SN429 – Rohingya: Antara Penderitaan, Harapan Dan Penyelesaian
SN keluaran 22 Mei 2015
Selama puluhan tahun dunia menutup mata dengan tragedi yang menimpa Muslim Rohingya, walaupun penindasan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh ekstremis Buddha yang disokong oleh junta tentera ke atas mereka sudah bukan lagi rahsia. Bumi di mana mereka berpijak dan langit yang mereka berteduh selama ini telah menjadi gelap gelita lantaran kekejaman pemerintah Myanmar serta sikap tidak peduli masyarakat dunia terhadap penderitaan yang mereka alami. Muslim Rohingya terus diburu oleh pihak pemerintah serta pelampau Buddha yang dahagakan darah kaum Muslimin sehingga memaksa mereka meninggalkan kampung halaman dan mengambil keputusan untuk menyelamatkan diri dengan mengharungi hutan dan lautan untuk ke Malaysia dan Indonesia. Sungguh menyedihkan apabila pemimpin dan masyarakat dunia begitu ‘tenang’ menyaksikan nasib malang yang menimpa Muslim Rohingya ini, malah lebih buruk apabila pemimpin dua buah negeri Muslim (Malaysia dan Indonesia) cuba ‘menendang’ mereka dari memasuki negeri masing-masing. Hal ini sebenarnya menggambarkan yang pemimpin umat Islam meredhai dan membiarkan sahaja segala kekejaman yang dilakukan oleh rejim Myanmar dan ekstremis Buddha ke atas saudara seakidah mereka di bumi Arakan itu.
Sedikit Sejarah dan Realiti Konflik
Penderitaan umat Islam Rohingya di bumi Myanmar (dahulu dikenali sebagai Burma) telah bermula sejak abad ke-18 lagi di mana kaum kuffar berjaya menghancurkan wilayah Arakan yang sebelum itu aman di bawah pemerintahan Islam lebih dari tiga abad (1430 – 1748M). Puak kuffar bukan sahaja telah menduduki dan mencetuskan kekacauan di wilayah ini, tetapi turut membunuh kaum Muslimin khususnya para ulama dan pendakwah Islam. Mereka turut melakukan penindasan dan memusnahkan binaan Islam seperti madrasah, sekolah dan masjid serta merompak hasil kekayaan wilayah Arakan.
Penderitaan yang dilalui semakin parah setelah Muslim Rohingya dinafikan kerakyatan oleh junta tentera yang memerintah Burma (Myanmar – selepas 1989) yang menyebabkan mereka hilang segala hak untuk mendapatkan khidmat kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Kekejaman secara sistematik ini menyebabkan keadaan sosio-ekonomi Muslim Rohingya semakin terkebelakang berbanding etnik- etnik Myanmar yang lain. Lebih buruk dari itu, ekstremis Buddha dan rejim Myanmar bertindak membunuh mereka secara besar-besaran kerana bencikan Islam dan ingin memastikan yang penduduk Myanmar tidak menjadi Muslim.
Tahun 2011 yang lalu menyaksikan sebuah harapan palsu buat Muslim Rohingya dengan seruan demokrasi dan hak asasi manusia yang berlaku di Myanmar atas sokongan Amerika Syarikat. Malah sebelum itu lagi, AS telah cuba mengangkat ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi yang kononnya akan membawa perubahan kepada Myanmar dan sekali gus Muslim Rohingya. Namun, sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh Suu Kyi selari dengan respons yang dikeluarkan oleh kedutaan Amerika Syarikat di Myanmar yang sekadar menggalakkan rejim Myanmar untuk menyiasat insiden dengan cara menghormati proses dan kedaulatan undang-undang serta menyarankan supaya umat Islam bertenang dan memperbanyakkan sesi dialog apabila suasana telah aman. Pemimpin yang digembar-gemburkan oleh Barat sebagai pejuang keamanan dan pendukung demokrasi di bumi Myanmar ini ternyata hanya pandai menanam tebu di pinggir bibir sahaja apabila menyangkut isu Muslim Rohingya.
Nasib umat Islam Rohingya ternyata tidak pernah dipedulikan oleh pemimpin dunia, baik dunia Islam, apatah lagi dunia Barat. Walaupun sudah tidak terhitung jumlah yang mati dibunuh secara kejam dan jumlah yang menjadi pelarian, namun dunia tetap sahaja memejamkan mata. Walhal tatkala 12 orang sahaja yang dilaporkan terkorban dalam serangan penuh kontroversi ke atas Charlie Hebdo baru-baru ini, seluruh pemimpin dunia memberi respons dan simpati seolah-olah itu adalah pembunuhan terbesar dan terkejam dalam sejarah dunia. Lebih dari itu, seluruh pemimpin dunia bersatu dan berjanji untuk menentang mana-mana kumpulan yang menjadi ancaman kepada keamanan dunia!
Namun, berbeza halnya dengan respons mereka ke atas nasib Muslim Rohingya yang bukan sahaja tiada liputan atau simpati diberikan, sebaliknya golongan ini dibiarkan mati begitu sahaja tanpa pembelaan sedikit pun. Inilah sikap double standard pemimpin dunia dan juga pemimpin tanah air apabila menyentuh isu umat Islam Rohingya. Sungguh pemimpin ini telah hilang maruah dan sifat malu mereka. Mereka sanggup membiarkan saudara seakidah mereka ini mati terseksa dan kebuluran dan mereka tidak mahu memandang isu Muslim Rohingya ini sebagai isu umat Islam yang wajib diberi perhatian dan diselesaikan segera. Alangkah buruknya pemimpin seperti ini!
Sempadan Assabiyyah Yang Menjadi Punca
Umum mengetahui bahawa sebab penolakan kerajaan Malaysia (termasuk Indonesia dan Bangladesh) terhadap Muslim Rohingya adalah kerana mereka dianggap sebagai pendatang tanpa izin. Undang-undang hanya membenarkan mereka yang datang dengan izin (passport dan visa) sahaja untuk masuk ke negara ini. Inilah undang-undang buatan manusia tinggalan kuffar penjajah di negara umat Islam, setelah puak kuffar memisah-misahkan Daulah Khilafah dan memberikan kemerdekaan palsu berdasarkan negara-bangsa (nation-states). Undang-undang kufur dan sempadan palsu rekaan penjajah ini kemudiannya dijaga dengan bersungguh-sungguh dan dipertahankan mati-matian oleh para pemimpin kaum Muslimin, seolah-olah ini merupakan “wahyu” yang tidak dapat diubah!!!
Hasil undang-undang dan sempadan ciptaan penjajah inilah, menjadikan umat Islam di sesebuah negara tidak mempedulikan nasib saudara seagamanya di negara lain, malah ada yang menganggap saudaranya seperti musuh. Disebabkan sempadan negara-bangsa inilah, maka tidak menjadi suatu kehairanan jika kita melihat Muslim Rohingya atau Bangladesh yang datang mencari sesuap nasi di sini, dilayan sebagai ‘orang asing’ atau manusia kelas kedua atau ketiga yang tidak layak untuk bertempat tinggal di sini.
Prinsip hidup individualistik, cintakan bangsa dan tanah air ini telah mendarah daging dalam tubuh umat Islam hasil dari penerapan undang-undang dan sistem hidup yang berorientasikan negara-bangsa yang melahirkan perasaan assabiyyah (nasionalisme) dan wathaniyyah (patriotisme) yang tebal dan sukar dikikis. Ketidakpedulian yang wujud terhadap saudara sesama Islam adalah manifestasi dari idea nasionalisme dan patriotisme yang mengikat sebahagian kaum Muslimin di bawah sempadan negara palsu ciptaan penjajah. Hasilnya, umat Islam semakin jauh dari ikatan persaudaraan Islam dan lebih berpegang kepada ikatan assabiyyah dan wathaniyyah.
Inilah yang menjadi punca bahana, malapetaka dan perpecahan yang menimpa umat Islam sejak jatuhnya Daulah Khilafah sehingga kini. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan kaum Mukmin dalam kasih sayang dan belas kasih serta cinta mereka adalah seperti satu tubuh. Jika satu bahagian anggota tubuh sakit maka akan merasa sakit seluruh tubuh dengan tidak dapat tidur dan merasa demam” [HR Bukhari dan Muslim].
Rasulullah SAW juga mengingatkan,
“Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri” [HR Bukhari dan Muslim].
Harapan Untuk Hari Esok
Nasib Muslim Rohingya sememangnya bertambah buruk apabila tempat mereka mengadu untuk mendapatkan perlindungan yakni para pemimpin umat Islam, tidak mengendahkan pengaduan dan rintihan mereka. Sebelum itu, kerajaan Malaysia berpendirian untuk tidak menerima pelarian Rohingya dan Bangladesh yang ‘tersadai’ di Langkawi ini. Namun setelah mendapat kritikan dan kecaman yang hebat dari pelbagai pihak, kerajaan dilihat telah mengubah pendirian kepada sanggup membantu mereka dari segi memberi makanan dan tempat perlindungan untuk sementara waktu, sebelum dihantar pulang. Dalam masa yang sama, kerajaan mengharapkan badan antarabangsa serta NGO dan individu tampil membantu. Apa pun, kesemua bantuan kerajaan ini diberikan semata-mata atas dasar kemanusiaan dan bukannya atas dasar Islam, yang sebenarnya tidak menyelesaikan masalah secara tuntas!
Inilah bukti betapa longgarnya pegangan Islam para pemimpin Malaysia, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan yang mereka telah kehilangan separuh dari sifat perikemanusiaan. Tatkala Muslim Rohingya mengharapkan para pemimpin Malaysia yang seagama dengan mereka untuk membantu dan menyelamatkan mereka untuk meneruskan kehidupan, para pemimpin ini sebaliknya ingin menghantar mereka pulang. Padahal mereka sudah tidak ada kampung halaman dan tidak ada apa yang dijanjikan kepada mereka di tempat asal mereka kecuali kesengsaraan dan kematian! Sungguh, para pemimpin ini telah melanggar perintah Allah SWT,
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72].
Pertolongan apa lagi yang diminta oleh Muslim Rohingya jika bukan untuk menyelamatkan mereka daripada kekejaman ekstremis Buddha dan rejim Myanmar yang ingin membunuh mereka semata-mata kerana mereka adalah Muslim? Alangkah beraninya pemimpin kaum Muslimin ini berpaling dari perintah Allah!
Kerajaan Malaysia dan juga para pemimpin Muslim lainnya wajib membuka sempadan negeri mereka dengan seluas-luasnya kepada setiap pelarian Rohingya atau Bangladesh dan lain-lain Muslim yang ingin memasuki negeri ini, apatah lagi dalam keadaan mereka tertindas dan sedang dizalimi oleh pemerintah tempat asal mereka. Muslim Rohingya wajib diselamatkan dari bumi Myanmar yang penuh kekejaman. Aset-aset negara berupa kapal terbang dan kapal laut, termasuklah armada perang yang begitu banyak, perlu digerakkan ke Myanmar untuk membantu mengeluarkan Muslim Rohingya yang sudah puluhan tahun menunggu untuk diselamatkan itu. Jika untuk menyelamatkan mangsa MH370 yang tidak diketahui lokasinya, hidup atau mati, jutaan wang dan segala kekuatan dikerahkan, kenapa hal yang sama tidak dilakukan untuk menyelamatkan mangsa yang diketahui lokasinya dan diketahui masih hidup?!
Dalam masa yang sama, Malaysia (dan lain-lain negeri umat Islam) hendaklah memberi tekanan kepada Myanmar agar memberhentikan segala pembunuhan, kebiadaban dan kekejaman mereka terhadap kaum Muslimin yang berada di bawah pemerintahan mereka. Sekiranya tekanan politik ini tidak diendahkan, maka jihad fi sabilillah dalam rangka menghapuskan kezaliman pemerintah Myanmar merupakan solusi terakhir yang wajib dilancarkan bagi menjaga kehormatan dan kesucian darah umat Islam. Solusi inilah yang paling tuntas dilakukan oleh pemerintah kaum Muslimin bagi memastikan tiada lagi perlecehan terhadap kehormatan dan penumpahan darah serta pembunuhan ke atas umat Islam. Selain itu, kepada Muslim Rohingya, Bangladesh dan lain-lain yang sudah berada di sini untuk memulakan kehidupan baru, maka kerajaan perlu memberikan kewarganegaraan, menyediakan tempat tinggal, peluang pekerjaan, kesihatan dan lain-lain kepada mereka kerana sesungguhnya Malaysia adalah sebahagian daripada tanah umat Islam dan kepunyaan umat Islam.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Apa yang berlaku ke atas Muslim Rohingya hari ini bukanlah sesuatu yang akan berlaku ketika dunia berada di bawah kekuasaan Khilafah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam di mana Negara Khilafah menafikan hak kaum Muslimin mahupun penganut agama lain. Sebaliknya, mereka dilayan dengan penuh kebaikan dan saksama bersesuaian dengan hak yang telah diberikan ke atas mereka sebagai warganegara. Masih segar dalam lipatan sejarah akan tindakan Khalifah Sultan Bayazid II yang membuka pintu bantuan bagi menerima dan melindungi kaum Yahudi yang diusir dan dizalimi oleh Ferdinand, Raja Katolik Sepanyol. Layanan yang sama juga diberikan oleh Khilafah terhadap kaum Yahudi di Turki setelah pembebasan kota Konstantinopel oleh Muhammad al-Fatih pada tahun 1453. Begitulah betapa mendesaknya keperluan kita kepada Khilafah bagi menyelamatkan kesemua saudara kita yang sedang tertindas di muka bumi Allah ini.
Wallahu a’lam.