SN253 – BOLEHKAH DNA MENJADI BUKTI?
SN Keluaran 18 Mac 2011
BOLEHKAH DNA MENJADI BUKTI?
Dalam perkembangan yang berkaitan, desakan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA secara sukarela bagi menyelesaikan misteri lelaki ‘Y’ terus disuarakan lebih 30 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhimpun di Hotel Grand Seasons. Malah, kesemua yang hadir pada perhimpunan anjuran Gabungan NGO Malaysia (GNM) itu turut sependapat meminta mahkamah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kuasa bagi mendesak Ketua Pembangkang tersebut berbuat demikian sekiranya beliau masih berdegil [UM 17/03/11].
Di Nibong Tebal Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dengan kerjasama PAS dan DAP mengadakan demonstrasi membantah tindakan sesetengah pihak yang disifatkan cuba mempolitikkan isu DNA Anwar. Ketuanya, Amir Md Ghazali ketika mengetuai demonstrasi aman di perkarangan tol Jawi pada 16 Mac lepas, berkata, bantahan yang diadakan oleh badan bukan kerajaan atau NGO kebelakangan ini adalah didalangi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Dalam masa yang sama di dewan parlimen, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli membangkitkan isu pertuduhan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang mencetuskan kemarahan anggota parlimen kerajaan. Perdebatan tercetus selepas Hatta dalam perbahasan Titah Diraja, menyentuh kempen yang akan dibuat PKR sebagai respons kepada isu liwat membabitkan Ketua Pembangkang yang bertemakan DNA-Datuk Najib Altantuya [harakahdaily.net].
Sautun Nahdhah siri 207 (tajuk: Anwar Saiful Dan…) telah pun menyentuh isu perbicaraan liwat Anwar-Saiful yang tidak dijalankan mengikut Islam dan kali ini, kita akan membincangkan satu lagi kesalahan perbicaraan yang dilakukan oleh mahkamah taghut ini dari aspek ‘pembuktian’ (al-baiyyinat) yang digariskan oleh Islam.
Jenis-jenis Pembuktian Di Dalam Islam
Hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinaat) menurut Islam adalah sama seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, di mana, ia merupakan hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat tafsiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da’ur mendefinisikan ‘bukti’ (al-baiyyinat) sebagai ‘semua hal atau perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan’. Bukti juga merupakan hujah bagi orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan bahawa al-baiyyinat (bukti) itu terdiri dari 4 jenis iaitu:-
(i) Pengakuan
(ii) Sumpah
(iii) Kesaksian
(iv) Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan.
Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan oleh syarak dan tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak selain dari 4 kategori bukti di atas. Banyak pihak yang masih terkeliru yang menganggap bahawa ‘indikasi’ (qarinah) adalah bukti, walhal qarinah tidaklah termasuk sebagai bukti menurut syarak [Syeikh Ahmad ad-Da’ur, Ahkam al-Baiyyinat Fil Islam].
Untuk mengatakan/memasukkan sesuatu itu sebagai baiyyinat (bukti), maka ia hendaklah berdasarkan dalil, bukannya berdasarkan akal, apatah lagi berdasarkan undang-undang taghut yang ada sekarang. ‘Pengakuan’ (al-iqrar) telah ditetapkan (sebagai bukti) berdasarkan nas yang jelas, yang tercantum di dalam Al-Quran dan juga Hadis. Allah SWT berfirman,
“Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil janji dari kamu (iaitu) kamu tidak akan menumpahkan darahmu (membunuh orang) dan kamu tidak akan mengusir dirimu (saudaramu) dari kampung halamanmu, kemudian kamu berikrar (akan memenuhinya) sedang kamu mempersaksikannya” [TMQ al-Baqarah (2):84].
Maksudnya, kemudian kalian berikrar (memberi pengakuan) dengan isi perjanjian tersebut dan kebenarannya. Dan Allah SWT telah menetapkan bahawa iqrar (pengakuan) mereka, lalu iqrar mereka menjadi hujah bagi mereka. Dalam hadis tentang Ma’iz telah disebutkan dari Ibnu ‘Abbas,
“Bahawa Nabi SAW bertanya kepada Ma’iz bin Malik, ‘Apakah benar apa yang telah disampaikan kepadaku tentang dirimu?’ Ma’iz bertanya kembali, ‘Apakah yang telah disampaikan kepadamu tentang diriku?’ Nabi SAW menjawab, ‘Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau telah berzina dengan hamba perempuan keluarga si fulan’. Ma’iz menjawab, ‘Benar’. Kemudian bersaksilah empat orang saksi. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar Ma’iz direjam. Maka direjamlah Ma’iz.”
Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda,
“Wahai Unais (seorang lelaki dari Bani Aslam)! Temuilah wanita itu, jikad ia mengaku, maka rejamlah dia.”
‘Sumpah’ (al-ayman) telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyinnah) baik di dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah. Allah SWT berfirman,
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarat (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa yang tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffaratnya adalah puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar)” [TMQ al-Maidah (5):89].
Di dalam hadisnya, Rasulullah SAW bersabda,
“Bukti itu wajib bagi orang yang mendakwa sedangkan sumpah itu wajib bagi orang yang mengengkari(menafikan)nya.”
‘Kesaksian’ (syahadat) juga telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyyinah), baik dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah. Allah SWT berfirman,
“Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antara kamu. Jika tak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan” [TMQ al-Baqarah (2):282].
Nabi SAW bersabda,
“Dua saksi dari kalian atau sumpahnya.”
Sedangkan ‘dokumen-dokumen bertulis’ telah ditetapkan dalilnya (sebagai baiyyinah) di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman,
“Dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil mahupun besar sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah dan lebih dapat menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah muamalahmu itu), kecuali jika muamalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu tidak menulisnya” [TMQ al-Baqarah (2):282].
Ayat ini menunjukkan bahawa bukti-bukti bertulis, baik berupa dokumen-dokumen perdagangan, laporan-laporan tertulis dan lain-lain adalah termasuk dalam kategori bukti-bukti (al-baiyyinat) secara syar’ie.
Kesemua jenis baiyyinat yang telah disebutkan di atas adalah digali (dan telah ditetapkan) dalilnya dari Al-Quran dan juga As-Sunnah. Sedangkan indikasi (qarinah) tidak dianggap (tidak termasuk) sebagai sebahagian dari baiyyinat secara syar’ie, tidak kira samada qarinahnya bersifat qat’ie (pasti) mahupun tidak. Sebab, tidak ada satu dalil/nas pun yang menunjukkan bahawa ‘indikasi’ (qarinah) merupakan baiyyinah yang syar’ie. Baiyyinah tidak diakui sebagai baiyyinah yang syar’ie kecuali ada dalil yang menetapkannya atau termasuk sebahagian dari dalil-dalil. Oleh kerana itu, seorang detektif/penyiasat atau anjing pembantu tidak termasuk sebagai baiyyinat yang syar’ie. Walaupun benar bahawa qarinah seorang detektif atau anjing pembantu dan sebagainya boleh digunakan untuk menyelidiki/menyiasat suatu kejadian, akan tetapi ‘penyelidikan/siasatan’ dan ‘bukti’ adalah dua hal yang berbeza. Pelbagai hal mungkin sahaja boleh digunakan untuk menyiasat, misalnya ‘ucapan’ seorang pembunuh yang menuduh bahawa orang lain (si fulan bin si ulan) adalah orang yang membunuh. Ucapan ini boleh sahaja digunakan untuk menyiasat si fulan, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai bukti atas suatu dakwaan.
Rasulullah SAW ketika bertanya tentang seorang jariyah (hamba perempuan) yang terbunuh, siapakah yang telah membunuhnya, kemudian disebut nama si fulan dan si fulan, yang mengisyaratkan kepada nama seorang Yahudi, baginda tidak menetapkan ucapan itu sebagai baiyyinah meskipun baginda tetap melakukan penyiasatan terhadap lelaki Yahudi tersebut berdasarkan apa yang didengarnya tadi. Selanjutnya, lelaki Yahudi itu dipanggil dan dia mengakuinya, maka Yahudi itu pun dibunuh (qisas). Demikianlah kedudukan qarinah atau yang sejenisnya yang harus diselidiki terlebih dahulu, tetapi tidak boleh dijadikan sebagai bukti.
Adapun tentang keterangan atau maklumat yang diperolehi dari orang-orang yang ahli/pakar, laporan-laporan yang jelas dan terang dari pakar dan sebagainya, kesemua hal ini tidak termasuk sebagai baiyyinah. Kesemuanya hanyalah sekadar informasi (khabar) dan khabar ini boleh dibangun di atas dasar dzan (sangkaan kuat) dan dalam masalah ini ia cukup disandarkan kepada berita ahad (berita yang tidak sampai ke darjat yang meyakinkan). Namun khabar ini tetap tidak boleh dijadikan sebagai baiyyinah untuk memperkuatkan dakwaan. Khabar hanya boleh dijadikan penguat untuk menguatkan salah satu perkara dari perkara-perkara dakwaan. Bagi orang yang memberikan khabar tersebut, sah untuknya menyampaikan khabarnya berdasarkan dzan (sangkaan kuat)nya.
Bolehkah DNA Dijadikan Bukti?
Perkembangan sains dan teknologi pada hari ini telah melahirkan satu lagi hasil kajian sains yang digunakan di mahkamah iaitu penggunaan DNA sebagai bahan bukti. Ia telah banyak digunakan di mahkamah-mahkamah di seluruh dunia sebagai bukti sama ada untuk mensabitkan atau melepaskan seseorang dari suatu dakwaan. Di Malaysia, rang undang-undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 18 Ogos 2008 oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Ia bertujuan mewajibkan suspek kes jenayah memberikan sampel DNA mereka kepada pihak berkuasa dan jika rang undang-undang itu diluluskan, tertuduh dan suspek kes jenayah yang enggan memberi sampel DNA boleh dikenakan hukuman. Apa yang pasti, rang undang-undang ini mula dibentangkan di Parlimen sebaik sahaja kes liwat yang membabitkan Anwar Ibrahim ingin dimulakan. Namun hingga ke hari ini, tidak kedengaran perkembangan terkini tentang rang undang-undang ini.
Apa pun, melihat kepada perbicaraan liwat Anwar sekarang, UMNO-BN kini sedang berusaha dan sedang memperkudakan NGO-NGO pro-kerajaan untuk mendesak mahkamah dan polis campurtangan untuk mendapatkan DNA ahli parlimen Permatang Pauh itu. Persoalannya, bolehkah DNA dijadikan bukti di mahkamah untuk mensabitkan seseorang (dalam kes ini, Anwar)? Berdasarkan apa yang telah diterangkan di atas, sesungguhnya ‘bukti’ di dalam Islam itu hanyalah empat jenis sahaja dan tidak lebih dari itu. Selain empat jenis tersebut, apa yang relevan yang dikemukakan kepada mahkamah hanyalah boleh menjadi qarinah tetapi tidak boleh digunakan sebagai ‘bukti’ untuk mensabitkan seseorang.
Menggunakan qarinah untuk mensabitkan seseorang adalah salah dari sisi Islam dan merupakan suatu kezaliman. Ahkamul bayyinat (hukum-hukum pembuktian) di dalam Islam telah pun jelas dan sempurna sejak zaman Rasulullah lagi dan tidak boleh ditokok tambah dengan sains dan teknologi. Ini bukan bermakna bahawa Islam menolak sains tetapi sains mestilah digunakan bersesuian dengan Islam. Walaupun terbukti bahawa sains banyak membantu dan amat bermanfaat untuk manusia, tetapi sains hendaklah tunduk kepada Islam, bukannya Islam yang tunduk kepada sains. Dalam sains itu sendiri masih boleh wujud kesilapan dan ketidakpastian dan hal ini sering terjadi dan sentiasa sahaja ditemui di mana-mana. Justeru, menghukum seseorang berdasarkan sains, selain menyalahi hukum syarak, akan menyebabkan kezaliman kepada si tertuduh.
DNA sememangnya boleh dijadikan qarinah untuk menyokong sesuatu pertuduhan, namun DNA tidak boleh sekali-kali digunakan untuk mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan. Ini kerana, qarinah tidak termasuk salah satu dari jenis ‘bukti’ secara syar’ie. Qarinah dan baiyyinah adalah dua perkara yang berbeza dan mesti dibezakan. Qarinah merupakan satu hal yang boleh menunjukkan berlakunya sesuatu yang ingin dibuktikan, tetapi ia bukanlah bukti secara tersendiri. Contohnya di dalam kes zina, Islam telah pun menetapkan hukum pembuktiannya yang tersendiri iaitu dengan tiga cara yakni:-
(i) mesti mendatangkan empat orang saksi (lelaki). Tidak cukup dengan empat saksi, Islam menetapkan lagi bahawa kesemua saksi itu mestilah melihat dengan jelas kejadian zina itu umpama ‘timba masuk ke dalam perigi’
(ii) ‘pengakuan’ dari penzina itu sendiri
(iii) khusus bagi perempuan, bukti kehamilannya, dengan syarat perempuan itu disahkan belum berkahwin dan tidak ada bukti bahawa dia dirogol atau masuknya air mani lelaki ke dalam farajnya dengan cara lain selain perzinaan.
Justeru, sekiranya ketiga-tiga cara pembuktian ini tidak wujud atau gagal dibuktikan, maka ia tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina.
Katalah terbukti sekalipun melalui kaedah DNA di mana terdapat DNA (atau air mani) seorang lelaki di dalam farajnya, keadaan ini hanyalah menjadi ‘qarinah’ bahawa telah terjadi perzinaan di antara lelaki dan wanita terbabit. Inipun hanyalah kemungkinan sahaja, kerana dari segi fakta, boleh sahaja air mani masuk ke dalam faraj seseorang wanita melalui cara lain (tanpa perzinaan). Namun, apa yang lebih penting adalah persoalan baiyyinat yang perlu diperhatikan! Tanpa adanya empat orang ‘saksi’ atau ‘pengakuan’ dari perempuan atau lelaki yang berzina itu, maka dia tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina atau dengan kata lain dia tidak boleh dihukum kerana tidak ada ‘bukti’ bahawa dia telah berzina. Tidak ada bukti kerana tidak adanya ‘pembuktian’ yang ditetapkan oleh nas, untuk membolehkan dia disabit atau dihukum dengan kesalahan zina. Yang wujud hanyalah qarinah yang menunjukkan bahawa mungkin telah berlaku ‘aktiviti’ zina (melalui pengesahan DNA dari air mani), namun ‘pembuktian’ (baiyyinat) zina langsung tidak wujud!
Begitulah juga dengan kes liwat di mana berdasarkan hukum pembuktian di dalam Islam, liwat hanya akan terbukti dengan:-
(i) pengakuan atau
(ii) kesaksian 2 orang saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan (yang adil). Sekiranya tidak dapat dibuktikan melalui dua cara ini, maka kes liwat sebenarnya tidak terbukti dan tertuduh mesti dilepaskan.
Sekiranya benar sekalipun tertuduh melakukan liwat (tanpa dapat dibuktikan), walaupun dia terlepas di dunia, namun dia sekali-kali tidak akan terlepas di akhirat.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Seperkara yang kita perlu ingat ialah, sekiranya DNA boleh dijadikan sebagai bukti (untuk menjatuhkan hukum), maka ini secara automatik akan menjadikan hukum syarak tentang pembuktian seolah-olah tidak ada nilainya. Kenapa? Kerana keperluan ‘empat atau dua orang saksi’ sudah tidak lagi diperlukan, cukuplah dgn DNA untuk membuktikan segala-galanya! Padahal keperluan dua atau empat saksi adalah ketetapan dari Allah SWT secara qath’i di dalam Al-Quran. Dengan demikian, mana-mana hakim yang memutuskan kesalahan seseorang hanya berdasarkan DNA, maka dia sesungguhnya telah menyalahi ketetapan dari Allah dan ini merupakan suatu kezaliman. Na’uzubillah min zalik. Sesungguhnya tidak akan pernah wujud keadilan selama-lamanya selagi mana sesuatu kes itu dibicarakan menurut undang-undang manusia, bukannya undang-undang Allah. Justeru, pertelagahan demi pertelagahan yang muncul dalam kes ini, segalanya akan mengundang kepada kesia-siaan selagi mana ia diperdebatkan di sepanjang koridor sekularisme! Justeru, marilah kita sama-sama berusaha menukar sistem taghut ini kepada sistem Islam agar semua pihak akan benar-benar mendapat keadilan.