SN366 – MEMAHAMI KRISIS “AMERICA SHUT DOWN”

SN keluaran 25 Oktober 2013



MEMAHAMI KRISIS “AMERICA SHUT DOWN”
[SN366] Beberapa minggu lepas, telah berlaku satu konflik yang memanas di Amerika Syarikat di antara pemerintahan Obama dan Parti Demokrat di satu pihak dengan parti Republikan di pihak yang satu lagi. Konflik itu berkisar di seputar persoalan bajet dan kenaikan siling hutang (debt ceiling) yang diminta oleh pemerintahan Obama. Krisis itu mencapai kemuncaknya setelah bajet tidak diluluskan yang berakibat kepada penutupan operasi (shut down) pentadbiran kerajaan pusat dan ratusan ribu pekerja direhatkan atau dalam istilah lainnya disebut sebagai cuti paksa tanpa gaji. Persoalannya, bagaimanakah hal itu boleh terjadi di Amerika, selaku pemimpin negara kapitalis demokrasi? Demokrasi apakah ini, yang selama ini mereka dakwa sebagai sebuah sistem yang adil kepada rakyat, sementara mereka menghentikan gaji para pekerja mereka, bukan kerana kesalahan atau kelalaian pekerja-pekerja tersebut? Dalam pada itu, kenapakah kerajaan Amerika mendesak untuk menaikkan siling hutang dan bukannya meminta untuk mengurangi hutang? Apakah jawapan kepada semua kemelut ini?

Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas, fakta-fakta berikut perlu difahami dengan mendalam:-

Pertama: Bajet Amerika

Kelulusan bajet AS memerlukan keputusan Kongres (Congress), yang terdiri dari Senat (Senate) yang majoritinya dari golongan parti Demokrat dan Dewan Rakyat (House of Representatives) yang majoritinya dikuasai oleh parti Republikan. Rundingan yang intensif telah berlaku di antara Senat dan Dewan Rakyat dengan pertukaran pelbagai teks dan usulan, sehingga ke hari Isnin malam, 30 September 2013. Meskipun demikian, Kongres Amerika tetap gagal meluluskan bajet sementara (temporary budget) sebelum pukul 1.00 pada 1 Oktober 2013 yang dikira sebagai tahun kewangan yang baru.
 
Kedua: Isu Siling Hutang

Hutang Amerika adalah jumlah hutang yang disetujui oleh pemerintah/kerajaan pusat (federal government) iaitu jumlah surat hutang (bonds) yang dimiliki oleh pihak-pihak di luar Amerika Syarikat, di samping surat hutang yang dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan (Treasury Department) Amerika Syarikat dan dimiliki oleh pihak-pihak di dalam Amerika Syarikat. Kongreslah yang menentukan siling hutang yang tidak boleh dilangkau oleh kerajaan pusat, yang saat ini jumlahnya ialah USD 16.7 trilion. Kerajaan pusat bagaimanapun dijangka akan melangkaui atau hampir melangkaui batas tersebut pada 17 Oktober 2013. Kerana itu, kerajaan pusat berada dalam keadaan “menahan nafas” menunggu keputusan Kongres pada tarikh tersebut.
 
Ketiga: Krisis Yang Terjadi Dan Sebab-Sebabnya

1.    Obama menawarkan program layanan kesihatan (healthcare) yang disebut sebagai Obama Care yang berupa penyediaan jaminan sosial dan kesihatan untuk 46 juta warga Amerika yang berpendapatan rendah. Di bawah program ini, mereka yang tidak memiliki insurans akan mendapat insurans kesihatan. Bagi membolehkan program tersebut diimplementasikan, maka peruntukan mestilah diluluskan di dalam bajet 2013-2014 yang bermula pada 1 Oktober 2013. Akan tetapi orang-orang parti Republikan faham bahawa projek tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan “undi popular” dan meraih pandangan umum (public opinion) untuk parti Demokrat, apatah lagi pilihan raya separuh penggal untuk Kongres (midterm Congressional election) akan diadakan pada bulan November 2014 dan dijangkakan bahawa program layanan kesihatan Obama itu akan menjadi poin perbincangan. Oleh yang demikian, orang-orang parti Republikan menolak untuk meluluskan bajet bagi program Obama itu dan mereka meminta program itu ditunda, kecuali jika undang-undang tersebut boleh dirunding dan dipinda, agar boleh dikeluarkan atas nama kedua-dua parti. Dengan kata lain, mereka hanya bersetuju untuk meluluskannya setelah visi dan deskripsi parti Republikan turut dimasukkan ke dalam program tersebut dan bukan hanya visi dan deskripsi Obama sahaja. Hal itu supaya Obama tidak meraih keuntungan undi untuk parti Demokrat. Oleh kerana Republikan menguasai majoriti di Dewan Rakyat, justeru mereka boleh menunda keluarnya undang-undang tersebut.

Jadi, isunya bagi kedua-dua parti itu bukanlah sebenarnya “melayani masyarakat” akan tetapi persaingan politik untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya yang mendatang, maka masing-masing parti berkeras dengan sikap masing-masing walau ke tahap mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat seperti yang dapat dilihat sebelum dan sesudahnya. Obama ingin hal ini diluluskan, manakala orang-orang Republikan ingin menundanya untuk dirunding kembali dan dikeluarkan dengan warna yang berbeza daripada warna rancangan Obama, yang mana di situ hendaklah mengandungi warna Republikan juga. Begitulah bagaimana krisis tersebut semakin mendalam, yang berakhir kepada gagalnya Kongres meluluskan bajet sebelum pukul satu, masuknya bulan Oktober, sebagai batas akhir kelulusan. Debat di antara kedua-dua pihak masih berterusan hingga kini.

2.    Hasilnya, diaktifkanlah mekanisme “Federal Government Shutdown” (penutupan kerajaan pusat), disebabkan oleh penolakan parti Republikan daripada mengundi undang-undang bajet untuk tahun 2014, pada 30 September 2013. Kesannya, lebih dari 800 ribu pekerja kerajaan dimasukkan ke dalam kategori cuti paksa tanpa gaji, dengan kemungkinan kesemua institusi Amerika melakukan pengurangan pekerja dan pemberhentian sejumlah besar daripada mereka. Hal seperti itu pernah terjadi sebelumnya ketika kerajaan menghentikan operasi selama 21 hari pada bulan Disember 1996 hingga Januari 1997 pada masa pemerintahan Presiden Bill Clinton. Pada waktu itu AS menanggung kerugian sekitar dua bilion dolar.

3.    Ini hanyalah sebahagian dari krisis. Malah ini merupakan pintu masuk untuk krisis berikutnya, iaitu permintaan kerajaan agar siling hutang dinaikkan pada waktu pembahasan di Kongres pada 17 Oktober 2013. Hal itu kerana hutang kerajaan telah mencecah batas yang diizinkan iaitu USD 16.7 bilion. Jumlah tersebut adalah siling yang diputuskan oleh Kongres dan kerajaan tidak boleh berhutang lebih dari batas tersebut. Perbendaharaan negara AS menjurus kepada muflis pada 17 Oktober 2013, di mana jumlah simpanan hanya dijangka tinggal USD 30 bilion dan berikutnya negara tidak akan mampu memenuhi tanggungjawab kewangannya lagi.

4.    Akhirnya kedua-dua parti saling tuduh-menuduh, khususnya setelah masyarakat mengalami kesulitan disebabkan masalah yang ditimbulkan oleh keduanya. Lalu, masing-masing parti cuba mempersalahkan dan meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang satu lagi. Obama menganggap parti Republikanlah yang menjadi penyebab dan dia sifatkan Republikan sebagai meletakkan rakyat dalam keadaan “tergadai” demi merealisasi kepentingan parti. Dalam sidang akhbar di White House pada hari Selasa 8 Oktober 2013, Obama mengatakan, “Anggota-anggota Kongres, khususnya Republikan, janganlah meminta tebusan sebagai kompensasi atas kerja yang mereka lakukan. Dua tugas asas mereka adalah meluluskan bajet dan menjamin AS membayar hutang-hutangnya”.

Manakala ketua Dewan Rakyat yang berasal dari parti Republikan mengatakan, “Kongres tidak mengizinkan menaikkan siling hutang kecuali jika Obama memberikan konsesi dari program layanan kesihatan yang dikenali sebagai Obama Care dan setuju melakukan rundingan. Tidak mungkin kita menaikkan siling hutang tanpa kita melakukan perbincangan terhadap apa yang mendorong kita berhutang lebih banyak lagi”.

5.    Tampak jelas dari perdebatan kedua-dua parti tersebut bahawa masing-masing ingin menaikkan siling hutang. Namun parti Republikan meletakkan syarat kelulusannya (untuk menaikkan siling hutang) dengan pindaan undang-undang layanan kesihatan agar warna Republikan ada di situ. Perlu dinyatakan di sini bahawa situasi normal mana-mana negara sekalipun, secara kewangannya, diurus dalam bentuk mengawal perekonomian dan kewangan agar hutang dapat diturunkan dan bukan untuk dinaikkan. Akan tetapi Amerika adalah satu-satunya negara yang tidak peduli jika mereka tenggelam di dalam hutang sekalipun. Amerika mengeluarkan surat hutang (bonds) sesukanya dan menjamin pembayarannya pada kondisi-kondisi yang sesuai. Walaupun AS tidak mampu membayarnya disebabkan situasi kewangan mereka sekalipun, namun ia boleh, tatkala ia memandang ada kepentingan lain yang perlu diutamakan, mencetak lebih banyak dolar tanpa batasan sandaran di dalam perbendaharaannya seperti halnya negara lain. Apatah lagi, mata wangnya menguasai sebahagian besar rizab negara-negara dunia.

Amerika boleh mencetak lebih banyak dolar sama ada dengan persetujuan IMF atau tanpa persetujuan IMF baik secara rahsia atau terbuka sekalipun. Amerika memiliki pengaruh di IMF. Amerika boleh menampakkan sebab-sebab palsu dan menutupi hakikat sebenar masalah dengan disokong oleh IMF dalam hal itu! Amerika boleh lakukan semua itu sehingga meski pun dengan mencetak lebih banyak dolar akan mengakibatkan turunnya nilai dolar atau inflasi yang tinggi, selama Amerika melihat ada kemaslahatan dalam perkara tersebut, Amerika akan tetap melakukannya (mencetak lebih banyak dolar). Contohnya, seperti yang telah berlaku, berita melaporkan bahawa Amerika telah mencetak antara 2-4 trilion USD sewaktu terjadi spekulasi minyak yang menyebabkan lonjakan harga minyak sehingga USD 150 per barel pada tahun 2008,  padahal Amerika sendiri terlibat di dalam spekulasi tersebut. Amerika mencetak dolar itu supaya boleh membeli sebanyak mungkin minyak secara langsung atau tidak langsung untuk ditambahkan ke simpanannya. Amerika memandang adanya kemaslahatan dalam hal itu yang lebih untuk Amerika berbanding melonjaknya harga dan turunnya nilai dolar.

Atas dasar itu, siling hutang di pemerintahan Amerika Syarikat akan terus dinaikkan bergantung kepada keperluan. Misalnya, siling hutang pemerintahan AS (pemerintahan pusat dan pemerintahan negeri) naik dari USD 4.3 trilion pada tahun 1990 menjadi USD 8.4 trilion tahun 2003, kemudian naik lagi kepada USD 8.9 trilion pada 2007 dan pada awal pemerintahan Obama tahun 2009 terus naik kepada USD 10.3 trilion. Pada tahun 2011 ia naik menjadi USD 14 trilion dan sekarang mencapai USD 16.7 trilion. Seandainya negara lain tenggelam dalam hutang meski jauh lebih kecil dari angka itu, nescaya negara itu akan hancur dan perekonomiannya tinggal menjadi sejarah! Akan tetapi, Amerika tidak peduli dengan hutang, sebab baginya itu adalah masalah dalam negeri. Kongres menaikkan siling hutang pada bila-bila masa sahaja yang diinginkannya dan perekonomiannya terus berjalan. Hutang AS akan dibayar dengan kekuatan perekonomiannya jika boleh dan jika tidak, maka dikeluarkan wang tanpa batasan seperti negara lain. Perekonomian Amerika akan hancur hanya apabila negara-negara di dunia tidak lagi memberikan nilai kepada dolar Amerika dan transaksi di antara negara-negara di dunia dilakukan melalui sistem pertukaran komoditi atau dengan kembali semula ke sistem emas dan perak dalam aspek pertukaran mata wang.

6.    Begitulah bagaimana pemimpin paling depan (front) kapitalis demokrasi mengesahkan kegagalan sistem kapitalis demokrasi dan mengesahkan bahawa demokrasi itu tidak lebih merupakan kawalan oleh kelas/kelompok kapitalis yang berkuasa terhadap nasib masyarakat, khususnya kelas menengah dan lebih khusus lagi masyarakat umum. Obama menetapkan agendanya, “Obama Care Program” dengan alasan dia membantu jutaan orang untuk mendapat jaminan kesihatan. Akan tetapi sebaliknya dia telah memberi cuti kepada ratusan ribu pekerja tanpa gaji! Ini bermaksud bahawa parti Demokrat bukannya ingin melayani masyarakat, tetapi hanyalah bertujuan untuk menang di dalam pilihan raya yang akan datang. Jika tidak demikian, bagaimana mungkin “layanan” terhadap masyarakat itu mengakibatkan masyarakat terhalang dari pekerjaan mereka tanpa kesalahan dari masyarakat itu sendiri? Begitu pula parti Republikan, agendanya bukanlah ada atau tidak adanya jaminan kesihatan untuk masyarakat, akan tetapi agar program tersebut tidak hanya dinisbahkan kepada pesaingnya (parti Demokrat) sahaja, melainkan mereka juga ikut serta di dalamnya.

Sesungguhnya kedua-dua parti itu tidak mementingkan pemeliharaan kesihatan bagi masyarakat dan buktinya adalah bahawa, mereka setuju meluluskan program tersebut setelah rundingan agar program itu dinisbahkan kepada keduanya. Jadi, yang menjadi isu di sini bukanlah isinya sebagaimana yang diperkatakan, tetapi sejauh manakah ia akan menguntungkan kedua-dua pihak dari aspek pilihan raya, dan mereka tidak peduli meskipun hal itu telah mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan masyarakat!

Demikian juga tentang program tersebut di mana di dalamnya ada fasal yang memerlukan industri besar untuk menyediakan insurans kesihatan kepada para pekerja mereka. Pemilik program itu sendiri (Obama) pada Julai lalu mengumumkan keinginannya menunda fasal ini selama setahun! Hal ini dilakukan tidak lain kecuali untuk menyenangkan para pemilik industri itu dan menyenangkan pendukungnya dari parti Republikan. Dengan itu Obama beranggapan bahawa parti Republikan akan menyetujui programnya. Dari sini amat jelas bahawa kedua-dua parti tidak peduli untuk menjaga urusan masyarakat dengan penjagaan kesihatan yang benar. Apa yang mereka peduli dan jaga ialah bagaimana untuk meraih undi hasil dari projek ini. Dari sini juga, sudah terang lagi bersuluh bahawa praktis kapitalisme mereka adalah hakikatnya eksploitasi para kapitalis terhadap masyarakat umum dalam rangka menambah modal mereka dan demokrasi mereka bukanlah untuk melayani rakyat akan tetapi agar rakyat melayani para pengusung “senior” demokrasi walau tanpa upah/gaji sekalipun!

7.    Sebagai penutup, kita menyampaikan segala puji bagi Allah bahawa kita adalah sebahagian dari kaum Muslimin dan Allah SWT telah menunjuki kita kepada sistem yang berasal dari sisiNya selaku Zat yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Satu sistem yang dinamakan sebagai sistem Khilafah yang diketuai oleh seorang Khalifah. Khalifah yang akan merasai kelaparan jika rakyatnya lapar dan Khalifah yang akan merasai kekenyangan jika rakyatnya kenyang dan dia tidak akan merasa aman kecuali rakyatnya aman. Inilah sistem yang akan menjamin pemenuhan keperluan asas berupa makanan, pakaian dan tempat perlindungan untuk seluruh individu rakyat. Sesiapa yang mampu bekerja akan disediakan pekerjaan untuknya dan siapa yang tidak mampu bekerja dan tidak memiliki kerabat yang boleh menanggung nafkahnya, maka sang Khalifahlah yang akan bertanggungjawab menjamin nafkahnya dengan makruf (sesuai kecukupannya). Inilah satu sistem yang di dalamnya pemilikan umum (al-milkiyyah al-ammah) diagih-agihkan kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kehidupan mereka, sejak mereka dilahirkan lagi. Inilah sistem yang merealisasi perekonomian yang aman dan adil dan memperbaiki keadaan setiap makhluk kerana Al-Khaliq (Pencipta) sistem ini adalah Yang Maha Tahu apa yang membuat manusia menjadi baik. FirmanNya, “Apakah Allah yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan atau rahsiakan)? Padahal Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui”[TMQ al-Mulk (67):14].
 
Sungguh, kami memohon kepada Allah SWT akan pertolongan dan taufiqNya untuk mengembalikan Daulah al-Khilafah ar-Rasyidah, sehingga segala kebaikan akan menyebar meliputi bukan hanya Darul Islam, akan tetapi juga meliputi setiap orang yang memiliki akal yang mencintai keamanan dan kedamaian…dan segala puji hanya bagi Allah Rabb semesta alam.