SN399 – HARAM PISAHKAN NEGERI UMAT ISLAM, WAJIB BERSATU DI BAWAH KHILAFAH
HARAM PISAHKAN NEGERI UMAT ISLAM, WAJIB BERSATU DI BAWAH KHILAFAH
Dalam perkembangan sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semua pihak, khususnya golongan yang cuba membangkitkan isu membawa Sabah keluar dari Malaysia, agar tidak menggadai masa depan rakyat dan negeri itu semata-mata demi agenda peribadi. “Hari ini saya mendedahkan kenyataan sokongan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters (BIFF) dan Abu Sayyaf kepada Islamic State (IS). “Ini bukan untuk menakut-nakutkan rakyat Sabah tetapi ini kenyataan secara terbuka dan tidak mustahil ia merupakan sesuatu yang memang diperjuangkan oleh mereka kerana Moro National Liberation Front (MNLF) sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka untuk mewujudkan Islamic Caliphate iaitu merangkumi Selatan Filipina, Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia,” kata Hishammuddin [Utusan Malaysia 22/09/14].
Gerakan Pemisah Dan Kesannya
Istilah gerakan pemisah, walaupun diketahui umum tetapi masih agak asing penggunaannya di Malaysia. Ini kerana, setakat ini tidak ada gerakan tertentu yang dilabelkan oleh kerajaan Malaysia sebagai gerakan pemisah walaupun cubaan untuk memisahkan negeri-negeri tertentu sudah lama ada. Namun, kewujudan gerakan pemisah di beberapa wilayah kaum Muslimin sudah sangat popular dan aktif. Di Indonesia sebagai contoh, wujudnya gerakan pemisah yang berjuang di sekurang-kurangnya tiga kawasan iaitu di Timor Timur, Aceh, dan Papua. Gerakan Aceh Merdeka (GAM) mula bergiat aktif sejak 1976 lagi. Ia lahir sebagai tindak balas daripada tindakan pemerintah pusat yang semakin tidak adil semasa pelaksanaan orde baru. Muslim Aceh bangkit menuntut kemerdekaan dan autonomi sehingga berlaku banyak pertempuran dari semasa ke semasa dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) sehingga menyebabkan ramai terkorban.
Selain GAM yang aktif di Aceh, gerakan pemisah Republik Maluku Selatan (RMS) pula aktif Maluku dan Organisasi Papua Merdeka (OPM) aktif di Papua. Jika diteliti, kewujudan gerakan-gerakan pemisah ini lebih disebabkan oleh ketidakadilan ekonomi yang dirasakan oleh rakyat di wilayah-wilayah tersebut akibat kegagalan pemerintah Indonesia mensejahterakan mereka. Padahal kekayaan sumber alam di Aceh dan Papua melimpah-ruah. Namun sayangnya, kekayaan itu lebih banyak dibolot oleh segelintir orang dan perusahaan-perusahaan asing. Akhirnya, rakyat bangkit memberontak.
Gerakan pemisah juga berperanan penting di Pakistan dan India sehingga kedua-dua negeri Muslim itu terjerumus dalam kancah perbalahan yang tidak berkesudahan. Perang India-Pakistan 1971, India yang dipelopori oleh Hindu cuba memanfaatkan konflik pemisahan Pakistan Timur dan Pakistan Barat. Usaha ini benar-benar melemahkan Pakistan yang dipelopori Muslim sehingga berlaku pertembungan dalaman yang disebut sebagai Perang Saudara Pakistan. Pakistan Timur bergerak atas nama kemerdekaan Bangladesh yang diketuai Sheikh Mujiburrahman menuntut pelepasan dari Pakistan Barat. Akibatnya serangan yang dilancarkan oleh India terhadap Pakistan Barat pada 3-16 Disember 1971 tidak berjaya dipatahkan Pakistan. Perang ini berakhir dengan kekalahan Pakistan dan pemecahan Pakistan timur dan barat.
Di Sudan, ekoran pergerakan pemisah Sudan Selatan mengakibatkan berlakunya perang saudara sehingga terbentuk kawasan autonomi Sudan Selatan pada tahun 1972 dan ia bertahan hingga tahun 1983. Kemudian, tercetusnya sekali lagi perang saudara yang berkesudahan dengan Perjanjian Damai Menyeluruh 2005. Pada tahun yang sama, taraf autonomi dipulihkan apabila terbentuknya Kerajaan Autonomi Sudan Selatan. Sudan Selatan menjadi negara merdeka pada 9 Julai 2011 rentetan pungutan suara pada Januari 2011 yang mana sebahagian besar memilih supaya Sudan Selatan berpisah daripada negara Sudan. Kemerdekaan Sudan Selatan yang dilihat sebagai penyelesaian isu Sudan, namun hakikatnya hanyalah menambahkan penderitaan Sudan.
Banyak isu yang perlu ditangani Sudan tidak dapat diselesaikan, seperti bagaimana membahagikan pendapatan minyak, atau apakah yang terjadi dengan $35 juta hutang Sudan atau masa depan Abyei. Manaka di luar ibukota Juba, tidak ada pembangunan dan jika orang percaya bahawa kemerdekaan akan memberikan daerah pedalaman selatan banyak manfaat, maka mereka akan sangat kecewa. Lebih kurang 80% daripada sektor perkhidmatan di selatan Sudan (kesihatan, pendidikan, air dan kebersihan) disediakan oleh badan-badan bukan kerajaan. Selain itu, Sudan Selatan sendiri tidaklah homogen atau wilayah yang damai. Sebahagian besar warganya yang berperang selama dua dekad terakhir adalah akibat dari pertempuran antara suku-suku yang berperang di wilayah selatan. Akhirnya pemisahan Sudan hanya menambah penderitaan kepada Sudan dan bukannya menyelesaikan masalah.
Hukum Memisahkan Diri/Negeri
Jika diteliti, usaha pemisahan negeri-negeri kaum Muslimin oleh gerakan pemisah yang wujud, baik di Indonesia, Pakistan, Sudan dan lain-lain, bukan hanya tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menambah parahkan lagi masalah, di samping melebarkan lagi jurang perpecahan sesama kaum Muslimin. Urusan dalaman dan juga luaran sesebuah negeri itu menjadi semakin sukar. Ini dari satu sisi. Dari sisi lain, sesungguhnya semua gerakan dan tindakan pemisahan ini tidak lepas dari campur tangan kuffar Barat. Sokongan Barat ke atas usaha-usaha gerakan pemisah ini, malah ada yang ditunjukkan secara terang-terangan, apatah lagi secara tersembunyi.
Namun, sebagai Muslim, apa yang lebih penting untuk kita lihat bukanlah akibat/kesan kepada pemisahan negeri-negeri umat Islam ini, namun apakah hukum syarak terhadap pemisahan ini. Walaupun mungkin sahaja akan wujud kesan baik kepada pemisahan ini dari aspek ekonomi, politik dan lain-lain, namun persoalannya, apakah pemisahan tanah kaum Muslimin ini dibenarkan oleh syarak? Rasulullah SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang datang kepada kalian, sedangkan urusan kalian terhimpun pada sorang lelaki (seorang Khalifah), lalu dia (orang yang datang itu) hendak memecah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia” [HR Muslim].
Rasulullah SAW juga bersabda,
“Barangsiapa melihat sesuatu yang ia benci dari Amirnya, maka hendaklah ia bersabar terhadapnya kerana sesungguhnya siapa sahaja yang memisahkan diri dari Jamaah (kaum Muslimin yang dipimpin oleh seorang Amir/Khalifah) walau sejengkal, maka tidaklah ia mati melainkan mati (dalam keadaan) jahiliah” [HR Bukhari].
Memisahkan diri daripada negara bermakna akan wujudnya seorang lagi ketua negara bagi kaum Muslimin, sedangkan Rasulullah SAW dengan tegas mengingatkan kita semua,
“Jika dibaiat dua orang Khalifah (sebagai Ketua Negara), maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR Muslim].
Nas di atas dan banyak lagi nas lainnya yang senada, dengan jelas dan tegas menunjukkan kewajiban umat untuk bersatu di bawah satu negara (Khilafah) dan di bawah seorang pemimpin (Khalifah). Tidak dibenarkan bagi umat Islam memiliki lebih daripada satu negara atau lebih daripada seorang ketua negara.
Berdasarkan nas yang jelas sama ada dari al-Quran, al-Hadis mahupun Ijmak Sahabat, sesungguhnya keseluruhan umat Islam wajib bersatu dan berada di bawah kepimpinan seorang Ulil Amri (Khalifah) sahaja. Betapa haramnya jika umat Islam berpecah kepada banyak negara/pemimpin sehingga Rasulullah SAW memerintahkan agar membunuh Khalifah yang dilantik setelah wujudnya Khalifah yang pertama secara sah di sisi syarak. Rasulullah juga memerintahkan agar membunuh siapa sahaja yang berusaha untuk memecah-belah atau mencerai-beraikan umat Islam yang hidup dalam kesatuan Khilafah.
Sejak berdirinya Negara Islam yang pertama di Madinah yang dipimpin secara langsung oleh Rasulullah SAW, kemudian diikuti dengan Khilafah Umawiyyah, Khilafah Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah, selama lebih 1300 tahun umat Islam berada di bawah kepimpinan seorang Khalifah sahaja dan di bawah satu negara, walaupun wilayah Islam mencakupi hampir dua per tiga dunia. Hanya setelah berlakunya penjajahan kuffar Barat ke atas Negara Islam sehingga runtuhnya Daulah Khilafah pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), barulah umat Islam terpecah belah menjadi lebih dari 50 buah negara yang masih kekal hingga kini. Terlalu banyak bukti bahawa pemisahan wilayah Islam adalah angkara jahat kuffar penjajah dan diteruskan oleh penguasa Muslim yang khianat yang tamak akan kuasa dan harta benda dunia.
Sebagaimana Islam mengharamkan pemisahan atau perpecahan wilayahnya, Islam juga mengharamkan kewujudan sebarang gerakan yang bertujuan memisahkan wilayah Islam. Gerakan mana pun atau siapa pun yang berniat untuk menjadikan wilayah itu lebih baik atau mahu melaksanakan syariat di wilayah tersebut, wajib berusaha untuk ‘mengIslamkan’ wilayah tersebut dan bukannya dengan membawa ia keluar dari induknya. Kita tidak boleh (haram) menjadi kelompok pemisah, sebaliknya wajib menjadi kelompok pemersatu umah dan tanah kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan (Khilafah) sekali gus menerapkan hukum Allah di dalam wilayah tersebut.
Sesungguhnya tercerai-berainya umat Islam pada hari ini adalah kerana pemimpin dan sistem yang tidak betul. Wujudnya pemimpin yang mengamalkan sistem demokrasi menjadi punca kepada perpecahan wilayah dan umat Islam. Juga, kerana adanya semangat assabiyyah dan wathaniyyah di dalam diri umat Islam. Perasaan assabiyyah dan wathaniyyah yang haram inilah yang menyebabkan terpisahnya umat Islam dan wilayah Islam. Justeru, setiap Muslim wajib membuang perasaan ini dari dirinya dan setiap Muslim dan kelompok Islam wajib bekerja dalam rangka mempersatukan semula umat Islam di bawah naungan Khilafah dengan menghapuskan sistem demokrasi dan lain-lain sistem kufur dan negara-bangsa yang merupakan penyebab kepada perpecahan ummah.
Oleh yang demikian, Hizbut Tahrir dengan ini mengingatkan bahawa Sabah dan Sarawak adalah sebahagian dari tanah umat Islam dan haram dipisahkan dari induknya. Kewajipan untuk kekal dalam kesatuan bukanlah kerana referendum Suruhanjaya Cobbold mahupun PBB, namun kerana Islam memerintahkannya sedemikian. Keputusan Suruhanjaya Cobbold dan PBB tidak ada nilainya walaupun setitik, di sisi syarak. Kita wajib bersatu kerana Allah memerintahkan kita bersatu. Bukan sahaja Sabah dan Sarawak yang haram untuk dipisahkan, malah keseluruhan negeri kaum Muslimin haram dipisah-pisahkankan. Syarak mewajibkan kaum Muslimin dan seluruh negeri kaum Muslimin di seluruh dunia untuk kembali bersatu di bawah satu negara (Khilafah). Sebarang bentuk pemisahan wilayah kaum Muslimin, baik kecil mahupun besar adalah diharamkan oleh Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Bersatu di bawah Daulah Khilafah adalah wajib secara syar’i. Daulah Khilafah adalah Daulah yang akan mempersatukan umat Islam bukan sahaja di Nusantara, malah di seluruh dunia. Daulah Khilafah adalah Daulah yang di dalamnya diterapkan hukum-hukum Allah dan yang pemerintahannya berjalan sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Begitu juga dengan usaha untuk mewujudkannya yang juga wajib dilakukan sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, bukannya dengan jalan demokrasi, jihad, pembunuhan, pemaksaan, rampasan kuasa atau kekerasan. Bukan dikatakan Daulah Khilafah jika ia berdiri dengan jalan yang menyalahi syarak. Bukan dikatakan perjuangan yang benar untuk menegakkan Khilafah jika ia dilakukan dengan jalan menyalahi syarak. Perjuangan yang benar untuk menegakkan Khilafah adalah perjuangan yang dilakukan dengan mencontohi perjuangan Rasulullah SAW di dalam menegakkan Daulah Islam di Madinah yakni melalui jalan dakwah secara politik dan intelektual dan melalui thalab al-nusrah (meminta pertolongan) dari ahlu al-quwwah (golongan yang memegang kekuatan). Perjuangan di atas jalan inilah yang akan mewujudkan semula Khilafah ala minhaj nubuwah sedikit masa lagi Insya Allah. Wallahu a’lam.