SN410 – Kejatuhan Ringgit Dan Penyelesaiannya

PDF

SN keluaran 12 Disember 2014

[SN410] Ringgit Malaysia jatuh ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia 1997. Ia jatuh sebanyak 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa dua hari iaitu kejatuhan terburuk sejak Jun 1998. Menurut para penganalisis, Malaysia berkemungkinan menjadi negara Asia yang paling teruk terjejas oleh jangkaan kejatuhan berterusan harga minyak dunia. Industri berkaitan minyak menyumbang sebanyak satu pertiga daripada hasil Malaysia. Sementara itu, pasaran saham Malaysia turut susut hampir 3 peratus selepas Petronas mengumumkan pada Jumaat lalu rancangannya untuk memotong perbelanjaan modal antara 15 hingga 20 peratus tahun depan. Agensi berita Reuters memetik Jonathan Cavenagh, pakar strategis kanan tukaran asing di Westpac di Singapura sebagai berkata, pengumuman tersebut menambahkan lagi berita negatif dan beliau menjangkakan sementara menunggu harga minyak kembali stabil, nilai ringgit berisiko tinggi untuk terus mengalami kejatuhan.

Dari satu sudut, agak pelik apabila kerajaan Malaysia seolah-olah tidak memberi perhatian atau dilihat semacam menyembunyikan sesuatu berhubung kejatuhan ringgit ini, padahal ia telah mendapat liputan meluas di kalangan media negara jiran mahupun media antarabangsa. Dari sudut yang lain, kejatuhan mata wang Malaysia atau mata wang negara mana sekalipun di dunia pada hari ini bukanlah sesuatu yang pelik. Ini kerana, dalam negara yang mengamalkan sistem ekonomi Kapitalis, hal ini sentiasa berada dalam jangkaan. Kitaran krisis ekonomi yang teruk dalam tempoh lebih kurang 10 tahun sentiasa dapat dilihat dalam sistem Kapitalis ini. Malangnya, masih ramai yang cuba menyatakan kejatuhan ringgit adalah disebabkan ketidakstabilan harga minyak mentah dunia, peningkatan hutang luar, aliran modal keluar dan lain-lain. Ya, kita tidak nafikan semua itu boleh mempengaruhi nilai mata wang, namun kita perlu melihat kepada akar permasalahan, bukan hanya membahas masalah cabang dan ranting semata-mata. Sistem ekonomi Kapitalis – itulah akarnya!

Sekilas Fakta   

Umum mengetahui bahawa mata wang dunia satu ketika dulu ialah emas dan perak. Setelah Perang Dunia Kedua, AS lahir menjadi sebuah gergasi ekonomi dunia dan dengan kekuatan serta kelicikannya, negara kafir ini telah berjaya menjadikan mata wang negaranya (dollar) sebagai standard mata wang yang baru kepada dunia, menggantikan standard logam (emas dan perak) yang dijadikan sandaran mata wang dunia sebelum itu. Tatkala perang meletus, biaya perang meningkat dengan mendadak dan pemerintah banyak berhutang dengan bank-bank menyebabkan bank-bank pusat mengeluarkan wang kertas jauh melebihi simpanan emas dan perak yang mereka miliki. Setelah itu, dikeluarkan undang-undang yang membolehkan bank-bank pusat melepaskan diri daripada keterikatannya kepada emas dan perak dalam mengeluarkan wang kertas.

Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dunia antarabangsa kembali semula kepada sistem logam meskipun tidak sempurna. Akan tetapi tidak lama kemudian, penggunaan emas dan perak mulai menyusut dan akhirnya terhapus sepenuhnya dengan diputuskannya keterkaitan wang rasmi dengan emas dan perak berdasarkan undang-undang. Ini terjadi ketika Presiden Amerika, Richard Nixon menetapkan pada tanggal 15/8/1971 dihapuskan sistem Bretton Woods yang mewajibkan dollar diback-up (dijamin) dengan emas dan mengaitkannya dengan harga emas yang stabil. Akibatnya, penggunaan kertas sebagai wang (fiat money) semakin banyak dan mekanisme mata wang apungan telah diperkenalkan di mana mata wang sesebuah negara dinilai berdasarkan pada mata wang negara lain (AS). Melalui mekanisme ini, penggunaan wang kertas (fiat money) yang meluas telah mengakibatkan ketidaktentuan (turun naik) nilai mata wang yang sekali gus memberi peluang kepada para spekulator untuk mengaut keuntungan di atas kelemahan, ketidakstabilan atau kerugian negara lain.

Sesungguhnya kejatuhan nilai mata wang adalah sangat terkait rapat dengan kedudukan mata wang itu sendiri. Menurut sistem ekonomi kapitalis, wang dibenarkan untuk diperniagakan sama seperti memperniagakan barangan lain. Keadaan ini menyebabkan nilainya sentiasa terdedah kepada faktor pasaran dan spekulasi. Apabila manusia mula menganggap wang sebagai sejenis komoditi yang boleh diperniagakan sama seperti barangan lain, kestabilan nilai mata wang akan terancam kerana nilainya ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran dalam pasaran. Seseorang yang memiliki wang yang banyak berupaya mempengaruhi nilai wang di pasaran dengan menyorok wang tersebut atau melambakkannya bagi mempengaruhi harga pasaran. Senario inilah yang mengakibatkan ekonomi dunia dikejutkan dengan krisis kewangan yang bersilih ganti. Sebagai salah sebuah negara Asia yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, Malaysia tidak dapat lari dari krisis mata wang serantau yang teruk, berpanjangan dan berulang-ulang.

Hakikat Wang Fiat Dalam Sistem Ekonomi Kapitalis   

Pada hari ini, wang yang diguna pakai dalam transaksi seharian adalah berbentuk wang kertas yang dicetak oleh pemerintah dengan nilai nominal tertentu tanpa ada back-up (jaminan) emas dan perak di belakangnya. Dengan kata lain, wang kertas yang dicetak ini sama sekali tidak memiliki nilai intrinsik (zatnya), tidak seperti mana halnya mata wang emas atau perak. Wang kertas ini pada hakikatnya hanyalah sekadar sehelai kertas biasa yang sama seperti kertas-kertas lainnya. Wang kertas inilah yang dikenali sebagai ‘wang fiat’ (fiat money) di mana ia “menjadi berharga” hanya setelah pemerintah menetapkan undang-undang bagi memaksa masyarakat supaya ‘percaya’ bahawa kertas itu benar-benar berharga sesuai dengan nilai nominal yang tertera di atasnya. Padahal itu hanyalah kertas biasa yang tidak dijamin oleh pemerintah dengan jaminan apa pun! Pemerintah AS misalnya, cukup dengan meletakkan pada mata wang dollarnya perkataan “this note is legal tender for all debts, public and private” bagi menjadikan wang kertas tersebut berharga USD1, USD10 dan seterusnya. Manakala kerajaan Malaysia pula menulis di atasnya “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai” bagi membuatkan masyarakat percaya bahawa ia bernilai RM1, RM5, RM100 dan seterusnya.

Justeru, berdasarkan logik apakah sehelai kertas biasa yang tertera gambar mantan presiden atau raja dan seumpamanya (yang tidak dijamin), boleh ditukar untuk membeli tanah, rumah, kenderaan, makanan dan lain-lain? Sebenarnya senario ini tidak ubah sama sekali seperti permainan monopoli kanak-kanak yang menganggap sesuatu yang tidak real (nyata), tidak berharga dan tidak ada nilainya, tiba-tiba  menjadi sebaliknya hanya semata-mata dengan wujudnya angka yang tertera di situ dan “peraturan” permainan menetapkannya begitu. Inilah realitinya pada hari ini di mana fenomena permainan wang ini menyelubungi umat manusia di seluruh dunia dan dengan penguatkuasaan undang-undang, segala yang tidak bernilai, menjadi bernilai. Atas dasar inilah, selayaknya penggunaan wang kertas ini dikatakan satu-satunya “ciptaan” manusia yang telah membawa bencana, kezaliman dan malapetaka kepada seisi dunia. Penggunaan wang fiatlah, yang amat tidak stabil, mudah terdedah pada kejatuhan nilai dan permainan spekulator, yang menjadi penyumbang utama kepada ketidakstabilan ekonomi dunia saat ini.

Emas dan Perak Dalam Sistem Ekonomi Islam

Sesungguhnya mata wang dalam Islam ialah dinar (emas) dan dirham (perak). Ekonomi Islam mewajibkan negara untuk menjadikan emas dan perak sebagai back-up (jaminan/sandaran) kepada mata wang yang berlegar dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Penggunaan emas dan perak sebagai mata wang telah pun berlangsung sebelum kedatangan Islam lagi di mana Rom dan Parsi ketika itu sudah terkenal melakukan transaksi dengan menggunakan kedua-dua jenis logam itu. Setelah Islam datang, Rasulullah SAW menetapkan (dengan taqrir) penggunaan dinar dan dirham tersebut sekali gus menetapkannya sebagai mata wang. Rasulullah juga menetapkan timbangan mata wang dinar dan dirham hendaklah seperti yang telah berlangsung pada masa Quraisy. Dari Thawus dari Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda, “Timbangan adalah timbangan penduduk Makkah dan takaran adalah takaran penduduk Madinah” [HR Abu Daud].

Dinar Herakli dan dirham Parsi biasa digunakan oleh penduduk Makkah pada masa Jahiliyah dan Rasulullah SAW membiarkan hal itu. Begitu juga pada masa Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali yang mana kaum Muslimin ketika itu menggunakan bentuk, cetakan dan gambar dinar Herakli dan dirham Kisra dalam urusan mereka. Hanya pada tahun ke-20 Hijriyah atau pada tahun ke-8 dari masa pemerintahan Khalifah Umar, beliau mencetak dirham yang baru berdasarkan dirham Sasanid. Namun, bentuk dan timbangannya tetap mengacu pada (dirham) Kisra, gambar dan tulisannya bermotif Bahlawiyah (Pahlevi). Umar cuma menambah huruf Arab kufi “Bismillahirrahmanirrahim” dan “Bismillahirabbi” pada mata wang tersebut dan keadaan ini berlangsung terus sampai masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

Pada tahun 75 atau 76 H, Khalifah Abdul Malik bin Marwan mencetak dirham yang berciri khas Islam, yang mengandungi tulisan Islami dengan menggunakan khat kufi dan meninggalkan bentuk Sasanid. Pada tahun 77 H dicetak dinar yang berciri khas Islam dan terukir di dalamnya tulisan Islami dengan khat Arab kufi dan dinar yang berbentuk Byzantium ditinggalkan. Setelah Khalifah Abdul Malik bin Marwan mencetak dirham dan dinar yang berciri khas Islam ini, bermula saat itu kaum Muslimin memiliki mata wang khas Islam dan menanggalkan mata wang lainnya.

Adapun dari segi timbangan dinar dan dirham, ia tidak berbeza dengan timbangan dinar pada masa  Jahiliyah yakni (berdasarkan nas dan setelah ditukar ke dalam bentuk gram) 1 dinar nilainya setara dengan 4.25 gram emas dan 1 dirham nilainya setara dengan 2.975 gram perak.  Dengan piawaian tersebut, Daulah Khilafah telah menjadikan mata wangnya sebagai alat tukar yang memiliki nilai intrinsik dan nominal yang sama. Ini bererti, nilai nominal yang tercantum pada mata wang Daulah Khilafah benar-benar dijamin dengan zat wang tersebut (nilai intrinsiknya) iaitu emas dan perak.

Meski pun mata wang dalam Islam adalah dinar dan dirham, namun Islam tidak menghadkan hanya satu jenis alat tukar pada saat menetapkan hukum jual beli dan pekerjaan. Islam memberi keluasan kepada manusia untuk melakukan pertukaran barang, manfaat dan perkhidmatan dengan apa saja yang dibenarkan syarak sehingga tercapai keredhaan di dalamnya, tanpa mengkhususkan satu jenis (alat tukar) sebagai dasarnya. Contohnya, Islam membolehkan pembelian pedang dengan bayaran kurma, unta dengan gandum, pakaian dengan dinar, daging dengan dirham, bekerja dengan upah satu sa’ kismis, membuat almari dengan upah lima dinar, membuat rumah ditukar dengan sebidang tanah dan seterusnya. Demikianlah, Islam memberikan keluasan untuk melakukan pertukaran secara langsung dengan apa saja yang manusia inginkan, dengan sikap saling redha di antara mereka, baik dengan (imbalan) barang, perkhidmatan ataupun wang [Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah, Abdul Qadim Zallum].

Tatkala Islam memberikan keluasan kepada manusia melakukan pertukaran dengan apa sahaja yang mereka inginkan, dalam masa yang sama Islam telah menjadikan mata wangnya berupa emas dan perak. Emas dan perak wajib dijadikan sebagai standard dalam menilai barang dan perkhidmatan sekali gus sebagai dasar berlangsungnya seluruh bentuk transaksi. Jadi, perlu difahami bahawa wang kertas, wang polimer  atau bahan-bahan lainnya masih boleh diguna pakai dalam sesebuah transaksi, dengan syarat wang tersebut mestilah dicetak oleh negara dan nilainya diback-up setara dengan nilai nominal emas atau perak yang ada dalam simpanan negara. Maksudnya, jumlah wang yang dicetak atau yang beredar hendaklah sama dengan jumlah emas dan perak yang menjadi back-up kepadanya. Inilah yang membezakan antara mata wang dalam Islam dengan wang fiat dalam sistem Kapitalis.

Justeru berdasarkan nas (dari segi hukum) adanya back-up emas dan perak adalah wajib. Manakala dari segi realitinya, penggunaan wang emas dan perak ini sangat stabil kerana ia mampu menyatukan nilai intrinsik dan nominal sekali gus. Oleh sebab itu, peredaran mata wang Islam ini sama sekali tidak memerlukan kawalan atau pengendalian dari sebuah badan kewangan yang dilantik oleh negara atau badan antarabangsa, malah ia berjalan secara alami (semula jadi) berdasarkan sandaran nilai yang setara dengan sesebuah transaksi. Tambahan lagi, nilai mata wang emas dan perak ini sentiasa stabil sehingga tidak akan membuka ruang kepada berlakunya inflasi dalam perekonomian sesebuah negara.

Sesungguhnya negara memainkan peranan penting dalam mengatur urusan ekonomi demi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Di sebalik mekanisme mata wang bersandarkan emas dan perak, negara wajib menjamin keperluan asas rakyatnya agar sentiasa dipenuhi. Apabila Negara Khilafah yang kita usahakan ini berdiri sedikit masa lagi, ia akan mengangkat semula peranan sebenar Baitul Mal yang bertanggungjawab mengatur penerimaan dan pengeluaran hasil negara sesuai dengan syariat Islam demi kemaslahatan rakyat secara individu mahupun menyeluruh. Bilamana taraf hidup per individu warga negara meningkat, ditambah dengan suasana hidup yang Islami, maka pertumbuhan ekonominya akan stabil dan rakyat pasti sejahtera Insya Allah. Sebagai Muslim, kita yakin bahawa pertumbuhan ekonomi yang dihasilkan dalam sistem Islam akan berjalan dengan baik kerana segala faktor yang mewujudkan ketidakstabilan ekonomi seperti penggunaan wang fiat, praktik ekonomi ribawi, spekulasi (judi), pasaran hadapan (futures market), bursa saham dan lainnya, akan dicabut hingga ke akar umbinya di bawah pemerintahan Khilafah nanti.

Khatimah

Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa ekonomi negara khasnya dan dunia amnya tidak akan stabil selagi tidak kembali menggunakan sistem emas dan perak. Namun kita mesti sedar bahawa agenda terpenting umat Islam pada waktu ini bukanlah sekadar mengembalikan kestabilan ekonomi dengan penggunaan emas dan perak sebagai sandaran mata wang semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu, adalah untuk mengembalikan semula Islam ke dalam kehidupan dan meletakkan Islam di tempatnya (untuk diterapkan secara kaffah) sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan sesungguhnya satu-satunya jalan untuk mengembalikan Islam secara kaffah ialah dengan mendirikan kembali Daulah Khilafah Rasyidah ala minhaj nubuwah. Wallahu a’lam.