SN334 – DEMOKRASI YANG MEROSAKKAN WANITA

SN keluaran 11 Januari 2013
 



DEMOKRASI YANG MEROSAKKAN WANITA

[SN334] Pada hari Jumaat 28 Disember 2012, seorang mahasiswi perubatan India berusia 23 tahun, yang menjadi mangsa serangan pemerkosaan ganas pada 16 Disember oleh enam orang lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi, telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dideritainya. Kes ini telah membangkitkan protes besar-besaran di seluruh India menentang kecuaian dan ketidakpedulian pihak polis dan pemerintah India dalam melindungi wanita daripada keganasan seksual. Kes pemerkosaan telah berada pada tahap epidemik, menjadi fenomena yang berlaku setiap hari dan merupakan kejahatan yang paling subur di India, negara demokrasi terbesar di dunia. Banyak serangan seksual tidak dilaporkan kerana sejumlah besar wanita telah hilang kepercayaan pada sistem pemerintahan di India dalam melindungi martabat mereka.

Ini berlaku kerana beberapa sebab, antaranya adalah kerana kadar keganasan seksual di India yang terlalu besar dan budaya sambil lewa yang diamalkan oleh pihak polis terhadap pesalah sehingga banyak kes dibiarkan berlarutan selama bertahun-tahun di mahkamah dan belum tentu disabitkan. Menurut Al-Jazeera, seorang wanita diperkosa setiap 20 minit di India dan 24,000 kes pemerkosaan telah dilaporkan hanya untuk tahun lalu sahaja. Media juga melaporkan bahawa 80% wanita di Delhi telah mengalami gangguan seksual, sementara “The Times of India” melaporkan bahawa pemerkosaan di India telah meningkat secara mendadak sebanyak 792% sejak 40 tahun kebelakangan ini.

Di saat Barat terus mengeksport “demokrasi” ke dunia Islam sebagai ‘sistem terbaik’ bagi menjamin martabat dan hak-hak wanita, negara demokrasi terbesar di dunia ini justeru dengan jelas telah gagal dalam melindungi kaum wanitanya. Kejahatan seksual berada pada tahap yang mengerikan, sikap tidak peduli pihak polis India dalam menjaga martabat wanita dan sikap acuh tak acuh pemerintah India dalam menjamin keamanan mereka adalah hasil daripada budaya liberal yang secara berterusan dan sistematik terus merendahkan nilai dan martabat kaum wanita. Inilah budaya yang dibanggakan oleh negara tersebut dan wujud dalam industri hiburan Bollywood. Budaya Bollywood ini, bersama dengan industri lain seperti hiburan, pengiklanan dan pornografi yang didukung oleh sistem demokrasi sekular liberal India telah menampilkan kaum wanita sebagai objek untuk digunakan bagi memuaskan hasrat kaum lelaki, meningkatkan seksualisasi masyarakat, mendorong individu untuk mengejar keinginan bagi memenuhi kepentingan jasmani mereka, mempromosikan hubungan luar nikah, memelihara budaya pergaulan bebas dan merendahkan nilai hubungan antara lelaki dan wanita.

Semua ini telah menumpulkan kepekaan terhadap rasa jijik yang sepatutnya dirasakan kaum lelaki ketika martabat kaum wanitanya dinodai. Oleh kerana itu, tidak menghairankan jika India mengejar kedudukan dan status yang sejajar dengan negara-negara liberal lain seperti AS dan UK, iaitu berada di sisi pemimpin keganasan global terhadap wanita. Sesungguhnya sistem demokrasi sekular liberal ini, di mana separuh daripada populasi penduduknya hidup dalam ketakutan, bukanlah model yang patut, malah haram, ditiru oleh dunia Muslim.

Derita Muslimah Tanpa Khilafah

Apa yang terjadi di India itu hanyalah sebahagian kecil dari penderitaan yang dialami oleh kaum hawa di seluruh dunia, khususnya di negara yang bergelar dan mengagungkan demokrasi. Di Irak dan Afghanistan, tatkala Amerika mengusung segala kekuatan tentera dan menjatuhkan segala jenis bom ke Iraq dan Afghanistan untuk membawa ‘demokrasi’ ke sana, nasib para Muslimah di kedua-dua bumi Islam itu hingga kini sungguh tragis. Mereka dibunuh, dianiaya dan kehilangan kehidupan normal hasil prosespendemokrasian (democratisation) oleh kuasa Barat dengan bantuan pemimpin Muslim yang menjadi ejen mereka. Wanita, orang tua dan juga kanak-kanak dipenjarakan di kedua-dua negeri tersebut, semuanya atas nama usaha menerapkan demokrasi. Di dalam penjara, para Muslimah dan kanak-kanak Irak dirogol beramai-ramai oleh askar-askar penjajahkuffar. Aksi rogol tersebut malah divideokan dan gambar-gambar mereka diambil untuk dijual. Di bumi Palestin, sudah puluhan tahun Muslimah menjalani kehidupan yang sangat menyedihkan kerana penjajahan Israelyang hingga kini masih belum nampak tanda-tanda untuk berakhir.

Sementara itu, dalam fenomena lain di bawah sistem demokrasi yang serba boleh ini, kita menyaksikan pelbagai gelagat Muslimah yang terbius dengan gaya hidup Barat yang materialistik. Mereka menjadikan kepuasan yang bersifat material sebagai nilai kebahagiaan. Tenaga mereka dikerahkan ke semua sektor dan apa jua bidang yang boleh menghasilkan manfaat material. Secara sedar atau tidak, Muslimah sebenarnya telah menjadi sasaran peluasan pasaran produk Kapitalis dunia.Di samping tubuh badan mereka yang sentiasa dijadikan ‘modal’ untuk mendapat keuntungan, mereka juga berlumba-lumba menghias diri sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit membeli pelbagai fesyen pakaian terbaru, kosmetik dan produk kecantikan lainnya.Modenisasi menjadi piawai kehidupan tanpa mempedulikan hukum-hakam agama. Sudahnya, orientasi hidup Muslimah terfokus kepada mendapatkan sebanyak mungkin kepuasan material tanpa memperhitungkan lagi halal dan haram. Sama ada sedar atau tidak, wanita sebenarnya telah dieksploitasi atas nama kemajuan dan peningkatan ekonomi negara.

Di sisi lain dalam sistem demokrasi yang dikatakan baik ini, ramai Muslimah yang terpaksa bekerja kerana kesempitan ekonomi keluarga. Secara umumnya, alasan wanita keluar bekerja adalah kerana masalah kewangan, terutamanya kepada wanita yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah atau kerana taraf hidup yang terlalu tinggi di tempat ia tinggal, sehingga tiada jalan lain bagi seorang ibu/isteri kecuali bekerja demi menambah pendapatan keluarga. Terdapat juga wanita yang menjadi pencari nafkah kepada suami dan penanggung ibu bapanya yang telah tua atau sakit. Akan tetapi, ada juga wanita yang bekerja bukan kerana desakan wang, sebaliknya hanya kerana ingin mencari kemewahan hidup, menghilangkan kebergantungan kepada suami dan menaikkan imej sosial. Oleh sebab itu, Muslimah seperti ini sibuk bersaing dengan lelaki dan mengejar kerjaya sehingga mengabaikan anak dan keluarganya semata-mata untuk mendapat kehidupan yang kononnya lebih berprestij dan sempurna sebagai wanita moden. Inilah bahana pengaturan hidup berdasarkan sistem kapitalis yang menyongsangkan pengaturan mulia kehidupan Islam terhadap setiap Muslimah.

Dalam masa yang sama, terdapat Muslimah yang terus hanyut dalam sistem demokrasi yang menawarkan pelbagai jenis kebebasan ini. Kebebasan tanpa batas gaya haiwan di bawah sistem kufur ciptaan manusia ini telah menjadikan Muslimah sebagai mangsa yang enak kepada kapitalisme.Kedudukan wanita yang menjadi simbol dan bahan seks adalah antara fenomena biasa dalam dunia kapitalisme. Semua ini dibenarkan atas nama kebebasan di bawah sistem demokrasi, malah di sesetengah tempat, seks telah menjadi satu industri. Pornografi, pelacuran, hiburan lucah, LGBT dan segala jenis perbuatan syaitan ini amat subur di negara demokrasi yang mana sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita. Pergaulan bebas, perzinaan, berpelukan dan berciuman di khalayak ramai sudah tidak terkata lagi. Pendek kata, segala perbuatan keji yang melibatkan seksual tumbuh subur dalam atmosfera sistem demokrasi.

Di bahagian dunia yang lain, Muslimah yang hidup di negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim minoriti seperti di Eropah dipandang sebagai ancaman kepada peradaban Barat. Mereka dilarang daripada berjilbab, bertudung dan menzahirkan identiti Islam mereka. Pembunuhan Dr.Marwa El Sherbiny yang berasal dari Mesir menjadi bukti nyata kebencian Barat terhadap Muslimah yang taat kepada Islam. Hanya kerana mempertahankan maruahnya sebagai seorang Islam, beliau dibunuh secara kejam dengan ditikam sebanyak 18 kali didalam mahkamah Jerman yang kononnya satu institusi yang mulia. Dr. Marwa hadir ke mahkamah bagi mengadukan hal seorang pemuda Jerman bernama Alex yang menggelarnya sebagai “pengganas” kerana beliau memakai tudung. Di mahkamah itulah, Alex telah menikam dan membunuh Dr. Marwa dengan kejam sekali. Suami Marwa yang berusaha membela isterinya malah terkena tembakan polis yang bertugas. Itu di Jerman, ironisnya di negeri kaum Muslim sendiri seperti Turki, Muslimah dilarang untuk memakai tudung di tempat-tempat umum, padahal Turki dahulunya adalah pusat pemerintahan Khilafah Islamiyyah.

Kes lain sebagaimana yang menimpa Dr AafiaSiddiqui, seorang Muslimah yang diculik dan ditahan oleh ejen perisikan Pakistan pada bulan Mac 2003 yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Amerika di Afghanistan. Beliau dipenjarakan di Baghram, dirogol berulang kali dan diseksa dengan penyeksaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini hanyalah secebis realiti menyedihkan yang menimpa kaum hawa di seluruh dunia yang sempat terpapar di media masa. Sementara masih terdapat jutaan Muslimah yang menderita dalam diam akibat ‘keadilan dan kesejahteraan’ sistem demokrasi yang diterapkan di negeri mereka.

Muslimah Mulia Dengan Khilafah

Bagi sesiapa yang mencermati sejarah dan realiti, kisah sedih penderitaan hidup Muslimah di seluruh dunia saat ini sebenarnya tidak lain berpunca daripada lenyapnya sistem Khilafah Islamiyyahdan diganti dengan dominasi sistem demokrasi-kapitalis sekular.Hanya dari sedikit fakta di atas sudah menunjukkan dengan jelas bahawa sistem demokrasi yang dipuji-puji ini ternyata gagal menyelesaikan masalah wanita, sebaliknya telah menjerumuskan wanita ke jurang kejahiliyahan dan kesengsaraan. Keadaan wanita saat ini sesungguhnya tidak banyak berbeza dengan keadaanwanita sebelum kedatangan Islam. Persoalannya, apakah para wanita masih tetap ingin berada dalam keadaan sistem yang rosak lagi merosakkan ini? Walhal Allah SWT telah memperingatkan,

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”[TMQ al-Ma’idah (5):50].

Justeru, bukankah saatnya untuk Muslimah bangkit dan keluar dari segala kegelapan ini? Cahaya dan kemuliaan hanya akan muncul apabila Muslimah dan umat ini kembali berpegang kepada Islam dan berada di bawah naungan Daulah Khilafah yang akan menerapkan hukum Allah dan RasulNya.

Islam menolak segala bentuk sistem buatan manusia sama ada demokrasi, teokrasi, monarki, republik dan apa sahaja namanya. Sistem Islam adalah Khilafah dan ia merupakan sebuah sistem yang menjaga dan memuliakan kaum wanita. Islam melarang sebarang usaha seksualisasi terhadap wanita termasuk semua usaha untuk menjadikan tubuh wanita sebagai objek untuk dieksploitasi dan dipandang rendah. Islam memiliki sebuah sistem pergaulan yang komprehensif bagi mengatur hubungan antara lelaki dengan wanita, termasuklah cara berpakaian, pemisahan antara lelaki dan wanita dan larangan terhadap hubungan di luar pernikahan serta uqubat (hukuman) bagi pelanggarnya.

Islam memiliki aturan yang komprehensif yang menjamin keadilan bagi siapapun termasuk wanita. Hanya sistem Islam yang memberi solusi atas setiap persoalan kehidupan yang berangkat dari pandangan yang universal mengenai wanita, yakni pandangan yang melihat wanita sebagai sebahagian dari anggota masyarakat, yang hidup berdampingan secara harmoni dan damai dengan lelaki dalam kancah kehidupan ini. Islam memberi peluang dan kesempatan bagi Muslimah untuk beraktiviti dalam kehidupan umum selain aktiviti utama sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Di samping itu, Allah SWT juga telah mewajibkan setiap Muslimah untuk berdakwah dan menuntut ilmu. Islam juga telah membolehkan wanita untuk melakukan transaksi jual beli dan bekerja sesuai dengan apa yang dibenarkan oleh syarak.

Semua ini diterapkan di bawah payung sistem Khilafah yang mempunyai sebuah sistem pengadilan yang efisien dan mampu menangani segala bentuk jenayah dengan cepat serta menerapkan hukuman yang berat seperti hukuman rotan atas kesalahan memfitnah kaum wanita bahkan hukuman mati bagi pelanggaran ke atas kehormatan wanita. Khilafah adalah sebuah Negara di mana setiap perkataan atau tindakan yang tidak menghormati kaum wanita dianggap sebagai jenayah dan tidak boleh ditoleransi. Khilafah adalah sebuah negara yang akan mencipta keamanan bagi masyarakat tidak kira bagi wanita yang sedang belajar, bekerja, bermusafir atau menjalani kehidupan seharian yang biasa. Khilafah Islam, tidak sahaja mempersiapkan wanita kompeten menjadi ibu dan pengurus rumah tangga, namun juga mempersiapkan kaum hawa itu agar mampu menjalankan pelbagai fungsi publik yang disyariatkan baginya seperti sebagai anggota parti politik, anggota Majlis Umat, doktor, guru, jururawat, bidan serta pelbagai keahlian lain yang selaras dengan fitrahnya sebagai wanita.

Pendek kata, Islam telah menetapkan hukum-hukum syarak dengan sangat rinci dan menyeluruh. Dengan hukum-hukum syarak inilah, semua persoalan wanita akan diselesaikan secara tuntas dan adil. Kemuliaan wanita juga akan terjaga. Hal ini sejalan dengan pandangan Islam yang menetapkan peranan wanita sebagai pendidik dan penjaga generasi. Islam menetapkan fungsi Negara untuk menjamin agar peranan dan kemuliaan wanita tetap terpelihara melalui penerapan hukum-hukum syarak secara utuh dan konsisten. Hukum Islam yang kaffah ini tidak akan berfungsi dengan sempurna kecuali dalam wadah institusi Daulah Khilafah Rasyidah ’ala minhaj an-nubuwwah.

Dalam sistem Khilafah, umat Islam hidup dalam ketenangan dan kedamaian, kerana Khalifah akan memberikan perlindungan dan pertolongan apabila diperlukan. Tidak dijumpai pada masa Khilafah tindakan keganasan dan pelecehan ke atas wanita seperti yang dapat disaksikan hari ini. Khilafah juga akan membela kehormatan wanita sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Al-Mu’tasim di mana beliau mempersiapkan bala tenteranya dan melancarkan jihad ke atas Rom ketika membela kehormatan seorang Muslimah yang ditahan di Amuriyyah oleh puak Rom. Imam Sayuti di dalam Tarikh al-Khulafa’ menulis bahawa 3000 tentera Rom telah terkorban dan 30,000 yang lain ditawan di dalam peperangan ini. Muslimah tersebut berjaya dibebaskan dan kemuliaannya dikembalikan.

Khatimah

Sesungguhnya penyelesaian mendasar terhadap semua persoalan yang kita hadapi sekarang (yang menyebabkan keterpurukan) ini, tidak lain tidak bukan hanyalah dengan mencampakkan sistem demokrasi yang penuh kerosakan ini dan kembali kepada sistem yang mampu memberi jaminan penyelesaian secara tuntas dan adil, yakni sistem yang berasal dari Zat Yang Maha Sempurna dan Maha Adil, tidak lain adalah sistem Islam di bawah Daulah Khilafah. Sistem Islam telah terbukti selama lebih 13 abad membawa umat ini kepada kemuliaan dan martabatnya yang hakiki sebagai khairu ummah. Sistem Islam juga telah terbukti menjadi peradaban emas untuk umatnya dan membawa rahmat bagi seluruh manusia di seluruh penjuru alam. Dengan kembalinya sistem Khilafah, Islam akan diterapkan secara komprehensif oleh Negara yang menawarkan sebuah pendekatan yang teguh dan kuat dalam melindungi kehormatan wanita.

Wallahua’lam.