SN249 – SERUAN HIZBUT TAHRIR KEPADA MAJLIS TERTINGGI ANGKATAN TENTERA MESIR


PDF

SN Keluaran 18 Februari 2011  

  alt

SERUAN HIZBUT TAHRIR KEPADA MAJLIS TERTINGGI ANGKATAN TENTERA MESIR
 
 [SN249] Pada 10 Februari 2011 Mubarak muncul di siaran televisyen kerajaan dan dengan penuh sombong menyatakan bahawa dia tidak akan meletak jawatan sehinggalah pilihanraya pada bulan September nanti. Namun pada keesokannya, Allah Yang Maha Kuasa telah merentap kekuasaan Mubarak yang kejam itu. Sebelum kejatuhannya, seluruh dunia Islam menunggu dan menyaksikan dengan penuh harapan agar Mubarak yang terkenal brutal itu tumbang dari kerusi pemerintahan yang telah didudukinya selama 30 tahun. Diktator Mesir itu akhirnya tersungkur dengan hina dari takhtanya selepas 18 hari protes besar-besaran tanpa henti dari rakyatnya sendiri. Kekuasaan Mubarak sebagai Firaun alaf baru itu, kini tinggal menjadi sejarah busuk pemerintahan Mesir secara khususnya dan pemerintahan dunia secara amnya.
New York Times menyifatkan Mubarak sebagai ‘an ally of the United States who has been instrumental in implementing American policy in the region for decades’ (sekutu rapat Amerika Syarikat yang menjadi pelaksana kepada polisi AS di rantau tersebut berdekad lamanya). Pada petang 11 Februari lalu, pengabdi Amerika itu telah dihumbankan oleh rakyatnya ke dalam bakul sampah sejarah. Seperti para pemimpin pengkhianat sebelumnya, Hosni Mubarak akan pasti mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang telah dia lakukan, apabila dia bertemu dengan Penciptanya nanti.

Hosni Mubarak yang merupakan bekas Ketua Marshal Udara Mesir, menjadi Naib Presiden kepada Anwar Sadat pada tahun 1975. Dengan jawatan tersebut, dia telah berkhidmat dengan penuh taat setia dalam melaksanakan polisi pemerintahan Sadat. Dia terlibat di dalam rundingan kerajaan yang melibatkan perjanjian untuk menerima Israel sebagai sebuah negara di atas tanah kaum Muslimin, yang mana, kerana perjanjian inilah Anwar Sadat dibunuh. Semenjak menjadi presiden pada tahun 1981, tidak ada seorang pun pemimpin umat Islam yang menjadi abdi yang lebih setia kepada AS sebagaimana Mubarak. Dia memerintah rakyat dengan kekejaman yang amat menakutkan, menangkap, menyeksa dan melakukan segala cara bagi memastikan seruan perubahan kepada Islam langsung tidak kedengaran dan tidak mendapat momentum. Dia menjaga kewujudan Israel dengan menutup mata terhadap segala pembunuhan besar-besaran yang dilakukan oleh Israel ke atas umat Islam di Palestin. Di dalam serangan brutal Israel tahun 2009 yang lalu ke atas Gaza, si diktator ini telah memastikan umat Islam di Palestin dibunuh sewenang-wenangnya oleh Israel dengan menutup sempadan Rafah. Sungguh, Mubarak sebenarnya tidak ada beza sedikit pun dengan Firaun!

Kini mata seluruh dunia tertumpu ke Mesir. Kepentingan dan keistimewaan Mesir sememangnya jelas pada mata setiap orang. Kepentingan Mesir ini telah ditekankan secara terus-menerus oleh para pegawai AS sejak beberapa minggu lepas. Amerika sangat bergantung kepada Mesir untuk memastikan Israel terus wujud. Mesir juga merupakan negara yang sangat hebat. Mesir menjadi penyambung kepada benua Afrika dan benua Asia. Mesir juga menjadi jalan pintas dunia Selatan menuju dunia Utara dan dunia Barat menuju dunia Timur dan sebaliknya. Mesir sering dirujuk sebagai ibu kepada negara-negara Arab di mana ia mempunyai populasi yang tertinggi dan seluruh dunia Arab memerhatikan Mesir dari aspek kepimpinan. Dari segi sejarah, Mesir memiliki tempat-tempat yang unik, kerana itulah pelbagai kuasa dunia berusaha untuk menguasainya. Bebasnya Mesir dari pengaruh penjajah bermakna bebasnya sebuah negara yang sangat strategik, yang secara pasti akan memberi impak kepada dunia Islam dan Insya Allah akan mengembalikan Mesir kepada umat Islam. Atas dasar ini, Mesir sesungguhnya merupakan tanah yang tidak akan dilepaskan oleh Amerika dengan mudah.

Dalam pada banyak pihak sedang bercakap mengenai tumbangnya seorang Firaun, kita mesti ingat bahawa arkitek Mubarak dan penggantinya masih tetap sama! Setakat ini, apa yang berlaku di Mesir adalah, seorang Firaun yang berusia 82 tahun yang ingin melantik anaknya sebagai pengganti, telah ‘ditendang’ oleh tentera. Namun hakikatnya, tentera yang sama masih berkuasa di Mesir. Tentera ini adalah tentera yang dibiaya hampir sepenuhnya oleh Amerika dan dilatih oleh Amerika di mana Ketua Turus Angkatan Tenteranya, Leftenan Jenderal Sami Annan dan juga Menteri Pertahanannya, Mohamed Hussein Tantawi, tidak pernah putus menghubungi Amerika di sepanjang tempoh kebangkitan rakyat sejak 3 minggu lepas. Amerika secara konsisten cuba membentuk masa depan Mesir dengan memanipulasi semua suara yang inginkan penegakan Islam di Mesir dan ‘membersihkan’ semua suara tersebut dengan seruan kebebasan dan demokrasi.

Umat Islam di Mesir dan di seluruh dunia hendaklah sedar dan ingat bahawa sesungguhnya seruan Amerika kepada demokrasi adalah seruan kepada kekufuran! Demokrasi adalah sebuah sistem kufur ciptaan Barat dan bertentangan seratus peratus dengan Islam. AS cuba menipu umat Islam dengan mengatakan bahawa demokrasi adalah satu sistem yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih pemimpin melalui pilihanraya. Walhal, demokrasi adalah lebih dari sekadar itu. Demokrasi adalah sebuah sistem di mana undang-undang negara dibuat oleh manusia melalui suara majoriti. Ia meletakkan kedaulatan di tangan rakyat di mana rakyatlah yang berkuasa untuk membuat undang-undang yang disukainya. Walhal di dalam Islam kedaulatan adalah di tangan syarak di mana setiap Muslim hendaklah tunduk patuh kepada hukum syarak dan haram baginya membuat undang-undang. Kita telah menyaksikan selama ini pembohongan dan penyesatan yang dibawa oleh demokrasi di seluruh dunia. Kekuasaan akan berada pada segelintir mereka yang kaya dan mereka yang berkuasa (pemimpin) ini menjadi pembolot segala kekayaan negara manakala rakyat tetap hidup di dalam penderitaan dan terus-menerus ditipu pada setiap pilihanraya. Akibatnya, rakyat tidak pernah berpuas hati dan bangkit melahirkan protes di jalan-jalan raya dari masa ke semasa. Kadang-kadang protes secara besar-besaran yang dilakukan oleh rakyat boleh menyebabkan tumbangnya sesebuah rejim pemerintahan seperti yang telah berlaku di Indonesia, Tunisia dan terbaru, Mesir.

Namun, sungguh sayang dan amat malang apabila rakyat berjaya menumbangkan sesebuah kerajaan namun rakyat masih tetap menyeru dan berusaha untuk mengekalkan sistem yang sama yakni sistem demokrasi, walhal sistem inilah yang telah membuatkan mereka menderita selama ini. Amerika berusaha keras untuk menipu umat Islam dengan laungan demokrasinya. Amerika menyeru agar diadakan pilihanraya yang dikatakan demokratik dan menyeru rakyat agar menunaikan hak masing-masing dengan keluar mengundi. Umat Islam yang jahil dan terkeliru merasa ‘kagum’ dan terpaut dengan seruan demokrasi ini, seolah-olah dengan keluar mengundi wakil yang mereka ingini, maka nasib mereka bertambah baik. Mereka tidak sedar bahawa apa yang berlaku hanyalah pertukaran seorang pemimpin kepada pemimpin lainnya padahal hakikatnya sistem yang dianuti masih tetap sama. Akhirnya, umat Islam tetap menderita dan terus menderita kerana ditipu oleh demokrasi.

Demokrasi sebagai sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat sesungguhnya tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada umat Islam. Selama mana umat Islam tetap mengikuti sistem kufur ini, maka selama itulah umat Islam akan terus berada di bawah dominasi dan kekuasaan kuffar. Barat menjadikan diri mereka sebagai ‘pengadil’ ke atas umat Islam. Mereka menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh diambil oleh umat Islam. Mereka menentukan bahawa umat Islam mesti mengambil sistem demokrasi dan tidak boleh mengambil sistem lain. Siapakah Amerika yang ingin menjadi ‘penentu’ kepada umat Islam? Sebagai Muslim, kita hendaklah melihat kepada Islam dan Islam semata-mata dan tidak sepatutnya terpengaruh dengan seruan Barat. Apabila kita meneliti dengan hati yang jernih, Insya Allah kita akan memahami bahawa sistem pemerintahan Islam adalah sistem Khilafah dan bukannya sistem demokrasi. Sistem Khilafah ini sesungguhnya telah diamalkan oleh umat Islam sejak lebih 1300 tahun yang lalu dan sistem Khilafah inilah yang telah menaungi Mesir selama tempoh tersebut. Oleh itu, kita mengharapkan agar rakyat Mesir tidak terus tertipu dengan usaha Amerika untuk memasukkan demokrasi ke Mesir kerana sesungguhnya rakyat Mesir selama ini telah lama ditipu dan ditindas di bawah sistem kufur demokrasi ini.

Kepada umat Islam yang berada di luar Mesir, termasuklah di Malaysia, kami ingin menyedarkan dan mengingatkan kalian agar tidak turut terperangkap dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh Amerika. Sekiranya ada gerakan Islam atau umat Islam yang menyeru ditegakkan atau dikembalikan demokrasi di Mesir, maka seruan mereka ini sesungguhnya tidak ubah seperti seruan Amerika! Apakah kalian masih tidak sedar bahawa sekiranya kalian menyeru kepada demokrasi, maka seruan kalian sesungguhnya tidak ada bezanya dengan Amerika! Sedarlah dan jauhilah seruan kepada kekufuran ini dan kembalilah kepada seruan yang sebenar. Sesungguhnya Mesir memerlukan perubahan sebenar yakni perubahan dari sistem demokrasi kepada sistem Khilafah. Inilah seruan yang benar yang perlu ditujukan kepada penduduk Mesir!

Dalam situasi sekarang di mana teraju pemerintahan Mesir diambil alih oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tenteranya maka Hizbut Tahrir menyeru dan mengingatkan para anggota Majlis Tertinggi ini agar berpaling dari kuffar Amerika dan kembali menumpahkan taat setia hanya kepada Allah Azza Wa Jalla semata-mata. Hizbut Tahrir menyeru agar mereka segera menerapkan sistem Khilafah di bumi Mesir dan kemudian menyeru negara-negara kaum Muslimin lainnya agar turut bergabung di bawah pemerintahan Khilafah yang satu. Kekuasaan Mesir kini berada di tangan mereka, maka Allah akan mempertanggungjawabkan mereka mengenainya. Sekiranya mereka menuruti perintah Allah dan RasulNya dengan menerapkan Islam, maka itulah yang sebaiknya bagi mereka dan bagi umat Islam. Namun sekiranya mereka memilih untuk memaksiati Allah dan RasulNya, maka Allah sekali-kali tidak akan melepaskan mereka, sebagaimana Allah tidak akan melepaskan Mubarak dari pengadilanNya.
 

***************************************************************************
[Berikut adalah terjemahan surat yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir Pusat yang disebarkan ke seluruh dunia, khususnya di Mesir sendiri]
 
Dari Hizbut Tahrir Kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir
Bismillahirrahmanirrahim

Penjaga Kedua Camp David Telah Jatuh!

Tiga puluh tahun yang lalu Anwar Sadat telah dijatuhkan dengan keras oleh aktivis Mukmin Mesir. Itu merupakan balasan kejahatan yang telah dilakukannya berupa penandatanganan perjanjian Camp David yang penuh pengkhianatan dengan entiti Yahudi yang merampas Palestin, bumi Isra’ dan Mi’raj dan bumi kiblat yang pertama.

Hari ini, Hosni Mubarak, pewaris Sadat dalam menjaga Perjanjian Camp David, yang memelihara peruntukan-peruntukannya dan yang melaksanakan isi kandungannya yang penuh pengkhianatan kepada Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukmin, telah jatuh dan terusir..

Kedua-dua orang itu jatuh akibat dari tangan-tangan mereka sendiri setelah keduanya membina singgahsana-singgahsana serta membolot kekayaan yang melimpah ruah yang kemudiannya terpaksa mereka tinggalkan di belakang!

“Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh” [TMQ ad-Dukhan (44):29].

Kedua-dua orang itu jatuh dari takhta masing-masing setelah keduanya mengabdi diri kepada Amerika, bukannya kepada Allah. Amerikalah yang menguasai lisan dan jari jemari keduanya walhal sesungguhnya Amerika tidak berguna dan tidak akan dapat menyelamatkan keduanya sedikitpun di hadapan Allah kelak.

“Dan angkatan perangmu sekali-kali tidak akan dapat menolak dari kamu suatu bahayapun, biarpun ia banyak dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman” [TMQ al-Anfal (8):19].

Kedua-dua orang itu kini sudah jatuh dan keduanya jatuh dengan tidak meraih kebaikan apa-apa pun bahkan sebaliknya mendapatkan kehinaan di dunia.

“Dan sesungguhnya seksaan akhirat lebih menghinakan sedang mereka tidak diberi pertolongan”
[TMQ Fussilat (41):16].

Kedua-dua orang itu telah tersungkur…begitulah kesudahan bagi setiap pengkhianat tidak kira berapa lamapun mereka berkuasa – para pengkhianat yang tidak berhukum dengan Islam, tidak memberikan kesetiaan mereka kepada Allah dan RasulNya, sebaliknya setia kepada kaum kafir penjajah dan berkonspirasi dengan kaum kafir penjajah ke atas negeri-negeri kaum Muslimin…

Kedua-dua orang itu telah jatuh…maka apakah orang-orang zalim tidak merenungkan perkara ini, sebelum Allah mendatangi mereka dari arah yang tidak mereka sangka-sangka?

“Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbeliak”
[TMQ Ibrahim (14):42].

Tidakkah para penguasa yang menandatangani perjanjian khianat dengan entiti Yahudi atau meneutralkan hubungan dengan entiti Yahudi atau berunding dengan Yahudi ini faham bahawa kesudahan mereka di dunia adalah gelap sebelum mereka menuju akhirat? Atau apakah mereka itu tuli, bisu dan buta sehingga mereka tidak mengerti?

Mesir Kinanah dan penduduknya telah bangkit melawan kezaliman. Dataran Tahrir (Tahrir Square) telah berubah menjadi masjid (tempat sujud) yang bergema dengan takbir, menandakan kemunculan fajar baru…Namun apakah fajar baru ini benar-benar akan menjadi fajar Khilafah di bumi Kinanah, fajar yang akan menghapuskan perjanjian khianat, fajar yang akan mengembalikan kemenangan ke atas bumi Palestin dan fajar yang akan membebaskan Palestin dari najis Yahudi? Apakah fajar baru ini akan menjadi fajar yang akan menghapuskan entiti Yahudi, sebuah entiti yang dijaga oleh Amerika mulai dari urusan makanan hinggalah persenjataan dengan disaksikan dan didengar oleh para penguasa yang khianat di negeri-negeri kaum Muslimin dengan penuh penghargaan dan keredhaan?

Amerika telah campurtangan dan merosakkan Mesir Kinanah dalam jangka waktu yang cukup lama. Segala hal ini dilakukan oleh Amerika dengan cukup senang kerana urusannya dipermudahkan oleh para penguasa yang tidak memiliki rasa malu kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin…

Dan hal ini masih terus berlangsung sehinggalah ke peristiwa mutakhir ini. Hingga kini Amerika masih terus ‘menghulurkan batang hidungnya’ dan menyibukkan dirinya di dalam urusan Mesir melalui lidah Obama, lidah wakil dan juga lidah penasihatnya. Bukankah sudah tiba saatnya batang hidung Amerika itu dipatahkan, pengaruh Amerika di Mesir itu dibinasakan dan lidah-lidah itu dipotong, sehingga Mesir kembali bebas dan mulia sebagai kinanah Allah di muka bumi ini?

Hizbut Tahrir dengan ini menyeru kepada mereka yang ikhlas di dalam Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mana Allah telah memberikan kepada kalian kekuasaan, agar menumpahkan kesetiaan kalian hanya kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin dan memutuskan segala bentuk kesetiaan kepada selain dari itu…

Hizbut Tahrir dengan ini menyeru agar kalian menegakkan kembali Khilafah dan memerintah dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah serta berjihad di jalanNya. Cabutlah pengaruh dan cengkaman kuffar kolonialis dari akar-akarnya dan kembalikanlah sejarah kegemilangan Palestin dengan mengikuti jejak langkah pembebas Palestin yang terdahulu yang telah berusaha membersihkan bumi Palestin daripada najis pasukan Salib dan Tatar sehingga mereka berjaya membebaskan bumi yang diberkati itu dari kaum kuffar penjajah…

”Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa”
[TMQ al-Hajj (22):40].

Hizbut Tahrir
09 Rabiul Awal 1432H / 12 Februari 2011