SN349 – Pasca PRU-13 : ‘Demo’ Kalah,‘Krasi’ Menang

PDF

SN Keluaran 10 Mei 2013

banner_sn

[SN349] Pilihan raya umum (PRU) ke-13 telah pun berakhir dengan kemenangan, walaupun dipertikaikan, berpihak kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti assabiyyah Melayu terbesar, UMNO. Hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk ke Putrajaya nampaknya tidak kesampaian, walaupun masih belum berkubur. Biar pun menang, namun kemenangan BN kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia. Sebaliknya Democratic Action Party (DAP) mencapai kemenangan terbesar dalam sejarah politiknya. Manakala nasib parti Islam terus terjunam yang sekali gus membuktikan bahawa tahalufsiyasi yang dibentuk selama ini ternyata tidak memihak kepada Islam, sebaliknya lebih menguntungkan puak kafir dan sekular. Di sebalik keputusan PRU yang kita semua telah ketahui, PR kini sedang berusaha keras membantah dan memberi penerangan kepada rakyat, melalui bukti-bukti yang terkumpul, bahawa PRU kali ini tetap tidak bersih dan dipenuhi penipuan sepertimana PRU-PRU sebelum ini. Di pihak UMNO pula, presidennya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mula ditekan sebagai pemimpin yang gagal, kerana kekalahan UMNO kali ini ternyata lebih buruk dari tsunami PRU-12 yang lalu. Dengan apa yang berlaku, tidak mustahil yang nasib Najib bakal menyusuli nasib pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pendek kata, sungguh banyak perkembangan yang menarik perhatian dalam PRU kali ini.Asal Usul Dan Maksud Demokrasi

Mengikut sebahagian pendapat, idea demokrasi sudah muncul pada zaman Yunani kuno yakni sekitar abad ke-5 sebelum Masihi. Kata “demokrasi” berasal dari dua kata iaitu demos yang bererti ‘rakyat’ dan cratos yang bererti ‘pemerintahan’ sehingga ia dapat diertikan sebagai ‘pemerintahan rakyat’. Setelah ‘diInggeriskan’, muncullah istilah democracy yang oleh Abraham Lincoln dijelaskan dengan pengertian yang lebih tepat sebagai pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Idea demokrasi dalam bentuk yang lebih moden diperjuangkan ketika terjadinya pertentangan sengit antara ahli-ahli falsafah dan para pemikir (dari kalangan rakyat) di Eropah dengan para kaisar dan raja mereka. Setelah ratusan tahun berlakunya revolusi berdarah, maka muncullah idea jalan tengah (kompromi) oleh kedua-dua pihak yakni disepakati bahawa agama tidak boleh ikut campur dalam urusan pemerintahan atau yang kemudian dikenali dengan istilah sekularisme.

Tatkala Eropah berada di zaman kegelapan (dark ages), segala peraturan dan undang-undang ditentukan oleh para kaisar dan raja-raja mereka, manakala rakyat langsung tidak ada hak untuk bersuara. Namun, setelah berlakunya pertumpahan darah yang membawa kepada kompromi tersebut, idea demokrasi dimuatkan ke dalam idea sekularisme dalam bentuk yang lebih tegas dan jelas yakni sistem pemerintahan hendaklah datang dari rakyat (tidak lagi dari gereja/raja) kerana kedaulatan dan kekuasaan kini diletakkan di tangan rakyat. Selaras dengan akidah sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan, maka agama tidak lagi boleh menjadi penentu atau masuk campur dalam urusan pemerintahan. Kerana itulah, akidah yang melahirkan idea demokrasi sebenarnya adalah akidah sekularisme. Akidah ini dibangun di atas prinsip jalan tengah (kompromi) antara gereja (yang diperalat oleh para raja dan kaisar dan dijadikan perisai untuk mengeksploitasi dan menzalimi rakyat atas nama agama) dengan para ahli falsafah dan pemikir yang menolak agama.

Kerana itulah, berdasarkan fakta yang jelas lagi nyata, demokrasi adalah sebuah sistem yang lahir dari rahim sekularisme, yang berasal dari kuffar Barat dan langsung tidak ada kena mengena, malah bertentangan sama sekali, dengan Islam. Apa yang pasti ialah, sumber kemunculan demokrasi adalah akal manusia (bukannya wahyu). Sistem kufur ini kemudiannya dijaja dan dibawa masuk ke dunia Islam setelah Barat berjaya menjajah dan mendominasi negara umat Islam. Demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan rakyat di mana rakyatlah yang berhak membuat hukum dan menentukan sendiri apa yang mereka kehendaki. Sedangkan Islam meletakkan kedaulatan di tangan syarak di mana segala ketentuan datangnya dari Allah dan manusia hanya dituntut untuk mematuhi dan melaksanakannya sahaja.

Dalam demokrasi, yang menjadi pemutus (al-haakim) untuk memberikan penilaian halal dan haram, baik dan buruk, terpuji dan tercela sesuatu perbuatan atau sesuatu perkara, adalah akal manusia. Demokrasi menolak peranan agama dalam pelaksanaan undang-undang dan juga pemerintahan. Oleh sebab demokrasi telah menetapkan atau memberikan hak kepada manusia untuk membuat undang-undang, sedangkan mustahil bagi semua manusia untuk berhimpun dan berbahas bagi membuat suatu undang-undang, maka dibuatlah pilihan raya untuk memilih “wakil” bagi menyempurnakan tugasan tersebut. Wakil-wakil inilah, yang dipilih mengikut suara (undi) majoriti, akan pergi ke Parlimen untuk membuat undang-undang yang (kononnya) dikehendaki oleh rakyat. Namun, sama ada sedar atau tidak, rakyat sebenarnya telah ditipu kerana wakil-wakil ini akhirnya membuat undang-undang mengikut hawa nafsu mereka sendiri manakala dalam masa yang sama, rakyat terus dizalimi serta dihisap darahnya habis-habisan.

‘Demo’ (Rakyat) Yang Kalah

PRU-13 di Malaysia yang baru lepas mencatatkan jumlah keluar mengundi yang paling ramai. Ini membuktikan yang sebahagian besar rakyat tidak mahu melepaskan hak dan peluang masing-masing bagi memilih wakil. Di antara fakta yang menarik adalah jumlah undi keseluruhan, di mana PR memperoleh 50.3% (5.489 juta) undi manakala BN hanya mendapat 46.8% (5.220 juta). Inilah antara pembohongan prinsip ‘suara ramai’ dalam demokrasi kerana kemenangan ternyata berpihak kepada BN walaupun jumlah undi kepada PR ternyata lebih besar. Melihat kepada bilangan yang keluar mengundi dan nisbah perbezaan undi yang begitu ketara di sesetengah kawasan antara calon BN dan PR, BN tentunya tidak boleh berbangga dengan kemenangan yang dicapai. Apa pun, kita lupakan sejenak parti-parti yang bertanding dan kita alihkan perhatian kepada persoalan yang lebih penting yakni apakah rakyat (selaku pengundi/pemilih) telah memperoleh apa yang diperuntukkan oleh demokrasi kepada mereka?

Sesuai dengan istilah demo dan cracy yang bermaksud pemerintahan rakyat, apakah benar pemerintahan yang terbentuk selepas pilihan raya (selepas rakyat membuat pilihan) merupakan pemerintahan rakyat? Siapa pun tahu yang sejak dulu hingga kini (dan selamanya) di dalam demokrasi, bahawa hanya segelintir manusia sahaja yang memerintah dan membuat hukum. Walaupun mereka ini “wakil rakyat”, namun hakikatnya rakyat tidak pernah ditanya tentang undang-undang apa yang mereka kehendaki agar wakil ini boleh membawa dan membahaskannya bagi pihak rakyat, di Parlimen. Sebaliknya, “wakil” ini hanya membuat undang-undang menurut hawa nafsu mereka sendiri yang selalunya bertentangan dengan kehendak rakyat, malah lebih buruk, selalunya menzalimi rakyat. Dalam apa jua keadaan, wakil ini sebenarnya hanya bertindak menurut kehendak parti yang mereka wakili, bukannya menurut kehendak rakyat, kerana hakikatnya mereka adalah “wakil parti” dan bukannya “wakil rakyat”.

Bukan sekadar rakyat tidak pernah diajak berunding untuk dibawa suara mereka ke Parlimen, malah untuk berjumpa dengan “wakil rakyat” itu sendiri bukannya satu perkara yang mudah, apatah lagi wakil rakyat yang telah menjadi menteri, timbalan menteri, menteri besar, exco dan sebagainya. Dalam dunia demokrasi, wakil rakyat, khususnya dari parti yang memerintah, terdiri daripada mereka yang penuh dengan protokol, ego, kaya raya, angkuh dan sombong. Mereka merasakan bahawa darjat mereka tidak sama dengan darjat rakyat. Mereka hanya memerlukan rakyat dan merendahkan segala keegoan dan kesombongan mereka terhadap rakyat tatkala musim pilihan raya sahaja. Berapa ramai dari mereka yang menjadi musang berbulu ayam di kala pilihan raya. Setelah menang, tanggallah bulu-bulu mereka dan ayam kini menjadi santapan (mangsa) lazat mereka!

Semua orang tahu bahawa pilihan raya di dalam sistem demokrasi dipenuhi dengan penipuan dan kemaksiatan. Siapa yang menipu dan siapa yang tertipu? Jawabnya, pemimpinlah yang menipu dan rakyatlah yang tertipu. Siapa yang untung dan siapa yang rugi? Jawabnya, pemimpinlah yang untung dan rakyatlah yang rugi. Siapakah yang menang dan siapakah yang kalah dalam pilihan raya yang penuh penipuan ini? Jawabnya, pemimpinlah yang menang dan rakyatlah yang kalah. Buktinya, setelah para penipu ini menang, maka orang yang tertipu terus merana dan menderita.

Apa yang lebih penting ialah, rakyat, khususnya umat Islam, sebenarnya telah tertipu dengan sistem demokrasi itu sendiri. Umat Islam sepatutnya diperintah oleh Islam, bukannya oleh demokrasi. Dengan kata lain, apa pun keputusan pilihan raya dalam sistem demokrasi yang penuh kemaksiatan ini, rakyat (umat Islam) akan sentiasa kalah, tidak kira siapa pun yang mereka pilih. Siapa pun yang menang, Islam tetap tidak akan diterapkan ke atas rakyat.

‘Cracy’ (Sistem Pemerintahan) Yang Menang

Dalam demokrasi, sekiranya rakyat inginkan Islam sekali pun, lalu memilih wakil rakyat yang boleh membawa agenda Islam, namun rakyat sebenarnya tidak akan dapat mencapai aspirasi mereka. Ini kerana, sistem demokrasi adalah sistem kufur yang tidak boleh dicampur aduk atau diharmonikan dengan Islam. Ibarat air yang bersih lagi suci, jika dicampur dengan setitik najis pun, maka kesuciannya akan tercemar dan tidak lagi boleh diminum. Hukum potong tangan bagi pencuri contohnya, jika ingin dilaksanakan sekalipun di bawah sistem demokrasi, maka ia perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu untuk “diluluskan” oleh manusia, itu pun setelah dibahas melalui bacaan kali pertama, kedua dan ketiga dan mendapat undi (sokongan) majoriti, maka barulah hukum Allah ini boleh dilaksanakan! Inilah cara yang diajar oleh demokrasi! Adakah benar begini caranya untuk melaksanakan hukum Allah? Sahkah cara begini menurut Islam? Apakah ini cara yang diajar oleh Rasulullah SAW?

Justeru, selagi sistem yang bertentangan dengan Islam ini diikuti oleh umat, walau calon dan parti Islam menang sekalipun, tetapi umat (dan agama Islam) akan sentiasa kalah dan sistem ini akan sentiasa menang. Sistem ini (demokrasi) memberikan kuasa dan kebebasan kepada manusia untuk membuat hukum. Dengan kekuasaan yang ada pada mereka (pemimpin), maka melalui sistem inilah mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mereka ‘menghalalkan’ perbankan dan perekonomian ribawi. Mereka menghalalkan saham, judi, cukai, arak dan sebagainya. Mereka mengenakan pendidikan dan kesihatan berbayar. Mereka merampas hak rakyat seperti minyak, gas dan segala kekayaan bumi yang ada, lalu dimasukkan ke dalam kantung mereka.

Mereka menyatakan bahawa sistem ini (demokrasi) adalah sistem yang terbaik. Ya benar, ia adalah sistem yang terbaik untuk mereka kerana dengannya, mereka dapat menipu rakyat, mengaut segala kekayaan negara dan melakukan segala bentuk kemaksiatan yang mereka kehendaki tanpa dikenakan tindakan undang-undang kerana undang-undang berada di tangan mereka. Melalui sistem ini, rakyat tidak dibenarkan mengkritik atau memuhasabah mereka. Segala bentuk muhasabah, baik dengan cara demonstrasi, forum, seminar, penulisan dan sebagainya, tanpa mendapat izin dari mereka, akan dikatakan bertentangan dengan demokrasi dan haram untuk dilakukan!

Pendek kata, jika rakyat mahukan Islam dan rakyat berjuang untuk menerapkan Islam, maka hal ini sekali-kali tidak akan dibenarkan kerana ia bertentangan dengan demokrasi. Begitu juga jika kita berjuang untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah bagi menggantikan sistem demokrasi yang kufur ini, maka hal ini lebih-lebih lagi tidak dibenarkan! Malah, para pejuang Islam yang ingin menegakkan agama Allah akan dilabel ekstremis dan ditangkap, diseksa dan ada yang dibunuh di bawah sistem demokrasi.

Justeru, selagi umat/parti Islam berjuang dalam koridor demokrasi, maka ia hanya akan memperpanjangkan lagi umur sistem kufur ini dan Islam akan sentiasa berada dalam keadaan kalah. Sesungguhnya sistem kufur ini tidak akan dapat menyatukan umat Islam, apatah lagi untuk membebaskan umat Islam di Palestin, di Kahsmir, Mynmar, Selatan Thailand dan lain-lain. Sistem kufur ini juga tidak akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia di bawah satu bendera kerana sistem ini memang tidak direka untuk berbuat demikian. Sistem kufur ini juga sentiasa membuatkan orang-orang kafir menguasai orang-orang beriman, baik orang-orang kafir dari dalam negeri mahupun luar (khususnya Barat). Inilah hakikat sistem demokrasi di mana sistem kufur yang berasal dari Barat ini sudah barang pasti tidak akan dapat menzahirkan agama Allah dan tidak akan membawa rahmat atau keberkatan kepada umat Islam khasnya dan umat manusia umumnya. Ringkasnya, selagi berjuang dalam sistem demokrasi, maka demos (rakyat, khususnya umat Islam) akan terus kalah, manakala cratos (sistem – yang kufur ini) akan terus menang!

Langkah Ke Hadapan

Hujah apa sekalipun yang digunakan oleh para pejuang demokrasi, baik demokrasi dikatakan hanya sebagai alat mahupun wasilah, ia tetap tidak dapat merubah hakikat yang demokrasi adalah sistem kufur yang berasal dari Barat dan sejak berdekad lamanya, pilihan raya di bawah sistem demokrasi tidak pernah membawa kepada kemenangan Islam, sebaliknya hanya mengekalkan kebatilan yang sedia ada. HizbutTahrir telah lama memberikan peringatan dan akan sentiasa memberikan peringatan kepada parti Islam khasnya dan umat Islam amnya agar meninggalkan sistem yang rosak lagi merosakkan ini dan beralih mengambil jalan (thariqah) yang benar, yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam usaha untuk mendirikan Negara Islam (Khilafah) dan menerapkan hukum Allah di dalamnya.

Berapa lama lagikah parti/umat Islam akan sanggup untuk terus ditipu oleh sistem demokrasi? Apakah mahu menunggu lima tahun lagi (sebagai tanda ketundukan kepada undang-undang demokrasi di Malaysia) untuk menegakkan Negara Islam dan jika kalah, terus menunggu lima tahun lagi dan lima tahun lagi? Apakah kalian yakin yang lima tahun akan datang proses pilihan raya dan demokrasi akan menjadi lebih baik? Sudah 13 kali pilihan raya (lebih 50 tahun) kalian mengharapkan kemenangan melalui pilihan raya-demokrasi, apakah kalian ingin terus membiarkan diri untuk dipatuk dari lubang yang sama utk kali yang ke-14, ke-15 dan seterusnya? Sesungguhnya perjuangan untuk menegakkan Negara Islam bukanlah dengan jalan menunggu lima tahun sekali (sebagaimana ajaran demokrasi), tetapi ia wajib dilakukan setiap detik dengan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Khatimah

Kepada parti yang menang (pemerintah), ingatlah bahawa pemerintahan adalah satu amanah dan ia adalah amanah untuk menegakkan agama Allah. Sekiranya kalian tidak menerapkan hukumNya, maka tunggulah azab yang pedih yang disediakanNya untuk kalian di akhirat kelak. Kepada parti yang kalah, cukuplah tu dan sedarlah bahawa demokrasi tidak pernah dan tidak akan pernah memberikan kemenangan kepada Islam! Kembalilah kepada thariqah Rasulullah SAW di dalam menegakkan Negara Islam. Marilah bersama HizbutTahrir memperjuangkan penegakan Khilafah di seluruh dunia melalui thariqah (jalan) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Janganlah ragu atau bertanya bilakah kemenangan (tegaknya Khilafah) itu akan tiba, tetapi tanyalah, apakah kalian telah berusaha di jalan yang benar? Sesungguhnya kemenangan itu akan bersama dengan para pejuang yang benar lagi ikhlas.