SN396 – SERUAN KEPADA KUMPULAN DAN PUAK YANG BERTELAGAH DI IRAQ DAN SYAM

 
SN keluaran 5 September 2014


Bismillahirrahmanirrahim

Seruan Kepada Kumpulan Dan Puak Yang Bertelagah Di Iraq Dan Syam Hentikanlah Pertelagahan Kalian Kerana Sesungguhnya Amerika Mengeksploitasi Pertelagahan Kalian Untuk Campur Tangan Secara Ketenteraan Di Negeri Kalian

[SN396] Sepantas krisis yang berlaku di Iraq dan Syria, sepantas itulah juga ucapan Obama pada 18/8/2014 serta ucapan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Chuck Hagel dan Martin Dempsey, Ketua Angkatan Tentera AS pada 22/8/2014 dalam satu sidang media mengenai strategi jangka panjang Obama untuk memasuki kawasan tersebut secara ketenteraan dan hala tuju AS dalam membentuk kerjasama antarabangsa untuk tujuan ini. Semua ini bermula kerana terdapat permintaan dari sebahagian ahli politik dan militer di kawasan tersebut agar AS masuk campur sebagai penyelamat!

Atas permintaan ini, tentera udara AS telah menjalankan operasi di Iraq dan rejim Syria juga telah memberikan isyarat agar AS turut campur tangan di Syria sepertimana di Iraq dan terus menerus menyeru AS dengan mengatakan AS melakukan double standard sekiranya tidak masuk campur di Syria!

Sesungguhnya AS yang dibenci oleh kaum Muslimin dan penduduk setempat dek permusuhannya yang nyata di Afghanistan dan Iraq serta serangan-serangan dronenya yang kejam di Pakistan dan Yemen itu, kini dilihat sebagai pihak yang baik, bahkan dialu-alukan agar campur tangan secara ketenteraan dengan penuh keredhaan! Ini merupakan keburukan yang lebih dahsyat dari campurtangan AS secara paksaan! Sesungguhnya seekor ular yang menyerang kalian dan kalian mempertahankan diri daripadanya adalah seribu kali lebih baik dari kalian membawa ular tersebut dengan tangan kalian ke dalam rumah kalian,lalu ular tersebut membunuh kalian dan anak-anak kalian serta semua yang ada di rumah kalian!! Mereka ini mencari cahaya dari api Amerika tetapi telah dikelabui oleh asapnya yang menjadikan mereka pekak dan buta.

Apakah sebenarnya situasi yang menimbulkan suasana kacau seperti ini? Apakah yang membuatkan Amerika begitu bersungguh-sungguh untuk campur tangan? Apakah perancangan yang telah diatur oleh mereka untuk tujuan ini? Apakah yang AS inginkan melalui campurtangan ini? Apakah yang menyebabkan sebahagian daripada puak-puak yang berada di situ tanpa segan silu menginginkan AS campurtangan di dalam kawasan mereka?

Bagi para pengamat, mereka akan dapat melihat bahawa AS pada hakikatnya sedang mengambil kesempatan dari pertelagahan antara puak-puak di Iraq dan Syria ini. Puak-puak ini asalnya berjuang untuk menjatuhkan para pemerintah yang zalim dan mereka berjuang dengan rahmat Allah, namun setelah itu mereka mula bertelagah dan berperang sesama sendiri, bukan lagi berperang dengan pemerintah yang ingin mereka jatuhkan atau berperang dengan puak kafir imperialis! Meskipun begitu halnya, puak-puak ini tidak pernah bertanya mengapa semua ini berlaku? Dan apakah tujuan yang menyebabkan mereka sebenarnya keluar berjuang? Puak-puak ini juga tidak pernah bertanya mengapa mereka bertelagah semasa sendiri, sesama puak dan kumpulan yang ada? Mengapakah mereka bertelagah atas apa yang mereka miliki (kawasan yang telah terbebas dari pemerintah yang zalim) dan bukannya berjuang untuk membebaskan kawasan yang masih berada di tangan pemerintah yang zalim?

Wahai kaum Muslimin!

Kami dari Hizbut Tahrir menyeru kaum Muslimin dalam ISIS dan puak-puak bersenjata agar berhenti bertelagah sesama sendiri. Mereka hendaklah berdamai dan tidak condong kepada orang-orang yang zalim agar mereka (kaum Muslimin) tidak disentuh api neraka…Kami menyeru mereka demi menjaga kemaslahatan kaum Muslimin. Sesungguhnya hati-hati kita merasa sedih dan terluka apabila melihat ISIS dan jamaah lainnya berperang sesama sendiri di mana masing-masing melaungkan takbir tatkala berusaha untuk menghancurkan yang lain. Kami menyeru kepada semua pihak dengan penuh kesedihan atas apa yang berlaku…dan kami tujukan seruan ini kepada mereka dengan penuh pengharapan:

Pertama; kepada ISIS, bertakwalah kepada Allah SWT atas apa yang kalian lakukan dan berhentilah membunuh sesama Muslim kerana sesungguhnya darah seorang Muslim itu amat mulia di sisi Allah. Tariklah kembali deklarasi Khilafah kalian yang tidak berjalan atas jalan yang benar. Jalan menuju Khilafah adalah suatu yang diketahui dengan jelas dan bukannya suatu yang kabur. Rasulullah SAW telah menjelaskan melalui sirah baginda jalan yang sangat jelas iaitu dengan melakukan thalabunnusrah (meminta pertolongan) terhadap mereka yang memegang kekuasaan dan kekuatan dalam sesebuah kawasan yang mempunyai tiang-tiang negara. Setelah itu, baiah diambil dari penduduk kawasan tersebut dengan penuh keredhaan dan pilihan (hak memilih). Namun begitu ISIS tidak melakukan sepertimana yang diwajibkan oleh syarak. Sesungguhnya suatu perbuatan yang tidak dilandaskan kepada hukum syarak akan membawa kepada pelbagai krisis dan fitnah dan akibatnya, berlaku pelbagai pertelagahan dengan puak-puak yang lain sehingga bentuk hubungan yang wujud menjadi hubungan darah (perang). Akhirnya, mereka yang datang dari seluruh pelosok negeri untuk berjuang bersama ISIS melepaskan diri darinya, bukannya terus bersama dengannya.. Kembalilah wahai ISIS dari kesilapan kalian kerana sesungguhnya menyedari kesilapan dan berlepas darinya adalah suatu yang lebih utama.

Kedua; kepada kumpulan militan lain yang meminta bantuan daripada AS, Barat serta ejen-ejennya – sesungguhnya meminta bantuan dari kaum kuffar imperialis itu bukan sahaja merupakan satu kesalahan/dosa, malah suatu yang merugikan dari sudut fakta.Bagaimana mungkin AS dan Barat membantu kalian, kecuali agar kalian menjadi ejen baru untuk mereka menggantikan ejen lama yang mereka angkat sebelum ini? Akal yang waras mengetahui bahawa hal ini umpama melompat keluar dari  kuali dan masuk ke dalam api. Tiadakah di kalangan kalian orang-orang yang cerdas??

Ketiga; kepada suku-suku, kepada para tokoh yang memiliki kehormatan dan dorongan Islami. Kalian merupakan golongan yang berkemampuan dan amat dihormati, oleh itu janganlah kalian menyokong mana-mana kubu yang bertelagah kerana mereka itu bukannya memerangi kaum kuffar imperialis. Meskipun mereka mendakwa bahawa mereka berjuang untuk menghapuskan pemerintahan yang zalim dan berusaha mengubahnya, hakikatnya mereka tidak berhimpun untuk menghadapi pemerintah zalim itutetapi mereka menghimpun perancangan mereka untuk berperang sesama sendiri. Oleh itu,peganglah mereka dengan sekuat-kuatnya, persatukanlah mereka dengan hidayah agar orientasi mereka menjadi orientasi Islam yang satu, iaitu menegakkan Khilafah Rasyidah di mana manusia berlindung di bawahnya dan tidak merasa takut…lalu mereka mencampakkan pemecahan dan pemisahan kawasan-kawasan dan tanah-tanah kalian…

Keempat;kepada orang-orang yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran “kecuali orang-orang yang diberi rahmat olehTuhanmu” [TMQ Hud (11):119] iaitu mereka yang membenarkan janji-janji Allah ke atasnya dan berpegang teguh bahawa pertolongan Allah dan RasulNya akan datang dalam menegakkan Khilafah Rasyidah…kepada mereka yang menahan diri mereka daripada bertelagah dengan jamaah Islam yang lain dan terus berusaha untuk mencapai tujuan perjuangan mereka…tetaplah kalian di jalan kebenaran yang kalian ikuti. Janganlah kalian merasa terhiris dengan kata-kata mereka yang melihat kalian sebagai kumpulan yang kecil berbanding kumpulan dan puak yang tenggelam di dalam darah kaum Muslimin. Sesungguhnya jamaah yang kecil tetapi benar adalah lebih bernilai di sisi Allah berbanding jamaah yang besar tetapi batil. Sesungguhnya kesudahan yang baik itu adalah untuk orang-orang yang bertakwa. Firman Allah SWT, “Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)” [TMQ al-Qasas(28):5].

Wahai Kaum Muslimin!

Hizbut Tahrir tetap konsisten menyeru kepada yang haq di atas jalan yang benar sejak 60 tahun yang lalu dan tetap berpegang kepada thariqah (jalan) Rasulullah SAW dalam mendapatkan nusrah bagi menegakkan hukum Islam di atas muka bumi tanpa terpesong walau sedikit pun. Hizb tetap konsisten di jalannya meskipun ada yang mengatakan bahawa thalabunnusrah ini merupakan jalan yang terlalu lama sedangkan menggunakan kekuatan dengan memaksa penerapan hukum ke atas manusia adalah lebih cepat dan singkat. Sesungguhnya mereka ini tidak sedar bahawa permasalahan utama bukanlah untuk mendapatkan pemerintahan, walau apa pun bentuknya atau menelusuri jalan, walau apa bentuknya, tetapi permasalahan utama yang harus diperhatikan ialah menegakkan Khilafah atas jalan kenabian melalui thariqah yang telah digariskan, diterangi dan disinari oleh Rasulullah SAW dengan wahyu daripada Dzat Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui.

Jalan yang lain memang boleh membawa kepada pemerintahan dalam waktu yang singkat tetapi pemerintahan tersebut adalah pemerintahan yang rosak dan menyakitkan serta tidak diredhai oleh Allah, RasulNya dan kaum Mukminin. Khilafah yang akan didirikan bukanlah khilafah yang hanya ada pada nama tetapi Khilafah yang dimaksudkan adalah Khilafah yang aman dan menenteramkan, Khilafah yang mana manusia berhijrah kepadanya untuk mengecapi keamanan di bawah naungannya, bukan malah lari darinya dalam keadaan takut dan dizalimi. Khilafah ini akan melindungi kemuliaan manusia, harta bendanya dan rumahnya, bukannya menumpahkan darah dan merosakkan kemuliaannya, menghancurkan rumahnya serta merampas hartanya. Khilafah ini akan menebarkan kebaikan bukan hanya di negeri-negeri kaum Muslimin bahkan menyebarkan, melalui tamadunnya,kebaikan ke seluruh alam. Di dalam Khilafah ini, Muslim dan non-Muslim hidup aman sejahtera dan hak setiap mereka dijaga dengan penuh keadilan dan ketenteraman…

Sesungguhnya Hizbut Tahrir adalah pelopor dan tidak pernah membohongi sesiapa yang bersamanya. Hizb adalah dari kalian dan bersama dengan kalian di dalam seruan ini. Hizb menyeru setiap orang yang memiliki hati dan fikiran, yang mempunyai pendengaran dan bisa menyaksikan – agar menggandakan usaha untuk mengucapkan kalimah yang benar secara meluas, meskipun hanya dengan mengucapkan separuh dari kalimah tersebut. Sesungguhnya ini harus dilakukan bagi memberhentikan pembunuhan sesama sendiri, antara ISIS dan puak-puak serta suku-suku lain dalam jangka waktu yang masih ada ini – maka hentikanlah pertelagahan ini dan bersatulah di dalam satu saf untuk menghadapi campurtangan ketenteraan yang dirancang dan diketuai oleh AS. Hancurkanlah pakatan Barat ini dan keburukan yang mereka bawa sebelum terlambat. Ini adalah seruan yang ikhlas dan benar dengan izin Allah, yang kami serukan kepada mereka yang memiliki hati dan bagi mereka yang mendengar dan menjadi saksi. Sesungguhnya kalian akan memberikan kesan yang besar dalam membantu Islam dan kaum Muslimin dalam menolak perancangan kuffar imperialis. Adapun bagi mereka yang tidak mendengar dan tidak melihat, bagi mereka kami tinggalkan firman Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa,

“Sesungguhnya makhluk yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan bisu yang tidak mengerti apa-apa pun” [TMQ al-Anfal(8):22]

28 Syawal 1435H
24 Ogos 2014M
HizbutTahrir

[Terjemahan artikel/seruan yang dikeluarkan oleh HizbutTahrir Pusat yang disebarkan di seluruh dunia amnya dan di Iraq dan Syam khususnya]