihat saudara seakidah mereka diperkosa, diseksa dan dibunuh dengan kejam di seluruh dunia, namun mereka tetap mengatakan bahawa, “Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana Amerika adalah sebuah negara yang kuat, bahawa ia adalah negara gergasi, sebuah superpower!” Padahal, dalam keadaan lemah, individu-individu umat Islam berjaya menundukkan kekuatan superpower tersebut di Lebanon, Somalia, Iraq dan Afghanistan. Apakah para pemimpin tersebut takutkan Amerika lebih dari mereka takutkan Allah? Apakah Amerika yang memberikan nyawa kepada mereka, menentukan hidup dan mati mereka? Tatkala umat Islam sedang terkapai-kapai bertarung nyawa di seluruh penjuru dunia dilanyak kuffar Barat, para pemimpin hina ini sibuk mengatur lawatan kepada musuh, sibuk mencari keuntungan berunding urusan perdagangan dengan bermanis muka mahupun kata, malah senantiasa bersalaman sambil ketawa dengan musuh. Inilah hakikat pemimpin umat Islam! Mereka mempunyai kuasa dan dan kekuatan, namun mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan umat Islam dari segala penderitaan, sebaliknya mereka berbaik dengan musuh yang meratah umat Islam. Malah para tentera kaum Muslimin turut diam membatu tatkala melihat puak kuffar menumpahkan darah saudara-saudara mereka. Tidakkah para tentera ini terdetik untuk bertanya diri mereka sendiri, untuk apakah mereka menjadi tentera, untuk apakah latihan ketenteraan yang mereka jalani, untuk apakah senjata-senjata canggih yang mereka miliki, jika kesemuanya bukan untuk berjihad di jalan Allah? Tidakkah mereka beriman dengan ayat Allah,

“..Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian (ketika mereka diserang) kerana Islam, kalian mestilah menolong mereka..” [TMQ Al-Anfal (8):72].

Khatimah

Bersempena dengan bulan Mac tahun ini, kami dari Hizbut Tahrir sekali lagi ingin mengingatkan kalian bahawa pada bulan inilah 86 tahun yang lalu, Daulah Khilafah, sebuah institusi agung pelindung dan penyatu umat telah diruntuhkan oleh kuffar Barat dengan bantuan pemimpin kaum Muslimin yang khianat. Sedarlah wahai saudara-saudara sekalian! Hizbut Tahrir ada disekeliling kalian dan bergerak di tengah-tengah kalian untuk mendirikan semula penjaga umat ini. Kami senantiasa berusaha mengetuk pintu rumah-rumah kalian agar kalian membukanya untuk kebaikan ini. Dan kami telah bersumpah bahawa kami tidak akan pernah berehat sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada kita semua atau ajal menjemput kami di jalanNya. Demi Zat yang jiwa kita semua berada dalam genggamanNya, bukalah pintu hati kalian kepada seruan kebenaran ini dan serahkanlah jiwa dan raga kalian kepada Allah kerana hanya kepadaNyalah kita akan kembali tanpa sebarang keraguan. Bergeraklah bersama-sama Hizbut Tahrir wahai umat yang mulia, agar kewajiban ini terlaksana dan redha Allah kembali memayungi hidup kita.

Bergeraklah ke arah kemuliaan dengan menegakkan kembali Daulah Khilafah Ala Minhaj Nubuwwah, yang dengannya Allah akan menghancurkan segala kekufuran dan mengembalikan kemenangan kepada kita semua. Hizbut Tahrir menyeru kalian wahai umat Muhammad! Bangkitlah dan berjuanglah bersama-sama kami ke arah menegakkan semula Daulah Khilafah. Buanglah debu-debu kotor yang sudah lama melekat di tubuh kalian dan serahkanlah segala harta, tenaga dan nyawa kalian kepada Allah demi menegakkan kembali agamaNya. Langkahkan kaki kalian dengan penuh keimanan dan keikhlasan menuju kewajiban ini, nescaya Allah akan mempermudahkan jalan kalian. Sama-samalah kita berganding bahu mendirikan semula Khilafah buat kedua kalinya melalui thariqah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan mintalah pertolongan kepada Allah dalam menjalankan tanggungjawab ini agar Allah mengurniakan kemenangan kepada kita semua di dunia dan akhirat. ALLAHU AKBAR!