SN431 – Peranan Dan Hala Tuju Parti Islam
SN keluaran 12 Jun 2015
Perkembangan beberapa parti politik dalam sistem demokrasi di Malaysia mutakhir ini menunjukkan perpecahan yang sangat parah, baik di pihak pemerintah mahupun pembangkang. Perbalahan dan perpecahan sudah tidak dapat dibendung lagi apabila berapa ramai daripada ahli parti yang terus-menerus membuka pekung di dada sendiri, malah telah menyerang sesama sendiri di luar batas keIslaman. Jika parti sekular menuju kehancuran akibat perpecahan dalaman, hal ini dapat difahami dengan mudah dan biarlah mereka hancur kerana asas penubuhan mereka sudah menyalahi syarak. Namun, berbeza halnya jika parti Islam menuju kebinasaan akibat perpecahan dalaman kerana hal ini tidak sepatutnya berlaku ke atas sesebuah parti yang menjadikan akidah Islam sebagai asas. Bukanlah satu rahsia bahawa parti Islam yang terlibat dalam demokrasi bergelumang dengan masalah dalaman yang parah kerana, walaupun asasnya Islam, tetapi ajaran demokrasi yang diamalkan oleh parti Islam sentiasa memakan diri sendiri. Pegangan parti dan ahli parti kepada prinsip-prinsip demokrasi selalunya melebihi daripada pegangan mereka kepada Islam yang menjadikan setiap tolok ukur dan tindakan parti dan ahli parti adalah berdasarkan manfaat, bukannya hukum syarak. Di mana ada manfaat, maka di situ adanya tindakan, walaupun bertentangan dengan hukum syarak sekalipun, malah acap kali hukum syarak disalah tafsirkan agar bersesuaian dengan manfaat yang ingin diraih. Inilah sikap parti Islam yang terlibat dalam demokrasi.
Perebutan Jawatan Yang Memusnahkan Parti
Antara sebab utama perpecahan dalaman dalam sesebuah parti ialah perebutan jawatan dan parti Islam tidak terkecuali. Pertandingan merebut jawatan yang dapat disaksikan secara terbuka, apatah lagi pada zaman teknologi serba canggih sekarang, sudah pasti membuka terlalu banyak strategi dan muslihat yang akan menampakkan segala aurat yang ditutup oleh parti. Apa yang memperparahkan lagi kedudukan ialah apabila keadaan ini dimanfaatkan oleh parti pemerintah yang merupakan musuh tradisi parti Islam yang terlibat dalam demokrasi.
Perpecahan dalaman parti boleh wujud kerana pelbagai sebab. Pertandingan merebut jawatan dalam parti biasanya menjadi acara kemuncak kepada terdedahnya segala permusuhan dan persaingan yang wujud dalam parti, walaupun segala-galanya bukanlah berakhir di situ. Dalam setiap pemilihan parti, kita dapat saksikan perbalahan team-team atau individu-individu yang wujud dalam parti. Apabila wujudnya team apatah lagi pimpinan atau orang yang berpengaruh dalam parti turut terlibat, maka kesannya ialah pemilihan parti berlaku atas dasar team dan bukan lagi atas dasar kelayakan seseorang ahli menjadi pemimpin! Perebutan jawatan seperti ini memusnahkan parti kerana selain faktor pergaduhan, faktor “pengaruh” serta kegagalan ahli berfikir dengan baik menatijahkan parti bukan lagi dipimpin oleh orang yang layak (ahlinya), tetapi kepimpinan hanya terhasil daripada “konspirasi” team yang terlibat!
Pertandingan merebut jawatan dalam parti sememangnya dibenarkan dalam Islam, tetapi hendaklah berlaku secara syarie. Tidak ada keberkatan di dalamnya apabila berlaku pelanggaran hukum syarak dalam pertandingan tersebut seperti fitnah-memfitnah, menipu, mencaci, membuka aib orang lain, melanggar akhlak Islam dan termasuk melanggar aturan/ketetapan parti. Bagaimana pun, perkara ini memang tidak dapat dielakkan bagi orang yang di dalam hatinya ada penyakit dan berada dalam parti bagi meraih manfaat tertentu, bukannya untuk memperjuangkan Islam. Lebih buruk jika saf kepimpinan parti sendiri turut mempunyai penyakit yang sama, yang sudah pasti akan memberikan impak yang lebih besar kepada parti dan perjuangan parti.
Parti yang berpecah dari dalam adalah umpama tubuh yang ada penyakit. Ia akan melemahkan parti, malah boleh membawa kepada kegagalan parti dalam meraih tujuan. Kegagalan banyak parti Islam banyak terjadi kerana faktor manusia atau individunya, di samping penubuhan parti bukan atas dasar pembentukan kelompok yang benar secara mabda’iy (atas dasar akidah Islam) dan tidak adanya fikrah dan thariqah yang jelas serta kerana kesalahan dalam metode pengikatan orang-orang (ahli-ahli) ke dalam parti tersebut.
Parti Islam yang terlibat dalam demokrasi sering menyasarkan kedudukan/status dan pengaruh seseorang dalam masyarakat untuk menjadi ahlinya, dalam usaha meraih peluang dan manfaat secara cepat dengan keberadaan orang itu dalam parti atau jemaah. Kadangkala seseorang diambil menjadi ahli parti hanya kerana dia adalah pemimpin masyarakat atau kerana dia seorang yang kaya di tengah-tengah masyarakat atau kerana status sosialnya sebagai seorang ulama, imam, peguam, doktor, bekas orang besar dalam kerajaan, bekas artis dan seumpamanya tanpa mempertimbangkan sedikit pun apakah orang itu layak menjadi ahli parti atau tidak. Karena itu, apa yang menonjol dari parti ialah individu-individunya, manakala fikrah dan thariqahnya entah ke mana. Jadi, tidak hairanlah jika wujud persaingan dan perbalahan untuk menduduki jawatan kepemimpinan sehingga menimbulkan perpecahan yang parah, kerana berapa ramai daripada ahli parti yang lebih mementingkan status dan jawatan dalam parti, daripada perjuangan Islam itu sendiri, malah ada yang tidak peduli pun dengan perjuangan.
Inilah jadinya dengan sebuah parti Islam yang tidak mempedulikan kelayakan ahli dan menerima siapa sahaja menjadi ahli, kerana yang dipentingkan adalah bilangan, manakala proses pembinaan (tasqif) kepada ahli langsung tidak dipedulikan.
Tahaluf Siyasi Yang Haram Lagi Gagal
Tidak dapat dinafikan bahawa parti Islam yang terlibat dalam demokrasi sering tersasar dari perjuangan. Ini kerana demokrasi “menghalalkan” banyak perkara yang dilihat oleh parti Islam sebagai “manfaat” yang perlu diraih untuk kepentingan parti, walaupun hakikatnya perkara itu adalah haram. Tahalufsiyasi adalah salah satu daripadanya. Tahaluf di antara parti Islam dan parti kufur/sekular sudah menjadi ‘trend’ di seluruh dunia Islam, khususnya di negara yang mengamalkan demokrasi. Persoalan yang sudah tidak aneh ialah, mengapakah parti-parti Islam yang ternyata berbeza ‘haluan’ dengan parti-parti kufur/sekular, bahkan berbeza sama sekali asas penubuhannya, boleh bertahaluf dengan parti kufur/sekular? Bagaimana mungkin parti Islam yang memperjuangkan syariah boleh bertahaluf dengan parti kufur/sekular yang jelas-jelas menolak syariah?
Selain sudah menjadi parti yang pragmatis, jawapan yang mudah dan tepat kepada persoalan di atas ialah kerana ingin menang pilihan raya! Gejala pragmatis dan ingin menang pilihan raya ini sudah menjangkiti parti Islam atau orang-orang yang sering kalah (al-maghlub) dalam mencapai cita-cita. Cita-cita untuk menduduki kerusi pemerintahan tidak akan dapat tercapai kecuali dengan tahaluf, maka parti Islam melakukan tahaluf dengan tujuan menumbangkan parti pemerintah dalam pilihan raya. Segala dalil kemudiannya dikeluarkan bagi menjustifikasi tindakan yang haram ini dan “manfaat” menjadi dalil yang paling kuat. Atas alasan manfaat, maka Islam digadaikan dengan bergabung bersama pakatan yang menentang Islam! Akhirnya perjuangan menegakkan Negara Islam tercabut dari parti Islam dan diganti dengan perjuangan dan slogan yang boleh diterima oleh golongan kafir/sekular dalam tahaluf. Apa yang penting sekarang ialah menumbangkan parti pemerintah, manakala persoalan menegakkan syariah dan Negara Islam terus diketepikan.
Tahaluf bukan sahaja mengakibatkan parti Islam mengiktiraf kewujudan parti kufur/sekular yang haram kewujudannya di sisi syarak, tetapi telah melumpuhkan keseluruhan sendi-sendi kekuatan parti Islam itu sendiri. Parti Islam terpaksa melakukan banyak pengorbanan hanya semata-mata memenuhi kehendak rakan tahaluf walhal rakan tahaluf mereka terus tegar memperjuangkan sistem pemerintahan sekular. Malah parti kufur/sekular sedikit pun tidak berganjak daripada pendirian dan perjuangan mereka, manakala parti Islam terus pragmatis dan menggadaikan Islam. Apa pun, perkahwinan campur yang dibina atas dasar pragmatisme dan manfaat ini memang tidak akan berkekalan, kerana ia bergantung sepenuhnya pada “manfaat”. Apabila hilang manfaat maka hilanglah tahaluf, malah ia akan menukar semula hubungan parti Islam dengan parti kufur/sekular kepada hubungan permusuhan dan pergaduhan seperti sebelumnya. Namun, hubungan permusuhan ini boleh sahaja kembali bertukar kepada hubungan persahabatan bila munculnya semula manfaat. Inilah kejijikan politik demokrasi yang sebenarnya telah menghilangkan jati diri sesebuah parti Islam.
Lebih dari itu, juga suatu yang tidak aneh sekiranya sesebuah parti Islam bergabung dengan parti pemerintah dan membentuk kerajaan kesatuan/perpaduan/campuran (unity government). Hal ini sesuai dengan pepatah pragmatis yang sering diamalkan iaitu if you cannot beat them, join them (jika kamu tidak dapat mengalahkan mereka, maka bergabunglah dengan mereka).
Hala Tuju Parti Islam: Ikut Nas Atau Manfaat?
Berapa banyak daripada parti Islam yang sudah tidak mempedulikan sebab atau tujuan kewujudannya dalam Islam, kerana telah berjaya dipesongkan oleh demokrasi. Pilihan raya dan kemenangan sudah menjadi fokus dan kayu ukur kepada segala tindakan. Segala usaha, kewangan dan kekuatan parti ditujukan untuk pilihan raya dan usaha meraih pemerintahan mengikut acuan yang telah ditentukan oleh demokrasi. Biarpun kalah dalam pilihan raya dengan jutaan ringgit hangus terbuang, terus ditipu dan dipatuk dari lubang yang sama sebanyak ratusan kali, namun menolak demokrasi tidak sekali-kali. Inilah pegangan dan realiti parti Islam yang telah berjaya disihir oleh demokrasi.
Bukanlah salah untuk meraih pemerintahan, malah wajib berusaha ke arah itu apabila pemerintahan yang sedia ada tidak berlandaskan hukum Allah. Inilah tugas parti Islam. Namun, usaha ke arah situ wajib dilakukan dengan jalan yang syarie sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui sunnahnya, bukan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Lord Reid melalui perlembagaannya. Allah SWT telah menegaskan tujuan dan peranan parti Islam iaitu menyeru kepada kebajikan (Islam) dan melakukan amar makruf nahi mungkar. FirmanNya,
“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (kelompok) yang mengajak pada kebajikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan” [TMQ Ali Imran (3):104].
Kemakrufan dan kemungkaran yang paling besar ada di tangan pemerintah, kerana dari merekalah akan lahir banyak perkara yang baik dan yang keji.
Sekarang, pemerintah tidak menerapkan Islam, sebaliknya menerapkan hukum selain dari yang Allah SWT turunkan, maka mereka sesungguhnya telah melakukan kemungkaran yang sangat besar. Oleh itu, menjadi tugas dan kewajipan parti Islam untuk meluruskan pemerintah agar sesuai dengan hukum Islam. Namun, sungguh malang sekiranya parti Islam, bukan sahaja tidak memuhasabah pemerintah agar menerapkan Islam sebagaimana tuntutan ayat di atas, malah sebaliknya berbaik dan berkompromi dengan pemerintah dan sanggup untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan pemerintah. Walhal pemerintah ini jelas-jelas menolak hukum Allah SWT dalam pemerintahan mereka, yang mewajibkan kita menolak mereka, bukannya bergabung dengan mereka dalam apa jua bentuk sekalipun!
Parti Islam juga hendaklah melakukan pembinaan intensif (tasqifmurakazzah) ke atas ahlinya dan pembinaan umum (tasqifjama’ie) ke atas masyarakat, dengan fikrah Islam. Masyarakat hendaklah dipandu dengan kesedaran politik agar dapat memahami isu-isu kepentingan umat Islam dan turut melakukan amar makruf nahi mungkar. Semasa di Makkah, Rasulullah SAW melakukan aktiviti membangun struktur kelompok terpilih yang beranggotakan para sahabat dan membina (tasqif) mereka secara langsung sehingga mereka memiliki keperibadian (syakhsiyyah) Islam yang kukuh. Para sahabat dipersiapkan menjadi pejuang Islam, ulama dan umara’ serta menjadi orang yang akan mendakwahkan Islam kepada masyarakat. Di samping itu, pembinaan secara umum kepada masyarakat dilakukan dengan melontarkan pelbagai bentuk pandangan umum tentang ajaran Islam berserta hukum-hukumnya, menjawab dan berhujah tentang pelbagai persoalan yang timbul dalam masyarakat, membongkar persekongkolan dan rekayasa jahat orang-orang kafir terhadap Islam dan kaum Muslimin dan sebagainya. Semua itu adalah antara tugas parti Islam.
Seterusnya parti Islam wajib berusaha untuk menegakkan Daulah Islam dan menjaga kesinambungannya. Rasulullah SAW dan para sahabat (sebagai sebuah kelompok semasa di Makkah) mendakwahkan Islam dan sekali gus melakukan aktiviti politik yang bertujuan mendirikan Daulah Islam. Dengan aktiviti politik sistematis berdasarkan wahyu yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, akhirnya Daulah Islam berjaya ditegakkan di Madinah. Justeru di saat ini, tatkala Daulah Khilafah tidak ada (setelah diruntuhkan pada 28 Rajab 1342H / 3 Mac 1924), maka antara tugas terpenting parti Islam ialah berusaha untuk menegakkannya semula. Parti Islam sepatutnya tidak terbuai dengan wacana demokrasi dan pilihan raya yang terbukti hanya fatamorgana dalam usaha menegakkan Negara Islam. Selagi mana parti Islam bergelumang dalam demokrasi, selagi itulah perjuangan menegakkan Negara Islam yang dicita-citakan tidak akan berhasil.
Inilah antara tugas, peranan dan hala tuju parti Islam, yang wajib mengikut nas dan mematuhi segala ketetapan hukum syarak dalam perjalanan aktivitinya, bukannya mengikut manfaat berdasarkan akal dan menyesuaikannya dengan demokrasi!
Khatimah
Parti Islam sepatutnya tidak disibukkan dengan perbalahan dalaman atau terjebak dengan demokrasi yang haram lagi merosakkan. Setiap ahli gerakan Islam wajib sedar, sentiasa dibina dan memahami bahawa tujuan mereka bergabung ke dalam gerakan Islam adalah untuk menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya yakni menyeru manusia kepada Islam, melakukan amar makruf nahi mungkar dan berjuang untuk menegakkan syariah dan Khilafah dengan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Dengan adanya Khilafah, barulah hukum Allah dapat diterapkan secara kaffah dan Khilafah akan melakukan dakwah dan jihad bagi menzahirkan Islam dan merealisasikannya sebagai rahmatan lil alamin. Inilah peranan dan hala tuju parti Islam dalam mencapai cita-cita untuk memenangkan Islam. Ingatlah bahawa segala kewajipan ini dilakukan bagi meraih redha Allah di dunia dan syurgaNya di Akhirat. Inilah kemenangan yang hakiki.
Wallahua’lam.