SN320 – MANIFESTO HIZBUT TAHRIR UNTUK REVOLUSI AL-SYAM: KE ARAH LAHIRNYA KHILAFAH ALA MINHAJ NUBUWWAH KALI YANG KEDUA

SN keluaran 14 September 2012
 

MANIFESTO HIZBUT TAHRIR UNTUK REVOLUSI AL-SYAM: KE ARAH LAHIRNYA KHILAFAH ALA MINHAJ NUBUWWAH KALI YANG KEDUA

[Kenyataan ini disampaikan oleh Hisham Al-Baba, Ketua Pejabat Media HizbutTahrir Wilayah Syria di sidang media yang diadakan di pejabat HizbutTahrir di Tripoli, Lebanon pada hari Khamis 28 Ramadhan 1433H (16/08/2012)]

[SN320] Revolusi yang dikenali sebagai ‘Arab Spring’ tercetus kerana keinginan untuk menukar pemerintah dan rejim. Dari mula lagi, tuntutan rakyat amat jelas dan tidak ada kesamaran di dalamnya. Kerana itulah kita mendengar mereka melaungkan “Rakyat ingin jatuhkan rejim”. Apa yang berlaku dalam revolusi di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen adalah sama ada pemerintah berjaya dijatuhkan atau terbunuh, tetapi sistem pemerintahannya tetap berterusan dengan corak yang sama seperti sejak zaman kolonial iaitu demokrasi, negara sivil dan sekular – sama seperti sistem yang terdapat di Barat. Apa yang berubah cuma wajah-wajah pemerintah dan beberapa aspek pencalonan, pelantikan atau pemilihan. Justeru, kegembiraan yang datang seiring dengan kejayaan revolusi yang diberkati itu terus punah, tatkala revolusi itu dirosakkan dan dirampas oleh Barat dengan pengenalan negara sivil demokrasi yang diberikan (atau lebih tepat, direstui) Barat kepada umat Islam. Kesemua revolusi itu punah sehinggalah terjadinya revolusi Al-Syam (Syria) yang terkeluar dari kehendak Barat dan memperkenalkan bentuk pemikiran yang berbeza kepada ‘Arab Spring’.

Revolusi Al-Syam tidak menerima masuknya racun ke dalam madu. Ia menolak sekularisme, demokrasi dan juga slogan negara sivil. Ia menolak untuk hanya berpuas hati dengan pertukaran wajah pemerintah semata-mata – ia bertanya dengan tersentak, “Bukankah Bashar seorang yang sekular?! Bukankah rejim dan perlembagaannya adalah berasaskan negara sivil? Tidakkah kita menyaksikan sistem kapitalis Barat gagal sebagai sebuah sistem yang global? Justeru, kenapakah kita perlu mengulangi ujikaji yang gagal ini untuk mengembalikan negara kita kepada kegagalan, sedangkan perlembagaan (Al-Quran) yang Tuhan semesta alam amanahkan kepada kita berada di tangan kita?”. Sesungguhnya revolusi Al-Syam telah mengesahkan identiti Islamnya apabila warganya mengisytiharkan “Ia adalah untuk Allah” dan menganggap segala penderitaan mereka sebagai pengorbanan demi mendapatkan ganjaran dari Allah semata-mata; apabila Muslimahnya menurut jejak langkah Khansa, satu per satu; apabila panji-panji al-Uqab (panji Rasulullah) dikibarkan; dan apabila seruan menginginkan Khilafah mula berkumandang di dalamnya. Oleh itu, revolusi ini bukan revolusi biasa!

Kuasa antarabangsa memerhatikan kelainan revolusi Syria yang diberkati ini. Amerika (penaja Bashar dan rejimnya) yang sedang marah, yang menyokong rejim Syria dengan segala kejahatannya, kononnya memberikan tempoh waktu (deadline) kepada Bashar, mengadakan persidangan, mengumumkan inisiatif dan menghantar misi pemerhati Arab dan antarabangsa untuk menyelesaikan masalah. Walhal pada masa yang sama mereka menghantar agen mereka sama ada secara zahir atau sembunyi, untuk mendukung rejim Syria, tanpa mempedulikan darah yang tak henti-henti ditumpahkan di Syria. Konspirasi komuniti antarabangsa terhadap warga Syria telah sampai ke tahap menawarkan Bashar peluang untuk berundur sebagai balasan untuk dia dan keluarganya keluar dengan selamat dari Syria, setelah segala kejahatan yang dilakukannya. Inilah tahap di mana mereka kini mengendalikan revolusi Syria.

Kami di HizbutTahrir percaya bahawa revolusi ini adalah terlalu bernilai untuk jatuh ke lembah sekularisme dan penyesatan negara sivil; ia terlalu bernilai untuk bertukar daripada keadaan yang ‘baik’ kepada yang lebih buruk – iaitu dengan mengambil demokrasi Barat dan meninggalkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Kami mahukan revolusi ini berakhir dengan tegaknya agama Allah, dengan berdirinya Khilafah ala minhaj nubuwwah. Jika ini berlaku, maka dua bisyarah (khabar gembira) akan terealisasi, seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW tentang peristiwa akhir zaman,

“Kemudian akan muncul Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad]

dan untuk warga Syam secara khusus di mana sabda baginda,

“Ingatlah bahawa pusat kepada Islam itu adalah di Syam”
[HR at-Thabrani dalam al-Kabeer daripada Salamah bin Nufail].

Dalam revolusi ini, sesungguhnya kami melihat tanda-tanda tersebut. 

Kami persembahkan dokumen ini yang terkandung di dalamnya manifesto HizbutTahrir untuk sistem politik  yang kami seru untuk dilaksanakan selepas kejatuhan rejim Syria; dan sebagai jalan untuk mencapai objektif ini. Kami amat prihatin bahawa revolusi ini terjaga dari dirampas oleh kuasa penjajah dan daripada diselinapi oleh para oportunis yang berlegar di sekeliling Barat yang membawa cara pemikiran Barat dalam menyelesaikan krisis ini.

Manifesto HizbutTahrir untuk sistem pemerintahan di Syria adalah seperti berikut:-

● Akidah Islam hendaklah menjadi dasar negara dan asas kepada Perlembagaan. Al-Quran dan As-Sunnah, dan apa yang dirujuk keduanya berupa Ijmak Sahabat dan Qiyas hendaklah menjadi sumber hukum kepada segala-galanya. Oleh yang demikian, hukum-hakam Islam akan menjadi sistem kehidupan untuk individu, masyarakat dan negara.

● Bentuk sistem pemerintahan Islam adalah Khilafah, yang berbeza sama sekali dengan segala bentuk sistem pemerintahan yang ada hari ini. Ia bukan sistem beraja, dinasti, republik, diktator atau federal.

● Negara Khilafah bukanlah negara teokrasi (pemerintah dilantik oleh Tuhan), sivil atau demokrasi. Ia adalah negara manusia (pemerintah dibaiah oleh manusia) di mana kedaulatan berada di tangan syarak (as-siyadah li asy-syara’) yang mana hukum-hakam Islam dilaksanakan di dalamnya, manakala kekuasaan berada di tangan umat (as-sulthan li al-ummah).

● Keamanan di dalamnya (Negara Khilafah) adalah keamanan Islam (berada di tangan orang-orang Islam), di mana campur tangan asing tidak dibenarkan, sebagaimana firman Allah SWT,

“Dan Allah sekali-kali tidak menjadikan jalan bagi orang-orang kafir menguasai orang-orang Mukmin” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Campur tangan asing di negeri-negeri umat Islam merupakan salah satu dosa besar yang menjauhkan rakyat dan negeri tersebut daripada berhukum dan bernaung dengan Islam.

● Sistem dalam Negara Khilafah adalah bersifat manusiawi – yang melihat seseorang itu sebagai manusia, tidak kira apa keturunannya, agama atau warna kulit. Ia menyelesaikan segala masalah – secara manusiawi – dengan penyelesaian terbaik dan teradil yang ada di muka bumi, kerana ia berasal dari Dzat Yang Maha Bijaksana dan Maha Pakar.

● Ikatan yang mengikat di antara warganegara adalah ikatan kewarganegaraan. Jadi, sesiapa sahaja yang menjadi warganegaranya (sama ada Muslim mahupun bukan) mempunyai hak menikmati penjagaan sepenuhnya dari Negara. Negara tidak dibenar melakukan diskriminasi ke atas warganegara baik dalam hal urus tadbir, undang-undang mahupun pengurusan hal-ehwalnya.

● Fasal-fasal dalam perlembagaan Negara Khilafah datangnya dari hukum syarak yang wajib dilaksanakan oleh Negara dan kesemua warganegara mesti mematuhinya. Kaum Muslimin mematuhinya sebagai perintah dan larangan dari Allah, RasulNya dan UlilAmri. Manakala non-Muslim mematuhinya sebagai undang-undang negara yang mengawal hal-ehwal mereka dan menjaga kehidupan serta hak-hak mereka seperti mana juga Muslim. Hal ini adalah selaras dengan kaedah yang berbunyi, “Mereka yang mendapatkan keadilan yang sama seperti kaum Muslimin, juga akan dipertanggungjawabkan sepertimana kaum Muslimin” .
   
● Non-Muslim dibenarkan untuk mengamalkan kepercayaan mereka, sembahan, makanan dan pakaian di samping hal-hal yang berkaitan perkahwinan dan perceraian, menurut agama mereka, sesuai dengan peruntukan undang-undang umum. Mereka berhak menikmati segala hak sebagaimana Muslim. Contoh yang paling ketara dalam hal ini ialah berkenaan peruntukan al-milkiah al-ammah (hak-milik umum / public ownership) dan pembahagian produk serta kekayaan Negara secara adil kepada semua warganegara.

● Tidak ada perbezaan dalam Negara Khilafah darihal memerhatikan (menjaga) hal-ehwal Muslim dan non-Muslim. Negara akan memberi pelayanan sama rata kepada semua kaum dan tidak membezakan di antara orang-orang Kurdi, Arab, Turki dan sebagainya. Firman Allah,

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertakwa” [TMQ al-Hujurat (49):13].

Negara akan menganggap semua seruan kepada perkauman, puak, bangsa atau etnik sebagai seruan perpecahan dan jahiliyyah yang akan memecah-belahkan umat dan Negara, di samping merupakan dosa besar. Tangan-tangan Barat yang telah (dan masih) berusaha dengan agenda jahatnya untuk memecah-belahkan, melemahkan dan menjadikan umat Islam setia kepada mereka bukannya kepada Allah, RasulNya dan orang-orang beriman, hendaklah diputuskan. 

● Islam memastikan, melalui polisi ekonominya, pemenuhan keperluan asas – makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap individu warganegara. Islam juga memperbolehkan seseorang itu memenuhi keperluan sekundernya sebanyak mana yang ia mampu. Islam juga memastikan semua warganegara mendapat hak untuk keselamatan, pendidikan, perubatan dan lain-lain kemudahan awam. Hukum-hukum Islam juga menjelaskan tentang tatacara pemilikan, pengembangan dan pengelolaan harta. Islam menjelaskan tentang jenis-jenis pemilikan yang berupa pemilikan individu, negara dan pemilikan awam seperti minyak dan bahan galian yang mana semua orang berhak menikmati hasilnya. Islam menjelaskan hukum-hakam berkenaan tanah, agar tidak ada satu inci pun tanah pertanian yang dibiar tanpa diusahakan. Islam telah menjadikan emas dan perak sebagai asas kepada mata wang, justeru memastikan kestabilan kadar pertukaran yang menghasilkan kestabilan harga komoditi.  Islam telah menggariskan hukum-hakam berkenaan pertukaran mata wang, yang sekali gus mencegah Negara dari jatuh ke dalam krisis sebagaimana yang terjadi di dalam sistem Kapitalis. Islam telah menggariskan terma-terma perniagaan sesama individu yang tidak memerlukan campur tangan dari Negara dan Islam menggariskan terma-terma perdagangan antarabangsa yang dikendalikan di bawah pengawasan Negara. Islam membenarkan penubuhan syarikat berdasarkan hukum syarak dan mencegah dari berlakunya monopoli. Islam mengharamkan riba, penjualan hutang, menjual sesuatu yang tidak dimiliki dan penipuan. Secara keseluruhannya, semua polisi ini telah mengambil kira model masyarakat yang disasarkan yang menjadikan masyarakat hidup aman damai dan sejahtera di bawah konsep halal dan haram. Masyarakat bekerja dalam rangka mengagihkan kekayaan kepada setiap anggotanya dan menjadikan harta benda sebagai hamba (berkhidmat) kepada manusia, bukannya menjadikan manusia sebagai hamba kepada harta benda.

● Hubungan luar Negara Khilafah dengan negara-negara lain (negara kufur) dibangun berdasarkan hukum Islam yakni dengan mendakwahkan mereka kepada Islam dan melancarkan jihad fi sabilillah jika wujud halangan fizikal untuk sampainya agama Allah kepada mereka. Negara Khilafah terikat dengan hukum syarak dari segi mengadakan konvensyen, perjanjian damai, gencatan senjata dan hubungan diplomatik dengan negara kufur.

Berhubung dengan jalan (road map) yang mana kami harap dapat mewujudkan Negara Khilafah selepas kejatuhan rejim ini, kerangka umumnya adalah didasarkan kepada metodologi Rasulullah SAW di dalam membawa perubahan, yang boleh diringkaskan seperti berikut:-

● Kaum Muslimin di Syria secara amnya mengetahui bahawa mereka ingin menjatuhkan rejim dan sebagai gantinya, ingin kembali menegakkan hukum Allah melalui penegakan Daulah Khilafah dengan mengikuti jejak langkah Rasulullah, di mana baginda telah menggerakkan pandangan umum (ra’yul am / public opinion) terhadap Islam di Madinah, sejurus sebelum tegaknya Negara Islam pertama. Aspek ini sebenarnya telah wujud di dalam umat Islam sejak sekian lama, dan setelah ‘Arab Spring’ ia menjadi semakin jelas dari sebelumnya, dengan rahmat Allah SWT – khususnya kepada warga Syria yang telah mula melaungkan Negara Khilafah siang dan malam. Barat tidak lagi dapat menyembunyikan ketakutan dan kebimbangannya bahawa Islam akan menjadi pengganti kepada era penjenayah sekular Syria. Bagaimanapun, ia tetap menjadi tugas bagi mereka yang menjadi pemimpin dalam pandangan dan pemikiran (leaders of opinion and thought) yang berpegang dengan pemikiran Islam, untuk melipatgandakan usaha demi menperjelas dan mengkristalkan pemahaman tentang sistem Islam dalam diri mereka dan kepada umum, agar tidak ada seorang Muslim pun yang akan tertipu dengan gerakan yang membawa slogan Islam tetapi hakikatnya berpegang teguh dengan projek sekular di bawah nama negara sivil demokrasi.

● Orang-orang beriman yang memiliki pengaruh dan kekuatan (ahlul quwwah) daripada pegawai-pegawai tentera dan kelompok yang bersenjata, yang terdiri daripada mereka yang ikhlas, hendaklah bergerak untuk menegakkan Khilafah. Mereka mesti bekerjasama untuk mencegah Barat, agen dan kakitangannya daripada mendekati politikus sekular, menghampiri kekuasaan dan membuat keputusan.

Keadaan ini sebenarnya telah mula dapat dilihat, dengan rahmat Allah SWT, dari kalangan ahlul quwwah, yang telah mengisytiharkan bahawa mereka ingin memerintah dengan Islam. Kami bersyukur kepada Allah kerana menganugerahkan umat ini, orang-orang yang memiliki kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, pengurusan, perundangan dan ekonomi, yang kesemuanya menjadi persiapan dalam meraih tugas yang besar ini.

Kami di HizbutTahrir mengisytiharkan melalui sidang media ini bahawa kami bergerak bersama mereka yang ikhlas dalam revolusi ini dan mengerahkan segala potensi, kebolehan dan kemampuan yang kami ada, demi meraih apa yang dihajati (Negara Khilafah), yang mana usaha dan kejayaannya sudah semakin tampak dan apa yang penting, ia akan membawa perubahan yang sebenar dengan izin Allah. Revolusi ini telah dikelilingi dengan liwa’ (bendera) dan rayah (panji) Islam. Tekak para demonstran dibasahi dengan laungan takbir dan seruan “Kami mahukan Syria Negara Khilafah” dan “Umat inginkan Khilafah semula”. Anggota-anggota HizbutTahrir wujud di jantung revolusi dan Pejabat Media HizbutTahrir Wilayah Syria dibuka sebagai saluran komunikasi dan interaksi dengan revolusi. HizbutTahrir secara umum dan cawangannya di Syria secara khusus, telah mengikuti perkembangan revolusi sejak ia mula tercetus, hari demi hari, malah saat demi saat. HizbutTahrir sentiasa mengeluarkan kenyataan dan buletin seiring dengan berita terbaru revolusi dalam usaha memperteguh peserta revolusi, mengangkat keazaman mereka dan menyebarkan kesedaran di kalangan mereka tentang konspirasi yang diatur ke atas mereka, mengingatkan mereka agar sentiasa mengaitkan revolusi dengan objektif yang benar agar oportunis tidak dapat mengambil peluang.

Kami memohon kepada Allah SWT agar memberikan kejayaan kepada usaha ini dan menganugerahkan kemenangan dan kegembiraan secepat mungkin dengan tegaknya Negara Khilafah; dan hal ini sesungguhnya amat mudah bagi Allah. Allah SWT berfirman,

“Dan Kami hendak memberi kurnia (dengan memberikan pertolongan) kepada orang-orang yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin serta menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)” [TMQ al-Qasas (28):5].

AlhamdulillahiRabbil Alamin.