SN215 – PERANGKAP AMERIKA DENGAN SIDANG KEMUNCAK NUKLEAR

SN Keluaran 16 April 2010
 
alt
PERANGKAP AMERIKA DENGAN SIDANG KEMUNCAK NUKLEAR

[SN215] Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Washington pada Sabtu lepas bagi lawatan kerja seminggu dan juga menghadiri mesyuarat dua hala dengan Presiden Barack Obama. Najib adalah di antara lebih 40 pemimpin dunia yang dijemput oleh Obama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear selama dua hari bermula Isnin yang dihoskan oleh Obama bagi memupuk kerjasama global dalam memerangi keganasan nuklear. Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis berkata sambutan diberikan kepada Najib begitu luar biasa bagi seorang perdana menteri Malaysia dan itu satu petanda baik bagi dipertingkatkan lagi hubungan antara kedua-dua Negara [UM 10/04/10].

“Perubahan agak mendadak…cara AS melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju dan contoh kepada negara Islam lain. Semestinya kerajaan menimbang ‘mengkaji’ hubungan dengan AS,” jelas Jamaludin lagi. “Jemputan Obama kepada Perdana Menteri bagi menghadiri sidang kemuncak ini suatu kebanggaan kepada Malaysia kerana kita bukan sebuah negara nuklear; dan nampak ia satu anjakan bukan sahaja dalam hubungan dua hala Malaysia-AS malah hubungan AS dengan negara-negara Islam secara keseluruhan,” ujar Jamaludin. Obama hanya mengadakan perbincangan dua hala dengan sembilan sahaja daripada para pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak itu yang antara lain bertujuan memberi fokus kepada soal keselamatan bahan-bahan nuklear selain memastikan teknologi nuklear tidak jatuh ke tangan pengganas [UM 11/04/10]. Pada Sidang Kemuncak itu, Najib menegaskan pendirian Malaysia bahawa program nuklear hanya perlu ditumpukan kepada kepentingan pembangunan dan keamanan semata-mata dan tidak lebih daripada itu [UM14/04/10].

Di sebalik kebanggaan yang diperbesarkan oleh media arus perdana dengan lawatan Najib ini, kita sesungguhnya amat kesal dengannya memandang hakikat bahawa AS adalah sebuah negara kafir harbi fi’lan (kafir yang sedang memerangi umat Islam secara nyata) dan Obama adalah presiden dari negara kufur itu yang saat ini jelas-jelas sedang menjajah negeri kaum Muslimin seperti Iraq dan Afghanistan. Siapa tidak kenal Obama yang merupakan penyokong serta sekutu nombor satu Yahudi Zionis laknatullah yang telah dan sedang memerangi umat Islam dengan ganasnya. AS sendiri sekarang ini masih terus menyerang wilayah perbatasan Pakistan dan Afghanistan. Negeri umat Islam itu kini semakin hancur dibuat AS manakala penduduk Muslimnya ramai yang terbunuh dan hidup menderita. Memanglah dahulu ketika AS menceroboh Iraq dan Afghanistan, AS dipimpin oleh Presiden Bush, tetapi kini ternyata Obama mengambil alih sepenuhnya kekejaman Bush, malah lebih buruk, presiden kulit hitam pertama AS itu telah memutuskan untuk menambah 30 ribu tenteranya ke Afghanistan. Sosok tubuh itulah yang dilawati oleh perdana menteri Malaysia, seorang pembunuh yang amat brutal dan kejam, yang tangannya masih berlumuran dengan darah saudara-saudara kita dan yang tidak memiliki rasa belas kasih sedikit pun terhadap umat Islam. Tidakkah pemimpin Malaysia ini memahami ayat Allah bahawa,

“..mereka (orang-orang kafir) tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu”
[TMQ al-Baqarah (2): 217].

Tidak takutkah para pemimpin ini dengan peringatan dari Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka” [TMQ al-Ma’idah (5):51].

Hukum Sekitar Perjanjian/Kerjasama Pengawalan Senjata Nuklear

Kita semua tahu bahawa AS adalah negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear [Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT)]. NPT yang berkuat kuasa pada 5 Mac 1970 itu kini dipersetujui oleh 189 negara anggota, lima darinya adalah yang diiktiraf sebagai negara yang memiliki senjata nuklear (nuclear weapon states) iaitu AS, Rusia, UK, Perancis dan China. Manakala empat negara bukan anggota yang diketahui memiliki senjata nuklear adalah India, Pakistan, Korea Utara dan Israel. Perjanjian tentang pengawalan sebaran senjata nuklear dan perjanjian pelucutan senjata merupakan perjanjian yang mengikat seluruh negara yang menandatanganinya agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang mengakibatkan tersebarnya senjata nuklear. Negara-negara nuklear dilarang untuk membekalkan senjata nuklear kepada negaranegara non-nuklear. Begitu pula negara-negara yang tidak memiliki senjata nuklear telah menyepakati perjanjian untuk tidak memiliki atau berusaha untuk memiliki senjata nuklear apapun bentuknya.Sedangkan perjanjian pelucutan senjata adalah kesepakatan atas batas-batas pengeluaran/pengembangan nuklear, pemilikan dan penyimpanannya dalam skala tertentu atau mengurangi anggaran untuk aktiviti tersebut atau membersihkan wilayah tertentu dari persenjataan.

Kita tidak pernah mendengar adanya pemimpin umat Islam yang merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah sebelum meratifikasi perjanjian tersebut. Semuanya hanya tunduk membabi buta kepada PBB dan Amerika dan tidak pernah memikirkan apakah hukum Allah ke atas perjanjian-perjanjian seumpama itu. Berdasarkan dalil yang jelas, sesungguhnya perjanjian semacam ini tidak dibenarkan (haram) untuk dimasuki. Negara umat Islam tidak boleh membuat kesepakatan terhadap perjanjian tersebut dan tidak boleh ada kerjasama apatah lagi dengan puak kuffar, terhadapnya. Jika pun negara telah menandatanganinya maka tidak boleh melaksanakannya kerana secara syarienya umat Islam tidak dibenarkan terikat dengan perjanjian seperti itu. Ini kerana perjanjian tersebut melarang negara umat Islam untuk memiliki persenjataan tertentu, dan menjadikan senjata-senjata itu di monopoli hanya oleh negara-negara tertentu, khususnya negara kuffar. Allah SWT berfirman,

“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka (orangorang kafir) kekuatan apa saja yang kamu mampu dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan orangorang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya” [TMQ al-Anfal (8):60].

Ibnu Abbas berkata bahawa yang dimaksudkan al-quwwah dalam ayat di atas adalah ‘panah, pedang dan senjata’ [Dar al-Mantsur, IV/ 471, Fath al-Qadir III/200]. Dan persiapan di sini merangkumi persiapan semua jenis senjata. Perintah Allah itu mencakup seluruh jenis persenjataan yang dapat disediakan oleh kaum Muslimin dan senjata itu hendaklah memiliki sifat ‘mampu menggentarkan musuh’ sebagaimana illat (sebab terbit hukum) ayat tersebut yakni kedudukan kuda (pada masa itu) yang dapat menggentarkan hati dan perasaan musuh. Kaum Muslimin tidak boleh berdiam diri (apatah lagi menolak) untuk memiliki senjata tersebut (senjata yang dapat menakutkan musuh) selama hal itu berada di dalam kemampuan mereka. Dan jenis persenjataan yang boleh menggentarkan musuh saat ini termasuklah senjata nuklear ataupun senjata-senjata canggih lainnya. Justeru, kita di perintah oleh Allah untuk memilikinya dan wajib berusaha sekeras mungkin untuk memilikinya, bukan malah sebaliknya berusaha atau berjanji dengan musuh Allah untuk tidak memilikinya! Perjanjian pengawalan penyebaran senjata-senjata nuklear atau perjanjian pelucutan senjata sesungguhnya melarang kaum Muslimin untuk memiliki jenis senjata yang mampu menggentarkan musuh. Oleh kerana itu, tidak boleh (haram) bagi kaum Muslimin untuk bersetuju atau terikat dengan perjanjian seperti itu, kerana hal ini jelas bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dengan demikian perjanjian-perjanjian semacam ini adalah perjanjian yang diharamkan, tidak boleh menandatangani atau menyepakatinya mahupun melaksanakannya dalam apa keadaan sekalipun.

Jika kita meneliti hubungan antarabangsa dewasa ini, kita akan dapati bahawa perjanjian pembatasan dan pelucutan senjata telah dijadikan alat penipuan oleh puak-puak kuffar ke atas musuh mereka. Rusia dan Amerika sebagai contoh, telah menandatangani perjanjian SALT-I dan SALT-III, setelah keduanya membekukan perjanjian SALT-II, namun pelaksanaannya secara praktis merupakan perkara yang jauh panggang dari api. Di sebalik ‘gahnya’ proses dan upacara tandatangan, perjanjian-perjanjian ini akhirnya hanya wujud di atas kertas semata-mata. Amerika ternyata telah mengembangkan peluru berpandu antara benua MX dan memutuskan untuk mengeluarkan lebih banyak pesawat pengebom strategis B-1, padahal SALT-I memperuntukkan dengan jelas tentang batas pengeluaran/pengembangan senjata-senjata ini. Namun, mereka dengan ‘selamba’ melanggar segala perjanjian yang telah mereka sepakati sendiri. Begitulah halnya dengan kewujudan NPT di mana negara-negara kuffar ini kononnya bersepakat untuk tidak melakukan pengembangan senjata nuklear, namun hakikatnya itu semua adalah pembohongan yang nyata! Bukanlah pemimpin umat Islam itu buta matanya dari melihat semua ini, namun sayangnya hati mereka buta dalam menanganinya. Mereka tunduk patuh membabi buta dengan perjanjian haram itu manakala dalam masa yang sama puak kuffar semakin enak mempermain dan memperbodohkan mereka dengannya.

Hukum Memiliki Dan Menggunakan Senjata Nuklear

Pada masa Rasulullah SAW, jenis-jenis senjata yang digunakan untuk berperang terdiri dari pedang, panah, dan tombak. Meskipun demikian, Rasulullah SAW juga menggunakan jenis senjata seperti manjaniq, yang dapat digunakan untuk melontarkan batu, bara api, ataupun air panas ke dalam benteng musuh. Segala peralatan dan strategi tersebut tentu sahaja sangat berbeza dengan peperangan moden dewasa ini. Senjata-senjata yang pernah digunakan kaum Muslimin di masa lalu sudah tidak lagi digunakan di dalam peperangan sekarang ini. Teknologi persenjataan telah berkembang dengan cepat seiring dengan tidak pernah berhentinya aktiviti peperangan dan jihad. Senjata-senjata nuklear, kimia, mahupun biologi, bahkan senjata-senjata aeroangkasa pun telah direka cipta. Senjata-senjata tersebut memberikan kesan dalam skala yang besar sehingga dikategorikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran. Dalam menjawab persoalan apakah senjata-senjata tersebut boleh digunakan, pertamanya kita hendaklah faham bahawa Allah SWT telah memerintahkan kita (kaum Muslimin) untuk berjihad di jalanNya dan Allah tidak pernah membatasi atau menentukan jenis persenjataan yang boleh digunakan tatkala melakukan jihad fi sabilillah. Nas-nas syarak tidak menetapkan atau menjelaskan jenis dan bentuk persenjataan mahupun sarana tertentu yang mesti digunakan untuk memerangi musuh.

Oleh yang demikian, selama mana tidak ada nas yang mentakhsis (mengkhususkan) penggunaan jenis senjata, maka kaum Muslimin boleh menggunakan apa jua senjata, termasuk senjata-senjata pemusnah besar-besaran, ketika menghadapi dan memerangi negara-negara kafir/musyrik meskipun musuh tidak menggunakan senjata-senjata tersebut. Di dalam kitab Asy-Syakhsiyyah Al- Islamiyyah Jilid II, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani berkomentar, Sesungguhnya kaum Muslimin dibolehkan menggunakan senjata nuklear dalam peperangan melawan musuhnya meskipun musuhnya itu belum menggunakannya. Sebab, negeri-negeri (musuh) itu seluruhnya telah membolehkan penggunaan senjata nuklear di dalam peperangan. Dibenarkan menggunakannya meskipun senjata-senjata nuklear itu tidak boleh digunakan kerana boleh membinasakan manusia, sedangkan jihad itu adalah untuk menghidupkan manusia dengan Islam, bukan untuk menghabisi umat manusia.

Untuk hal-hal yang berkaitan dengan bagaimana/cara memperlakukan musuh, Islam memberikan kekuasaan pada Khalifah dan umat Islam untuk membalas apa yang dilakukan musuh kepada kita, termasuk menghalalkan tindakan yang mereka lakukan terhadap umat Islam. Allah berfirman “Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu, akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar” [TMQ al-Nahl (16):126].

Adapun asbabun nuzul ayat ini berlaku ketika orang-orang musyrik telah berbuat sewenangwenangnya ke atas kaum Muslimin ketika perang iaitu membelah perut, memotong alat kelamin dan menghiris hidung. Tidak satu pun yang lepas dari kejahatan mereka ini kecuali Handzalah bin al- Rohib. Rasulullah SAW berdiri dan melihat pemandangan yang menyayat hati ini ketika di depannya terbaring mayat Hamzah yang mengalami hal yang serupa di mana perutnya terbelah dan hidungnya dipotong rata. Kemudian Nabi bersabda, “Ketahuilah aku bersumpah, jika Allah memberikan kemenangan kepadaku, aku akan melakukan hal yang serupa ke atas 70 orang sebagai gantimu”. Lalu turunlah ayat di atas dalam kondisi perang tersebut. Ayat tersebut, meskipun melarang melakukan ‘pembalasan yang lebih’ dari perlakuan musuh, tetapi secara tegas membolehkan melakukan ‘pembalasan yang serupa’ dengan perbuatan mereka. Memang benar terdapat beberapa hadis menyebutkan keharaman al-tantsil (memotong anggota tubuh seperti hidung dan telinga), namun perlu difahami bahawa keharaman tersebut hanya berlaku jika pihak musuh tidak melakukan hal itu terhadap kaum Muslimin. Jika musuh melakukan hal demikian terhadap korban umat Islam, maka kita pun boleh melakukan hal yang serupa.

Contoh lain adalah berkhianat dan melanggar perjanjian. Jika pihak musuh melanggar perjanjian atau dikhuatiri akan melanggar perjanjian, maka kita pun boleh melakukannya. Jika tidak, maka kita pun tidak boleh melakukannya. Meskipun terdapat nas larangan melanggar perjanjian, tetapi ia menjadi boleh dan sah demi kepentingan dan strategi perang. Kerana larangan itu hanya berlaku jika pihak musuh tidak melakukannya. Namun jika mereka melakukan (melanggar perjanjian), maka umat Islam pun boleh melakukan hal yang sama. Firman Allah,

“Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur”
[TMQ al-Anfal (8):58].

Berdasarkan hal ini, maka senjata nuklear boleh digunakan oleh umat Islam dalam peperangan melawan musuh meskipun musuh belum menggunakannya, sebab semua negara telah mensahkan penggunaan senjata nuklear dalam peperangan, maka kita pun boleh menggunakannya [Taqiyuddin an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah Al-Islamiyyah, Jilid II].

Meskipun demikian, bukanlah bererti Daulah Khilafah secara semberono akan menggunakan senjata pemusnah besar-besaran ini. Sebab, hakikat jihad fi sabilillah bukanlah untuk membinasakan manusia, melainkan untuk menghancurkan halangan-halangan fizik yang menghadang umat manusia dari menerima cahaya Islam, sehingga orang-orang kafir/musyrik dapat menyaksikan dan menikmati sendiri akan keindahan Islam. Lagi pula, hendaklah dibezakan di antara ‘pemilikan’ senjata ini dengan ‘penggunaannya’. Dalam keadaan biasa, senjata ini tidak boleh digunakan kecuali jika politik peperangan amat mendesak untuk digunakan seperti jika musuh dikhuatiri akan menggunakannya. Di luar dari keadaan ini, maka tidak boleh menggunakannya. Namun ia boleh dimiliki sebagai sarana pengancam (menggentarkan musuh) yang efektif. Dan realiti waktu ini sesungguhnya menunjukkan hal yang demikian.

Khatimah

Sesungguhnya telah nyata bahawa AS adalah sebuah negara muharibah fi’lan. Justeru, hubungan yang sepatutnya wujud di antara negara umat Islam dan negara kufur itu adalah hubungan perang, tidak lebih dari itu. Sidang Kemuncak yang diadakan itu tidak lebih dari siri pembohongan dan perangkap AS ke atas kita semua. Tidak cukupkah dengan fakta bahawa AS sendiri adalah sebuah negara yang sentiasa membangun teknologi senjata nuklear dan Israel pula adalah sebuah negara nuklear yang senantiasa ditolong dan dilindungi oleh AS, untuk membuatkan pemimpin umat Islam berfikir sedikit akan kelicikan dan penipuan AS dalam sidang kemuncak untuk ‘keamanan’ dunia ini? AS kononnya khuatir senjata nuklear ini jatuh ke tangan pengganas walhal hakikatnya senjata nuklear ini sudah pun berada di tangan pengganas (AS)! Menghadiri sidang kemuncak ini hanyalah memberi jalan kepada kuffar Barat untuk menguasai orang-orang Islam yang jelas-jelas diharamkan oleh Allah di dalam Al-Quran [lihat Surah 4:141]. Dan sesungguhnya bekerjasama dengan Amerika dalam hal ini hanyalah merupakan kerjasama dengan musuh Allah ke arah meraih dosa dan azab. Firman Allah,

“..dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa (maksiat) dan pelanggaran dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya
[TMQ al-Ma’idah (5):2].

Wallahu a’lam.