SN268 – BAGAIMANA SEHARUSNYA NEGARA MENANGANI PERHIMPUNAN

SN Keluaran 15 Julai 2011

 

  alt


BAGAIMANA SEHARUSNYA NEGARA MENANGANI PERHIMPUNAN

 

 

[SN268] Usaha kerajaan menyekat perhimpunan Bersih 2.0 terbukti gagal setelah ribuan rakyat turun ke bandar Kuala Lumpur bagi menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil sekaligus memberikan mesej kepada kerajaan bahawa perjalanan pilihan raya sebelum ini adalah korup dan tidak adil. Perhimpunan bukan sahaja diadakan dalam negara, malah turut dibuat di luar negara oleh penyokong-penyokong Bersih 2.0 dengan membawa tema dan tuntutan yang sama. Ternyata impak dari perhimpunan ini memberi kedudukan ‘selesa’ kepada pihak pembangkang dan amat meresahkan parti pemerintah sehingga propaganda terus-menerus dimainkan oleh kedua-dua belah pihak dengan pelbagai cara. Antara propaganda yang paling hangat dimainkan adalah ‘kebrutalan’ kerajaan, melalui pihak polis, dalam menangani perhimpunan.
 
Parti pembangkang dan kumpulan penyokong Bersih 2.0 menunjukkan pelbagai bukti bergambar dan secara video mengenai keganasan polis ke atas peserta demonstrasi sehingga ramai yang cedera malah ada seorang yang meninggal. Manakala pihak kerajaan dan polis pula bermati-matian mempertahankan dan mengemukakan pelbagai bukti bahawa mereka telah ‘melayan’ peserta perhimpunan dengan sewajarnya, termasuk ‘layanan mesra’ ke atas mereka yang ditahan.  Pendek kata, sejak Sabtu lepas, sebahagian besar berita tidak habis-habis memperkatakan tentang isu undang-undang dan ‘layanan’ pihak kerajaan (melalui pasukan polis) ke atas peserta perhimpunan. Kerajaan sejak awal menyifatkan bahawa perhimpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram kerana tidak mendapat permit polis. Manakala pembangkang pula berhujah berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman. Selain itu, seperti biasa, pembangkang juga berhujah atas nama hak asasi manusia yang membenarkan mereka berhimpun dan menyuarakan pendapat.
Di sebalik kegembiraan dan keresahan kedua-dua pihak yang ‘bersengketa’ (yang majoritinya adalah Muslim) di dalam meraih tujuan masing-masing melalui perhimpunan ini, sungguh malang apabila kita melihat hujah kedua-dua pihak yang beristidlal (menyandarkan dalil) ‘benar-salah’ perbuatan mereka berdasarkan undang-undang taghut dan bukannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah! Satu pihak menggunakan Akta Polis manakala satu pihak lagi menggunakan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia! Inilah yang menjadi standard/ukuran perbuatan mereka di mana ‘benar atau salah’ adalah diukur dan ditentukan berdasarkan undang-undang taghut ini, bukannya berdasarkan nas! Walhal Allah SWT memerintahkan kita agar menjauhi (hukum) taghut dan mengembalikan segala persengketaan kepada (hukum) Al-Quran dan Sunnah. Kita harapkan agar umat Islam yang bertelagah ini segera sedar akan keterlanjuran mereka. Di dalam Sautun Nahdhah yang lalu, kami telah pun membincangkan tentang hukum demonstrasi dalam Islam. Kali ini Insya Allah, kami akan menyentuh tentang bagaimanakah cara yang seharusnya diambil oleh pemerintah di dalam menangani segala pembangkangan dalam bentuk perhimpunan yang dilakukan oleh rakyat.

Cara Negara Menangani Peserta Perhimpunan

Di dalam Negara Sekular yang mengamalkan sistem pemerintahan  kufur demokrasi dengan cara yang ‘agak baik’, kita sering melihat demonstrasi (masirah), baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran, diadakan oleh rakyat yang tidak berpuashati dengan kerajaan. Namun demikian, kita juga tidak boleh menolak kemungkinan terdapatnya demonstrasi atau tunjuk perasaan yang dilakukan oleh rakyat di dalam sebuah Negara Islam (Khilafah). Cuma persoalannya, bagaimanakah sikap pemerintah sebuah Negara Islam dalam menangani hal ini? Apa yang pasti adalah, pemerintah wajib menangani segala jenis perhimpunan atau apa jua bentuk pembangkangan terhadap pemerintah, berdasarkan hukum syarak, bukannya berdasarkan undang-undang taghut yang dibuat oleh manusia. Tindakan yang wajib diambil oleh pemerintah dapat diringkaskan seperti berikut:-

Pertama: Pemerintah hendaklah menyedari sepenuhnya bahawa salah satu kewajiban rakyat adalah melakukan muhasabah terhadapnya (muhasabah li al-hukkam). Atas dasar itu, siapa jua pemerintah, termasuklah Khalifah sekalipun, tidak boleh melarang, menghalang atau menyekat rakyatnya, baik Muslim mahupun bukan, baik secara individu mahupun berkumpulan untuk melakukan muhasabah terhadap apa jua polisi yang salah atau pelayanan buruk Negara terhadap rakyat, apatah lagi jika muhasabah itu adalah ke atas kezaliman yang dilakukan pemerintah, selama mana cara-cara yang diambil (oleh rakyat) di dalam melakukan muhasabah itu sejalan dengan syariat Islam. Pemerintah sepatutnya menerima setiap usulan, pandangan mahupun nasihat yang disampaikan oleh rakyat jika terbukti hal tersebut bertepatan dengan syarak atau (jika pandangan yang dilontarkan itu) lebih kuat hujahnya dan boleh memberikan manfaat yang lebih baik kepada kaum Muslimin. Rasulullah SAW pernah memecat seorang amilnya di Bahrain, Ila’ bin Hadhramiy, kerana protes yang disampaikan oleh delegasi Abd Qais. Khalifah Umar bin Khaththab ra pula pernah menarik balik polisinya yang menetapkan kadar mas kahwin terhadap wanita akibat protes seorang Muslimah [Riwayat Baihaqi]. Ini jika protes, nasihat dan kritikan itu bertepatan dengan syarak dan disampaikan dengan cara-cara yang syar’ie.

Kedua: Jika peserta perhimpunan atau penunjuk perasaan itu menyampaikan protes, nasihat dan kritikan secara tidak syar’ie, misalnya menuntut suatu perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariat atau melakukan demonstrasi dengan cara merosakkan kemudahan awam atau melakukan tindakan liar lainnya seperti membaling objek, maka pemerintah hendaklah mengajak mereka berbincang untuk mengetahui apakah sebenarnya tuntutan mereka. Setelah dilakukan perbincangan dan ternyata (berdasarkan nas) para peserta perhimpunan menuntut perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, maka Negara akan menasihati dan mengingatkan mereka serta meminta mereka kembali (bertaubat) ke pangkuan Islam atau kembali mematuhi hukum syarak. Jika para penunjuk perasaan tersebut menyedari kesalahan mereka dan kembali kepada kebenaran, maka Negara meminta mereka bersurai dan memberikan mereka laluan. Namun, jika mereka menolak untuk bertaubat dan enggan bubar, maka Negara wajib membubarkan mereka dan boleh menangkap mereka, bahkan wajib menjatuhkan uqubat (hukuman) dalam berntuk ta’zir kepada mereka, setimpal dengan kesalahan yang telah mereka lakukan. Tindakan seperti ini pernah dilakukan oleh Khalifah Ali bin Abi Thalib ra ketika menghadapi kelompok Khawarij yang bermarkaz di Nahrawan. Khalifah Ali bin Abi Thalib ra mengutus Ibnu Abbas ra untuk menasihati kaum Khawarij dan menjelaskan kekeliruan pandangan mereka. Setelah mendapatkan penjelasan Ibnu Abbas ra, sebahagian di antara mereka insaf dan kembali ke pangkuan Islam. Namun, sebahagian besar menolak dan tetap membangkang Khalifah. Terhadap mereka yang telah menjadi bughat ini, Khalifah Ali bin Abi Thalib ra terus menghantar pasukan untuk memadamkan pemberontakan mereka (lihat perbincangan lanjut berkenaan bughat di bawah).

Kedudukan Bughat

‘Demonstrasi aman’ (masirah) berbeza dengan bughat. Bughat adalah penentangan atau pembangkangan terhadap Daulah Islamiyyah di mana pelakunya memiliki kekuatan [Syeikh Abdul Rahman al-Maliki, Nidzamul Uqubat Fil Islam]. Pelaku bughat adalah golongan yang memberontak terhadap Negara (Khilafah) dan menampakkan penentangannya melalui senjata dan mengumumkan perang terhadap Khilafah. Di sini tidak dilihat lagi apakah mereka melawan Khalifah yang adil mahupun Khalifah yang zalim. Begitu juga tidak ada bezanya sama ada pemberontak ini menyimpang di dalam hal penakwilan agama mahupun mereka menghendaki harta. Semuanya adalah bughat selama mana mereka menampakkan permusuhan di hadapan Khilafah dengan membawa kekuatan bersenjata. Hal ini berbeza dengan demonstrasi yang berjalan secara aman dan tidak memiliki apa-apa kekuatan senjata. Oleh kerana perbezaan fakta di antara masirah dan bughat, maka hukum Islam di dalam menangani kedua-dua hal ini juga berbeza. Negara tidak boleh melayani peserta masirah sebagaimana melayani pelaku bughat kerana hakikat keduanya adalah berbeza (kecuali jika peserta masirah bertukar mengangkat senjata dan memiliki kekuatan di mana ia tidak lagi menjadi masirah tetapi telah bertukar menjadi bughat).

Kepada pelaku bughat, Khalifah atau wakilnya di wilayah yang berlaku pemberontakan, hendaklah mengirim utusan rasmi terlebih dahulu dan menanyakan kepada mereka apakah perkara yang mereka tidak bersetuju dengan pemerintah sehingga melakukan pemberontakan. Jika mereka menyatakan bahawa ia adalah kerana kezaliman pemerintah (dan terbukti benar), maka pemerintah hendaklah menghentikan kezalimannya itu segera. Jika mereka menjawab secara tidak jelas atau berbolak-balik, maka utusan tadi hendaklah menjelaskan kedudukan sebenar kepada mereka. Namun jika golongan pemberontak (bughat) ini mengalami kesamaran atau kesimpangsiuran darihal fahaman Islam, maka mereka hendaklah diyakinkan (dengan nas-nas) bahawa tindakan mereka itu bertentangan dengan kebenaran dan tidak sepatutnya begitu. Utusan Khalifah tadi hendaklah menjelaskan bukti-buktinya dan membawa mereka kembali ke jalan yang benar. Perlu dijelaskan kepada mereka bahawa Islam mewajibkan mereka mentaati pemerintah dan tidak boleh (haram) memerangi pemerintah kecuali sekiranya terlihat kekufuran yang nyata (kufran bawahan/surahan) yang mereka mempunyai bukti-buktinya di sisi Allah, atau jika pemerintah telah (bertukar) menerapkan hukum kufur secara terang-terangan. Hanya dalam keadaan ini sahajalah mereka dibenarkan memerangi pemerintah sebagai sebuah tuntutan syarak ke atas mereka.

Setelah utusan tersebut menjelaskan perkara ini kepada mereka, lalu mereka kembali (bertaubat) dari bughat, maka ia akan diterima dan mereka tidak boleh ditangkap atau diperangi. Tetapi jika mereka berdegil dan tidak mahu kembali, maka mereka wajib diperangi. Namun, untuk menumpaskan mereka, tidaklah dilakukan peperangan sebagaimana serangan tentera (terhadap musuh), tetapi serangan yang bersifat mendidik. Haram bagi pemerintah untuk menyerang mereka dengan suatu serangan yang boleh menyebabkan kematian besar-besaran kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak (darurat). Dengan kata lain, mereka tidak boleh diserang dengan menggunakan jet pejuang, bom, meriam dan seumpamanya, kecuali dalam keadaan darurat di mana setelah serangan yang bersifat mendidik tidak berhasil. Tidak boleh (haram) membunuh keluarga mereka atau mereka yang melarikan diri. Barangsiapa yang melarikan diri, maka dibiarkan sahaja. Jika salah seorang dari pelaku bughat telah membunuh seseorang, maka pemerintah tidak boleh membunuh kesemua pelaku bughat lainnya. Jika ada di antara mereka yang menyerah diri, maka ia akan ditahan dan dilayan sebagai orang yang melakukan dosa, bukannya sebagai tawanan perang, kerana hakikatnya ia bukanlah seorang tawanan perang.

Firman Allah SWT,

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang Mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” [TMQ al-Hujurat (49):9].

Dalam ayat ini, Allah menyebut pelaku bughat sebagai orang-orang yang beriman. Ini bermakna bahawa bughat (semata-mata) tidak akan mengeluarkan mereka dari keimanan. Ayat ini juga menunjukkan dengan jelas akan wajibnya memerangi mereka dan menghentikan serangan terhadap mereka jika mereka kembali kepada perintah Allah. Firman Allah “maka damaikanlah antara keduanya” menunjukkan wajibnya mengirim utusan kepada mereka sebelum mereka diperangi. Kesimpulannya, ayat ini telah menetapkan ‘hudud’ ke atas pelaku bughat iaitu berupa memerangi mereka sehingga mereka kembali bertaubat. Itupun (memerangi) dilakukan setelah usaha mengirim utusan kepada mereka dan setelah usaha menghilangkan perkara-perkara yang mendorong mereka untuk melakukan bughat, gagal.

Persekongkolan Pelaku Bughat Dengan Orang-Orang Kafir

Sebagaimana diharamkan bughat ke atas kaum Muslimin secara keseluruhan, diharamkan juga kaum Muslimin bersekongkol dengan orang-orang kafir untuk memberontak terhadap Negara Islam (Khilafah). Jika seorang Muslim memerangi Muslim lainnya adalah diharamkan, maka apatah lagi isti’anah (meminta bantuan) orang-orang kafir untuk memerangi kaum Muslimin. Allah SWT menyatakan bahawa pembunuhan seorang Muslim terhadap Muslim lainnya sebagai kekafiran, kerana begitu besar dosanya. Rasulullah SAW bersabda, “Mencela seorang Muslim adalah fasik, membunuhnya adalah kekafiran”. Oleh kerana itu, isti’anah orang kafir untuk memerangi kaum Muslimin adalah lebih berat kesalahan (dosa)nya. Walaupun hal ini diharamkan, ia tidaklah menggelincirkan pelaku bughat dari keimanan. Mereka tetap dianggap bughat dan mendapat hukuman sebagai pelaku bughat meskipun mereka bersekongkol dengan orang-orang kafir.

Manakala bagi orang-orang kafir yang bersekongkol dengan kaum Muslimin, hukuman bagi orang-orang kafir ini adalah berbeza mengikut ‘jenis’ kekafirannya. Jika pelaku bughat adalah kafir harbi yang mendapat jaminan keamanan dari pelaku bughat (yang Muslimin) atau orang-orang kafir harbi itu membuat perjanjian dengan pelaku bughat untuk menjadi ahlu dzimmah, maka orang-orang kafir tersebut tetap dianggap sebagai kafir harbi. Jaminan keamanan mahupun perjanjian tersebut adalah tidak laku (tidak sah) kerana hak untuk memberi jaminan keamanan mahupun melakukan perjanjian hanya ada pada Khalifah, tidak pada pelaku bughat. Terhadap kaum Muslimin yang bughat, wajib dilakukan serangan yang bersifat mendidik manakala terhadap kafir harbi yang bughat, wajib diperangi dengan bentuk peperangan yang sebenar (jihad) dan segala hukum yang terkait dengan jihad berlaku ke atas mereka. Demikian juga dengan kafir musta’min, jika mereka bersekongkol dengan pelaku bughat (yang Muslimin), maka pada dasarnya mereka telah melepaskan perjanjiannya sehingga mereka berubah menjadi kafir harbi. Berbeza kedudukannya jika mereka ‘dipaksa’ bersekongkol (dengan ugutan atau ancaman), maka dalam keadaan ini mereka diperangi dalam bentuk mendidik seperti pelaku bughat yang Muslim.

Sekiranya yang bersekongkol dengan pelaku bughat adalah kafir dzimmi, maka peperangan terhadap mereka adalah peperangan yang bersifat mendidik. Ini kerana, persekongkolan ini tidak akan mengeluarkan mereka dari status dzimmi mereka, baik mereka bersekongkol secara sukarela atau terpaksa. Hal ini adalah disebabkan kafir dzimmi merupakan warganegara Daulah Islam. Namun keadaan akan berbeza sekiranya kafir dzimmi bersekongkol dengan kafir harbi atau negara harbi untuk melawan Daulah Islam. Dalam keadaan ini terlucutlah status dzimmi mereka dan mereka bertukar menjadi kafirharbi yang wajib diperangi secara syar’ie (jihad). Begitu juga dalam keadaan di mana kafir dzimmi yang bergabung sesama mereka untuk memerangi Daulah Islam, maka mereka akan bertukar menjadi kafir harbi dan hukum jihad (bukan lagi hukum bughat) berlaku ke atas mereka [Abdul Rahman al-Maliki, Nidzamul Uqubat Fil Islam].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Negara Islam bukanlah negara yang anti kritik atau tidak boleh menerima teguran dari rakyat. Semua kritikan, nasihat dan protes, jika memang sejalan dengan akidah dan syariat Islam dan ditujukan untuk kemaslahatan kaum Muslimin, maka, Negara akan menerimanya dengan berlapang dada. Namun demikian, dalam keadaan di mana sistem pemerintahan sesebuah negara telah dicemari dengan hukum-hukum kufur, tidak ada jalan lain kecuali kita wajib memuhasabah pemerintah agar menukar sistem kufur ini kepada sistem Islam kerana hanya sistem Islamlah yang sebaik dan seadil-adilnya bagi manusia. Tidak ada gunanya sama sekali jika umat Islam mempunyai sebuah sistem pilihan raya yang bersih dan adil sekiranya hukum yang diterapkan bukanlah hukum Allah.

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].